... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Tuesday 24 September 2013

Pertemuan Manis di Pertengahan September


                                PERTEMUAN MANIS DI PERTENGAHAN SEPTEMBER
 
 
Tanpa kiriman naskhah ke ‘daerah’ maya ini, tidaklah dapat dijadikan suatu indikator bahawa saya telah mentalkinkan keinginan menulis. Saya juga tidak berhasrat memberikan alasan dengan modal yang sama – (sibuk) – apabila ditanya kenapa empunya naskhah-kasih-izzah lama tidak meninggalkan catatan. Kepada yang prihatin, terima kasih saya dahulukan. Sungguhpun catatan-catatan saya di sini lebih tepu dengan perkongsian yang tidak ilmiah sifatnya, masih ada yang ternanti-nanti. Ada yang mencuri-curi waktu untuk mengintai catatan hati saya di sini. Syukurlah! Saya tetap mengharapkan, sedikit atau banyak tetap ada manfaatnya. In-sha-Allah.

 Bukan tidak ada yang hendak dikongsikan. Bukan tidak ada yang hendak dikisahkan. Namun, inilah saya. Sebagaimana orang lain, banyak keutamaan yang perlu diutamakan. Hakikatnya, kadang-kadang saya gagal untuk melangsaikan senarai ‘what to do’ yang dibuat setiap hari. Keinginan dan keazaman  yang melonjak-lonjak sahaja terbukti tidak memadai. Melangsaikan banyak peranan dalam suatu masa yang sama, memanglah tidak mudah, bukan? Apapun, moga kehadiran naskhah-naskhah saya (yang sesekala cuma!) tetap memberikan manfaat.

September – kiraan bulan kesembilan dalam kalendar Gregory. Dua bulan berlalu selepas ‘naskhah’ terakhir saya tinggalkan di sini penghujung Julai yang lalu. Dalam tempoh hampir 60 hari, terlalu banyak yang berlaku. Setelah berlalu, payah untuk diulang-kenang lagi. Maka tinggallah hari-hari itu sebagai sejarah! Sejarah yang mungkin tidak penting bagi orang lain tetapi tetap signifikan bagi saya. Hanya saya yang tahu tentang signifikan itu, semestinya.
Saya sukakan September! Bukan kerana bulan ini menjadi petanda  musim pertukaran tahun yang berikutnya akan menjelma. Bukan kerana tidak sabar menanti kedatangan tahun baharu. Saya ada sebab yang lebih peribadi sifatnya. September – hari meraikan ulang tahun perkongsian kasih dengan sang arjuna hati dan hari kelahiran anak buah saya (yang selalu dekat di hati ini). Tarikh ulang tahun kelahiran salah seorang sahabat akrab saya juga jatuh pada bulan kesembilan ini.

September, 2013 – tertulis satu lagi catatan manis. Setelah terpisah sejak awal 1990-an, kami ditakdirkan berjumpa lagi. Dalam latar pertemuan yang sudah tentu berbeza dengan situasi lebih 20 tahun dahulu, ada satu yang tetap sama; gelak tawa dan kemesraan! Malah semakin hangat. Semoga persahabatan ini akan kekal hingga ke akhirnya .. ukhuwwah fillah till Jannah .. in-sha-Allah.