... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Tuesday 23 April 2013

CATATAN SEORANG HAKIM

Hari ini ada sedikit kesempatan untuk meluahkan apa yang berapungan di minda ini. Sementara menanti giliran menjadi hakim perdebatan Kenyalang Muda ini, kesempatan ini tidak saya persiakan. Sebenarnya memanglah banyak yang selalu hendak dikongsikan (walaupun ada kala apa yang mahu diceritakan itu hanyalah perkara biasa-biasa saja bagi sesetengah orang), namun alasan klise : hilangnya masa senggang. Hujah lama yang ada masanya sudah kedengaran tidak relevan. Bukankah semua orang sibuk terkejar ke sana ke mari, cuba menghambakan diri kepada seribu satu tugan yang tidak berkesudahan. Hendaknya, usahlah kerana kerja-kerja duniawi, jambatan ke akhirat terputus terus. Biarlah apa yang kita perbuat di dunia ini menjadi landasan perhubungan yang baik untuk kita mengutip saham akhirat. Cantik kan kalau begitu? Dua-dua kita dapat. Dunia ini kan jambatan yang menghalakan kita ke akhirat? Ada beberapa hal yang mendesak fakulti fikir saya hari ini. Minda daya sesak dengan seribu persoalan yang mengasak. Persoalan yang tercetus daripada beberapa isu perdebatan. Atau lebih tepat lagi - usul perdebatan. Senarai 20 usul yang dicadangkah oleh pihak penganjur ini, saya akui sangat mencabar daya ketajaman kritikan para pendebat. Namun, ada juga yang menjerut leher para hakim yang juga merupakan tenaga pendidik. Cuba halusi usul ini : SEKOLAH PENJARA, UNIVERSITI NERAKA dan PELAJAR SEKOLAH SUDAH MENJADI TIKUS PUTIH. Kedengarannya di telinga anak-anak pelajar sangat mengujakan. Namun, jauh di sudut hati seorang saya sebagai pendidik yang amat mencintai dunia kependidikan - ada persoalan yang memaksa saya membuat refleksi diri yang benar-benar analitikal. Seteruk itukah dasar dan sistem pendidikan kita? Dahsyat benarkah rasa teraniaya dan terdera dalam kalangan pelajar? Adakah saya turut terlibat sebagai pemegang watak mendera dan menganiayai anak-anak didik sendiri? Saya terduduk di sudut Dewan Kuliah di UiTM ini memikirkan jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Jujur saya akui : ada resah yang mendesah di tasik nurani ini. Adakah semangat juang anak-anak muda ini sudah mula sirna. Segalanya mahu yang mudah dikecapi. Selalunya mahu saja beralah dengan sedikit rintangan yang merentangi perjalanan jauh menuju kegemilangan? Entahlah! Hakim ini masih lagi membuat timbang tara!

Tuesday 2 April 2013

MENUAI RINDU





Minggu persekolahan baru sahaja bermula setelah 'sekolah' berehat selama 9 hari. 3 hari pertama, anak-anak sendiri telah memilih untuk belajar secara 'marathon'. Arham berjaya memenuhi piawaian membuat latihan sebanyak 50 muka surat bagi 5 subjek utama termasuk Pendidikan Islam. Hari Rabu hingga Sabtu, dia mahu memperuntukkan masa santai pada tahap optima. Syukurlah! Arham sudah pandai merancang!

Anak-anak kelihatannya masih mahu bercuti lagi. Tambahan pula, cuti kali ini kami menerima kunjungan ahli keluarga yang jauh. Kakak saya yang berjasa - Kak Lynn - dan 5 orang anak-anaknya. Arham & Izzah adalah orang yang paling berbahagia bertemu muka dengan sahabat merangkap sepupu yang akrab. Siapa lagi kalau bukan Syufi & Syazmie - Upie & Amie -! Dunia kanak-kanak sememangnya sentiasa indah. Ceria! Bermain bersama-sama di rumah sahaja pun sudah cukup memberikan mereka kebahagiaan.

Kunjungan singkat ini sebenarnya terlalu bermakna. Maklumlah, setahun boleh dibilang dengan jari berkali bertemu muka. Sebagai adik-beradik kami membesar di bawah bumbung yang sama. Pernah berkongsi lauk dan gulaian yang serupa. Bahkan berkongsi suka dan derita sepanjang usia kanak-kanak dan remaja, saya sendiri ada kala digugah rasa rindu! Ada ketikanya rindu itu meruah di segenap relung hati. Jadi, pertemuan sesingkat ini kami isi dengan menghabiskan masa bersama-sama. Biar pun sekadar keluar berbelanja atau duduk-duduk bercerita panjang, bertukar khabar di ruang tamu. Nikmat rasanya menuai rindu yang telah terlalu ranum! Agh! Saya selalu merindui zaman Kak Lynn saya mewariskan 'tangon mantad id idik' kepada saya ketika usia mencecah 5 atau 6 tahun, 33 tahun yang lampau. Ketika Kak Lynn saya 'menggula-gulakan' saya dengan janji membelikan aiskrim apabila saya 'humakut' ibu dan ayah berurusan di Kota Kinabalu - suatu ketika dulu! -

Semoga Allah sentiasa menautkan hati-hati kami juga generasi selepas kami atas pilinan mahabbah dan ukhuwwah. Semoga Allah mengurniakan kami anak-anak penyejuk mata - qurratu a'yun-

Ketika kami berpisah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, ada doa yang berkelintar di langit ingatan saya. Semoga masih ada lagi pertemuan antara kami semua. Saya belum puas menuai rindu!