... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Sunday 24 June 2012

Bacaanku: Mencari Titik Fokus Kehidupan

Semalam saya berjaya menoktahi bacaan buku motivasi diri karya Brian Tracy. 'Focal Point' itulah karya asal yang telah pun diterjemahkan dalam edisi Bahasa Melayu. Sesekala membaca buku-buku seperti ini memanglah dapat memperbaharui ikrar kecintaan kita kepada perjuangan hidup. Dalam dunia pembacaan, saya memang tidak mempunyai limitasi bidang. Bermakna dan bermanfaat daripada kanta minda saya bermakna bahan bacaan itulah yang akan saya tekini.

Buku ini memberikan kita panduan bagaimana untuk kita menggandakan produktiviti dan mencapai matlamat-matlamat kita dalam hidup. Bahasa yang mudah. Ayat yang tidak berbelit-belit. Lontaran idea yang praktikal sifatnya. Itulah yang dapat saya katakan tentang buku ini. Sejujurnya, keseluruhan idea penulis memang melorongkan kita kepada kehidupan yang lebih berkualiti. Dan saya amat sukakannya! Bukankah Islam juga menekankan kecemerlangan hidup yang selari dengan syariat. Ya, kecemerlangan. Kecemerlangan yang di dalamnya ada elemen ketinggian kualiti. Islam menekankan kesungguhan dalam apa juga yang kita lakukan.

Saya ketengahkan di sini beberapa keratan yang mengesani jiwa saya yang sentiasa dahagakan penambah-baikan diri dalam memburu kehidupan yang lebih bererti kepada agama, keluarga dan nusa.

1- Kualiti kehidupan akan kita capai dengan lebih pantas daripada apa yang kita jangkakan jika kita ada hasrat mahu berubah, tekad mengambil tindakan dan disiplin yang kuuat untuk melaksanakan tabiat-tabiat baru yang dipilih serta azam meneruskan usaha. Tanpa jemu!

2- Kita dapat menggandakan waktu rehat tanpa mengorbankan produktiviti. Kuantiti masa tidak  mencerminkan kualiti kerja yang sebenar!

3- Cipta kemajuan. Bukan cipta alasan.

4- Hidup adalah penelitian terhadap tumpuan. Perlu bijak menentukan prioriti.

5-Semuanya sukar dahulu sebelum menjadi mudah. <Goethe, ahli falsafah Jerman> Janji Allah di dalam al-Quran: setiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan. Apa yang penting, usaha mesti digandakan! Man jadda wajada.

6. Orang yang berjaya bertindak seperti layar radar. Sentiasalah pantau lingkunagn kehidupan, gali dan cari idea dan wawasan orang yang telah berjaya sebelumnya. Ambil iktibar daripada kegagalan orang lain.

^^ ^^^^ wallahu a'lam. DIA juga yang lebih mengetahui ^^^^^

Saturday 23 June 2012

Cerpen: Belantara Inilah Takdirku

BELANTARA INILAH TAKDIRKU
Balo Bilong sedikit berdebar-debar setiap kali bot pancung yang meluncur laju itu sedikit tersasar. Entah mengapa ada getar yang mampir, sedangkan dia sudah sebati dengan situasi seperti itu sejak dia masih berhingus lagi. Ya, hutan belantara Long Lalong itu terlalu hampir di hati dan nubarinya, biar  pun dia sudah merentas sempadan dataran Empayar Uthmaniah yang terkenal itu. Atas nama kemanusiaan. Atas dasar persaudaraan. Atas asas keamanan. Keamanan sejagat!
Kredit buat anak debat saya: Hayati @ Yatie Fotograf


            Dia baru sahaja selamat dihantar pulang ke Tanah Malaysia setelah 44 hari dalam tahanan di tanah asing. Hidup dalam kamar gelap berukuran 48 kaki persegi itu memang amat mendera indera dan minda. Puluhan tahun Balo Bilong hidup lepas bebas tanpa sekatan meneroka tiap inci bumi belantara rimba dara Long Lalong, justeru dikurung dalam bilik sempit yang gelap, hapak dan berhabuk adalah mimpi nyeri yang amat ngeri baginya. Sungguh ngeri!
            Balo Bilong kembali lagi ke sini kerana misi yang sama. Misi keamanan. Misi kemanusiaan. Keamanan dan kemanusiaan untuk nusa bangsanya. Bangsa yang terpinggir dari arus kemodenan. Bangsa yang terpenjara dalam kehidupan primitif! Namun Balo Bilong dan seluruh jagat belantara itu tidak pernah kesal. Tiada sekelumit sesal pun di hati mereka. ‘Belantara ini takdir dan duniaku’, Balo Bilong membisikan kalimah-kalimah kecintaan itu satu-persatu. Barangkali untuk memberi ruang kepada nubarinya untuk membaurkan kata-kata itu benar-benar meresapi seluruh relung jiwanya.
            Semasa berada di kembara yang panjang, menuruni lembah kehidupan, melewati denai-denai kebahagiaan dan onak duri sepanjang perjalanannya Long Lalong tidak pernah jauh dari hati Balo Bilong. Kehijauannya yang mempesona. Aroma rimbanya yang bugar. Segalanya memaku ingatan dan kerinduan Balo Bilong pada tanah tumpah kelahirannya. Di bawah pokok-pokok balak yang terpasak kukuh itulah tempat dia bermain kahwin-kahwin dengan si manis Porla dan rakan sepermainan yang lain. Di bawah teduhan dahan balak yang melebar bagaikan kanopi itulah mereka dirikan pelamin batu. Mereka bersanding-sandingan dalam upacara perkahwinan beramai-ramai. Batu besar mereka hiasi dengan ranting, dahan, daun dan buah-buahan liar di belantara itu. Agh! Kenangan-kenangan silam itu memang indah untuk dikenang!
            Buaya-buaya yang berkeliaran di permukaaan Sungai Sidat bagaikan memanggil-manggilnya mesra. Manja. Arus deras Sungai Sigat melagukan irama yang keras. Keras bak mentaliti sebahagian besar masyarakatnya.
            “Sudah lama tidak kelihatan, Balo?” soalan  Balan Brunus yang duduk bertemu lutut dengannya mencantas lamunan Balo.
            “Oh! Iya, Balan. Aku mencuba nasib di luar sana.” Balo sekadar berbasa-basi.
            “Tak usah susah-susah mengubah nasib, Balo. Kehidupan kita di belantara ini sudah cukup serba-serbinya. Aman-tenteram kita. Di luar sana tu, macam-macam masalah.”
Balan Brunus memang begitu. Sejak dahulu mentalitinya kental dengan semangat cinta pada belantara itu! Dia suka bercakap. Dia suka berkongsi pandangan tentang kehidupan. Dia suka mempengaruhi penghuni belantara itu agar terus tegar berada di bumi Long Lalong.
            Jeda.
Beberapa orang pelancong asing khusyuk menghayati situasi alamiah yang mereka lalui. Seorang lelaki tinggi-lampai yang sentiasa tersenyum sejak tadi bagaikan terlalu ghairah dengan dunia fotografinya. Berbekalkan kamera Canon megapixel 13.2 sudah tentulah lukisan alam yang dirakamkan oleh lensanya benar-benar indah.
Hanya deru bot sahaja kedengaran menderum. Sesekala kedengaran seperti singa tua mengaum bunyinya. Uzur. ‘Seuzur kehidupan kaumku!’ desis hati kecil Balo.
            Sesungguhnya Balo tidak berkira-kira untuk memberi respons kepada persoalan yang dilontarkan oleh Balan Brunus. Dia lelaki berpangkat datuk yang sudah mewarisi belantara itu sejak sekian zaman. Dia ada pendirian yang teguh berdasarkan lensanya sendiri. Tentang alam. Tentang maruah. Tentang kehidupan.
            Apa yang ligat dia fikirkan pada saatika itu ialah cercaan negara-negara Eropah terhadap kerajaan Malaysia yang kononnya menzalimi kaumnya. Bukan itu saja, kumpulan pencinta alam sekitar turut mengecam Malaysia atas sebab yang sama!
            Benarkah? Atau semuanya ini hanya tipu-helah masyarakat antarabangsa? Ada jarum-jarum wasangka yang mencucuk-cucuk tangkai hati. Sangsi. Sedikit sangsi.
            Balo Bilong tidak mempunyai sijil tinggi dalam bidang akademik kecuali sijil UPSR. Dia tidak pun menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Namun dia mengarifi kehidupan ini setelah suatu perjalanan panjang. Cukup panjang. Cukup mendewasakan.
            Dalam usia mentah 14 tahun, dia telah berhijrah ke bandaraya Kuching. Ratap tangis ibunya tidak dipedulikannya tika azam sudah tertancap dalam untuk memilih laluan hidup sebagai pengembara. Lazimnya, masyarakatnya lebih suka memilih untuk terus menetap di tanah kelahiran mereka. Boleh dibilang dengan jari berapa ramai belia yang keluar dari kepompong kehidupan di belantara itu. Bagi mereka, khususnya generasi tua, belantara itulah dunia mereka. Hidup dan mati mereka di belantara itulah.
            Seusai bot pancung itu benar-benar berlabuh di jeti, penumpang-penumpangnya bergegas keluar. Barangkali masing-masing ada keperluan yang harus dilangsaikan dengan segera. Bilo Balong tidak ketinggalan. Dia mengatur gerak langkah lekas-lekas. Dia memang sudah biasa bergerak pantas. Serba-serbi perkara dia memang tangkas.
            Segaris senyum sentiasa terpokah di kelopak bibirnya yang merah. Merah dek kerana suci daripada sentuhan asap tembakau.. Sejak kecil dia memang tidak berminat menghisap tembakau yang menjadi kebiasaan rakan-rakan sebayanya. Bukan kerana dia tahu asap tembakau itu memudaratkan tetapi lebih kepada disebabkan tenggoroknya tidak dapat menerima kehadiran kepulan asap itu.
            Nasib Balo memang agak baik hari itu.
“Wah! Balo aah .. mau balik rumahkah?” sapaan itu melebarkan senyuman Balo.
“Oh! Ah Soon. Ya, ya. Mau baliklah ni ..” Bilo segera menjawab seraya mengukir senyum manis.
“Naik! Naik!”. Keikhlasan terpancar di wajahnya. Begitu jelas.
Sesungguhnya pelawaan itu bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal empuk. Tanpa berlengah Balo melompat masuk ke dalam kereta pacuan empat roda berwarna hitam milik Sumaling Sendirian Berhad.
 Perjalanan sejauh 300 kilometer bukanlah suatu yang dekat. Tambahan pula jalan menuju ke penempatannya  itu berlubang-liku, berdebu dan tidak rata. Penumpang terumbang-ambing duduknya. Sekejap terlambung ke kiri, ada kala terlambung ke kanan. Pendek kata, tidak senang duduk sepanjang perjalanan dek kenderaan yang acapkali bergoncang. Kendatipun demikian, dia tidak jemu sepanjang perjalanan itu. Tidak berputik pun kebimbangan tatkala terpandang jurang dalam di bahu panjang. Segala yang dilalui amat indah! Amat alamiah! Tanpa setitik pun noda pencemaran dan pencabulan alam.
Setibanya di destinasi, Balo bergegas bertemu dengan Ah Soon. Not RM50 disuguhkannya dengan ikhlas namun dibalas dengan gelengan berkali-kali oleh pemandu syarikat balak itu. Balo berkeras namun Ah Soon lebih keras lagi menolak pelawaan itu.
“Terima kasih Soon. Banyak-banyak terima kasih”, itu sajalah yang dapat diucapkannya bagi menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga.
“Sama-sama. Perkara kecil saja ini”, balas Ah Soon. Mereka kemudiannya berbalas lambaian sebelum berpisah menuju ke arah masing-masing.
Dari jauh, kelihatan kelibat lelaki seusianya duduk bersesak-sesak di beranda rumah. Mereka sememangnya gemar duduk begitu sambil berbual-bual kosong di ‘stesen’ mereka itu. Beranda rumah mereka berlantaikan kayu bulat dan berdinding papan. Atapnya pula diperbuat daripada zink. Kelihatannya zink itu sudah diulit karat di sana sini.
Kaum wanita di petempatannya pula, sejak usia menginjak 15 tahun sudah mengendong anak kecil. Anak kecil yang berkudis di kepala sambil berjalan terbongkok-bongkok tanpa baju yang sempurna. Ada yang berbaju, seluar tiada. Ada yang dipakaikan seluar, baju pula tiada.
“Aduhai kaumku ini. Benar-benar jauh tertinggal di belakang”  lirih hatinya berbisik menyesali nasib kaum sendiri.
Namun dia tidak menyalahkan sesiapa. Sungguh! Dia tidak menyalahkan sesiapa pun juga. Bukankah perubahan itu harus dicetuskan oleh diri manusia itu sendiri. Tanpa keinginan sendiri, perubahan itu tidak akan menjadi realiti.

Sungguhpun daif dan masih agak primitif namun tidaklah sehingga hanya mengenakan cawat dan tinggal di atas pokok. Kenyataan terlalu jauh dengan gambaran Bruno Manser dalam karyanya Stimmen Aus Dem Regenwald. Warga Switzerland yang tanpa segan, tanpa silu menggelarkan dirinya sebagai “The King of Penan” itu pernah mendakwa kaum Balo Bilong ibarat pari-pari yang hidup di alam kayangan. Hakikatnya, kaum Balo tidaklah seteruk yang didakwa oleh Bruno yang cabul mulut dan bermotif jahat itu.
Angkara Bruno reputasi Malaysia di mata dunia tercalar. Bruno yang pernah duduk secara haram dengan kaum minoriti Penan nun di belantara Long Benalih, Miri sejak 1984 itu memang membuat huru-hara. Gara-gara dakwaannya yang tidak berasas itu Kesatuan Eropah telah memulaukan kayu tropika Malaysia, terutamanya kayu yang datangnya dari Bumi Kenyalang.
Sungguh menjengkelkan! Sungguh memualkan!
Kata Bruno, pihak berkuasa kerajaan ini menembak orang Penan yang membina benteng manusia di Long Benalih untuk menghalang lori balak melalui kawasan penempatan mereka seputar tahun 1986 dan 1987. Dakwaan ini pula digembar-gemburkan oleh media Barat. Akibat termakan hasutan manusia bernama Bruno itu, sekumpulan pencinta alam sekitar di Switzerland meletuskan demonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Malaysia di Zurich pada tahun 1989.
Kacau! Keadaan berbilau-bilau. Malaysia dilihat oleh dunia dengan lensa yang amat buruk.
Begitulah padahnya. Sebagai penulis, Bruno sepatutnya harus bertindak jujur. Mengupas-ulas kenyataan yang benar, bukannya melaporkan kepalsuan. Benarlah, mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Buktinya, tulisan Bruno yang sarat berbaur motif khianat itu mendorong pewaris takhkta Diraja Britain untuk mengecam hebat kerajaan kita yang kononnya menzalimi kaum Penan. Semasa menyampaikan sebuah ceramah di Royal Botanic Garden, Kew, London pada 6 Februari 1990.
Itulah yang dibaca oleh Balo Bilong dalam sebuah artikel bertajuk ‘Mitos Penan Hidup Terpinggir’, tulisan wartawan sebuah majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun Balo lupa siapa penulisnya, namun isi ceritanya tidak pernah dia lupa. Apatah lagi tulisan itu menyinggung nasib kaumnya sendiri.
Seramai lebih kurang 1100 orang mendiami petempatan itu. Sebahagian besarnya menganut Kristian dan segelintir kecil generasi tuanya setia dengan ajaran animisme. Masih ada yang percayakan kepada semangat padi bukit. Tidak kurang yang percayakan sesetengah binatang berbisa menghadirkan alamat-alamat buruk. Jika kala jengking bolos ke rumah, umpamanya membawa petanda ada orang yang berniat khianat kepada tuan rumah.
Dari segi kemudahan pula, bekalan elektrik dan air bersih 24 jam belum lagi mampir di kawasan penempatan yang terpencil itu.  Lokasi perkampungan mereka yang terlalu jauh merupakan antara faktor utama projek pembangunan lambat disalurkan, sungguhpun bilangan mereka sekitar 16 ribu di seluruh bumi Sarawak. Jika dibandingkan dengan orang Asli di Semenanjung Malaysia rutin mereka tidak terlalu jauh berbeza.
Kedaifan kaumnya itulah yang memanggilnya pulang. Ya! Itulah hakikat sebenar kepulangannya kali ini.Setiba di depan rumah papan keluarganya, dia memanjat anak tangga. Belum sempat dia mengucap selamat, suasana menjadi riuh-rendah tiba-tiba. Ibu tuanya menerpanya bagaikan puluhan tahun tidak berjumpa.
“Anakku, Balo. Balo .. akhirnya kau pulang, anakku.” Sungguhpun belantara itu mewariskan kemiskinan dan penderitaan sejak ratusan tahun dahulu namun sesungguhnya mereka tidak pernah miskin dengan kasih sayang. Kaum itu juga tidak pernah menderita kerana kemarau persaudaraan. Bahkan semangat kekitaan dan setiakawan mereka amat akrab. Tidak ada istilah bagaikan enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Balo Bilong membalas dakapan itu. Sepanjang di rantauan, dia juga tidak pernah sesaat pun tidak merindui ibu yang melahirkannya itu.Dia kemudiannya menyalami semua yang ada di situ. Anak-anak buahnya seramai tujuh orang melompat-lompat girang mengerumuninya. Mereka bertukar-tukar cerita dan berita. Banyak sebenarnya yang ingin Balo Bilong tanyakan namun dia sengaja menyimpannya dahulu.Daripada pertemuan itu, dia dapat tahu ada seorang rakyat asing duduk di petempatan mereka itu.
“Dia baik kepada kita semua di sini”, itulah persepsi yang dikongsikan oleh kakak sulongnya yang sudah beranak 18 orang itu. Anak sulong kakaknya itu sudah pun hampir sama tinggi dengan kakaknya.
“Berapa lama sudah orang itu diam di sini?”, Balo Bilong terus mengorek maklumat. Sememangnya dia ada terbaca tentang kehadiran ‘orang asing’ itu di dada media.
“Lama juga, lebih kurang 3 atau 4 bulan?”, begitu kata abangnya, Bili pula.
“Lama tu”, getus Balo. Ada kerut terbanir di dahinya.
“Apa yang sudah dia perbuat?”, Balo Bilong bagaikan sudah tidak mahu menanti esok untuk mengetahui lebih lanjut aktiviti ‘orang asing’ itu.
“Stib itu datang untuk menolong kita di sini. Ada masa dia bagi kita semua mee maggi sekotak setiap rumah. Kadang-kadang gula, garam, pusuk diagih-agihkan kepada setiap keluarga”, terang Bili dengan penuh teruja. Stib ‘orang asing’ itu ibarat dewa dari kayangan yang datang menghamparkan sejuta pemberian!

Stib atau sebenarnya Steve (kaumnya memang sukar menyebut fonem dengan betul!). Mereka menyebutnya dengan lidah orang ulu yang tidak terdedah sepenuhnya kepada pemelajaran bahasa yang benar-benar betul.  Bagaimanakan mengajar mereka dengan wajar, jika kehadiran ke sekolah pun hanya mengikut musim. Musim hujan umpamanya, kehadiran ke sekolah amatlah mendukacitakan walaupun jarak rumah dan sekolah hanya sepelaung sahaja. Kehadiran menjadi semakin susut pada musim buah-buahan hutan meluruhkan hasil masing-masing.
Agh! Sampai bilakah anak-anak nusaku ini akan sedar?”, keluh Balo Bilong. Dan dia tidak menemui sebarang jawapan. Berdasarkan cerita dari abang dan kakaknya itu, Balo dapat merumuskan bahawa Steve telah mengatur strategi yang rapi untuk sesuatu misi. Masalahnya, Balo belum dapat mengesani misi ‘orang asing’ bernama Steve itu. Namun, kata hatinya membisikkan sesuatu yang kurang menyenangkan.
Dia berkira-kira untuk berbaring merehatkan tulang belakangnya ketika peristiwa Bruno Manser menyebarkan cerita palsu tentang kaumnya di belantara itu terpampang di skrin mindanya! Kata penjenayah sejarah yang cuba menjarah pemikiran masyarakat marcapada ini kaum Balo dizalimi oleh kerajaan, disisihkan daripada arus pembangunan, dijadikan buruh paksa dalam projek-projek pembalakan. Dan agh! Macam-macam lagi. Segalanya berkemendang di layar fikir!  Tanpa terkawal, berjurus persoalan menujah ruang fikiran sebelum akhirnya dia terlena panjang. Sesekali mimpi ngeri menerobosi alam tidak sedarnya itu.
Malam itu gelap. Kehitaman ada di mana-mana. Bulan sehiris di dada langit sesekali menjenguk di balik gemawan yang kelabu pekat bagaikan lumpuh untuk menumpahkan sinar. Hilir perkampungan itu didakap sepi. Balo Bilong terjaga tiba-tiba. Dia mencongak-congak agendanya untuk hari esok. Dalam diam dia menanam azam dan membulatkan tekad. Nekad. Mukatamad! Dia akan bersemuka dengan lelaki bangsa asing. Bangsa bangsat yang cuba menjerat bangsanya.
Aku anak lelaki. Aku tidak akan membiarkan harga diri bangsaku dipijak-pijak. Aku mahu maruah kaumku tidak kamu pertaruhkan demi sebuah motif jahat kepada kerajaan yang menanungi kami! Demi belantara ini .. aku bersumpah akan terus berjuang. Aku bersumpah! Sumpah! Sumpah! Suara hati Balo Bilong bergenta lantang di relung jiwanya. Dia seolah-olah memperbaharui ikrar perjuangannya. Semangat wira membara, api juang terus tinggi menjulang. Jamung perjuangan ini harus terus dijunjung di jemala hati.
Subuhnya Balo sudah membuat keputusan. Dia mahu membuat perhitungan. Jauh di dasar hati, dia amat sedar sebagai bangsa pribumi, kaumnya sejak dahulu berdepan dengan tiga masalah dasar. Pertamanya; kehilangan tanah warisan leluhur. Kedua; status sosioekonomi yang sentiasa terkepung dalam kepompong kemiskinan yang amat. Dan ketiga; belantara yang menjadi sumber rezeki dan inspirasi musnah dibaham pembangunan. Itulah yang dialami oleh kaum pribumi di Amerika Latin dan tengah. Itulah yang dirasai oleh pribumi Costa  Rica. Namun perbezaan tetap wujud!
Kami tidak dilayani seperti binatang sebagaimana yang berlaku ke atas pribumi Amerika Latin. Dan kami tidak dibunuh kerana cuba menghalang-hadang arus pemodenan seperti yang dideritai oleh kaum Yanomami di Brazil.” Ada nada yang tegas pada hujung jeda Balo kali ini.
Seusai bersarapan sekadarnya, Balo tidak mahu membuang masa lagi. Dia terus mengatur langkah ke destinasi yang telah dikenalpasti sejak dia tiba semalam.Dalam perjalanan dia berpapasan dengan Bilun Balalan, Ketua Kampung yang cukup dihormati kerana datang dari keturunan yang bersifat perwira dan tangkas berburu di hutan. Asal ke hutan, Bilun tidak pernah pulang tanpa hasil yang lumayan. Ada-ada saja yang dia bawa pulang.
“Pak Ketua, apa khabar?” Balo bersalaman mesra dengan pemimpin penempatannya itu.
“Oh! Bagus. Bagus. Bagus juga”, balas Bilun Balalan. Terpancar ketokohan sebagai ketua dari nada suaranya. Tegas. Garau!
“Kalaulah dia tahu apa yang mahu aku lakukan, apakah tindak-balasnya?” soalan itu bersipongang dalam hati Balo. “Huh! Aku pedulia apa?”, suara hatinya berkata lagi.
Ketika matahari mula naik dan menyerlahkan sinar garangnya, Balo sudah berdiri di depan sebuah rumah kayu bertiang tinggi, setinggi galah. Nyanyian kecil yang didengari Balo menghantar isyarat jelas bahawa ada seseorang di situ.
Pintu diketuk. Pintu dikuak.
Ada riak terkejut di wajah lelaki asing itu. Barangkali dia tertanya-tanya siapakah gerangan yang datang. Mengapa? Matanya lembut merenung ramah ke hitam anak mata Balo. Dia memaksa dirinya untuk tersenyum.
Lukisan di wajah Balo secara jelas adalah sebaliknya. Terpalit warna-warna keruh. Sesungguhnya Balo tidak pandai berselindung. Dia gagal berpura-pura mesra kerana di hatinya mendidih rasa amarah. Pijar! Pijar menjalar di seluruh urat nadinya. Jika benteng kesabarannya runtuh saat itu, tika itu jugalah dia menetak leher bangsa asing itu dengan kapak buatan tangannya sendiri. Mujurlah kesabaran masih menambak tembok kewarasan akalnya.
“Aku bagi kau satu amaran!”, suara Balo melengking bunyinya.
Diam. “Sekali kau ulang sejarah hitam, menjarah maruah kami dan kerajaan kami, kau kusumbat dalam jirat.” Jari telunjuk Balo ditujal-tujalnya di dahi lelaki asing itu. Anehnya, dia tidak sedikit pun berkutik. Tegak seperti patung. Barangkali dia terkejut. Yang jelas dia memang terpinga-pinga. Sejurus Balo bergegas pulang. Dia berusaha keras mempertahankan kesabarannya. ‘Berikan dia peluang terakhir. Dan pertama. Ini baru babak pertama’, bisik Balo.
Di dalam rumah ehsan penduduk penempatan itu, Steve tersandar di dinding. Dia datang bukan untuk mencari gaduh. Dia tidak datang sebagai penjarah. Jauh sekali sebagai penjajah. Dia cuma datang untuk misi kemanusiaan. Dia datang sebagai kawan. Dia bukan datang sebagai lawan! ‘Uh! Pemuda itu silap mentafsir’, putusnya kemudian.
Ketukan lembut di pintu mencantas lamunannya. Bertalu-talu. Dia tidak terus menarik daun pintu, sebaliknya mengintai di celah-celah dinding kayu yang tidak rapat susunannya.
Dia menarik nafas lega seraya melihat kelibat Porla Judan. Gadis itu sudah acap kali datang membawakan makanan untuknya. Sup tulang rusa, jagung salai, ikan yang dijeruk dengan nasi dan buah bambangan itulah sebahagian menu pilihan anak dara Ketua Kampung untuk menjadi santapannya.
“Nah! Emak kirimkan ini untuk tuan”, katanya agak silu.
“Terima kasih. Kamu sungguh baik. Saya terhutang budi”, balas Steve tulus.
Gadis itu kemudiannya duduk di depan pintu. Steve mengelus rambutnya seketika. Sejurus gadis itu menghilang.
 Di kejauhan ada hati yang nanar berbaur rasa iri. “Jahanam!”
Semalaman Balo tidak dapat memicingkan mata, bagaikan ada batang mancis yang menyendal kelopak matanya daripada terkatup. Peristiwa Porla dielus rambutnya oleh Steve menyakitkan mata dan hatinya. ‘Dasar bangsat!’, desisnya berkali-kali.
Siang tadi dia berjalan-jalan keliling penempatan kaumnya itu. Beberapa pembaharuan sudah dapat disaksikan dengan mata kepalanya. Sekolah rendah di situ sudah ditambah bilik darjahnya. Sebuah klinik kesihatan juga sudah terpasak di hujung utara kampungnya itu. Kendatipun kecil dan tanpa pegawai perubatan tetap tetapi setidak-tidaknya sudah ada tempat mengambil ubat bila ada keperluan. Khabarnya, kerajaan juga telah mengerah Jabatan Pendaftaran Negara untuk memastikan kaumnya mempunyai kad identiti seperti warganegara yang lain. Unit Khas Bergerak (UKB) dengarnya bekerja keras, akur kepada perintah itu.
Ya! Hakikatnya kerajaan sudah berusaha memajukan bangsanya, cuba memandaikan mereka malahan. Kerajaan membina sekolah, menghantar guru-guru yang berkualiti untuk mendidik anak watannya di daerah terpencil itu untuk mengubah nasib mereka. Namun, bangsanya itulah yang sukar menerima perubahan, tegar untuk berubah.
“Kami bukan anti-pembangunan. Cuma ada kala kami dikelirukan oleh orang luar”, begitulah kata Bilun Balalan petang tadi di serambi rumahnya. Balo sengaja duduk bersama-sama golongan tua itu, kalau-kalau ada maklumat berguna boleh digunakan untuk memerangi orang asing itu!
“Orang-orang gomen ada datang. Gomen rokemen kita kerja di kompeni balak”, sela pula Jobras Tudan.
“Lebih baguslah kita kekal di sini sampai kita mati”, putus ahli-ahli forum itu kemudiannya menyimpul sesi perbincangan tidak rasmi di rembang patang itu.
Suatu hakikat yang sukar dinafikan ialah kerajaan memang telah berusaha banyak. Namun, kesilapan terbeban di bahu kaumnya sendiri. Mereka tidak ghairah untuk berubah. Tidak seperti kaum Kenyah dan Kayan. Atau seperti kaum Lunbawang  dan Kelabit di ulu sana. Mereka itu semua menyahut seruan kerajaan. Berpusu-pusu datang meraih peluang pekerjaan di syarikat-syarikat balak yang rancak beroperasi.
Masyarakat asing pula sentiasa menuding jari kepada aktiviti pembalakan. Pembalakan punca pencemaran. Pembalakan punca masyarakat pribumi hilang tempat tinggal. Pembalakan mencabul khazanah alam. Dan seribu satu macam lagi! Masyarakat luar tidak pula meuar-uarkan sumbangan positif aktiviti pembalakan ini. Sungguh tidak adil!
Subuh. Ketika kokokan pertama si ayam jantan Balo Bilong sudah bingkas bangun. Dia mandi dan bersiap-siap untuk meneruskan agenda besarnya hari itu. Dia akan bersemuka dengan lelaki asing itu lagi! Kali ini untuk membuat perhitungan akhir.
“Steve bedebah! Turun!!”, Bergema suara halilintar Balo.
Sepi. Sepi sekali. Hanya kicau burung keluar pagi dan lagu cengkerik yang menggubal muzikal alam yang begitu indah.
“Kalau kau anak jantan, turun sekarang Steve celaka!”
Sah. Rumah itu telah dikosongkan. Ada rasa kecewa bernanah dalam dada Balo. Lebih membara amarahnya setelah dikhabarkan Porla, bekas ratu biduk kasihnya juga hilang tanpa jejak.
Di Lusong Ladu, perkampungan Penan yang bersebelahan dengan Long Lalong gempar. Seorang lelaki mengikat dirinya pada puncak kren yang memunggah balak dari kawasan itu ke pelabuhan antarabangsa. Apakah maknanya semua ini? Siapakah lelaki itu?
Warna rembang petang kemerah-merahan. Di balik daun, warna keemasan berjalur-jalur, menatang kehadiran senja yang kian mendatang. Tampang Steve kelihatan samar-samar menuju longlai ke rumah papan Balo Bilong. Gontai sekali! Tengahari tadi dia bersembang panjang dengan Lah Gagau semasa meninjau-ninjau kawasan pembalakan di Ba’ Kelarau. Dialah yang menceritakan segala-galanya kepadanya. Lahar marah Balo bakal meletus bila-bila masa sahaja. ‘Dia perlu hakikat sebenar’, tegas Steve. Kalau tidak, dia mungkin akan bersemadi di tanah asing ini. Balo tiada di rumah. Kata anak saudaranya, dia ke Sungai Punan. Sekejapan Steve sudah bertentang mata dengan Balo Bilong di sungai itu. Sejurus mendengar derap langkah, Balo tangkas tegak berdiri. Porla yang bersamanya sejak tadi telah menceritakan segala-galanya. Tentang Steve. Misi dan visinya. Agenda besarnya! Balo kini mengerti: betapa dungu kaumnya itu melebarkan kesesatan dalam diri.
Cerlang mata milik Balo bagaikan memancar sinar di hati Steve. Melimpahi cangkir kemesraan. Dia mula rasai itu. Dia rasai. Dia pasti. Benar-benar pasti. Sesungguhnya pendirian mereka tidak pernah kehilangan erti. Ketegasan bukanlah sesuatu yang mutlak untuk dipertahankan selama-lamanya. Apalagi ketegasan itu telah diempangi dengan pendirian masing-masing.
“Balo, aku ke sini untuk karyaku semata-mata”, tunak mata Steve merenung anak mata Balo.
“Ya, aku mengerti kini”, balas Balo.
“Aku akan pergi esok. Kerja-kerjaku sudah habis”, sambung Steve lagi.
“Jadi apa lagi mahumu?”, suara Balo kedengaran kembali tegas.
“Aku hanya mahu mewariskan ini”, katanya seraya megeluarkan senaskhah buku dari beg sandit belakangnya. “Aku mahu kau tahu, tidak semua orang asing memandang serong kepada kaummu yang memilih belantara ini sebagai dunia mereka”, ada nada sendu yang cuba disembunyikannya. “Sejarah dan masa silam, mendorong dan memberi inspirasi baru dan menjulang semangat daya juang, menyuluh masa depan yang masih panjang. Dan kau .. kau adalah sebahagian daripada masa depan itu!”. Jelas. Tegas. Perlahan-lahan dia pergi. Porla sekadar mengangguk-angguk kecil.
“Ya. Aku adalah sebahagian daripada masa depan itu. Aku yang akhirnya kembali ke sini, ke belantara yang mewariskan kemiskinan sejak ratusan tahun yang lampau .. Aku mahu jadi pejuang walaupun belum pasti sama ada menjadi pejuang yang hilang atau terbilang!”, bisiknya perlahan kepada dirinya.
Perlahan-lahan dia menancapkan pandangan pada kulit buku itu – “BELANTARA INI TAKDIRKU”. Sebuah novel yang merakamkan kehidupan sebenar masyarakat Penan yang tinggal di ceruk belantara pedalaman Sarawak. Segala usaha kerajaan yang telah dijalankan untuk membantu membangunkan kaumnya itu. Diadun dengan bahasa Melayu yang puitis dan jalan cerita yang berliku-liku dengan sisipan unsur suspens di sana-sini. Begitulah prawacana yang diungkapkan oleh salah seorang sasterawan tersohor yang membuat catatan pembukaan di helaian (i).
“Porla, ke mari”, panggil Balo.
“Kalaulah kamu pandai menulis seperti ini, alangkah bagusnya”, Balo sekadar mengongsikan keinginannya yang meluap-luap. Keinginan untuk menulis. Menulis sesuatu yang bermanfaat kepada anak bangsanya. Sesuatu yang dapat menangkis-tepis persepsi-persepsi buruk terhadap isu yang dikaitkan dengan kaumnya.
“Ya, kan?”, soalan bersambut pertanyaan.
Dalam diam, Balo bertekad untuk mula menulis sesuatu. Biarpun hasilnya kelak tidak seberapa, dia perlu memulakan langkah pertama. Sesungguhnya langkah terakhir bermula dengan langkah pertama.
“Kalau bukan kita, siapa lagi Balo?”, soalan Porla membuatkannya lebih teruja.
“Gelanggang juang terbentang di mana-mana ..”, sekadar dapat didengar oleh deria Porla. “Selamat berjuang, Balo Bilong!”, ucap Porla sebelum mereka berpisah di senja yang merah itu!








           
           

Naskhah Hati: Nota Dari Imam Muda

NOTA DARI IMAM MUDA

Sepetang-petang sepi rumah kecil kami. Itulah yang saya rasakan sebaik sahaja Izzah dihantar walidnya ke sekolah. Hanya ‘Imam Muda’ Arham dan saya sahaja tidak ke mana-mana. Imam Muda kelihatan agak keletihan. Barangkali sementara menunggu walidnya tiba untuk membawanya balik ke rumah dan Solat Jumaat dia bermain kejar-kejar lagi dengan kawan-kawannya (seperti selalunya ..). Siapa lagi kalau bukan  dengan Iqbal dan Aneeq.

Imam Muda Arham. Cita-cita: Angkasawan al-Hafeez


Memandangkan pagi tadi dia mendengar ceramah Israk & Mikraj, saya meminta dia bercerita semula fakta-fakta yang singgah di punat memorinya. Tidak banyak yang dikongsikannya. Pertama; Sidratul Muntaha. Kedua; pensyariatan solat 5 waktu. Ketiga; kepantasan Buraq, dan keempat: tentang rasa takjubnya dengan keberanian Saidina Abu Bakar as-Siddiq membenarkan Rasulullah s.a.w ketika hampir semua orang masih menganalisis bahkan mempertikaian kisah Israk dan Mikraj. Sambil bercerita, sesekali dia mengajukan soalan kepada saya. Jelas keterujaannya tidak dapat dia sembunyikan. Saya mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan betapa pentingnya memelihara ibadat solat yang hanya lima waktu itu. “Hmm .. bukan senang jugak ah, Nabi Muhammad nak dapat diskaun solat tu, Ummi. Macamanalah kalau kita sembahyang sampai 50 rakaat? Tak dapat main badmintonlah petang-petang. Saya sekadar senyum segaris. Ternyata ‘bermain’ adalah suatu rutin yang penting baginya.

Letih Imam Muda berkisah, saya menghadiahinya dengan secawan horlick suam dan beberapa hiris kek lapis. Sambil menikmati minum petang yang ringkas itu, saya bertanyakan anak kecil kami dengan satu soalan cepu emas. Kenangan pahitnya sepanjang menjadi seorang kanak-kanak. Dengan sedikit keruh wajahnya, dia menjawab: ‘bila Ummi tarik kebenaran main dengan neighbours.’ ‘Oh!’ keluh saya. Diiringi anggukan kecil. Taman kami ini memang meriah pada waktu petang. Seramai 8 orang rakan yang hampir sebaya dengan usianya akan berkumpul beramai-ramai di ruang luas di hadapan rumah kami. Macam-macam permainan mereka lakukan bersama. Sebut apa saja. Tradisional? Moden? Berencam. Adakala, apabila Arham menangguh-nangguhkan solatnya, ‘privilege’ ini memang saya akan lupuskan untuk suatu jangka masa tertentu.

Sejurus kemudian. Tanpa diminta, dia menambah. Beriya-iya dia mengongsikan kenangan manisnya pula. “Bila Ummi atau Abie (panggilan untuk walidnya) top up duit Am untuk beli mainan yang Am nak .. happy sangat-sangat!” Ada senyum yang lebar terpapar. Bukan saja di bibir. Bahkan di matanya juga! Lazimnya kami, suami isteri tidak akan membiarkan anak-anak mendapatkan barang permainan dengan mudah. Terutamanya ‘toys’ yang mahal. Kereta ‘remote control’ atau ‘gasing moden’ yang mencecah puluhan ringgit mereka akan menabung sendiri untuk mendapatkannya. Biarlah mereka tahu menilai reality bahawa mendapatkan wang untuk membeli sesuatu yang mahal tidaklah semudah menginginkannya!

Itulah sebabnya, kami juga tidak mahu sewenang-wenangnya membeli barangan yang ingin dimiliki walaupun ada kemampuan. Tambah-tambah lagi barangan yang mahal harganya. i-Pad umpamnya, saya beli hanya 3 bulan selepas saya menyatakan keinginan untuk memilikinya. Laptop baru juga, hanya saya beli setelah hampir 5 bulan kemudiannya. Yalah, kan. Bak kata Tun Dr. M, kepimpinan melalui teladan. Kalau tidak nanti, anak-anak boleh mempertikaikan: ‘kalau Ummi dengan Abie bolehlah pula.’ Bab rumah dan kereta begitu jugalah pendekatan kami. Syukurlah, cara seperti ini nampaknya membuatkan anak-anak lebih menghargai apa yang mereka miliki. Koleksi kereta mainan Ameer sehingga kini masih tersimpan kemas di atas almari pakaiannya. Inilah dasar Amalan Belanja Berhemat namanya!

          Lebih kurang setengah jam kemudiannya, Arham sudah terlena di sofa. Di atas meja kopi di sebelahnya, buku Wimpy Kid sudah tertutup kemas. ‘Hmm .. elok-elok berkisah tentang Israk & Mikraj, berkalih pula ke kisah Wimpy Kid yang tepu dengan cerita kenakalannya!’ Sempat saya menggugam sekejap. Saya biarkan ruang itu untuk dia berehat seketika sebelum keluar bermain bersama Firdaus, Ashraf, Adam, Kimi dan beberapa rakan tetangganya yang lain sebaik jarum pendek jam menginjak angka 5 nanti.

Sementara menantikan Asar masuk, sempat saya menghazami kenangan pahit dan manis si Imam Muda kami tadi. Lalu saya teringatkan petikan-petikan berikut yang saya pernah baca satu masa dahulu:

1.     Mulakan hidupku dengan nama timangan yang baik – aku bangga memiliki nama yang bermakna.
2.     Peluklah aku saban hari – harap-harap kecerdasan intelek dan emosiku akan menjadi lebih mantap adanya.
3.     Pandangilah bola mataku dengan pandangan rahmah dan mawaddah (belas & kasih) ---- agar dapat kuraih keyakinan yang meruah.
4.     Berikan aku peneguhan  dalam setiap kebaikanku.
5.     Aku belum lagi matang --- usah mengaharapkan segala yang muluk-muluk dariku. Seiring waktu yang berlalu, aku akan memperbaiki tingkahlakuku.
6.     Bila ada pertembungan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga ya!
7.     Kurangkan keluhan ---- sering kali keluhan itu membuat aku berfikir bahawa kewujudanku adalah beban.
8.     Dengarkanlah ceritaku --- seiring masa aku tidak akan bercerita cerita yang sama pada masa mendatang.
9.     Tenangkan aku tatkala aku memerlukannya.
10.Tunjukkan padaku cara menenangkan diri agar bisa aku menirunya.

Tiada siapa dapat menafikan, anak-anak adalah khazanah yang paling mahal bagi seorang ibu dan ayah. Ketika mereka kecil inilah, kita ada ruang dan peluang mendengar cerita hati mereka dengan jujur. Ketika mereka kecil inilah, kita boleh menunjukkan veto kita; menyuruh dan menegah itu dan ini. Ketika mereka kecil inilah, mereka menangis di ribaan kita. Apabila mereka remaja dan dewasa kelak, belum tentu mereka akan bercerita, meluahkan rasa hati dan menangis di ribaan kita lagi. Barangkali kita pula yang akan menangis kerana merindui cerita dan tangisan mereka semasa kecil. Justeru, sama-samalah kita hargai saat-saat indah ini, yang belum tentu akan berulang buat  kedua kalinya! Semoga ada manfaatnya ..

Thursday 21 June 2012

Kritikan Sastera: Stilistika

PUISI SEDESA HARAPAN: SATU TINJAUAN DARI ASPEK STILISTIK

Pengenalan

SEDESA HARAPAN merupakan karya Abang Median Abang Said yang dimuatkan dalam Antologi Karya Guru 2007/2008. Puisi ini terbina daripada 163 patah perkataan yang digarap dalam 35 baris kesemuanya. Penulis memilih puisi ini untuk dijadikan bahan tinjauan dari aspek stilistik atas keyakinan bahawa puisi ini berjaya mengetengahkan kepelbagaian gaya bahasa yang menjadikannya tampil dengan kekuatan tersendiri.

Tema dan Persoalan

            Puisi ini mengungkapkan pencarian diri seorang guru tentang hakikat kewujudannya sebagai seorang pendidik di kawasan pedalaman yang terpinggir jauh dari sentuhan kemajuan dan kemodenan. Puisi ini terhasil setelah jiwa penyair meronta-ronta untuk menulis sebuah puisi melankolik untuk meluah rasa hatinya sebagai seorang guru yang diletakkan harapan menggunung oleh masyarakat sekitar. Pada hemat penyair masyarakat di kawasan pedalaman mempunyai ekspektasi yang amat tinggi terhadap dedikasi dan sumbangan guru untuk menganjak martabat kehidupan masyarakat setempat.

            Secara mudahnya, puisi Sedesa Harapan merupakan rakaman pengalaman penyair dalam satu daripada episod perjalanan hidup sebagai seorang pendidik berlatar belakangkan suka duka penduduk di kawasan pedalaman. Sungguhpun isi dan persoalan yang diungkapkan dalam puisi ini merupakan persoalan biasa yang sering didengar namun berjaya diangkat sebagai karya yang menarik menerusi aspek teknik estetika atau keindahan bahasa yang baik. Kemampuan dan kebolehan berpuisi mencerminkan kesungguhan dan kegigihan penyair untuk tampil dengan gaya berpuisi yang tersendiri.
           
            Puisi ini turut menitipkan unsur keagamaan. Unsur ini disisipkan menerusi rangkap ketiga. Antara kata yang disandarkan untuk menitipkan unsur keagamaan ini termaduklah ‘azan maghrib’, ‘air wuduk’, ‘surau’, ‘sujud’ dan ‘sejadah’. Ungkapan kata-kata ini terhasil mengikut pertimbangan yang didasari oleh hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia dengan manusia.

Konsep Stilistika

            Menurut Sanai Dundang Jeman (1990) stilistika dijelaskan oleh Donald C. Freeman sebagai penggunaan bahasa yang menyimpang daripada normanya, penggunaan pengulangan dan meninjau usaha-usaha penulis untuk mendapatkan kepadatan isinya. Dalam hal ini, stilistika memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pengkarya untuk meneroka khazanah bahasa mengikut ketajaman kreativiti, imaginasi dan keupayaan bahasanya.   Mana Sikana (1998) merujuk kritikan dari segi stilistik sebagai berfokus kepada ungkapan dan penggunaan bahasa. Bersandarkan definisi-definisi yang diutarakan ini adalah jelas bahawa pembicaraan gaya atau aspek stilistika dalam puisi tidak dapat dipisahkan daripada membincangkan tentang alat pengucapannya, iaitu bahasa.

            Gaya dalam penulisan puisi boleh diertikan sebagai suatu teknik penyair mengeksploitasi bahasa untuk menonjolkan kesan-kesan estetika. Ringkasnya, bahasa merupakan elemen yang penting dalam penulisan puisi kerana peranannya yang begitu besar untuk memindahkan pengalaman jiwa penyair, iaitu perasaan dan fikiran. Rahman Shaari (2004) menegaskan bahawa gaya adalah jalinan penulisan yang berhubung dengan diksi, imejan, sintaksis dan pengaturan unsur bunyi. Penggunaan unsur perbandingan seperti metafora, personafikasi, simile dan oksimoron berupaya menimbulkan kesan kesenian terhadap puisi yang dihasilkan.

            Puisi Sedesa Harapan berjaya diangkat menerusi kekuatan gaya bahasa yang ditonjolkan. Kepelbagaian gaya bahasa tersebut berupaya mewakili kerencaman stilistika dalam genre penulisan puisi dalam kalangan penyair guru.

Bahasa

            Bahasa merupakan wahana penyair untuk memindahkan pengalaman jiwanya kepada khalayak. Sohaimi Abdul Aziz (2003; 48) meletakkan bahasa sebagai medium sastera yang mempunyai peranan istimewa dalam perkembangan sastera. Oleh hal demikian bahasa yang digunakan dalam penulisan harus mengutamakan kefahaman dan kejelasan makna. Menurut Muhammad Haji Salleh, Sahlan Mohd. Sahlan, Shafie Abu Bakar dan Ramli Isin (1985; 47) asas karya adalah sama sebagai penglahiran rasa yang berbingkaikan fikiran seorang seniman. Dalam hal ini bahasa menjadi medium komunikasi antara penulis dan khalayak dan berfungsi menjadi alat penyaluran pemikirannya kepada khalayak.Dalam konteks puisi, bahasa perlu berupaya memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan kemuliaan pembentukan serta penyusunannya. (Dharmawijaya, 1991:24).

             Penyair bijak memilih bahasa, sama ada yang konotatif atau denotatif lagi ekspresif sesuai dengan suasana, nada serta tema puisi yang diketengahkannya. Denotatif menurut Lim Swee Tin (2004) bermaksud kata rujukan kamus manakala kata konotatif lebih berupa kata kiasan, perlambangan, dan perbandingan. Dalam penulisan puisi, kiasan bermakna menerangkan sesuatu hal, perkara atau keadaan dengan satu gambaran lain yang persis supaya mudah difahami atau dirasai. Secara umumnya, puisi Sedesa Harapan lebih banyak memperlihatkan ciri konotasi. Maksudnya, kata atau rangkai kata yang digarap oleh penyair mempunyai makna lebih daripada satu, kaya, luas dan jauh. Contohnya perkataan ‘gubuk buruk ’, makna denotasinya ialah ‘pondok yang telah usang’. Dalam makna konotasinya pula boleh membawa erti kehidupan yang dibelenggu kemunduran dan kemiskinan . Penggunaan bahasa konotasi inilah menjadikan puisi ini dapat menghidupkan emosi dan imaginasi khalayak.

            Ciri bahasa puisi yang ekonomis kurang diberikan perhatian oleh penyair kecuali pada rangkap ketiga. Rangkap pertama dan kedua banyak dipadatkan dengan ungkapan-ungkapan yang panjang. Dalam penciptaan metafora juga penyair ada ketikanya memilih lebih dari satu kata konkrit seperti ‘laman anjung pondok jasa’.

Diksi

            Sedesa Harapan mengetengahkan diksi yang cukup berhati-hati. Pemilihan kata dalam puisi tersebut dapat menggambarkan kesesuaian penggunaannya dengan mood dan tema puisi. Diksi disaring dengan wajar agar dapat mendokong nilai rasa, emosi dan erti puisi secara keseluruhannya. Kata-kata yang digunakan oleh penulis puisi ini dijalin dengan adunan bahasa yang penuh dengan kreativiti dan bersifat amat imaginatif.

            Diksi puisi ini memperlihat ketajaman daya sensitiviti penyair terhadap pelbagai kemungkinan bahasa. Penyair berjaya mengeksploitasikan bahasa sebagai medium komunikasi  dengan wajar. Pemilihan kata dibuat penuh hemat dan berhati-hati bagi memastikan mesej yang hendak disampaikan jelas dan dalam masa yang sama nilai estetikanya terpelihara indah.

            Jelasnya bahasa yang digunakan oleh penyair muda ini mudah difahami dan padat dengan makna. Pada sesetengah tempat puisi ini didapati diksinya bersifat amat dekoratif. Contohnya; ‘aku mengira sepi air sungai kehausan mendesah’.



a) Asonansi

            Pengulangan bunyi vokal yang sama dalam baris-baris sajak dikenali sebagai asonansi. Asonansi boleh menghasilkan kesan kemerduan kepada baris sajak yang digarap. Sedesa Harapan banyak mengetengahkan unsur asonansi ini. Beberapa baris yang memperlihatkan unsur ini dikemukakan dalam petikan baris-baris berikut:

                        dengan bijaksana bibir nasihat
                        mengalunkan irama kedamaian
                        bersepi kabus dinihari mengulit bakti
                        penduduk desa dengan gubuk buruk
                        aku mengira sepi air sungai kehausan

            Secara jelasnya, penggunaan unsur asonansi dalam puisi ini adalah untuk melenturkan bunyinya supaya lembut sebutannya.

b) Aliterasi

            Pengulangan bunyi konsonan dalam baris-baris puisi dirujuk oleh Ab. Rahman Ab. Rashid, Harun Jaafar, Mohd. Rosli Saludin & Talib Samat (2000:3) sebagai aliterasi. Sedesa Harapan menggarap unsur aliterasi dengan begitu ketara sekali. Kecenderungan Median menggunakan unsur pengulangan ini adalah bertujuan menghasilkan irama yang menarik. Selain itu penggunaan aliterasi dalam puisi ini berjaya menjelmakan jenis idea yang digunakan. Sesuai dengan nada puisi yang melankolik penggunaan aliterasi secara meluas dalam puisi ini ternyata berjaya mencetuskan irama yang puitik:
           
                        mengalunkan irama kedamaian
                        membanting usaha di bendang permatang
                        siul burung harap antara celah angin dingin
                        sepi air sungai kehausan mendesah
                        kuceduk air wuduk kesedaran


Simbol (Perlambangan)

            Simbol atau perlambangan adalah kata-kata tertentu yang penggunaannya berupaya menyatakan sesuatu di luar erti kata-kata itu sendiri. Oleh hal demikian, simbol amat sinonim dengan sifat konotasi. Simbol diklasifikasikan oleh Dharmawijaya (1989:35) kepada dua jenis. Pertama, simbol yang konvensional iaitu pengertiannya sudah biasa dan lama dikenal oleh masyarakat. Kedua, simbol yang personal, iaitu dicipta berdasarkan perasaan atau pengalaman penyair sendiri. Ukuran nilai penggunaan simbol terletak pada sejauh mana nilai kesejagatan (universal) simbol tersebut. Simbol yang mudah difahami dianggap simbol yang universal. Simbol seumpama ini dikatakan lebih berupaya membawa kejelasan penyataan perasaan dan fikiran.

            Sedesa Harapan menampakkan usaha penyair menerapkan simbol-simbol yang mudah difahami dan dihayati oleh audien. Simbol-simbol seperti ‘bukit’, ‘gunung’, ‘hujan’, ‘debu’ dan ‘kemarau’sememangnya adalah hampir dengan audien namun sifatnya yang agak konvensional memerangkap puisi ini dengan unsur-unsur klise yang  meninggalkan kesan ketidaksegaran kepada unsur bunyi puisi tersebut.

            Penyair sewajarnya memilih simbol yang lebih bersifat kontemporari dan segar serta asli dan baru. Penggunaan unsur alam seperti kabus, bendang, kolam, sungai, bukit, gunung, debu, hujan, angin, mentari dan kali adalah simbol-simbol yang seringkali digarap dalam penulisan puisi. Sungguhpun demikian keupayaan penyair ‘meromantiskan unsur-unsur alam’ ini dengan cara dan gaya yang meyakinkan sedikit sebanyak dapat menampung kelesuan simbol yang bersifat klise itu.

            Citra alam yang dipancarkan oleh penyair menerusi puisi ini menggambarkan keupayaannya untuk mengeksploitasikan elemen alam dalam satu ikatan yang harmonis. Contohnya ‘bukit hasrat’ , ‘gunung matlamat’, ‘angin rasa’ dan ‘hujan kejayaan’.  Kata ‘bukit’, ‘gunung’, ‘angin’ dan ‘hujan’ merupakan elemen alam yang mempunyai ikatan yang amat akrab antara satu sama lain dan amat sesuai menggambarkan suasana desa di kawasan pedalaman.

            Ringkasnya, puisi ‘Sedesa Harapan’ ini adalah hasil penampilan bisikan dari cetusan jiwa yang halus dan ilham dari kekagumannya terhadap alam dan persekitaran yang diadun bersama idea tentang ketinggian persepsi masyarakat luar bandar terhadap profesion keguruan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa puisi ini mengangkat unsur-unsur alam sebagai pemilik nilai yang tersendiri dan juga membawa makna simbolik.

Gaya Bahasa
Sinkope

            Unsur sinkope atau singkatan kata-kata dapat dikesan dalam 9 baris puisi. Penyair menggunakan sinkope dengan amat ketara. Antaranya ialah kata ‘aku’ yang disingkatkan menjadi ‘ku’ dalam perkataan-perkataan berikut:
            kutiup              kunanti
            kupetik            kuceduk
            kuharungi

            Perkataan ‘ketika’ pula disingkatkan menjadi ‘tika’ pada setiap awal baris bagi ketiga-tiga rangkap. Selain itu singkatan ‘mentari’ juga digunakan untuk kata ‘matahari’. Unsur sinkope ini digunakan untuk penyair bertujuan menimbulkan keadaan bersahaja.
           
Haplologi

            Haplologi bermakna penyingkatan kata-kata penggandaan. Haplologi dalam puisi berfungsi menimbulkan kemerduan pada bunyi baris serta melahirkan keberkesanan maksud keseluruhan puisi. Menerusi puisi ini tidak banyak digunakan kata-kata ini. Hanya pada rangkap kedua sahaja terdapat kata yang dikesan sebagai haplologi iaitu ‘jemari usaha’. Keupayaan penyair mengekperimentasikan haplologi dalam puisi ini wajar ditingkatkan dengan menyelitkan beberapa kata lagi yang mendukung unsur haplologi. Hal ini perlu bagi mencetuskan lebih nilai estetika kepada pengucapan puisi ini. Walau bagaimanapun penggunaannya berjaya menepati maksud yang hendak disampaikan kerana jari-jari adalah merupakan penggerak asas kepada pelaksanaan sesuatu usaha.

Unsur Pleonasme

            Unsur pleonasme merujuk kepada kata-kata yang mempunyai maksud yang sama atau hampir sama tetapi digandakan. Dalam puisi ini seiring dengan kecenderungan penyair bermain dengan bahasa, dua kata yang berunsurkan pleonasme telah diselitkan oleh penyair. Kedua-dua kata itu ialah ‘sejuk mesra’ ,‘sunyi pilu’ dan ‘bendang permatang’.

Unsur pemajmukan

            Penyair tidak menyelitkan sebarang unsur pemajmukan dalam puisi ini. Hal ini kurang menyerlahkan  kemampuan penyair untuk meneroka pembentukan kata-kata baru yang bererti dan mempunyai fungsi yang tersendiri.