... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Wednesday 29 May 2013

PUISI HARI GURU: RITMA PERJUANGANMU MASIH KUINGAT, CIKGU

RITMA PERJUANGANMU TETAP KUINGAT, GURUKU! Basah masih di ingatanku, guruku ucapesanmu padaku yang kau tuliskan pada lembar dedaun hijau usiaku dulu lalu di hening Hari Guru ini, guruku kuhamparkan kembali padang ingatanku yang tidak pernah kontang meski daun-daun usiaku kini kian berubah warna “Sabar itu ujian yang menggebukan doaharap yang mendekatkan perjuangan tabah itu perisai yang membentengi kegagalan!” larik katamu yang terus memberiku kudrat untuk kukunyah payah dan kukulum segala derita Guruku tunjang akidah imaniah yang kau pasakkan di laman nubariku melengkapkan dominasi kemandirian nuansa bahasa keibuanmu terpahat utuh di batinuraniku kendatipun di depan gunung cita yang menantiku kian meninggi lurah cabaran yang menantiku kian berganda curamnya akan terus kugagah melangkah menjejaki negeri cemerlang yang terbilang dalam gemilang Guruku, Hari Guru yang hening ini kusembahkan ucap terima kasihku seluas hamparan laut setinggi perabung langit atas sudimu menaungi rohaniku di bawah teduhan tarbiahmu yang membuat aku selamat daripada jerat zulmat guruku, ritma perjuanganmu tetap kuingat!

Thursday 23 May 2013

SETITIS AIR MATA, SEHAYAT DOA (buatmu, cikgu!)


SETITIS AIR MATA, SEHAYAT DOA

(di hening Hari Guru 2013)

 

Menjelang Hari Guru kali ini, aku berusaha memberikan ‘ganjaran’ kepada diri ini. Setelah berhempas-pulas, memerah keringat tidak mengira siang benderang mahu pun malam gelita untuk mencemerlangkan nusa bangsa, aku memilih untuk bercakap-cakap dengan laut. Sepanjang usia hayatku yang hampir menginjak ‘4 series’, laut tidak pernah gagal meminjamkan aku sebuah rasa damai yang mengasyikkan. Damai yang mendamaikan! Kebetulan tahun ini, banyak kejayaan Allah rezekikan kepadaku. Terkini – hadiah Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak yang sepatutnya aku hadiri di Kapit (bukan tak sudi berkampung di Kapit, namun aku perlu bijak meletakkan keutamaan!). Aku namakan pencapaian ini ‘juara berganda’ kerana aku merangkul dua hadiah tempat pertama dan satu hadiah tempat kedua. Syukurku melimpah!

 

Semasa kecil, aku yang membesar di merata tempat jarang terpisah dengan laut. Kendati pun sejak lahir, aku sudah mula menghirup udara nyaman Kinabalu yang sejuk mencucuk-cucuk ke urat saraf namun laut tetap sinonim dengan emosiku. Antara laut dan gunung, bagi aku kedua-duanya adalah perlambangan tentang kehidupan. Di laut ada samudera yang dura. Ada kala tenang namun ketika gelombang datang, kita memerlukan kekuatan untuk bertarung. Di gunung pula ada curam yang tajam. Dalam perjalanan ke puncaknya, macam-macam cabaran kita lalui. Angin yang kencang, awan yang menghamburkan tangis duka! Bagiku, laut dan gunung itu adalah cabaran.

 

Aku memilih bersendirian di Pantai Santubong. Anak-anak leka bermain air di kolam mandi bersama walid mereka. Di pantai yang menjadi latar pengisahan Puteri Santubong inilah aku membuat refleksi diri. Terbayang di skrin akalku yang nakal betapa jelitanya Puteri Santubong dan Sejinjang yang sanggup bersengketa hanya kerana ego masing-masing. Kalaulah aku menjadi guru di zaman itu, akan kuajari jelitawan itu betapa mahalnya nilai sebuah ukuwwah imaniyyah. Nilai persaudaraan yang tidak ada galang gantinya. Untuk hidup harmoni, kasih sayang hakiki perlu bersemi di laman nurani ini.

 

Merenung ombak yang malu-malu menghempas pantai, aku bagaikan terganggu oleh desir kenangan yang tidak pernah menjauh. Kenangan-kenangan sebagai seorang pendidik yang meredah zaman penuh cabaran. Perubahan demi perubahan persekitaran menuntut pendidik untuk turut sama berubah seiring dengan peredaran zaman. Selain kemahiran pedagogi dan psikologi, guru kini perlu selalu peka dengan macam-macam dasar  dan polisi baru agar terus kekal relevan dalam profesion ini. Malas mahu menyenaraikan 1001 perubahan itu, aku memilih untuk pulang ke kampung kenangan!

 

Bidang keguruan ini adalah impian aku sedari kecil. Inspirasi daripada beberapa orang guruku di bangku sekolah rendah, aku kira itulah yang meminjamkan aku momentum untuk aku menterjemahkan impian ini menjadi kenyataan. Sekadar menyebutkan beberapa nama – Cikgu Samsir Kasibun, Cikgu Noridah Kadum, Cikgu Apin Egung @ Ariffin (Allahyarham), Ustaz Mohd. Som, Madam Lina Tanggulong dan Madam Catherine serta Cikgu Azmi Mohamad – inilah sebahagian daripada sumber inspirasiku untuk menjadi seorang pendidik. Betapa aku rasa bertuah dipertemukan dengan mereka yang cakna tentang kewujudan anak didik seperti aku. Betapa aku bersyukur dipertemukan dengan mereka yang mendekatiku dengan pendekatan seorang doktor, bukannya polis pencen!

 

Seawal usiaku 9 tahun, aku amat meminati Bahasa Inggeris. Salah satu sebab yang kuat – guru BI ku, Miss Nuridah amat aku senangi. Bila ada kelas BI, semangat untuk ke sekolah marak bersemarak. Aku bertemu lagi dengan guruku ini semasa di Darjah Lima. Dia mengajar Ilmu Alam pula kali ini. Segala fakta dan peta aku tekuni dengan seluruh jiwa dan ragaku. Aku berjanji untuk melakukan yang terbaik bagi subjek Cikgu Nuridah ini. Cintaku pada subjek BI ini  menjadi lebih kukuh apabila Cikgu Lina dan Cikgu Catherine mengajar aku di Tahun  4 & 6. Aku mula mengasah keyakinanku dalam bidang ‘public speaking’ apabila acap kali dipersilakan oleh guru-guruku ini untuk membuat persembahan di hadapan kelas.Seronok!

 

Di tahun yang sama, aku belajar Ilmu Hisab dengan Cikgu Samsir (kini menjadi ayah mertua kepada anak buahku, Adilah @ Dell) yang sangat mementingkan sifir. Aku pun apa lagi .. siang malam bergelumang dengan buku percuma hadiah Yayasan Sabah yang kulit belakangnya tercetak sifir 1 hingga 12. Ketika orang lain menggeletar kepala lutut apabila disoal tentang sifir, aku dengan segala keceriaan menjawab dengan senyuman! Setiap kali usaha gigihku dihargai oleh cikgu, semakin menebal azamku untuk menggandakan ikhtiar. Cikgu Samsir adalah orang yang bertanggungjawab mengorek bakatku dalam bidang orator. Aku ingat lagi aku disuruhnya berlatih pidato dengan berdiri di atas meja di dalam kelas. Aku sukar melupakan kenangan itu!

 

Aku menimba ilmu agama di bawah bimbingan Ustaz Mohd. Som. Di bawah tunjuk ajar beliau, aku berjinak-jinak dengan dunia tilawatul Quran. Merasa jugalah gelaran ‘naib johan’ qariah peringkat Negeri ketika di Tahun Enam. Hadiah RM30/= cukup besar maknanya pada zaman itu. Setahun duit itu bertapa di dalam sampul. Hahaha! Aku juga terjun ke bidang seni suara – apa lagi kalau bukan masuk pertandingan nasyid. Sejak di Darjah Empat aku bersama kawan sekelasku – Aniwati Wasnin – selesa menempatkan diri bersama kakak-kakak senior Darjah 6. Seronok! Apabila mengikuti rombongan marhaban, macam-macam juadah dinikmati. Lebih mengujakan lagi – dapat duit raya yang pastinya jauh lebih banyak daripada kebiasaan. Syukran, ustaz!

 

Di bangku sekolah rendahlah, potensi kepimpinanku digilap oleh guru-guruku ini. Aku sangat berterima kasih kerana dipilih oleh-Nya untuk bernaung di bawah payung ilmu dan kasih sayang mereka. Aku terharu kerana selalu diberi kepercayaan untuk menjadi pemimpin; baik sebagai Ketua Kelas, Ketua Murid, Ketua Pengawas Perpustakaan mahu pun Pengerusi PPIM. Aku belajar tentang tanggungjawab dan kualiti kerja. ‘Buat sehabis baik!’ – pesan Cikgu Samsir. ‘Jangan mudah berpuas hati dengan kejayaan yang awak capai.’ – nasihat Madam Catherine. ‘Ustaz doakan awak berjaya di dunia dan akhirat.’ – doaharap Ustaz Mohd. Som. ‘Anak siapalah yang selalu dapat full mark ni?’ – pujian berkias oleh arwah Cikgu Apin @ Ariffin. Semua ini, semua ini menyemarakkan semangatku untuk terus menjadikan kecemerlangan itu sinonim dengan sebuah nama – Dayang Azizah!- Sehinggalah aku meraih Anugerah Tokoh Murid 1986 di SKPR. Syukur, Alhamdulillah! Terima kasih, cikgu!

 

Pencapaian ‘A’ dalam kesemua 5 matapelajaran menjadi paspot untuk aku melanjutkan pelajaran di sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di bawah tajaan penuh Yayasan Sabah. Maka seawal usia 13 tahun, aku mendewasakan akal budi dan gerak laku sebagai seorang ‘kembara ilmu’. Banyak kenangan , banyak pelajaran, banyak pengajaran. Banyak juga pengalaman bergelar anak rantau! (Insyaallah kita kongsikan di lain masa) Aku menuruni lembah dan denai cabaran di sepanjang kelana 5 musim itu. Aku belajar tentang ukhuwwah dan persahabatan. Aku belajar tentang kemandirian. Aku belajar tentang kemuliaan orang yang berilmu dan beramal dengan ilmu. Aku belajar tentang lelahnya menjadi pemimpin. Dan aku juga belajar tentang kisah cinta monyet (yang akhirnya berkembang menjadi cinta gorilla – hahaha!-daripada kawan-kawan sebaya) Aku memetik ‘ibrah di sepanjang kehidupan itu.

Kata orang ‘kita tidak akan menemui lagi zaman seindah zaman sekolah’. Aku tidak ada apa-apa argumentasi tentang pendapat ini. Sememangnya, zaman bergelar pelajar sekolah adalah fasa yang paling manis dalam sejarah hayat aku (bukan kerana adanya sapaan ‘musim bunga’) tetapi kerana zaman remaja yang api semangat marak menyala untuk mencipta 1001 momen indah. Lazimlah, sesekala ditimpa musibah. Ada masa dirundung walang. Kalau hidup sentiasa diusung tawa, kurang juga seri pada kanvas kehidupan. Kombinasi rona dan rasa itulah yang sebenarnya memaknakan kehidupan remaja di bangku sekolah.

 

Petang yang damai di Santubong, aku menghayati tenang ombak yang sekejapan bertukar menjadi gelombang yang gelisah. Akulah ombak itu! Ada kala tenang, ada tika naik berang. Semuanya kerana mahukan anak-anak didikku dewasa dalam kedewasaan yang sebenar. Marah bertempat tanpa ada pilih kasih. Selalu mahu mereka sedar betapa aku mahu mereka menjadi generasi yang terdidik. ‘Jika cikgu datang untuk mengajar sehabis baik untuk anda semua, mengapa anda memilih untuk belajar ala kadar?’ ‘Kalaulah anda tidak berusaha gigih, malaikat turun dari langit untuk mengajar anda semua pun, tidak akan menghasilkan apa-apa?’ Inilah antara ungkapan provokasi yang aku lontarkan kepada anak didikku yang kulayan seperti anak biologi khususnya dalam agenda kecemerlangan.

 

Petang yang damai di Santubong, aku bermonolog  panjang. Tentang ikrar kecintaan. Tentang semangat perjuangan. Tentang agenda mencemerlangkan nusa bangsa. Profesionku, denganmu – aku mahu hidup seribu tahun lagi. Menabur bakti selagi sendi masih bernadi dan mentari sudi menabur budi. Aku tidak mahu pada suatu hari nanti, aku temui sebeban nostalgia pedih kerana ketemu mantan anak-anak didikku yang kecundang di medan juang. Aku tidak mahu mereka mematahkan ranting hasrat tulusku dan memilih untuk memiliki nestapa sepanjang usia. Bagiku itu kezaliman yang paling sempurna buat mereka! Juga buat aku. Aku yang pernah mereka panggil 'cikgu'!

 

Laut China Selatan ini menjadi saksi aku memetik rumpun kenangan yang luruh bagai gerimis menunda-nunda ingatanku pada anekdot dan nostalgia sepanjang bergelar anak didik dan pendidik! Dedikasiku buat guru-guruku, kalian adalah kandil gemerlap yang tak terpadamkan seribu api zaman. Setitis air mata yang gugur saat nyawa matahari disimpan seketika, sehayat munajat kupersembahkan kepada Dia Al-‘Alim. Ya Allah! Terimalah impian hari depanku yang kuhulurkan di haribaan-Mu. Ya Habib!  Suburkan rasa kecintaan ini kepada dunia kependidikan ini. Janganlah sesekala Engkau biarkan gugusan cinta ini meranggas. Sesungguhnya Engkau maha mengerti betapa besar makna dan harapan hamba-Mu ini. Ya Allah! Sudi apalah kiranya Engkau ampunilah guru-guruku yang telah menjadikan aku seperti aku hari ini. Lindungilah mereka di bawah lembahyung Rahim dan rahman-Nya. Selalu! Dan selamanya!

 

Khas untuk sahabat-sahabat pendidik, perjuangan ini medan kita. Melangkahlah dengan gagah! Meminjam sari bicara seorang sahabat; sebutir pasir jadikan intan, seketul batu jadikan berlian, sekelas murid jadikan INSAN! Istimewa untuk semua minda dan jiwa yang pernah kuisi dengan sedikit  inspirasi dan ilmu, rebutlah secebis ruang yang terluang oleh sedetik peluang. Sesungguhnya peluang itu tidak akan datang berulang-ulang. Buat cinta hatiku – Mr. M dan 3 arjuna jiwaku; ‘Irfan, Arham & ‘Izzah, bertemali syukur ini, berkali-kali nyali ini dihenyak pelbagai emosi. Semoga terus menjadi qurratu ‘ain @ penyejuk mataku. Terima kasih kerana terlalu selalu kalian mengerti bahawa aku cintakan profesion ini. Sesungguhnya bebongkah kerinduan kepada dunia kependidikan ini nanti akan kubawa sehingga ke deru nafas yang terakhir.

 

Aku merapikan air mata yang menitis. Setitis air mata hangat, sarat dengan sehayat doa! Cinta kasihku ini tak akan beralih arah, insya-Allah. Selamat Hari Guru!

 

 

 

Wednesday 22 May 2013

Catatan Pertengahan Tahun

Hmm .. merenung kembali 'tag' tulisan saya kali ini, seolah-olah membuat laporan suku tahunan sahaja bunyinya. Sedikit sesal,saya gagal mencapai KPI untuk menulis setiap minggu. Seperti biasa, alasan yang sudah basi: sibuk. Atau kali ini saya naikkan sikit darjah kesibukan itu kepada 'busy bee'. Haha! Sepanjang laman ini sepi daripada tinta saya, jujur saya akui : saya selalu rindu untuk menulis. Namun akhirnya, rindu itu cuma menepu di dalam kalbu. Berlalu begitu sahaja. Penulisan adalah darah yang mengalir dalam diri saya. Begitulah sebenarnya. Sehari tak menulis apa-apa, tak keruan jadinya. Ada kala, tatkala terjaga lewat dinihari saya bingkas mencatat apa juga yang datang di cepu kepala ini. Maka banyaklah 'lakaran minda' yang tak menjadi tatapan sesiapa. Alangkah! Minggu lepas, hari-hari saya dipenuhi dengan jadual berceramah dan mendengar ceramah. Memberi ceramah kepada rakan-rakan pengetua yang datang berkongsi pelaksanaan Sarana PIBG. Sesi ini berlangsung dengan kunjungan guru-guru daripada beberapa buah sekolah lain sekitar Kuching. Mereka datang atas arahan Pengetua masing-masing. Juga sesi perkongsian. Minggu depan, insya-Allah ada lagi rombongan lain akan datang membuat lawatan 'bench marking'. Selain mengongsikan, banyak juga saya mempelajari 'sesuatu' daripada mereka. Sesi mendengar ceramah sesi yang menyeronokkan. Ada kala, dalam pada selalu memenuhi undangan berceramah di banyak tempat, penceramah seperti saya juga memerlukan ceramah sebenarnya. Terlalu ghairah memberi, kadang-kadang lupa pula hendak mencari sesuatu untuk diterima. Ceramah : MOTIVASI DAKWAH menyuntik semangat baru. Insya-Allah, awal Jun ini saya akan memulakan Kelas Al-Quran Kanak-kanak dalam kalangan teman-teman sepermainan anak-anak kami; Izzah & Arham. Tak ramai, 12 orang sahaja. Cukuplah untuk permulaan. Ikhlas, tanpa mengenakan bayaran. Sudah tiba masanya untuk menggandakan saham akhirat. Ceramah kedua, semalam. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi atau HOTS. Sedikit hambar. Saya sebenarnya sudah lama menerapkan ini dalam kelas. Itulah sebabnya, anak--anak didik saya selalu merungut: 'cikgu, soalan cikgu tiada jawapan dalam buku teks!' Itulah, bila berguru dengan guru debat, banyak benda boleh diperdebatkan. Isu kecil pun boleh menjadi bahan bahas. Redah sahajalah! Anak-anak didik saya selalu kena 'mencipta' macam-macam inovasi dalam proses mereka belajar dengan saya; khususnya mata pelajaran Pengajian Am dulu. (Agh! Rindu mengajar PA lagi ..) Saya berusaha sehabis saya, menekuni isi penceramah pensyarah UiTM itu dengan segala kekuatan selama 2 jam 30 minit ++ . Dalam pada itu sempat jugalah siap beberapa plot cerpen. Haha! Bulan Mei ini jugalah para pendidik meraikan Hari Guru. Saya salah seorang daripada ratusan ribu pendidik di negara ini. Banyak SMS diterima, beberapa hadiah juga dihulur kepada saya. Bekas anak-anak didik saya turut datang berkunjung. Alhamdulillah atas semua ingatan itu. Dalam banyak-banyak SMS saya terima kali ini, saya memilih untuk mengabadikan SMS pilihan ini di laman ini .. Semoga dapat menyuntik semangat para pendidik: alang-alang menjadi guru, sebutir pasir dijadikan intan, seketul batu dijadikan berlian, sekelas murid dijadikan INSAN! Selamat Hari Guru!