Pagi ini bangun dengan dada berdebar-debar. Sedikit gementar! Saya beristighfar kecil. Memujuk rasa debar yang menggetarkan hati. "Hati berdebar-debar saja sejak semalam", saya cuba mengongsi debar dengan arjuna. Ketika itu, kami baru usai solat Subuh bersama anak-anak. "UPSR?" Dia menjawab, hampir tanpa nada. "A-ah!" Saya mengiakan. Anak-anak sudah pun sibuk berkemas untuk ke sekolah. "Hmm .. ingat apa tadi. Muka tu macam tunggu keputusan kena pergi berperang ke tidak je." Dia sempat 'mengenakan' saya. Saya menyambutnya dengan senyuman tawar.
Sepi. Itulah yang merajai suasana apabila anak-anak dan Mr. H keluar ke sekolah dan tempat kerja. Pagi ini cadangnya hendak menyiapkan kerja-kerja penyelenggaraan di laman ini. Tapi, entahlah. Saya bagai kehilangan fokus. Debar memanjang. Itu baru menunggu keputusan anak buah. Kalau anak sendiri, bagaimanakah? Haha! Hati yang tepu dengan nuansa keibuan. Barangkalilah!
Semalam saya menerima kiriman mesej seorang sahabat lama yang masih akrab sehingga sekarang. Apalagi kalau bukan bila keputusan UPSR keluar. Sebelumnya saya telah pun menghantar mesej di WhatsApp kepadanya sebenarnya. Rupanya dia tidak perasan. Maklumlah sibuk dengan kembara khidmat untuk negara. Saya tidak marah pun. Soal negara memang pada kebanyakan masa lebih mengatasi hal keluarga, termasuklah hal anak-anak.
Semalam antara mesej terawal yang masuk dalam peti inbox saya: kalau dpt tahu result Aisyah msg eh. Berdebar pulak. 9:40 pagi ketika itu. Saya tidak segera menjawab sebab sedang tekun menguliti kerja-kerja penulisan. Saya senyum. Hati siapalah tidak risaukan anak, kan? Saya pun mengalami itu dulu. Tiga tahun yang lalu. In-sha-Allah, tahun depan akan berperang dengan debar yang sama. Rasanya debaran itu nanti lebih menggetarkan! Anak sendiri! Pencapiannya pula tidak sekonsisten mana. Ada kala melonjak menjejak markah 100%, ada kala sangat biasa-biasa saja! Oh, anakku! Sebentar kemudian, bunyi 'drop' kedengaran lagi. Saya menjeling sekilas. Ada mesej di WhatsApp yang sampai. .."taking off to singapore". Saya mahu membalas: safe journey atau take care. Tapi saya memilih: fi hifzillah (dalam peliharaan Allah). Saya kira itu lebih bermakna. Siapalah sangat kita ini untuk 'take care' sedang hakikatnya yang berhak mutlak menjaga kita ialah Allah SWT. Justeru, ungkapan fi hifzillah lebih tepu dengan makna. Ungkapan doa, bukan sekadar seruan atau peringatan agar dia menjaga diri.
Saya menghantar mini poster : PUT YOUR TRUST IN ALLAH. Saya sebenarnya mahu dia bertenang. Jangan terlalu risau. Apa pun, usaha telah disempurnakan. Keputusan akhir milik mutlak Allah SWT. "Tq for the reminder", balasnya. "Apa-apa hal will let you know." Saya mahu menyambung lagi: Rileks! Kalau rezeki tidak ke mana. Tapi, saya menyimpan sahaja ungkapan itu di dalam hati. Sempat saya merafakkan doa, moga-moga anak gadisnya itu beroleh kecemerlangan. Mendoakan anak sahabat-sahabat saya juga sebenarnya sebahagian daripada doa harian saya.
10.35 pagi -- saya terima lagi mesej daripada sahabat saya itu. Saya tahu dia risau. Dan berdebar seperti kebanyakan orang yang menunggu keputusan anaknya diumumkan. 'Thanks in advance. No data here. Can only SMS.' Apalah sangat nak diterima kasihkan. Simpan terima kasih itu untuk guru yang berhempas-pulas mencemerlangkan anak-anak didiknya di sekolah, termasuk puteri sulungnya, Aisyah. 'Don't mention!" Saya ikhlas. Anak musuh lagi kan saya bantu, inikan pula sahabat yang pernah berkongsi seribu satu cerita zaman dahulukala. Jiwa pencinta pendidikan, beginilah.
Maka bermulalah jejak saya; misi merisik keputusan! Insan-insan terpilih saya hubungi. Saya juga dimaklumkan bahawa sekolah anak sahabat saya itu calonnya 71 orang yang memperoleh 5A. Tahniah untuk seluruh warga sekolah yang telah berusaha keras merealisasikan impian kecemerlangan.
Alhamdulillah! Pagi ini saya menghantar ucapan tahniah! Walaupun pada mulanya terlintas juga nak mengusik :"nak berapa A untuk Aisyah?" Jahat! Saya sebaliknya lebih berdiplomasi dengan mengucapkan 'congrates!' diiringi satu missed call. Saya menerima panggilan balas dari Seberang Tambak. Sah! Memang dia berperang dengan seribu resahati. Galau dan kacau! Tahniahlah, dari hati. Sepanjang perjalanan pulang ke tanah air, melebarlah senyuman. Syukurlah kepada Allah. Hakikatnya, UPSR adalah tangga untuk melangkah lebih jauh. Tapi, UPSR juga bukan garis penamat dalam proses pendidikan. Selepas ini, perjuangan masih panjang! Baik dia, puterinya. Juga saya! Semoga terus melakar sejarah kecemerlangan, anakanda Aisyah Qasrina! All the BEST!
Di hati debar sudah pun reda. Tinta saya bernoktah di sini untuk catatan ini!