... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Wednesday 2 April 2014

Naskhah Kasihku: Biru oh Biru!

Dulu saya pernah suka secara fanatik pada warna biru. Biru yang romantik, biru yang tenang. Biru yang mendamaikan. Biru laut, biru langit selalu menghadiahkan saya sebuah ketenangan. Sehinggakan bilik di Kolej Kediaman dulu juga penuh dengan biru. Cadar, langsir, alas meja belajar segala-galanya dibaluti warna biru. Koleksi baju pun kebanyakannya berwarna biru. Biru yang damai!

Namun, entah bagaimana kesukaan  itu berubah juga. Hijau! Segala-galanya menjadi serba hijau. Hijau yang menyejukkan mata. Dan jiwa.

Tiba pada satu ketika, saya perlu membuat pilihan antara hijau atau pun biru. Sang Arjuna memang pencinta warna biru. Dia memujuk-mujuk agar saya membuat pilihan biru. Lama berfikir, akhirnya saya memilih biru. Bukan kerana kembali mencintai biru yang lama, namun kerana meraikan si pencinta biru.

Ternyata biru masih memberikan aku hadiah yang sama. Damai dan tenang mata memandang!

PEKASA

Persatuan Karyawan Sastera atau PEKASA akhirnya saya pinang untuk kesinambungan kegiatan sastera saya. Jujur, kegiatan sastera saya ini sangat bermusim sifatnya. Ada kala, ilham datang mencurah-curah tetapi lupa dicatat. Ada kala ilham yang datang sudah dicatat tapi tidak ditukangi. Ada yang ditukangi tapi tidak ketemu noktah. Tergendala di tengah jalan. Dahsyat!

Harapan saya satu - bila selalu bertemu para penulis yang telah mempunyai karya besar selalulah motivasi itu tidak mati di hati. Dan semoga jari juga akan sering kali sudi menari-nari di papan kekunci. Ya, semoga! Moga-moga.

Naskhah Kasihku: Sasterawang?

"Aku menulis bukan kerana wang sangat", kata seorang rakan penulis. Dia sudah banyak menulis buku yang diterbitkan.

"Jadi?", saya bertanya.

"Untuk dakwah. Bila mati ada sesuatu yang ditinggalkan." Dia berjeda. Panjang.

Dalam hati, mercup rasa kagum. Dia berdakwah berwahanakan penulisan.

Ada ramai juga di luar sana yang berangan-angan nak jadi sasterawan kerana wang. Kalau begitu itu bukanlah sasterwan tulin.

"Itu sasterawang!", komen seorang rakan penulis yang lain.

Jika mahu menulis, menulislah bukan kerana nama. Bukan juga kerana harta!

Naskhah Kasihku: Jika Itu Takdirku

Mendengar cerita rakan-rakan Facebook  yang aktif mengikuti perkembangan drama 'Jika Itu Takdirku' , di luar sedar rasa ingin tahu tiba-tiba mencanak naik. Maka, pada episod akhir saya atur jadual agar dapat duduk santai di depan skrin seusai Maghrib.

Sebuah plot yang mempunyai peleraian konflik yang agak klise. Namun rasanya seperti ada sesuatu kelainan pada drama yang mengisahkan konflik rumahtangga ini. Apa ya? (Persoalan yang tidak memerlukan jawapan)

Puisi: Malam Tragedi di Lautan Hindi

Malam Tragedi di Lautan Hindi

Malam ini sepi
sesepi lahad
yang kudengar
hanya desir angin
yang berzikir
kurenung diri
di arca imani.

Bacaanku: Sebuah Memoir Menyusur Jalan Kenangan Salbiah Painah

Bacaanku kali ini menyentuh soal tokoh wanita di Sarawak - Salbiah Painah. Sebuah buku terbitan PEKASA yang menambat hati dan naluriku. Istimewanya memoir ini letaknya pada teknik penceritaan yang bersahaja dan latar belakang penceritaan zaman kolonial yang penuh informasi.

Meneliti kisah hidup Salbiah Painah seolah-olah kita berada pada zamannya. Nostalgia yang dinukilkan berbaur duka lara dan ceria. Ketika membaca kehilangan adiknya ke alam barzakh, ada air mata yang mengalir, Ketika dia berkisah tentang zaman cinta remajanya, tanpa dapat ditahan ada tawa yang pecah. Ha ha ha!

Bacalah buku memoir ini. Di sini ada inspirasi!