... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Tuesday 30 July 2013

Hidup Ini Perjalanan Pergi




sumber:iloveislam
 

Sudah sekian lama tidak mengunjungi laman sendiri. Begitu jugalah kampong halamanku yang telah lama tidak kukunjungi. Jarak dan faktor masa selalu sahaja menjadi alasan. Aduhai! "Alasan lama yang sudah tidak relevan. Sekarang sudah ada teknologi canggih. Lama manalah sangat kalau setakat pulang KK dari Kuching." Begitu komentar seorang rakan saya di Facebook. Cakap memang senang .. Apa pun, insan-insan tersayang di kampung halaman (bahkan di mana jua mereka berada) tetapp kekal mesra dalam ingatan. Saban hari saya menghubungi mereka, bertanyakan khabar tetapi sudah pastilah tidak sama dengan bertukar-tukar cerita kehidupan secara berdepan. Sambil duduk-duduk santai berkongsi seribu satu kisah untuk diambil iktibar.

Saat ini, wajah yang paling saya rindu ialah: mama! Nama yang sangat dekat di hati pula ialah kakak saya: Kak Lynn. Dua insan ini memang ada tempat tersendiri dalam jiwa saya. Selalu dekat kerana ada banyak sebab. Antara sebab utama ialah kerana kami jarang tidak berkomunikasi dalam tempoh 7 hari. Kalau saya tidak menghubungi dua insan ini, kedua-dua mereka yang akan mencari saya lewat deringan gajet perhubungan. Bukanlah bermakna adik-beradik yang lain saya letak di pinggir hati. Namun, itulah! Apabila kerap berhubung, ukhuwwah kita makin bercambah.

21 Ramadhan sudah kini - tenggelam saya dalam kerencaman rasa. Banyak persoalan tepu di cepu kepala ini. Terisikah Ramadhan kali ini? Bakal bertemukah Ramadhan tahun mendatang?  Jujur saya akui, mutakhir ini terlalu banyak kejadian yang hampir dengan kehidupan peribadi saya yang mendesak saya memetik seribu ibrah. Selalu benar saya tersentak oleh berita kepulangan yang tidak akan pulang-pulang lagi. Walaupun ngeri tetapi hakikat diri kita akan kembali ke negeri abadi. Hidup ini perjalanan pergi. Visa kembara ini sebenarnya amat terhad. Tatkala paspot luput tarikh, kita akan mengucapkan salam perpisahan!