... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Tuesday 5 March 2013

KUNJUNGAN SULUNG DI TAHUN BAHARU

Sekian lama tidak berkunjung ke laman ini. Rindu mercup di hati. Kunjungan kali ini sekadar mengitari litar emosi yang tepu dengan berencam rasa. Resah. Gelisah. Getar dan debar! Dua tiga hari ini macam-macam kejadian semasa yang mengasak minda. Kes pencerobohan jiwa-jiwa yang memberontak di LD masih belum tahu bilakan berakhir. Di sini, audit pengurusan berkampung mencari titik silap dan khilaf manusiawi. Kedua-duanya dua perkara yang tak serupa. Namun, asbab musababnya tetap sama. Jiwa yang memberontak! Itulah jiwa. Jika sakit, tidak dirawat, padah jawabnya. Sama-samalah kita menjaga hati. Seketul daging yang akan menentukan hitam atau putih sesuatu tindakan. Andai hati sakit, peruntukkan masa untuk mencari penawar. Penawar itu sesungguhnya terlalu dekat dengan kita. Boleh saja kita gegau pada bila-bila masa. Hati yang memberontak membentak-bentak benak rasional kita, sejukkan saja dengan kalamullah. Insyaallah, janji DIA pasti. Alunkan kalam-Nya yang suci nescaya akan sucilah hati yang berkelodak. Jom! Audit amalan kita. Moga-moga jiwa kita akan sentiasa didakap ketenangan. Allah Maha Besar!