... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Wednesday 19 December 2012

Azam Disember

Sayaberpergian lagi. Agak jauh kali ini. Hanya akan kembali beberapa hari sebelum suria Januari 2013 menyinar kembali. Semoga dipermudahkan perjalanan ini, selamat segala-galanya. Hmm .. saya berkira-kira sendiri, tercapaikah hasrat nak menghantar 30 pos ke blog ini sepanjang Disember ini? Bukannya apa .. 2013 nanti, setelah kembali bekerja memang masa akan terhad sekali. Cubalah dengan usaha. Dan azam! Ya, azam. Saya tersenyum!



Petang tadi, sementara menunggu penyelenggaraan pesawat, saya berkesempatan menjejaki dua orang bekas anak didik saya di blog masing-masing. McLly Adrian dan Adillatul Hasif yang kini masing-masing sudah pun berjaya ke menara gading. Ada rasa terharu bertamu apabila mereka masih lagi menyelitkan nama DAMS dalam 'karya' mereka. Barangkali ada benarnya : teachers affect eternity? Buat mereka berdua: all the BEST @ ADB. Cikgu selalu mendoakan kalian walaupun jarang berkesempatan mengunjungi 'medan' kalian .. http://adillatul-hasif.blogspot ; http://adrianmclly.blogspot

Catatan kali ini agak ringkas kerana keburuan waktu. Sepanjang berpergian ini semoga tetap ada kelapangan untuk menintakan sesuatu di laman ini. Doakan musafir untuk menyelongkar ilmu-Nya kali ini berjalan lancar.



Friday 14 December 2012

Puisi: Kampung Ramadhan

Kali ini
aku pulang ke kampung Ramadhan
dengan seluruh geruh cinta dan rindu
seorang 'abid
mencari pintu rahmat-Nya

Kali ini
aku berkampung di Ramadhani
kubawa bersama aksara-aksara dosaku
untuk kubasuh di sungai maghfirah-Nya

Kali ini
kutemui Ramadhan yang indah
ada resah yang menggugah
mungkinkah aku akan terus gagah
untuk datang berkunjung lagi
di kampung Ramadhan
bermusim-musim lagi

Puisi: Tentang RINDU

Cuti yang panjang, masa senggang yang ada juga menjadi agak panjang. Saya mengisi cuti fasa pertama dengan mengemas. Banyak yang perlu dilupus, ada yang harus terus dijadikan khazanah. Antara yang rasanya akan terus tersimpan sebagai khazanah ialah koleksi puisi yang saya tulis sejak lebih 20 tahun lalu.Puisi-puisi semasa di bangku sekolah. Zaman yang penuh dengan angan-angan, impian dan kenangan. Hmm .. nama pun zaman kanak-kanak! Ketika usia menginjak remaja, menulis puisi menjadi rutin. Bila ilham datang, saya terus melarik pena. Tulisan-tulisan lama yang ditulis tangan (manalah ada sangat yang bertaip di tahun 80-an itu!) nampaknya sekarang ada yang sudah kusam dimamah waktu. Antara puisi yang saya jejaki ialah tentang rindu! Huhuhu! TENTANG RINDU Keterasingan di tanah jauh menjadikan hidup ini ibarat angin sepi yang maha sunyi Kesunyian ini menjadikan aku terlalu arif mentafsir rindu Titis hujan yang mendesah adalah rindu yang mendekatkan aku pada mereka yang jauh namun di hati akrab selalu kerana kami saling mengerti tentang rindu!

Wednesday 12 December 2012

Naskhah Kasihku: TEMPAT SEORANG SURI

Berkecimpung dalam dunia pendidikan, baik sebagai pensyarah di IPTS mahupun tutor di IPTA dan guru di sekolah menengah menjadikan jiwa keguruan itu benar-benar sebati dengan roh dan hidup saya. Sejak kecil memang saya mahu menjadi pendidik. Pada masa itu, saya mahu jadi pensyarah. Hmmm .. barangkali pada masa itu, tidak ramai yang bekerja sebagai pensyarah. Tetapi setelah merasa menjadi seorang pensyarah, saya rasakan ada konflik yang berlaku dalam jiwa saya. Kerjaya sebagai pensyarah agak sibuk. Banyak kerja tambahan selain mengajar yang perlu saya lakukan. Travelling juga banyak. Merata ceruk pergi. Memandangkan suami juga sibuk, kami jarang bersama di rumah. Awal pagi saya sudah keluar. Selepas Maghrib baru menjenguk kembali ruamhtangga. Waktu rehat pada jam 1.00 selalunya saya tidak berkesempatan balik ke rumah. Banyak agenda rasmi yang perlu dilangsaikan. Tambahan pula saya juga memegang jawatan pentadbiran sebagai Ketua Jabatan. Di sebuah IPTS yang ada ISO. Kami juga diwajibkan meningkatkan kelayakan akademik pada masa yang sama. Jadi, dapat bayangkanlah kan betapa sibuknya kami dengan 101 prosedur yang harus diikuti. 101 aktiviti yang wajib dihadiri.

Lama saya beristikharah. Memohon petunjuk apakah takdir yang terbaik untuk saya, anak-anak dan suami. Walaupun suami memberi kebebasan sepenuhnya kepada saya untuk membuat pilihan namun saya sehabis daya cuba memahami apa yang dia rasakan dengan kesibukan saya. Sebagai suami sudah tentulah dia mahukan isteri yang kalaupun tidak sentiasa ada di sisi tetapi sekurang-kurangnya selalu ada ketika dia memerlukan. Saya cuba fahami itu. Tambahan pula anak pun sudah nak masuk dua. Jadi, saya mesti memikirkan masa depan mereka sama. Saya mahukan mereka lebih banyak masa dengan saya. Saya ingin memastikan mereka membesar di hadapan mata saya. Dan, kalau boleh saya juga mahu memandaikan mereka sebelum saya serahkan mereka kepada guru Tadika! Besar sungguh harapan itu. Harapan seorang ibu! Saya tidak mahu menidakkan harapan-harapan itu. Tidak!

Saya kemudiannya berbincang dengan suami setelah saya ada perancangan untuk berhenti menjadi pensyarah beberapa bulan sebelum saya sepatutnya terbang ke UK, mengiringi pelajar-pelajar kolej itu yang akan menyambung pelajaran di sana. Kami juga ada lawatan penandaarasan tentang kualiti   P &P dalam 'trip' yang sama. Sebulan notis, akhirnya saya melepaskan semua jawatan di IPTS itu. Saya redha dengan keputusan bersama ini! Saya sedar di mana TEMPAT SEORANG SURI. Saya diraikan dalam satu majlis perpisahan di sebuah restoran. Ada rasa haru di hati saya. Itulah pertemuan terakhir sebagai rakan sekerja.

Saya sepatutnya berasa gembira kerana hubungan kami satu fakulti amatlah baik. Walaupun hanya saya seorang sahaja orang Melayu di fakulti kami, namun hubungan kami tetap terjalin erat. Tak kisahlah apa bangsa sekalipun. Malahan big boss fakulti kami, orang Inggeris muslim juga amat mengambil berat. Bab bersosial adalah antara pelajaran yang berharga bagi saya sepanjang berkhidmat di IPTS itu. Saya kena bijak bergaul. Dalam Bahasa Inggeris pula tu! Di situlah buat pertama kalinya, saya ada good friends dari luar Malaysia. Seorang anak jati India dan seorang lagi warga Myanmar. Mereka adalah kawan yang baik. Boleh diktiraf sebagai kawan karib, malahan!

Setelah berkhidmat di sekolah, saya rasakan ada banyak yang berbeza. Suasana kerja yang rakan sekerja rata-ratanya bumiputera. Waktu bekerja, corak pergaulan, waktu cuti. Semuanya berbeza! Satu yang pasti tetap sama ialah kecintaan saya dalam bidang pendidikan tetap bugar. Malahan bertambah dalam lagi. Saya juga merasakan kepuasaan yang seimbang. Puas mendidik anak didik, puas juga mendidik anak biologi. Alhamdulillah, kedua-dua anak kami menguasai asas membaca dan mengaji di tangan saya sebelum saya menghantar mereka ke Tadika. Saya dapat memantau perrkembangan mereka dari dekat. Cuti yang panjang membolehkan saya selalu ada di depan mata anak-anak dan suami ketika mereka terjaga dari tidur. Dan sebelum mereka melelapkan mata. Bonus menjadi guru sekolah, senang mengikut suami yang diarahkan berpindah stesen perkhidmatan. Di daerah mana pun dia pergi, selagi ada sekolah saya dan anak-anak tetap dapat berpindah sama.

 Setelah berbelas tahun menjadi guru sekolah kerana sedar di mana TEMPAT SEORANG SURI, saya selalu yakin rezeki ada di mana-mana. Mendapat kenaikan pangkat yang tidak disangka-sangka, bukanlah idaman saya. Jujur saya akui, kenaikan pangkat sebagai Guru Cemerlang tidak pernah langsung saya fikirkan. Cuma, apabila dicalonkan saya sifatkan itu sebagai bonus kepada usaha keras saya yang selalu mahu memberikan yang terbaik buat anak-anak didik saya. "Ya Allah! Jika pangkat inilah ujian yang Engkau berikan, anugerahkanlah hamba-Mu ini kekuatan untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan. Janganlah jadikan segala anugerah ini bala bencana kepadaku sehingga aku lupa di mana TEMPAT SEORANG SURI. Jadikanlah anak-anak kami: Ameer Irfan, Ameer Arham dan Izzah Azeemah QURRATU AIN yang sentiasa berjasa menyejukkan hati dan mata kami .." Buat semua isteri dan ibu, marilah kita selalu ingatkan diri kita di mana TEMPAT SEORANG SURI seperti kita. Bagaimana hebat pun kita di tempat kerja, keluarga tetap menjadi keutamaan kita. Anak-anak kita hanya ada seorang ibu. Dan harapnya, selagi deru nafas kita masih mendesah, suami kita juga hanya ada satu SURI.

BACAANKU: MENGAPA YAHUDI BERPRESTASI

Setelah berminggu-minggu menekuni kisah Yahudi yang ditulis oleh Drs. H. Toto Tasmara, saya mendapati terlalu banyak yang dapat diteladani daripada prinsip hidup golongan laknatullah ini. 'Tidak mudah berputus asa, tidak cepat berpuas hati' itulah antara pegangan mereka. Alangkah bagusnya jika mereka menterjemahkan pegangan murni ini ke arah usaha mewujudkan kedamaian sejagat. Ini tidak! Sejarah jelek mereka berlarutan sehingga ke hari ini. Sejak prtama kali saya mengerti isi warta berita di kaca TV, saya sudah menyaksikan keganasan Yahudi di bumi Palestine. Sangat menjengkelkan. Kezaliman mereka memang tidak dapat difikirkan oleh akal yang waras. Satu hakikat yang sukar kita nafikan ialah kekuatan mereka dalam bidang ekonomi. Bagi meka, sejak kecil lagi anak-anak sudah dilatih tentang kepentingan bekerja keras untuk hidup sejahtera. Bagi mereka, without money you look like a crazy monkey! Lambang kehinaan. Jadi, mereka menekankan kepentingan menjadi orang yang berilmu. Minat terhadap aktiviti membaca dipupuk sejak kecil lagi. Mereka tidak teragak-agak untuk membeli buku yang mahal. Kedai buku dan pameran buku adalah antara destinasi mereka di setiap kelapangan. Mereka juga ada sesi ulasan buku di rumah. Hebat, bukan? Sebenarnya, inilah intipati yang diajarkan oleh ad-Deen kita. Wahyu yang pertama menekankan pembacaan. IQRA'! Saya yakin dan percaya, jika umat Islam menghayati budaya ilmu dalam kehidupan, in-sya-Allah, kita akan bangkit sebagai umat yang jauh lebih hebat daripada bangsa Yahudi yang diiktiraf oleh Allah SWT dalam Al-Quran sebagai laknatullah. Di dunia ini, orang Yahudi adalah antara orang yang paling tinggi minat membacanya. Mereka ghairah membaca buku-buku ilmiah yang tebal dan mahal. Malas saya nak menuliskan peratusannya di sini, tapi ternyata Budaya membaca memang hidup dalam roh dan jiwa mereka. Budaya membaca ini dikongsi sama oleh bangsa Jepun. Sebuah lagi bangsa yang sinonim dengan kemajuan. Orang Jepun membelanjakan 1 trilion Yen setiap tahun. Saya yang hanya membelanjakan kira-kira RM500 sebulan pun pernah ditegur oleh rakan sekerja sebagai membazir! Sedih hati. Tapi saya tidak ambil kisah pun. Saya amat bersyukur kerana mempunyai budaya membaca yang sangat kuat. Saya tidak pasti di mana budaya ini bersemi. Apa yang saya pasti, di rumah saya memang banyak buku berkulit tebal. Ensiklopedia Britannica warna merah dari A hingga Z, Ensiklopedia Kanak-kanak, Kamus Inggeris (sudah pudar warna kulitnya) dan Kitab Ihya' Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali adalah di antara koleksi yang ada di rak buku ( diubah fungsi daripada rak hiasan ) rumah kami. Saya suka membelek ensiklopedia kanak-kanak yang penuh warna-warni grafiknya walaupun tidaklah membacanya secara konsisten. Tambahan pula, zaman kanak-kanak saya tidak banyak tarikan luar. Rancangan kartun pun hanya ada cerita Sinbad, Mickey Mouse dan Captain Future saja. Itupun waktu siaran yang sangat terhad. Banyak masa senggang saya habiskan bersama adik saya, Manja yang dua tahun muda daripada saya. Kami bermain macam-macam permainan kampung. Guli, main 'kabad', zero point (sebelah hujung getah diikat pada tiang) dan macam-macam lagi. Bila jiran depan rumah kami datang berkunjung, kami akan menghabiskan masa bermain pondok-pondok pula. Ada masa kami dua beradik main basikal. Bila court badminton di halaman rumah kami tidak digunakan oleh 'senior' kami, kami akan mengambil peluang itu untuk berlawan badminton pula. Selalunya waktu awal pagi atau lewat petang (menanti cuaca yang redup) kami membelek-belek buku di buaian besi. Selalu leka begitu dengan hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Ada kala sambil membelek helaian-helaian itu, macam-macam khayalan nakal bermain di layar fikiran. Asyik sungguh! Semasa di Darjah Dua saya sudah dihadiahi ayah saya sebuah permainan elektronik. Game & Watch. Sebesar tapak tangan saiznya. Permainan menyambut telur ayam yang akan membolehkan kita mendaki level demi level berdasarkan pencapaian. Adik saya pula, permainannya ialah menyambut mangsa kebakaran yang terjun daripada bangunan untuk dikejarkan ke hospital. Bila difikirkan balik, langsung tak mencabar permainan itu. Selalunya saya memang tidak sampai ke level yang tinggi pun. Berhenti selalu sekerat jalan. Saya lebih suka membaca majalah Dewan Pelajar yang dibeli oleh ayah untuk abang saya. Kini, setelah ah meninggalkan zaman kanak-kanak dan sudah ada tiga orang pernata hati sendiri, saya memang amat komited membudayakan amalan membaca dalam diri mereka. Saya selalu bermurah hati jika buku yang mereka mahukan. Buku pun dah tak cukup rak di rumah sehinggakan suami mencadangkan saya berhenti membeli buku maujud. Gantikan saja dengan e-Book katanya. Tapi, entahlah .. Saya rasakan tiada kepuasan membaca e-Book. Saya tetap ghairah membeli bahan bacaan. Itulah salah satu sebabnya, ruang tamu kami hanya ada kelengkapan asas. Hanya sebuah set sofa. Entertainment set yang hanya seadanya saja dan sebuah meja hias yang ringkas. Selebihnya rak buku berderetan. Tanpa perabot mewah! Langsung bukan seperti rumah seorang Ketua Penolong Pengarah pun (kata seorang rakan suami saya!) Ramai rakan yang datang kali pertama ke rumah kami memberikan komen yang hampir sama. Mereka rasa seperti berada di perpustakaan. Hahahaha! Sebenarnya, kalau masih ada ruang, saya pun tidak mahu menyesakkan ruang tamu dengan rak buku. Apakan daya, lima buah bilik semua sudah ada rak buku masing-masing. Hmm .. Selepas ini saya perlu mempertimbangkan anak gadis saya, Izzah. Menjual novel yang telah dibaca!

Tuesday 11 December 2012

Bacaanku: ANAKKU .. HIDUP SEKALI BIAR BERERTI

25 November yang lalu, kawan anak bujang kami datang bertamu dari KL. Atau lebih tepat, Kajang. Ainaj namanya. Awal-awal lagi kami sekeluarga telah menunggunya di lapangan terbang. Sebagai sahabat akrab kepada anak bujang kami, kami amat mengalu-alukan kehadirannya ke teratak batu kami. Banyak tempat kami kunjungi. Menjalin ukhuwah sambil mengisi waktu. Anak-anak memang seronok. Selain hajat mereka berjalan-jalan sini sana dipenuhi, mereka juga mendapat 'abang' ekstra! Haha! Ternyata Ainaj, anak yang baik. Ramah melayan adik-adik ekstranya walaupun dia sebenarnya agak pemalu orangnya. Abang Man! Itulah nama mesra bagi Izzah dan Arham. Seminggu berlalu, Ainaj terbang pulang. Untuk ibunya, saya kirimkan sekotak kek lapis. Buat dirinya, yang telah saya anggap seperti anak sendiri, sebuah buku karya Anwar Nursi saya berikan. Buat santapan rohani di kala lapangnya. Hasil pena Saudara Anwar Nursi itu sungguh menyentuh jiwa saya sebenarnya. Jiwa seorang ibu yang sentiasa mahu nasihat beribu-ribu untuk anak-anaknya. Anakku.. Hidup Sekali Biar Bererti. Begitulah, mudah sekali tajuknya. Sedap pula rimanya. Tak rugi saya membeli dua naskhah. Satu untuk anak bujang kami, satu lagi untuk sahabat karibnya. Buku ini terhasil daripada 35 sub -topik yang bukan saja sedap disebut tetapi isi yang bererti. Langgam bahasanya yang indah dibumbui 1001 mesej kepada anak-anak yang sangat bermakna. Saya kongsikan antara sub topik yang dimuatkan oleh penulisnya: Waktu itu usia kita, hargailah ||| solat itu mudah, usah dilalaikan |||| 30 tip semarakkan jiwa ilmu ||||| potret teladan: kasihmu duhai Rasulullah |||| Meraih cita-cita: satu impian sejuta pengorbanan ||| bila tangan mulai KLIK || jangan engkau dekati zina ||| nasihat iman dan wasiat Selamat mendidik anak-anak gajet! Semoga usaha kita akan membuahkan hasil yang diidamkan. Dianugerahkan Allah anak-anak penyejuk mata!

NO GIRLFRIEND, NO PROBLEM!

Lazimnya bila ada masa senggang, kami suami isteri sering bercakap soal anak-anak. Tentang perkembangan mereka bertiga. Tentang sikap dan kecenderungan mereka juga. Seorang putera kami sudah pun meningkat remaja. Dulu suka 'escort' walidnya. Terutama bila diajak ke kedai ICT. Tapi sekarang lebih suka bergelumang dengan gajet. Syukurlah, masih dalam keadaan yang terkawal. Di rumah tiada WiFi, jadi segala penggunaan internet agak terbatas. Walaupun ada iPad, iPhone dan komputer riba yang dapat diguna tetapi semuanya ada limitasi kuota. Senang begini, kuota itu sendiri kami jadikan sebagai mekanisme kawalan. Anak-anak zaman gajet ini terdedah kepada ledakan gajet. Iklan di kaca TV saja menyajikan ratusan produk gajet terbaru. Daripada sekecil-kecil iPod hinggalah kepada perisian-perisian teknologi yang berencam. Semua gajet yang canggih seperti itu memang amat memancing minat anak-anak generasi gajet ini. Sebagai ibu bapa yang zaman remaja kita sudah tentu terlalu jauh bezanya dengan zaman sekarang ini, adalah kurang wajar kita mendidik mereka sama dengan cara kita dididik secara total. Kita memerlukan kreativiti dalam proses mendidik anak-anak yang sememangnya mencabar. Pendekatan kita wajib tepat dengan syariat dan dalam masa yang sama tidak terlalu mengekang kecenderungan anak-anak kepada dunia gajet.Laluan yang sukar, bukan? Tetapi kita tidak ada pilihan lain. Kita mesti merentasi laluan itu. Getir macamana sekalipun! Semasa anak-anak kita belum sampai ke usia remaja, mereka selalu mahu berdamping dengan kita. Ada kala sehingga kita rasa kita kehilangan masa untuk diri sendiri. Atau masa untuk bersama pasangan. Namun, ketika usia mereka menginjak remaja, mereka sudah mahu ruang kehidupan mereka sendiri. Mereka sudah ada privasi yang meka mahu kita hormati. Kalau diajak keluar pun sesekala mereka memberi pelbagai alasan. Pendek kata, sudah mula ada sempadan yang terbina. Walaupun banyak perkara yang mereka akan kongsikan dengan kita, tetapi ada juga yang mereka simpan kemas. Berbeza dengan zaman kanak-kanak, mereka bercerita kepada kita hampir tentang segala-galanya yang mereka alami. Termasuk juga rancangan TV atau games yang mereka suka! Mengenangkan itu semua, saya selalu mengingatkan diri saya. Luangkan masa menikmati rengek-tangis anak-anak semasa kecil. Bila dah tua, barangkali kita pula yang akan menangis, rindukan tangisan anak-anak yang sibuk melayan rengek-tangis anak-anak mereka pula. Bercakap soal privasi, ada kala apabila ditekan rasa ingin tahu ada juga saya bertanyakan anak remaja kami siapa yang selalu dia berSMS atau chat di FB. Responsnya selalu cepat saja. Dua nama gadis yang dia sebut. Salah seorang adalah anak kawan saya. Juga belajar di SBP di Selangor. Seorang lagi ada dalam friends list saya di FB. (saya memang suka add kawan anak-anak dalam FB. Ada kejujuran dari pancaran matanya. Dan saya melafaz syukur untuk itu. Bukan apa, walidnya selalu risau. Dia terlalu pemalu dengan budak perempuan. Dulu, anak gadis jiran saya yang juga merupakan rakan sekelas semasa Tadika datang bertandang ke rumah kami. Setelah 7 tahun tak jumpa, dia mahu bertemu anak bujang kami. "Ameer, Adawiyah nak jumpa. Dia ada di bawah." Saya menyapa ya di muka pintu bilik. "Hah! Apahal nak jumpa pula? Ameer nak borak pasal apa?" Saya mengesani riak risau di hujung senyum hambarnya. Lalu, tiada pertemuan dua sahabat lama. Anak bujang kami memilih untuk membaca komik petang itu. Lama hal itu berlaku. Kini, selain bergelumang dengan aktiviti berkaitan pelbagai gajet, dia ada kegemaran sampingan. Menonton kartun dengan adik-adiknya (baru dilanggan oleh Walid). Satu lagi, menekuni koleksi novel yang ada dalam simpanan saya. Hati kecil saya, ada kejanggalan yang bertindan-tindih dengan perkembangan yang kedua itu. Bila dia memberi ulasan novel mana yang BEST dan tidak, saya bertanyakan dia satu soalan cepu emas. Ada GIRLFRIEND ke tidak? "Hahahaha! NO GIRLFRIEND, NO PROBLEM lah, Ummi. Ni GIRLFRIEND Ameer ni .." dia ketawa mengekek. Sambil dia menayangkan telefon bimbit Samsungnya yang tak sampai RM500 harganya. Tawa saya berdekah-dekah akhirnya. Bila walidnya bertanya lanjut soal GIRLFRIEND ketika mereka berdua lepak-lepak dalam bilik si anak bujang, spontan dia menjawab. "Bukan Ummi dan Walid bergirlfriend, boyfriend hanya selepas kahwin ke? Tak ada GIRLFRIEND pun, kahwin juga kan?" Rupanya dia memetik 'ibrah daripada tawarikh mahabbah kami!

Monday 10 December 2012

Cuti Fasa 2

Cepat sungguh masa berlalu. Pejam celik berkali-kali, cuti sudah pun hampir mengakhiri fasa kedua. Anak-anak bersorak girang. Masa untuk bergembira. Memanjangkan langkah. Menjengah dunia di sana sini. Fasa inilah yang dinanti-nanti oleh anak-anak. Usahlah mereka, saya juga menanti detik-detik seumpama ini sebenarnya. Sekali-sekala berhabis duit untuk satu matlamat yang lebih bermakna memang berbaloi. Orang kata, untuk memantapkan hubungan kekeluargaan cukup sekadar buat aktiviti bersama di rumah. Tak perlu buang-buang duit untuk pergi melancong bersama keluarga semata-mata mahu menguatkan ikatan kekeluargaan. Tapi, bagi saya kedua-dua cara ini saling melengkapi. Suasana yang berbeza akan tetap menghadirkan kesan yang tidak sama. Jadi, apalah salahnya kita berbelanja sedikit untuk merapatkan lagi ukhuwwah imaniyyah bersama ahli keluarga yang kita kasihi. Bukannya selalu pun, sekali atau dua kali setahun saja. Jadi, sepanjang masa cuti fasa kedua ini, masa kami satu keluarga banyak habis di dalam perjalanan. Di setiap kesempatan yang singgah, saya tetap meluangkan masa menulis setiap hari. Walaupun hanya sebaris ayat. Selamat berlibur!

SETEGUH KASIH ADAM DAN HAWA

Berjaga malam menyiapkan kerja-kerja penulisan memanglah sedikit penat. Beberapa kali sebelum tidur, rakan hati @ soulmate saya mengingatkan agar jangan terlalu leka menulis hingga lupa untuk tidur. Hmm .. "tidaklah leka sangat, yang sampai tak ingat bantal," respons saya, spontan. Di hati memanglah amat teruja bila lama menangguhkan kerja-kerja penulisan. Mahu siap cepat sebenarnya. Mahu juga tengok kesudahan kisah yang diplotkan. Walaupun tidak seberapa, tapi asalkan ada indah yang boleh dipetik itu sudah cukup menerbitkan rasa indah di hati seorang penulis sambilan seperti saya. Buat masa ini, kerjaya sebagai pendidik memang mendapat prioriti. Mana mungkin saya meninggalkan karier yang menjadi cita-cita sejak di alam rahim lagi. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Saat cinta terhadap profesion keguruan ini terlalu mendalam. Tidak dapat digegau dasar kecintaan ini. Selanjur berjaga untuk berkarya, saya mengambil sedikit waktu melafaz doa lewat qiam yang ringkas. Memohon kepada DIA agar apa yang tulis meninggalkan sesuatu tanda yang positif dalam hati sesiapa yang sudi menekuni karya hati saya.Saya kemudiannya menghazami beberapa petikan kalamullah. Buat peneguh cinta kepada Ilahi. Buat memperbaharui ikrar keimanan kepada-Nya yang sentiasa menurunkan pelbagai nikmat, kecil dan besar. Isnin lepas, kebetulannya saya baru selesai menghadiri Majlis Anugerah Khas Ketua Menteri. Syukur, Alhamdulillah. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang itu semua. Apa yang saya mahu kongsikan kali ini agak selari dengan demam peminat drama masa kini. Apa lagi, kalau bukan kisah Adam dan Hawa. Kisah yang diterjemahkan daripada sebuah novel popular. Sebagai seorang pencinta bidang penulisan, novel ADH ini telah lama saya khatam beberapa tahun dahulu. Dan kali ini, sebagai penulis kerdil yang ada hati nak menulis skrip drama (drama pendek sahajalah kot!) saya curi-curi masa juga mengikuti kisah ADH yang telah dijadikan drama. Walaupun tidaklah sesetia mereka yang minat maut pada Aaron Aziz, saya mempunyai penilaian sendiri terhadap kualiti drama ini. Sudah tentu penilaian yang lebih telus tanpa dipengaruhi sentimen sebagai peminat setia kepada artis yang membintangi drama tersebut. Menariknya, kisah ADH bagi saya ialah keteguhan cintakasih Adam terhadap Hawanya. Opps! Saya tidak ingin mengulas lanjut tentang kisah yang idea asalnya ialah karya Aisya Sofea, seorang novelis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan seni. Saya lebih tertarik mengulas bagaimana kukuhnya kasih Adam a.s terhadap cinta hatinya, Hawa. Bersandarkan cinta yang terpasak kukuh utuh teguh, sanggup memakan buah terlarang. Walaupun, akhirnya terpaksa meninggalkan istana cinta mereka di syurga firdausi. Demikanlah ... kerana kasih segalanya diturutkan. Syukurlah Allah SWT mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah. Ibrah indah daripada kisah cinta ini wajar fikirkan bersama. Hakikatnya, cinta boleh saja merubah pendirian seseorang! walaupun pendirian itu pada mulanya seteguh karang di lautan. Hebat juga penangan cinta, kan? Sebenarnya, (mengikut apa yang saya baca dalam karya tentang cinta oleh Saudara Zamri Mohamad) rupa-rupanya cinta mampu mengubah biologi manusia.Debar yang sentiasa bergetar, degung jantung menjadi tidak teratur adalah antara tindak balas biologi mereka yang disapa 'musim bunga' pada peringkat awal. Inilah kesan daripada bahan-bahan kimia yang dihasilkan secara semulajadi oleh tubuh. Begitulah, Helen Fisher dari Universiti Rutgers, New Jersey sudah pun menemukan bahan-bahan kimia itu.Di sinilah kita dapat menyelami hakikat kebesaran Allah yang membekalkan 'perasaan halus' itu di dalam diri mahkluk-Nya. Fitrah! Inilah namanya fitrah. Kajian-kajian tentang rahsia cinta dan biologi ini membuka mata fikir kita bahawa itulah sebabnya Islam menggalakkan umatnya berkahwin setelah menepati syarat-syaratnya. Antara sebabnya adalah untuk memenuhi fitrah manusia! Antara bahan kimia yang berkaitan dengan kehadiran cinta dalam diri kaum Adam mahupun Hawa ialah hormon testosterone dan estrogen. Kewujudan hormon-hormon inilah yang mendorong manusia berlainan jantina agar tertarik antara satu sama lain. Bagaimanakah agaknya hormon mereka yang tertarik sesama jantina itu? Nauzubillahi min zalik. Hati-hatilah kita dalam mengemudi hati. Pasaklah akal sebagai tiang kepada cinta yang kita bina. Dan ingat! Berpada-pada dalam bertindak.. Tidak semua yang kita cintai adalah takdir yang terbaik buat kita. Hanya DIA yang maha mengetahui plot hidup yang paling sesuai buat kita. Dan janganlah hendaknya kasih kita sesama makhluk melampaui kasih dan cinta kita kepada Al-Khalik. Semoga menemui keindahan cinta yang hakiki. Seteguh cintakasih Adam dan Hawa.

Sunday 9 December 2012

Emcee vs MC

Pagi tadi ada satu lamaran yang datang. Bukan lamaran yang lumayan sangat pun. Malahan kalau diikutkan sejarah tentang lamaran ni, ini hanyalah lamaran yang boleh dikategorikan sebagai lamaran yang kategorinya biasa-biasa saja. Serius! Kalau dilamar menjadi emcee a.k.a master of ceremony majlis perasmian yang dihadiri oleh seorang Pengarah, itu memang suatu yang biasa. Tapi, seringkas mana pun majlis, sesingkat apa pun majlis itu, menjadi juruacara atau MC tetap ada debaran yang tersendiri. Bertahun-tahun menjadi juruacara, sejujurnya itulah yang saya rasa. Ingin merasai lagi debaran itu, saya menerima lamaran itu. Tanpa apa-apa syarat. Bila ditanya berapakah bayaran atas sumbangan suara saya itu, saya membiarkan pertanyaan itu tergantung begitu saja. Saya sebenarnya jarang menerima imbuhan apabila menjadi juruacara. Empat lima kali adalah juga. Jauh di dasar hati saya, rasa macam terbeban pula kalau dibayar. Yalah, almafhum kita manusia biasa, kalau ada silap sikit di sana sini, tertekan juga bila memikirkan khidmat tidak setimpal dengan bayaran. Saya selalu ditanya, macamana saya beroleh keberanian mengacarakan sesuatu majlis tanpa teks? Tegas dan yakin, jawapan saya ialah : latihan berterusan. Setiap kali kita berlatih, keyakinan diri akan meningkat. Ketakutan akan beransur-ansur hilang. Sedikit demi sedikit. Ilmu kejuruacaraan juga akan bertambah bila kita rajin berlatih. Selalunya, sesi latihan saya ialah setiap pagi. Tak lama pun, 10 minit satu sesi. Isnin sampai Jumaat --- hari bekerja. Bila lagi, kalau bukan semasa memandu ke tempat kerja. Selain itu, kenalah tahu sedikit sebanyak tentang protokol. Siapa nak disebut dulu dan kemudian. Gelaran kenamaan, jawatan rasmi. Dan satu dua hal lain lagi. Bab addressing memang penting. Kalau baru masuk gear satu dah terlanggar pagar, fokus pemanduan yang baru bermula memang akan terganggu juga, kan? Hmm .. Tapi, itu kalau majlis yang skala biasa-biasa saja. Peringkat organisasi, umpamanya. Majlis yang dihadiri oleh VVIP adalah lebih selamat kalau ada teks. Aznil Nawawi yang tarafnya dah MC profesional pun pakai teks apa. Hahaha! Satu lagi, bayangkan kalau kita jadi MC tanpa teks, tiba-tiba sesuatu berlaku pada kita. Apa yang akan terjadi? Hmm .. Bayangkan sajalah. Kecualilah kalau ada MC super spontan.. Menjadi juruacara memanglah kerja yang tidak semua orang boleh buat. Selain yakin, ada pengetahuan, kemahiran dan suara yang boleh diketengahkan, MC juga perlu petah melontar kata serta selalu mampu bertenang dalam semua keadaan. Cool! Ada masanya, banyak perubahan berlaku saat akhir. Lain yang berlaku semasa raptai, hari kejadian sebenar lain pula jadinya. Itu biasa berlaku. Kalau cepat menggelabah, habislah! Dalam masa yang sama, kena pandai buat ayat spontan. Edit teks sedia ada kalau yang berlaku di atas pentas tak sama dengan yang ada dalam skrip. Pendek kata, mesti fleksibel. Sepanjang berkecimpung dalam dunia 'emceeing' ini, macam-macam pengalaman pahit manis. Paling sinonim dengan juruacara sudah tentulah orang terawal dan terakhir datang dan pulang. Paling lemah, bila mengacarakan majlis makan malam. Orang lain makan dengan penuh penghayatan, MC makan tanpa perasaan. Lebih dahsyat lagi, kalau kebajikan MC tidak diendahkan. Terima 101 arahan daripada 10 orang PENGARAH yang berbeza pun menyesakkan kepala MC. Jadi, MC juga mesti kebal. Usah mudah melatah. Kena tahu arahan siapa yang kena ikut dalam satu-satu majlis. Persiapan sesuatu majlis yang memakan masa berbulan-bulan, akhirnya nanti ditentukan oleh MC. Namalah master of ceremony, kan? Bila selesai acara, ada juga menteri yang menghulurkan RM TAHNIAH. Selalunya melalui setiausahanya. Jadi, selesai majlis, kalau terima sampul. Itu kiranya, saguhatilah tu. Rezeki yang tidak diminta. Bila datang, tangan didepang. Senyum! Cabaran paling berat dilamar menjadi MC ialah semasa Majlis Perisytiharan Sekolah Berprestasi Tinggi 2011. Jenuh lidah praktis menyebut nama dan gelaran serta jawatan senarai tetamu kehormat. Siap dengan sesi raptai hampir 10 kali. Belum lagi melihat siapa VVIP yang hadir. TPM! Kalau tak berdebar barang sedikit, memang 'bajet' pakar lah tu. Hehehe! Bila dipanggil pertama kali untuk memaklumkan lamaran menjadi MC oleh Tuan PPD, dengan muka selamba saya cakap : rasanya saya lebih rela jadi tukang sapu pentas. Haha! Ada sengih di wajah PPD. Dalam hati agaknya dia berbisik: bagus-bagus aku ucap tahniah, nak minta jadi tukang sapu pula! Aku kemudiannya kena hadir beberapa sesi taklimat di Cyberjaya. Buat teks. Buat bab edit teks. Belum lagi dikira rutin kerja sebagai D/O dan tugas hakiki sebagai pendidik. Ditakdirkan seminggu sebelum hari kejadian, saya demam akibat sakit tekak. Letih agaknya. Cuaca pula tidak menentu. Setiap kali hadir taklimat ada saja perubahan dimaklumkan. Buat pertama kali bagi tahun itu, saya akurnya nasihat doktor untuk terima MC. Medical certificate yang pertama untuk tahun itu! Dalam bekerja, saya tidak suka sebenaranya mengambil cuti sakit. KECUALI kalau sudah tidak larat hendak bangun dan berjalan! Pegawai di Cyberjaya yang selalu berhubung dengan saya tentang majlis ini, menggelabah seketika. Saya dengan tenang meyakinkan dia, in sya Allah segalanya akan berjalan sebagaimana yang dirancang. Syukurlah! Saya benar-benar bersyukur. Banyak respons positif diterima. Saguhati dari TPM juga saya peroleh. Munajat dan doa saya yang bertemali ke hadrat Ilahi, diperkenankan DIA. Dan apabila Perdana Menteri pula datang merasmikan Kompleks Imigresen di utara Sarawak, saya sekali lagi dilamar menjadi MC. Dalam sedar saya memberitahu diri saya: jangan terpaksa ambil MC kali kedua pula!

NOKTAH BELUM KETEMU TITIK AKHIR ..

Disember menginjak hari yang ke-9 hari ini. Ahad. Hari yang santai di rumah.Sambil menunggu mesin basuh menyelesaikan operasinya saya mencuri masa untuk meninggalkan sesuatu tanda di laman ini.Catatan pertama di bulan Disember. Kebetulan pertama kali juga saya 'menulis' di sini menggunakan i-Pad. Hmm .. Saya sebenarnya lebih suka menggunakan komputer riba. Ada kala i-Pad benar-benar melambatkan kerja-kerja penaipan. Bagi saya cik Pad ini lebih sesuai untuk saya jadikan medium 'pelayaran' di alam maya. Memang cepat dan mudah untuk fungsi pelayaran. Sepanjang cuti ini, saya benar-benar cuti. Walaupun setiap hari saya memang menulis, tetapi saya tidak menyempat untuk menulis di blog. Saya menulis draf projek penulisan kreatif saya ( yang selalu terbengkalai bila sibuk bekerja sebagai pendidik dan D/O a.k.a dapur officer ). Saya menulis pelbagai surat rasmi sebagai Setiausaha Kehormat kepada dua NGO untuk projek-projek tahun hadapan. Juga menulis nota-nota ceramah yang tak putus-putus. Dan satu lagi, menulis dan menulis untuk menyudahkan karya 'masterpice' yang sudah tergendala sekian zaman. Apa lagi kalau bukan disertasi ilmiah saya. Cuti masih berbaki 3 minggu lagi. Saya memasang niat hari ini untuk memastikan impian saya menyiapkan antologi 10 cerpen (sebahagian sudah pun siap - hanya menanti bacaan pruf yang terakhir) akan menjadi kenyataan. In sya Allah. Semoga cerpen-cerpen ini akan menemui anak-anak didik saya nanti. Suatu hari setelah noktah terakhir menemui titiknya. Menulis bukan kerana nama (betul!), sekadar berkongsi inspirasi, terutamanya dengan anak-anak didik saya yang selalu menggerakkan momentum saya untuk terus menulis dan menjadi sebahagian daripada sumber inspirasi mereka. Kerana mereka juga adalah sumber inspirasi saya! Selama ini. Doakan saya agar 10 'deposit' saya di Bank Cerpen ini akan bertemu noktah akhir sebelum Januari berakhir. ---///:;£~~<||\\ doa dari Canberra // tika hidayah melimpah // naskhah kasih Inshirah // aku budak debat --- sekudup tulip impian // kubah Hatiku ~~~~~~ kek lapis cikgu dayang <><><> guruku YB! /// ikrar Mejar Mawar ||||||repih kasih mujaheedah ...

Monday 12 November 2012

Fasa 1 Cuti

C.U.T.I - dalam kehidupan ini, selain bekerja sebagai seorang career woman saya selalu mementingkan masa berkualiti bersama keluarga. Cuti sekolah adalah waktu yang saya tunggu-tunggu. Empat puluh lima (45) hari. Bukan suatu jangka waktu yang pendek. Namun, saya selalu beringat-ingat agar menjadikan cuti ini benar-benar bermanfaat. Dan bermakna.

Sebenarnya, cuti pada saya bukanlah BEREHAT secara total. Mengapa? Cuti hanyalah cuti dari tugasan rasmi (tetapi tidak sepenuhnya- masih perlu bekerja dari rumah untuk persediaan musim persekolahan akan datang.) Justeru saya bahagikan cuti kepada 3 fasa.

Fasa 1 - misi mengemaskini segala data dan harta. Ha ha ha! Termasuklah harta (yang tak seberapa) di rumah. Huh! Apa lagi, kalau bukan mengemas segala khazanah di rumah. Termasuk juga data Pustaka Mawaddah. Untuk cuti fasa 1 ini, wish me luck!

Tuesday 6 November 2012

Harga Sebuah Persahabatan

Semalam saya meluangkan masa menekuni Kembara Sastera Nisah Harom. Memang mengujakan! Berkelana sendirian dengan pelbagai kekangan. Namun, kekangan yang dilihat sebagai cabaran itu menyalakan lagi semangat Kak Nisah untuk merealisasikan impiannya. Kak Nisah bercerita tentang beberapa orang rakan dan kenalan yang menghulurkan bantuan ketika di Tanah Ratu itu mengingatkan saya tentang harga sebuah persahabatan.

21 - 25 tahun yang lalu, ketika masih di bangku sekolah kehidupan saya secara zahiriah dikelilingi rakan-rakan seperjuangan. Di sebuah SBP, nun terpencil di Tanah Negeri. Jauh dari keluarga. Dan sanak-saudara, siapa lagi yang paling hampir dengan kita kalau bukan kawan, kan?


 Kawan ni memang ada macam-macam ragamnya .. Remajalah katakan. Ada yang jiwa kacau. Berkecamuk! Ada yang jiwa santai. Cool memanjang! Saya memilih untuk berada di tengah-tengah. Dalam banyak keadaan, saya memilih untuk bersederhana. Jujur saya katakan, saya tidaklah memilih status dalam berkawan. Tetapi untuk mencari sahabat karib, saya ada ktiteria tersendiri. Bukanlah apa sangat pun, menyedari diri yang tidaklah sekental 'ikan di laut masin', saya selalu berpesan kepada diri saya, jangan sembarangan mengakrabkan diri dengan orang. Perlu selalu ada sempadan.

Apabila hampir 2 dasawarsa berlalu, sahabat yang pernah akrab dengan kita di zaman persekolahan tidaklah seakrab ketika kita sama-sama duduk di asrama. Barangkali ada benarnya, jarak akan menjarakkan persahabatan yang pernah terjalin. Namun, saya percaya jauh di dasar hati, sekali ukhuwah itu terjalin ia akan hidup sampai bila-bila. Asal saja tiada perselisihan yang mencetuskan konflik. Dan dendam! Itu saja pantang-larangnya. Sebenarnya, dalam sesuatu komunikasi atau perhubungan silap faham di sana-sini itu sebenarnya perkara kecil. Ambil sikap memaafkan. Itu lebih baik. Islam mengajar kita usah ada dendam yang dipendam dalam diam. Dendam ini penyakit mazmumah yang memamah kebahagiaan hidup. Ya lah, dalam hati tersumbat kesumat. Zulmat atau titik hitam turut hidup di situ. Kenangan yang manis ketika masih bersahabat hilang begitu saja. Huh! Lazimnya begitulah manusia yang bercerita kepada saya tentang bencinya mereka kepada manusia yang paling akrab dengannya dulu.

Cerita tentang dendam. Apalah yang nak disimpan sangat. Bukannya membuahkan pahala pun, kan? Sekadar tergores sikit hati tu, lupakanlah. Bukankah kita wajar melupakan kesalahan yang pernah orang lakukan pada kita?

Mujurlah, dalam bab persahabatan saya selalu meletakkan 'harga' yang tidak ternilai. Pemberian best friends saya masih tersimpan kemas dan terjaga hingga kini.  Mereka yang pernah saya iktiraf sebagai rakan ketawa dan menangis selalu hidup di taman nurani saya. Sesekala saya tetap menyebut nama mereka di dalam doa saya. Kalaulah seorang sahabat lama yang menghantar SMS memaklumkan tentang ayahnya atau bunya telah kembali ke rahmatullah, apalah salahnya kita adakan kenduri tahlil khas untuk insan yang disayangi oleh sahabat kita, kan? Insya-Allah, jika kita ikhlas dalam menjalinkan ukhuwwah, Allah akan membuka ruang rezeki yang lebih luas dan mudah bagi kita.




Salam kasih fillah ..

Monday 5 November 2012

Menulislah setiap hari, walaupun sebaris ayat ..

Bismillah-ir-rahman-ir-rahim

Pejam celik, masa sudah pun beranjak ke bulan November. Sengaja saya menyebut November kerana ia memberikan konotasi bahawa sesi persekolahan sudah pun ke penghujung. Sebulan lebih berehat sambil caj tenaga untuk meneruskan perjuangan pada kalendar persekolahan tahun hadapan. Hakikatnya, masa berlalu terlalu laju rasanya. Sungguh laju! Hingga hampir tak terkejarkan.

Sepanjang Oktober, langsung tak berkesempatan berkunjung ke blog ini. Selain masa sarat dengan tugas pendidikan di dalam darjah, tugas pendidikan di luar darjah juga berderetan dalam senarai. Berkejar ke sana ke mari demi memastikan semua itu dapat dilangsaikan sesempurna kudrat yang ada. Syukurlah, Allah SWT sentiasa meminjamkan kekuatan kudrat dan iradat-Nya kepada hamba-Nya ini. Kursus, ceramah dan undangan menjadi fasilitator mengisi hari-hari senggang di bulan Oktober (selain tugasan rasmi). Jiwa meronta-ronta untuk menulis karya walaupun hanya beberapa perenggan hanya tergantung di langit khayalan. Berkhayal-khayal untuk menulis cerita itu dan ini, namun akhirnya serangkap puisi pun tidak tertuliskan. Huh! Sebenarnya itu hanyalah alasan. Bagi orang yang suka beralasan (termasuk sayalah ni kot!). Saya teringat pesan seorang penceramah, Dr. Akbar namanya ketika menghadiri Kursus Penyelidikan. Bila mahu menulis sesuatu topik, pastikan setiap hari kita ada menulis sesuatu. Walaupun satu baris ayat sahaja, katanya. Hmm .. memang sukar nak aplikasikan tetapi kalau berfikir secara positif, tiada yang mustahil, kan? Jadi, marilah kita cuba buat. Terutamanya bagi mereka yang membuat tesis. Setiap hari mesti ada membuat pembacaan dan penulisan. Walaupun sebaris ayat cuma!

Wednesday 26 September 2012

BERMULALAH ..

Hari ini saya berkisah panjang dengan anak-anak didik saya. Di luar waktu persekolahan tentunya. Tentang ceritera sebuah kecemerlangan. Tentang bagaimana menggegau bintang yang bersinar terang.

Hakikat kecemerlangan bukan hanya pada pencapaian akademik sahaja. Kecemerlangan yang lebih bermakna ialah kecemerlangan ibadat dan sahsiah. Namun, percayalah .. kiranya kecemerlangan ibadah dan sahsiah sudah mampu kita perolehi, insya-Allah kita akan cemerlang dalam seluruh bidang kehidupan kita.

Saya menegaskan begini kepada mereka: sebagai umat Islam, kecemerlangan harus kita miliki! Bermulalah dengan langkah pertama. Anda adalah harapan kecemerlangan ad-deen ini.

Jom! Mulakan langkah kecil ke arah kecemerlangan nun di hujung lorong perjalanan ini ..

Monday 24 September 2012

Panggilan DIA





Minggu lepas, pagi Ahad. Kami empat beranak sedang enak menjamu selera. Bercerita tentang macam-macam perkara. Tentang Abang Ameer yang jauh di Putrajaya. Tentang pencapaian anak-anak. Tentang harapan Ummi dan Walid. Juga sudah pasti tentang harapan anak-anak. Selepas sarapan pada hari itu kami memang sudah sepakat untuk ke Taman Hidupan Liar nun jauh terpencil di pinggir hutan simpan Sarawak.

Sedang seronok bercerita, telefon genggam di kocek seluar berdecit-decit. Gegaran peranti elektronik itu jelas saya rasakan. Ada mesej yang masuk. Entah dari siapa. Sejurus selepas selesai bersarapan, dalam perjalanan ke Matang Wild Life Park, saya membuka mesej. Kak Lynn!



"Kami akan berangkat ke Tanah Suci 26 September. Doakan kami selamat pergi dan kembali. Maaf atas segala salah dan silap selama 38  tahun kita hidup bersama." Berkaca-kaca mata saya. Gembira. Sayu. Terharu. Semuanya bersatu membersitkan suatu emosi yang sukar saya kongsikan. Suami di sebelah sekadar mengerling sambil bertanya ringkas. "Siapa, dik?". "Kak Lynn", jawab saya.

Jujur saya akui, saya ingin sekali menjadi tetamu-Nya. Kalau boleh di saat itu juga. Ada kala kerinduan itu terlalu sukar digambarkan. Namun, apakan daya kudrat tiada. Iradat sahaja sudah tentulah tidak memadai. Menantikan orang sebelah ini benar-benar ikhlas melepaskan saya pergi dengan penuh kerelaan. Menanti dia ada kelapangan yang benar-benar lapang. Benarlah kata orang, duit dah mencukupi pun kalau belum dengan izin-Nya, ada sahaja halangan di sana-sini.

"Ya, kak. Semoga beroleh haji yang mabrur. Doakan kami di sana nanti." Butang 'send' saya tekan. Semoga Kak Lynn dan Abang Dee akan selamat pergi dan kembali. Pulang nanti menjadi hamba yang lebih bertakwa, insya-Allah. Sesungguhnya saya amat mengasihi kakak saya. Dan amat bersyukur kerana jiwa agamanya sentiasa hidup walaupun tidak pernah bergelar 'budak sekolah agama'.

Labbaikallahumma labbaik, labbaikala syariika laka labbaik ....

6 Zulkaedah

Bicara Hawa dan Adam



Termenung. Saya duduk merenung kepulan awan yang berarak petang . Di langit putih. Tanpa sedikit pun titik cela. Sejurus saya membuang pandang lagi ke luar jendela. Anak-anak sedang berseronok, main tangkap bola bersama beberapa orang anak jiran. Dunia kanak-kanak alangkah indah! Tanpa ada rasa beban, tanpa banyak perkara yang perlu difikirkan. Sekejapan juga, sempat serpihan kenangan zaman kanak-kanak singgah di layar ingatan. Seronok!

Saya kembali merenung surat undangan menyampaikan ceramah. Tentang cinta remaja! Jujur saya akui, agak kekok bagi saya. Berkali-kali saya mohon agar pihak penganjur mencari orang lain namun dua tiga kali itu juga pihak penganjur memohon saya terima. Sebenarnya saya lebih sukakan ceramah motivasi. Atau pun ceramah kesusasteraan. Bukanlah saya tidak mahu berkongsi idea tapi rasanya saya bukanlah orang yang paling layak bercakap soal ini. Secara teori, saya boleh saja membuat sedikit kajian. Atau bertanyakan mereka yang saya pasti ada pengalaman dalam bab ini. Tetapi, secara praktisnya saya tiada pengalaman dalam bab hati dan perasaan zaman remaja. Nil. Dunia remaja saya sarat dengan mandat. Dan amanat!

'Bicara Hati Hawa dan Adam'. Begitulah tajuk yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Perkara yang terlintas di hati saya, ketika Hawa diciptakan untuk Adam bukanlah mereka sudah di pentas usia dewasa. So, tajuk ini ada pertikaian bagi saya. Kedua, hukum bercinta di dalam Islam? Maksud saya cinta di zaman remaja. Bagi saya, hukumnya jelas haram. Itu adalah salah satu sebab saya takut bercinta semasa usia menginjak remaja. Dan saya syukuri takdir saya itu. Sungguh!


Saya hanya mengenali makna sebuah 'cinta' setelah diijab-kabulkan. Tidak pernah melafaz ungkapan cinta walaupun sekali kepada mana-mana lelaki selain yang dipanggil suami. Hmm .. bertuah sang suami. Dia lelaki pertama saya cintai .. sepenuh hati. Dan moga-moga cinta ini tidak akan melunturkan cinta kasih saya kepada DIA yang lebih berhak dicintai sepenuh juwa dan raga.

Lewat petang, anak-anak sudah pun berpamitan dengan kawan-kawan sepermainan. Mereka memang tahu, 30 minit sebelum azan adalah 'sempadan masa' yang paling akhir mereka berada di luar rumah. Kalau rasa nak duduk di luar rumah ditemani nyamuk, cubalah untuk melanggar sempadan waktu ini. Tanpa disuruh, Am dan Izzah sudah pun bergegas mandi. Bersiap kemudiannya untuk solat Maghrib. Saya menanti mereka di bilik tidur utama memandangkan walid berada di luar stesen. Siap sejadah mereka bentangkan dan azan usai dilaungkan oleh Bilal di masjid berhampiran, kami mendirikan Maghrib berjemaah.


Sementara Izzah dan Am ke dapur menyenduk nasi, saya menanti di ruang tamu. Bersandar di sofa sambil memejamkan mata. Seketika cuma. Selesai segala keperluan malam itu, sambil menemani anak-anak mengulangkaji, saya kembali menerobosi langit maklumat mencari-cari bahan ceramah. Alhamdulillah! Membaca catatan Pak Samad Said, saya menemui sesuatu yang boleh dijadikan bahan bicara. Meneliti beberapa ceramah di youtube mencambahkan lagi idea. Akhirnya, saya sampai kepada satu titik simpul. Muda-mudi dan belia remaja masa kini perlu diperbetulkan 'persepsi' mereka tentang cinta. Mereka perlu diberitahu cinta dari kanta Islam pula. Berat tanggungjawab yang saya galas kali ini. Di hadapan 200 audiens remaja yang sedang kemaruk cinta, mampukah saya menyejukkan lahar cinta yang mereka ciptakan.

Ya Allah! Atas rasa raheem-Mu, aku mohon untuk diberikan kekuatan berkongsikan peringatan ini buat mereka yang bakal menerajui tonggak kepimpinan negara pada masa hadapan. Dengan sebuah senyuman, saya menyambut tangan Izzah yang memimpin saya ke meja makan ..




Monday 3 September 2012

3 September

Salamullah alaikum ..

Ogos berlalu tanpa apa-apa catatan di dada blog ini. Sedihnya! Jujur saya akui, di dalam hati meronta-ronta untuk menulis. Banyak yang mahu saya tulis, tetapi saya tidak dapat meluangkan masa. Orang yang paling rapat dengan saya kata: itu hanya alasan. Tak pandai urus pencuri masa lah tu. Begitu katanya. Saya akui ada juga kebenaran kata-kata sang arjuna hati itu.

Ogos berlangsungnya Ramadhan dan Syawal. Ramadhan memanglah sibuk. Hajat di hati mahu menggandakan amal ibadat. Bukan mengejar syurga. Bukan juga kemaruk pahala. Cuma saya mahu diri saya yang baru setelah habis 'persekolahan' di taman Ramadhan. Meminta syurga, rasanya masih terlalu jauh untuk layak diri ini. Namun, keredhaan-Nya sentiasa saya dambakan. Semoga dengan Rahim dan Rahman-Nya masa depan saya dan insan-insan yang tersayang akan tenang dan berbahagia di akhirat sana. Amin ya Rabbal 'Alamin.

Hari ini hari ketiga di bulan September. Harap-harap bulan Syawal dan  Zulhijjah ini akan menjadi bulan yang lebih menjadikan kita semua mulia di sisi DIA. Dan saya juga mengharapkan saya akan lebih bijak mengurus 'pencuri masa' agar saya ada sedikit waktu terluang untuk menulis di blog ini.

Istimewa buat anak-anak didik dan anak-anak saudara yang akan menapak ke menara sarjana, selamat maju dan berjaya. Manfaatkan peluang yang tidak akan datang berkali-kali ini dengan sebaik-baiknya. Berkawanlah dengan mereka yang mencintai ilmu pengetahuan. Ingatlah sentiasa bahawa tujuan utama kita berkelana jauh ke varsiti adalah untuk mencari permata ilmu demi keredhaan-Nya. Semoga beroleh kecemerlangan!

Salam kasih demi-Nya ..

Monday 30 July 2012

Fasa 1 Telah Berlalu

Hari ini 10 Ramadhan. Fasa pertama sudah pun berlalu. Ya Allah! Alangkah ruginya jika kita membiarkan 10 hari yang sarat dengan berkat itu berlalu begitu sahaja. Alhamdulillah! Subuh 9 Ramadhan cerpen saya: Aku, Dia dan Ramadhan selamat ke penghujungnya. Sebuah kisah tentang Cikgu Adrian yang berpuasa buat pertama kalinya dalam suku abad kehidupannya. Betapa indah! Betapa manis! Kenangan itu. Selesai proses bacaan pruf, insya-Allah akan saya kongsikan.

Saya tidak sabar menantikan esok. 11 Ramadhan! Saya inginkan Ramadhan yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Dalam kehidupan ini, wajiblah setiap daripada kita untuk mengimpikan dan melakukan yang terbaik, bukan? Bukankah Islam sebuah agama yang mementingkan kecemerlangan hidup di dua dunia.

Tiga hari yang lalu, saya meraikan hari ulang tahun seorang ibu guru. Hasrat untuk menghadiahkan sesuatu kepadanya tidak kesampaian. Barangkali dek kerana terlalu ghairah melangsaikan 1001 tuntutan kerja dan kehidupan saya terlupa tarikh ibu guru itu. Akhirnya sekadar ucapan berlatarkan mesej pendek kepadanya. Tepat jam 0938 malam pada Jumaat yang lalu.

"Ya Allah, anugerahkan dia keimanan yang kental, hati yang selalu bergetar menyebut nama-Mu, keafiatan dan keikhlasan menyempurnakan segala ibadat dan mandat, keberkatan dalam setiap detik waktu yang dilaluinya. Anugerahkan dia kebahagiaan dan kecemerlangan di dua dunia.

Ya Allah! ENgkau kasihilah dia, ampuni segala silap dan khilafnya. Sesungguhnya dia ibarat seorang ibu yang selalu mahu yang terbaik buat anak-anaknya. Berikan daku kekuatan, ya Allah untuk terus mendokong perjuangannya mencemerlangkan anak didik, agama dan bangsa kami.

Selamat hari ulang tahun kelahiran ibu guru. Doa ini hadiah istimewa buat cikgu!"

-Salam yang tulus & ikhlas -

^^ Itu sahajalah yang aku mampu berikan. Selain sebuah ingatan yang tepu! ^^^

Sunday 22 July 2012

Naskhah Kasih: Tetamuku, Ramadhan

Ramadhan akhirnya datang jua. Hari-hari terakhir di penghujung Syaaban, saya menyediakan diri. Merancang itu dan ini. Seadanya. Menulis beberapa azam yang mahu kucapai pada kunjungan Ramadhan kali ini. Bagiku, Ramadhan adalah tetamu yang istimewa. Amat istimewa malahan.

1 Ramadhan - seusai terawih, aku terkenangkan anak bujang kami yang berkelana jauh mencari ilmu. Lalu aku panjatkan doa agar Dia memelihara anak teruna kami itu. Aku juga mendoakan ibu dan ayahku agar dipelihara dalam keimanan. Tidak lupa suami tercinta dan anak-anak yang dikasihi. Moga semuanya istiqamah dalam kalimah tauhid-Nya. Aku kemudiannya memohon agar anak-anak didikku dilembutkan hati dalam menerima hidayah serta lapang dada menerima ilmu yang diajarkan guru. Tulus di hatiku, aku mahu mereka juga lulus cemerlang dalam peperiksaan yang akan mereka duduki November ini. Lebih-lebih lagilah, lulus dalam dewan KEHIDUPAN. Insya-Allah!

Seperti selalunya, Ramadhan terisi dengan pelbagai ibadat. Sekadar kemampuan diri. Pagi yang redup dan tenang memberikan semacam kedamaian. Tatkala anak-anak kembali terlena selepas Subuh, saya bersendirian di ruang tamu. Sambil membaca beberapa bahan bacaan, sesekala aku terusik oleh pelbagai imbasan. Terasa diri ini kerdil di sisi-Nya. Dalam usia puluhan tahun sekarang, saya cuba menghitung bekalan. Agh! Rasanya masih terlalu banyak yang perlu dipersiapkan. Lalu, aku bangkit di waktu Dhuha-Nya. Ya Allah! Rezekikan kami hidayah, iman dan Islam yang berkekalan.

Apa pun juga, semoga Ramadhan kali ini jauh lebih bermakna buat kita semua. Moga-moga kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Insya-Allah!

Salam kasih di pagi Ramadhan al-Mubarak!

Friday 6 July 2012

Cerpen: Kubah Hatiku

*sebuah kisah yang ditulis sebagai ‘tazkirah’ kepada anak-anak didikku yang kian meningkat remaja. Remaja yang berdepan dengan pelbagai cabaran. Termasuk cabaran tuntutan nafsu untuk bercinta. Menyintai dan dicintai. Istimewa buat mereka yang selalu ‘bersadu’ soal hati dan perasaan. Soal cinta yang tidak kesampaian. Putus di tengah jalan. Soal rasa yang sarat dengan rindu, benci dan dendam. Banyak sudah yang saya pelajari daripada generasi pasca-moden ini. Juga kepada mereka yang selalu bertanya: ‘kenapa cikgu memilih untuk BERCINTA selepas kahwin?’. Singkaplah makna cinta kasih yang sebenar lewat karya yang tidak sepertinya ini. Semoga ada iktibar yang dapat kalian petik di sini. Percayalah, cinta yang paling indah ialah cinta kepada DIA yang kekal. Abadi! Salam kasih fillah ..



KUBAH HATIKU


Titis kenangan jatuh menderu. Namun, dia telah cukup dewasa dengan gelombang yang tidak menentu. Dia juga sudah mangli dengan mimpi-mimpi miliknya yang selalu saja berderai tiba-tiba.

"The memory of you is so engraved in my heart that I take you with me, no matter where I go." Farihah Arishah melipat perlahan-lahan sehelai nota tulisan tangan yang lebih baik sedikit daripada cakar ayam. Nota yang telah pun berubah warnanya menjadi kekuningan. Sedikit kusam. 'Sekusam segugus kenangan silam ..', bisik Arishah perlahan.'Tapi ingatanku tidak pernah kusam', tukasnya kembali. Sebaris nama terpancar di skrin ingatan. Bersama segaris senyum yang sentiasa menguntum. Bersama suara gemersik yang pernah menggugah kubah hatinya. Tapi itu lama dulu. Sudah terlalu lama. Sudah pun menjadi sejarah yang tidak bertulis. Dia kalihkan ingatan bertahun dahulu.

"Apa khabar awak?" . Sepi. Suasana yang sepi di Perpustakaan Undang-undang Universiti Malaya menjadi semakin sepi. Sepi yang membuat dia bungkam.
"Alhamdulillah." Hambar! Di timpanumnyasendiri sudah cukup hambar malahan. Apatah lagi di deria dengar orang yang bertanya. 'Oh! Di tanganku mimpi yang tidak sempurna, Ayee.' Itu skrip yang sering menjadi mainan lidahnya suatu ketika dulu. Namun, petang itu semuanya hanya tergantung di relung hatinya saja.

Dia menundukkan pandangan. Sesungguhnya dia amat mengerti dan amat menyedari keadaan dulu dan kini sudah terlalu jauh berubah. Dia juga tidak mahu menjebak lelaki itu dengan jerat panahan syaitan di matanya. Dia ingin segera berlalu. Tanpa pamit dia mengatur langkah. 'Biarkan aku berlalu bersama rimba rinduku yang telah lama hangus terbakar!' Antara dengar dan tidak dia meniupkan semangat untuk terus membiarkan jurang yang menjarakkan mereka sejak sekian lama.

"Ayee, dah solat belum?" . Itu adalah sebahagian daripada set soalan yang pasti akan diajukan kepada sahabatnya itu dengan harapan dia mendengar jawapan yang mampu menyejukkan hatinya. Namun, nama yang telah mula memegang watak penting dalam hidupnya itu jarang-jarang sekali memberikan jawapan yang membuatkan dia bangga. Atau sekurang-kurangnya berasa lega. Itulah persoalan pokok yang akhirnya menjadikan rasa kasih kian menjadi renggang. Tiada lagi lagu mahu didendang. Betapapun dia memang seorang yang cukup mengagumkan. Cakaplah apa saja. Sebutlah bidang apa sekalipun. Akademik? Kokurikulum? Kepimpinan? Ketrampilan? Sempurna segala-galanya. Begitulah dia di mata orang lain. Dan di mata Arishah juga. Itulah hakikat. Sukar dinafikan oleh sesiapa pun. Dia seorang siswa yang datang dari kampung, dengan segala kesederhanaan. Tidak terlalu hebat tetapi memang cukup mengagumkan! Cuma di kanta iman Arishah, rasanya lelaki itu perlu menambah satu lagi. Bab keagamaan!

Dia petah berbicara. Lebih tepat lagi .. dia petah berhujah. Itu adalah salah satu daripada aset yang melonjakkan lagi sahamnya sebagai pemimpin mahasiswa. Rempuhan ideanya yang dijalin dalam urutan dan tingkat fakta yang kedengaran amat tersusun segala huraiannya. Membikin telinga yang mendengar mahu terus mendengar hingga ke noktah akhir. Dia memiliki suara emas. Di kala dia mengalunkan azan, hati tersentuh sehingga ke lubuk jiwa. Menyerlahkan lagi aura dan personalitinya!  Dia sentiasa mempamerkan riak tenang. Wajah yang terpancar keyakinan dan semangat yang tinggi. Tidak mudah menggelabah. Walau bagaimana sekalipun keadaan. Dia tidak pernah tercicir daripada Senarai Dekan! Tetapi tetap aktif di bidang kokurikulum. Agh! Arishah selalu mengingatkan dirinya dulu agar jangan terlalu taksub dengan lelaki bernama Hizairi itu.  


Dulu, Arishah juga selalu mempertahankan pendiriannya agar tidak keluar berdua-duaan dengan lelaki itu. Syukurlah, dia sentiasa dipinjamkan kekuatan iman oleh-Nya untuk menolak ajakan Hizairi itu. Hizairi? Ada kala dia berkecil hati juga. Dia yang suka berterus-terang hampir dalam semua perkara akan 'merehatkan' diri beberapa hari tidak menjejakinya. Namun, Arishah memikirkan itu adalah lebih baik daripada beralah kepada ajakan Hizairi untuk bertemu. 'Membuka ruang kepada makhluk ketiga!'. Peringatan Ustaz Mujahidin dulu segar di benak Arishah! 

Namun,  bagaikan ada 'chemistry' antara mereka, dalam perang dingin itu mereka tidak juga terjarak terlalu jauh. Hari-hari berpapasan di kompleks kuliah. Saban hujung minggu bertemu dalam mesyuarat persatuan. Dan Arishah memang amat menjaga. Batas pergaulan. Tutur bahasa. Bahasa lidah mahupun bahasa badan. Pelihara mata. Dan hati. Tidak mahu perhubungan itu tercela! Syukurlah pada zaman itu, media belum secanggih mana.

.....
Bertahun-tahun berlalu, bahagia yang dicari Arishah kekal tiada. Deru usia terus beredar namun angannya tidak pernah mekar. Kesian, bukan? Dia menguak jendela kenangan di zaman bergelar mahasiswi. Ternyata, dia dapat merumuskan bahawa keakraban sememangnya telah mewujudkan kecenderungan hati. Segalanya terbina hari demi hari. Roh, kasih, emosi, suara hati dan fikiran saling bertingkah antara satu sama lain. Setiap hari itu juga, Arishah membisikkan tazkirah agar dia tidak sekali-kali cuba mudik di arus songsang apatah lagi melabuhkan sauh singkat ketika angin sakal! Dia tidak pernah lupa ucapesan arwah ayahnya agar terus menjaga maruah diri. Zaman akhir remaja itulah, taufan emosi kuat bertiup.Kalaulah dia tidak teliti dan berhati-hati, dia bimbang dia akan menyesal kemudian hari.




    ... bersambung?

Wednesday 4 July 2012

NASKHAH HATI: Sahabat (1)


MENJEJAKI SAHABAT-SAHABAT LAMAKU ..


Saya baru sahaja selesai bertanyakan khabar seorang sahabat lama. Niech namanya. Sahabat yang pernah berkongsi 1001 kisah di zaman muda lela. Sahabat yang pernah ketawa terkekeh-kekeh bersama. Menangis tersedu-sedu berdua. Ya, kami bersahabat hanya selepas tamat SPM hampir 20 tahun yang lalu. Berjumpa pun hanya sesekala. Lebih tepat lagi hanya ketika saya balik bercuti di kampung halaman. Berhubung juga terlalu jarang. Terutama apabila berjauhan. Maklumlah, dulu bukannya seperti sekarang. Ada macam-macam kemudahan komunikasi yang canggih. Dulu, mengepos surat mengambil masa berhari-hari untuk ditatap oleh penerima. Bertelefon pula tidak semudah seperti sekarang ini. Namun, saya amat bersyukur. Apa pun keadaan pada masa itu persahabatan kami tetap terjalin.

Dalam hal memilih kawan, saya sebenarnya agak selektif orangnya. Saya tidak mudah rapat dengan semua orang (walaupun saya boleh dikategorikan sebagai 'friendly' jugalah) Tanpa 'chemistry' yang kuat, saya hanya akan hadir sebagai teman atau kawan. Ada kala menjadi lawan. Lawan bercakap! Saya bersahabat dengan mereka yang saya kira benar-benar serasi sahaja. Sepanjang bergelar murid sekolah rendah hinggalah keluar sebagai graduan, sahabat karib saya boleh dibilang dengan jari. Rasanya semasa di sekolah rendah, saya hanya rapat dengan seorang kawan. Ani namanya. Kami duduk bersebelahan sejak di Darjah Empat. Mempunyai kecenderungan yang sama; memilih untuk bertudung sejak di Darjah Lima. Saya kira itulah 'chemistry' yang mengakrabkan kami berdua. Namun, sebaik saya memilih untuk belajar di SBP, hubungan kami terputus. Bertahun-tahun. Tanpa khabar. Tanpa berita. Alih-alih kami berpapasan di Universiti Malaya pada tahun kedua pengajian. Alhamdulillah, persahabatan kembali bertaut.

Masa remaja saya banyak habis di rantau orang. Semasa anak-anak remaja lain masih kebal dengan rasa untuk berkepit di bawah ketiak emak, saya menerima tawaran ke SBP. Jujur saya akui, saya benar-benar pasrah untuk belajar di negeri orang. Walaupun dalam masa yang sama, hati amatlah berat untuk meninggalkan keluarga. Beberapa kali saya memohon petunjuk-Nya lewat beberapa siri istikharah (yang saya pelajari dari sebuah buku: Pedoman Solat Sunat). Entah kuasa apa yang menggerakkan hati ini agar sedia berkelana. Saya sendiri kurang pasti. Tetapi yang nyata, saya memang mahu bersekolah di sekolah agama.

Takdir menemukan saya dengan beberapa orang sahabat yang saya iktiraf sebagai 'good friends' di asrama. Kohort kami, pelajar puterinya tidaklah seramai mana pun. Tak sampai 60 oranglah rasanya. Jumlah yang sedikit itu membuatkan kami sememangnya baik dengan hampir semua rakan seangkatan. Hidup di asrama ini kenalah pandai membawa diri. Lebih-lebih lagi anak rantau seperti saya. Huh! Macam-macam yang perlu diambilkira.

Tahun pertama di sekolah menengah, Fidz adalah sahabat yang agak rapat dengan saya. Ditempatkan sebilik. Katil kami bertentangan arah. Satu persamaan yang ketara: kami saling menangis bersama. Terkenangkan ibu. Teringatkan adik. Rindukan bilik di rumah! Agh!! Lawak pula mengingat kembali momen itu. Sebaik bacaan ayat suci kedengaran di corong pembesar suara, hati dipagut sayu bertalu-talu. Rindu bertamu. Saya dan Fidz selalu jadi tidak menentu. Lalu kami berkongsi suara kerinduan kami. Kisah kami yang 'homesick'!

Seorang lagi sahabat saya, Kak Sham. Senior dua tahun. Seorang yang genius. Dan religious. Dia amat mementingkan bab keagamaan. Itulah 'chemistry' yang mengakrabkan kami. Sehingga dia tamat matrikulasi UKM, kami masih berutus-utus surat. Dia banyak menasihati saya. Ada kala saya juga menasihati dia. Dalam bab-bab tertentu. Kami meluangkan masa bersama. Dia yang genius itu tidak pernah lokek memberikan tunjuk ajar. Memberikan teguran. Terutama apabila 'outing' bersama, dialah yang selalu mengingatkan saya agar hemat berbelanja. Kalaulah dia tidak selalu mengingatkan saya, saya pasti turun dari bas SKS dengan beg plastik yang tak cukup tangan nak bawa. Ha ha ha! Thanks, Kak Sham for this. (Sekarang dah jadi doktor pakar dah!) Alhamdulillah, dalam kesibukan yang tak berpenghujung kami masih 'keep in touch' sehingga sekarang. Walaupun sudah puluhan tahun tidakbersua muka. Moga ukhuwah berpanjangan ..

Naskhah Hati: Menjengah Ke Kamar Diri

MENJENGAH KE KAMAR DIRI



Disebabkan terlalu banyak kerja yang bertindihan akhir-akhir ini, saya bagaikan kehilangan waktu. Terlalu banyak yang perlu difikirkan sehingga lupa berfikir tentang diri sendiri. Setiap hari ada saja yang menuntut perhatian. Tanggungjawab yang tidak pernah selesai. Saya teringatkan kata-kata seorang sahabat lama saya: 'pejuang tak kenal erti rehat ..' Seorang kawan lama saya yang lain pula pernah bercakap kalau nak rehat tunggu di syurga. (Huh! Itu pun kalau masuk syurga, Ya Allah! Layakkah? --- Ini persoalan lain pula).

Jadi, hari ini saya mengambil keputusan untuk menjengah diri saya sendiri. Di kamar diri! Saya membelek masa yang saya habiskan sepanjang minggu ini dan minggu lepas. Agh! Terlalu banyak masa habis dengan kerja rasmi. Banyak rutin di rumah yang tertunda. Banyak janji dengan anak-anak masih tertunggak. Aduyai! Hendak mengeluh pun tak berguna. Hari ini -- sebaik terjaga dari lena yang panjang, saya memberitahu diri saya tiga perkara. Pertama; ketika anak-anak masih berjaga, luangkan masa sepenuhnya dengan mereka. Lebih kerap mengajak mereka membantu kerja rumah secara berjemaah. Bukan sahaja kerja jadi mudah, tapi ukhuwwah insya-Allah akan menjadi lebih kukuh. Kedua; lambakan kerja di pejabat tinggalkan di pintu pagar. Rumah adalah syurga bersama keluarga. Namun, jika keadaan memaksa (maklumlah kerja-kerja online berkejaran dengan 'tarikh akhir', maka bukalah pejabat itu pada jam 0345 pagi hingga jam 0500 subuh. Ketika anak-anak masih diulit mimpi indah. Bersyarat! Langsaikan dulu nawafilmu dengan Tuhan-Mu sebelum menyelesaikan segala kerja yang diarahkan oleh hamba Tuhan-Mu. Ketiga; hayati kesibukan ini dengan rasa bahagia. Gembira dan teruja!

Detik ini. Saya harus berhenti di sini. Di hadapan saya masih ada timbunan tanggungjawab yang memerlukan sentuhan saya. Hidup ini adalah satu tanggungjawab yang berat. Sesungguhnya! Usah diringan-ringankan agar ia tidak menjadi liabiliti.

Salam kasih fillah. Selamat menjalani kehidupan yang membahagiakan.

Monday 2 July 2012

CERITA RAKYAT: Dayang Esah Tandang Sari

DAYANG ESAH TANDANG SARI SI GADIS BULUH BETONG


            Di pinggir hutan tebal Simanggang tinggal beberapa keluarga Melayu yang menjadi penghuni perkampungan warisan turun-temurun itu. Masyarakat kecil itu menjalani kehidupan harian dengan penuh kesederhanaan tanpa sebarang sentuhan kemudahan asas apatah lagi kemajuan dan kemodenan. Sungguhpun demikian semua keluarga itu menikmati hidup dengan segenap rasa kebahagiaan, kesyukuran dan keinsafan. Kehidupan yang rukun!

Sumber pencarian utama penduduk perkampungan Melayu itu  bercucuk-tanam. Padi, pisang, ubi bandung, keledek, labu dan pelbagai tanaman lain menjadi sumber makanan mereka. Di samping itu terdapat juga ‘wira-wira’ kampung  yang berburu binatang liar di hutan. Lazimnya mereka berburu secara berkumpulan. Seringkali mereka tidak pulang dengan tangan kosong kerana kemahiran mereka berburu sejak sekian tahun menjadikan mereka pemburu yang cekap dan dapat menembak sasaran buruan dengan tepat. Rusa, seladang dan pelanduk adalah antara binatang yang sering dibawa pulang.

            Sebahagian yang lain pula turun ke laut menangkap ikan atau menjala udang. Pelbagai hasil tangkapan yang lumayan membekalkan makanan yang mencukupi keperluan penduduk perkampungan itu. Setiap tahun terdapat juga golongan wanita tua yang berhuma di perbukitan berhampiran kampung itu. Proses penanaman mereka selesaikan secara ‘menabang’ atau bergotong-royong. Hasil padi kemudiannya dibahagi-bahagikan sesama sendiri.

            Bagi memenuhi keperluan hidup masing-masing, penduduk pinggir hutan itu saling bertukar-tukar hasil pencarian. Mereka juga berpegang kepada prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Ibarat ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ itulah sendi kerukunan kehidupan bermasyarakat di situ. Sebarang pertelingkahan dan perselisihan faham diselesaikan melalui rundingan secara bersemuka dan dicari jalan perdamaian. Tiada dendam. Tanpa sengketa. Tidak hairanlah mereka sentiasa hidup dengan penuh rukun dan semangat muhibbah yang tinggi. Toleransi menjadi tiang seri kerukunan hidup.

            Di hujung perkampungan tersebut, terdapat banyak rumpun buluh yang tinggi menggalah. Berdaun rimbun, berbatang keras-liat. Saban kali bumi dicengkam sepi tatkala malam mengibarkan sayapnya di mana-mana, pasti sayup-sayup kedengaran rimbunan buluh itu bergeseran sesama sendiri. Bersatu dengan nyanyian malam sang cengkerik! Satu suasana malam yang cukup indah di perkampungan terpencil itu.

            Pada suatu subuh yang hening-bening, penduduk kampung terpencil itu digemparkan dengan suara tangisan halus seorang bayi. Tangisan yang begitu meruntun hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Penduduk kampung beramai-ramai menjejaki arah tangisan bayi itu. Nyaring tangisan bayi di subuh dingin itu membawa penduduk kampung ke rumpunan buluh di hujung kampung. Gerakan pengesan yang turut disertai kaum ibu begegas menghampiri rimbunan buluh yang merimbun itu.

            Tidak lama kemudian secara  tiba-tiba batang buluh yang lebih besar daripada buluh yang lain kelihatan bergoncang kuat. Kuat, kuat dan semakin kuat. Di luar jangkaan batang buluh sebesar pemeluk lelaki dewasa perlahan-lahan terbelah. Penuh dramatik sekali. Serentak itu tangisan bayi kedengaran semakin kuat. Sebaik sahaja batang buluh itu terbelah sepenuhnya, kelihatan seorang bayi berbedung dedaun hutan berlinangan air mata, sudah keletihan meneran tangis.

            Tangisan bayi yang masih bersisa amat menyentuh hati keibuan. Naluri seorang ibu mendorong isteri Temenggong menerpa ke arah bayi yang putih mulus-polos kemerah-merahan itu. Didakapnya erat bayi perempuan  yang gebu kulitnya itu penuh kasih. Comel. Sungguh comel! Itulah perkataan untuk menggambarkan bayi yang ajaib itu.

            “Aku akan memelihara bayi ini,” ujar isteri Temenggong seraya mendakap dan mencium-cium ubun-ubun bayi itu dengan penuh sifat keibuan. Tidak semena-mena bayi itu berhenti menangis. Matanya melingas-lingas seolah-olah memerhati keadaan sekeliling yang dirasakannya begitu asing. Isteri Temenggong mengukir senyum sambil melirik suaminya, tanda meminta persetujuan. Lirikan itu berbalas dengan anggukan kecil Tuan Temenggong sebagai memberikan lampu hijau. Tambahan pula anak-anak mereka juga telah besar panjang malah ada yang telah berumah-tangga. Penduduk lain yang turut berada di situ turut mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan hasrat isteri Temenggong itu. Sementelah rasa hormat mereka kepada ketua begitu menebal. Maka bermulalah kehidupan bayi buluh betong itu di rumah Tuan Temenggong. Bayi itu diberi nama Dayang Esah Tandang Sari.

            Masa beredar, zaman bergantian. Dayang Esah kini semakin meningkat remaja. Dia membesar sebagai gadis sunti yang rupawan dan digilai ramai pemuda. Dayang Esah dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan didikan sempurna oleh keluarga barunya yang bertanggungjawab itu. Tidak hairanlah Dayang terkenal dengan sikap lemah-lembut, peramah, periang dan indah tutur kata. Tinggi pekerti serta baik pula peri lakunya dan cantik budi bahasa menjadikan Dayang Esah amat dikasihi sesiapa sahaja yang bertemu dengannya, baik golongan muda mhupun kanak-kanak kecil dan orang-orang tua. Apatah lagi sesama rakan sebaya. Semuanya suka bergaul dengan Dayang Esah.

            Kejelitaan Dayang Esah menjadi sebutan masyarakat setempat terutamanya belia-belia muda. Ramai yang menaruh hati untuk memperisterikannya namun Dayang Esah tetap merendah diri dan menolak setiap lamaran dengan baik. Dayang Esah  memberi alasan masih mahu berbakti membantu meringankan beban orang tuanya yang telah banyak berjasa kepadanya. “Ibu yang menjadi permata hatiku masih ingin bermanja denganku. Khidmat air tanganku masih diperlukan oleh bapaku yang menjadi wira di jiwaku.” Demikian Dayang Esah berperi. Dia kasihkan kedua orang tuanya sebagaimana mereka mengasihinya. Dayang sayang keduanya sesungguh hati. Sungguh!

Sunday 24 June 2012

Bacaanku: Mencari Titik Fokus Kehidupan

Semalam saya berjaya menoktahi bacaan buku motivasi diri karya Brian Tracy. 'Focal Point' itulah karya asal yang telah pun diterjemahkan dalam edisi Bahasa Melayu. Sesekala membaca buku-buku seperti ini memanglah dapat memperbaharui ikrar kecintaan kita kepada perjuangan hidup. Dalam dunia pembacaan, saya memang tidak mempunyai limitasi bidang. Bermakna dan bermanfaat daripada kanta minda saya bermakna bahan bacaan itulah yang akan saya tekini.

Buku ini memberikan kita panduan bagaimana untuk kita menggandakan produktiviti dan mencapai matlamat-matlamat kita dalam hidup. Bahasa yang mudah. Ayat yang tidak berbelit-belit. Lontaran idea yang praktikal sifatnya. Itulah yang dapat saya katakan tentang buku ini. Sejujurnya, keseluruhan idea penulis memang melorongkan kita kepada kehidupan yang lebih berkualiti. Dan saya amat sukakannya! Bukankah Islam juga menekankan kecemerlangan hidup yang selari dengan syariat. Ya, kecemerlangan. Kecemerlangan yang di dalamnya ada elemen ketinggian kualiti. Islam menekankan kesungguhan dalam apa juga yang kita lakukan.

Saya ketengahkan di sini beberapa keratan yang mengesani jiwa saya yang sentiasa dahagakan penambah-baikan diri dalam memburu kehidupan yang lebih bererti kepada agama, keluarga dan nusa.

1- Kualiti kehidupan akan kita capai dengan lebih pantas daripada apa yang kita jangkakan jika kita ada hasrat mahu berubah, tekad mengambil tindakan dan disiplin yang kuuat untuk melaksanakan tabiat-tabiat baru yang dipilih serta azam meneruskan usaha. Tanpa jemu!

2- Kita dapat menggandakan waktu rehat tanpa mengorbankan produktiviti. Kuantiti masa tidak  mencerminkan kualiti kerja yang sebenar!

3- Cipta kemajuan. Bukan cipta alasan.

4- Hidup adalah penelitian terhadap tumpuan. Perlu bijak menentukan prioriti.

5-Semuanya sukar dahulu sebelum menjadi mudah. <Goethe, ahli falsafah Jerman> Janji Allah di dalam al-Quran: setiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan. Apa yang penting, usaha mesti digandakan! Man jadda wajada.

6. Orang yang berjaya bertindak seperti layar radar. Sentiasalah pantau lingkunagn kehidupan, gali dan cari idea dan wawasan orang yang telah berjaya sebelumnya. Ambil iktibar daripada kegagalan orang lain.

^^ ^^^^ wallahu a'lam. DIA juga yang lebih mengetahui ^^^^^

Saturday 23 June 2012

Cerpen: Belantara Inilah Takdirku

BELANTARA INILAH TAKDIRKU
Balo Bilong sedikit berdebar-debar setiap kali bot pancung yang meluncur laju itu sedikit tersasar. Entah mengapa ada getar yang mampir, sedangkan dia sudah sebati dengan situasi seperti itu sejak dia masih berhingus lagi. Ya, hutan belantara Long Lalong itu terlalu hampir di hati dan nubarinya, biar  pun dia sudah merentas sempadan dataran Empayar Uthmaniah yang terkenal itu. Atas nama kemanusiaan. Atas dasar persaudaraan. Atas asas keamanan. Keamanan sejagat!
Kredit buat anak debat saya: Hayati @ Yatie Fotograf


            Dia baru sahaja selamat dihantar pulang ke Tanah Malaysia setelah 44 hari dalam tahanan di tanah asing. Hidup dalam kamar gelap berukuran 48 kaki persegi itu memang amat mendera indera dan minda. Puluhan tahun Balo Bilong hidup lepas bebas tanpa sekatan meneroka tiap inci bumi belantara rimba dara Long Lalong, justeru dikurung dalam bilik sempit yang gelap, hapak dan berhabuk adalah mimpi nyeri yang amat ngeri baginya. Sungguh ngeri!
            Balo Bilong kembali lagi ke sini kerana misi yang sama. Misi keamanan. Misi kemanusiaan. Keamanan dan kemanusiaan untuk nusa bangsanya. Bangsa yang terpinggir dari arus kemodenan. Bangsa yang terpenjara dalam kehidupan primitif! Namun Balo Bilong dan seluruh jagat belantara itu tidak pernah kesal. Tiada sekelumit sesal pun di hati mereka. ‘Belantara ini takdir dan duniaku’, Balo Bilong membisikan kalimah-kalimah kecintaan itu satu-persatu. Barangkali untuk memberi ruang kepada nubarinya untuk membaurkan kata-kata itu benar-benar meresapi seluruh relung jiwanya.
            Semasa berada di kembara yang panjang, menuruni lembah kehidupan, melewati denai-denai kebahagiaan dan onak duri sepanjang perjalanannya Long Lalong tidak pernah jauh dari hati Balo Bilong. Kehijauannya yang mempesona. Aroma rimbanya yang bugar. Segalanya memaku ingatan dan kerinduan Balo Bilong pada tanah tumpah kelahirannya. Di bawah pokok-pokok balak yang terpasak kukuh itulah tempat dia bermain kahwin-kahwin dengan si manis Porla dan rakan sepermainan yang lain. Di bawah teduhan dahan balak yang melebar bagaikan kanopi itulah mereka dirikan pelamin batu. Mereka bersanding-sandingan dalam upacara perkahwinan beramai-ramai. Batu besar mereka hiasi dengan ranting, dahan, daun dan buah-buahan liar di belantara itu. Agh! Kenangan-kenangan silam itu memang indah untuk dikenang!
            Buaya-buaya yang berkeliaran di permukaaan Sungai Sidat bagaikan memanggil-manggilnya mesra. Manja. Arus deras Sungai Sigat melagukan irama yang keras. Keras bak mentaliti sebahagian besar masyarakatnya.
            “Sudah lama tidak kelihatan, Balo?” soalan  Balan Brunus yang duduk bertemu lutut dengannya mencantas lamunan Balo.
            “Oh! Iya, Balan. Aku mencuba nasib di luar sana.” Balo sekadar berbasa-basi.
            “Tak usah susah-susah mengubah nasib, Balo. Kehidupan kita di belantara ini sudah cukup serba-serbinya. Aman-tenteram kita. Di luar sana tu, macam-macam masalah.”
Balan Brunus memang begitu. Sejak dahulu mentalitinya kental dengan semangat cinta pada belantara itu! Dia suka bercakap. Dia suka berkongsi pandangan tentang kehidupan. Dia suka mempengaruhi penghuni belantara itu agar terus tegar berada di bumi Long Lalong.
            Jeda.
Beberapa orang pelancong asing khusyuk menghayati situasi alamiah yang mereka lalui. Seorang lelaki tinggi-lampai yang sentiasa tersenyum sejak tadi bagaikan terlalu ghairah dengan dunia fotografinya. Berbekalkan kamera Canon megapixel 13.2 sudah tentulah lukisan alam yang dirakamkan oleh lensanya benar-benar indah.
Hanya deru bot sahaja kedengaran menderum. Sesekala kedengaran seperti singa tua mengaum bunyinya. Uzur. ‘Seuzur kehidupan kaumku!’ desis hati kecil Balo.
            Sesungguhnya Balo tidak berkira-kira untuk memberi respons kepada persoalan yang dilontarkan oleh Balan Brunus. Dia lelaki berpangkat datuk yang sudah mewarisi belantara itu sejak sekian zaman. Dia ada pendirian yang teguh berdasarkan lensanya sendiri. Tentang alam. Tentang maruah. Tentang kehidupan.
            Apa yang ligat dia fikirkan pada saatika itu ialah cercaan negara-negara Eropah terhadap kerajaan Malaysia yang kononnya menzalimi kaumnya. Bukan itu saja, kumpulan pencinta alam sekitar turut mengecam Malaysia atas sebab yang sama!
            Benarkah? Atau semuanya ini hanya tipu-helah masyarakat antarabangsa? Ada jarum-jarum wasangka yang mencucuk-cucuk tangkai hati. Sangsi. Sedikit sangsi.
            Balo Bilong tidak mempunyai sijil tinggi dalam bidang akademik kecuali sijil UPSR. Dia tidak pun menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Namun dia mengarifi kehidupan ini setelah suatu perjalanan panjang. Cukup panjang. Cukup mendewasakan.
            Dalam usia mentah 14 tahun, dia telah berhijrah ke bandaraya Kuching. Ratap tangis ibunya tidak dipedulikannya tika azam sudah tertancap dalam untuk memilih laluan hidup sebagai pengembara. Lazimnya, masyarakatnya lebih suka memilih untuk terus menetap di tanah kelahiran mereka. Boleh dibilang dengan jari berapa ramai belia yang keluar dari kepompong kehidupan di belantara itu. Bagi mereka, khususnya generasi tua, belantara itulah dunia mereka. Hidup dan mati mereka di belantara itulah.
            Seusai bot pancung itu benar-benar berlabuh di jeti, penumpang-penumpangnya bergegas keluar. Barangkali masing-masing ada keperluan yang harus dilangsaikan dengan segera. Bilo Balong tidak ketinggalan. Dia mengatur gerak langkah lekas-lekas. Dia memang sudah biasa bergerak pantas. Serba-serbi perkara dia memang tangkas.
            Segaris senyum sentiasa terpokah di kelopak bibirnya yang merah. Merah dek kerana suci daripada sentuhan asap tembakau.. Sejak kecil dia memang tidak berminat menghisap tembakau yang menjadi kebiasaan rakan-rakan sebayanya. Bukan kerana dia tahu asap tembakau itu memudaratkan tetapi lebih kepada disebabkan tenggoroknya tidak dapat menerima kehadiran kepulan asap itu.
            Nasib Balo memang agak baik hari itu.
“Wah! Balo aah .. mau balik rumahkah?” sapaan itu melebarkan senyuman Balo.
“Oh! Ah Soon. Ya, ya. Mau baliklah ni ..” Bilo segera menjawab seraya mengukir senyum manis.
“Naik! Naik!”. Keikhlasan terpancar di wajahnya. Begitu jelas.
Sesungguhnya pelawaan itu bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal empuk. Tanpa berlengah Balo melompat masuk ke dalam kereta pacuan empat roda berwarna hitam milik Sumaling Sendirian Berhad.
 Perjalanan sejauh 300 kilometer bukanlah suatu yang dekat. Tambahan pula jalan menuju ke penempatannya  itu berlubang-liku, berdebu dan tidak rata. Penumpang terumbang-ambing duduknya. Sekejap terlambung ke kiri, ada kala terlambung ke kanan. Pendek kata, tidak senang duduk sepanjang perjalanan dek kenderaan yang acapkali bergoncang. Kendatipun demikian, dia tidak jemu sepanjang perjalanan itu. Tidak berputik pun kebimbangan tatkala terpandang jurang dalam di bahu panjang. Segala yang dilalui amat indah! Amat alamiah! Tanpa setitik pun noda pencemaran dan pencabulan alam.
Setibanya di destinasi, Balo bergegas bertemu dengan Ah Soon. Not RM50 disuguhkannya dengan ikhlas namun dibalas dengan gelengan berkali-kali oleh pemandu syarikat balak itu. Balo berkeras namun Ah Soon lebih keras lagi menolak pelawaan itu.
“Terima kasih Soon. Banyak-banyak terima kasih”, itu sajalah yang dapat diucapkannya bagi menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga.
“Sama-sama. Perkara kecil saja ini”, balas Ah Soon. Mereka kemudiannya berbalas lambaian sebelum berpisah menuju ke arah masing-masing.
Dari jauh, kelihatan kelibat lelaki seusianya duduk bersesak-sesak di beranda rumah. Mereka sememangnya gemar duduk begitu sambil berbual-bual kosong di ‘stesen’ mereka itu. Beranda rumah mereka berlantaikan kayu bulat dan berdinding papan. Atapnya pula diperbuat daripada zink. Kelihatannya zink itu sudah diulit karat di sana sini.
Kaum wanita di petempatannya pula, sejak usia menginjak 15 tahun sudah mengendong anak kecil. Anak kecil yang berkudis di kepala sambil berjalan terbongkok-bongkok tanpa baju yang sempurna. Ada yang berbaju, seluar tiada. Ada yang dipakaikan seluar, baju pula tiada.
“Aduhai kaumku ini. Benar-benar jauh tertinggal di belakang”  lirih hatinya berbisik menyesali nasib kaum sendiri.
Namun dia tidak menyalahkan sesiapa. Sungguh! Dia tidak menyalahkan sesiapa pun juga. Bukankah perubahan itu harus dicetuskan oleh diri manusia itu sendiri. Tanpa keinginan sendiri, perubahan itu tidak akan menjadi realiti.

Sungguhpun daif dan masih agak primitif namun tidaklah sehingga hanya mengenakan cawat dan tinggal di atas pokok. Kenyataan terlalu jauh dengan gambaran Bruno Manser dalam karyanya Stimmen Aus Dem Regenwald. Warga Switzerland yang tanpa segan, tanpa silu menggelarkan dirinya sebagai “The King of Penan” itu pernah mendakwa kaum Balo Bilong ibarat pari-pari yang hidup di alam kayangan. Hakikatnya, kaum Balo tidaklah seteruk yang didakwa oleh Bruno yang cabul mulut dan bermotif jahat itu.
Angkara Bruno reputasi Malaysia di mata dunia tercalar. Bruno yang pernah duduk secara haram dengan kaum minoriti Penan nun di belantara Long Benalih, Miri sejak 1984 itu memang membuat huru-hara. Gara-gara dakwaannya yang tidak berasas itu Kesatuan Eropah telah memulaukan kayu tropika Malaysia, terutamanya kayu yang datangnya dari Bumi Kenyalang.
Sungguh menjengkelkan! Sungguh memualkan!
Kata Bruno, pihak berkuasa kerajaan ini menembak orang Penan yang membina benteng manusia di Long Benalih untuk menghalang lori balak melalui kawasan penempatan mereka seputar tahun 1986 dan 1987. Dakwaan ini pula digembar-gemburkan oleh media Barat. Akibat termakan hasutan manusia bernama Bruno itu, sekumpulan pencinta alam sekitar di Switzerland meletuskan demonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Malaysia di Zurich pada tahun 1989.
Kacau! Keadaan berbilau-bilau. Malaysia dilihat oleh dunia dengan lensa yang amat buruk.
Begitulah padahnya. Sebagai penulis, Bruno sepatutnya harus bertindak jujur. Mengupas-ulas kenyataan yang benar, bukannya melaporkan kepalsuan. Benarlah, mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Buktinya, tulisan Bruno yang sarat berbaur motif khianat itu mendorong pewaris takhkta Diraja Britain untuk mengecam hebat kerajaan kita yang kononnya menzalimi kaum Penan. Semasa menyampaikan sebuah ceramah di Royal Botanic Garden, Kew, London pada 6 Februari 1990.
Itulah yang dibaca oleh Balo Bilong dalam sebuah artikel bertajuk ‘Mitos Penan Hidup Terpinggir’, tulisan wartawan sebuah majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun Balo lupa siapa penulisnya, namun isi ceritanya tidak pernah dia lupa. Apatah lagi tulisan itu menyinggung nasib kaumnya sendiri.
Seramai lebih kurang 1100 orang mendiami petempatan itu. Sebahagian besarnya menganut Kristian dan segelintir kecil generasi tuanya setia dengan ajaran animisme. Masih ada yang percayakan kepada semangat padi bukit. Tidak kurang yang percayakan sesetengah binatang berbisa menghadirkan alamat-alamat buruk. Jika kala jengking bolos ke rumah, umpamanya membawa petanda ada orang yang berniat khianat kepada tuan rumah.
Dari segi kemudahan pula, bekalan elektrik dan air bersih 24 jam belum lagi mampir di kawasan penempatan yang terpencil itu.  Lokasi perkampungan mereka yang terlalu jauh merupakan antara faktor utama projek pembangunan lambat disalurkan, sungguhpun bilangan mereka sekitar 16 ribu di seluruh bumi Sarawak. Jika dibandingkan dengan orang Asli di Semenanjung Malaysia rutin mereka tidak terlalu jauh berbeza.
Kedaifan kaumnya itulah yang memanggilnya pulang. Ya! Itulah hakikat sebenar kepulangannya kali ini.Setiba di depan rumah papan keluarganya, dia memanjat anak tangga. Belum sempat dia mengucap selamat, suasana menjadi riuh-rendah tiba-tiba. Ibu tuanya menerpanya bagaikan puluhan tahun tidak berjumpa.
“Anakku, Balo. Balo .. akhirnya kau pulang, anakku.” Sungguhpun belantara itu mewariskan kemiskinan dan penderitaan sejak ratusan tahun dahulu namun sesungguhnya mereka tidak pernah miskin dengan kasih sayang. Kaum itu juga tidak pernah menderita kerana kemarau persaudaraan. Bahkan semangat kekitaan dan setiakawan mereka amat akrab. Tidak ada istilah bagaikan enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Balo Bilong membalas dakapan itu. Sepanjang di rantauan, dia juga tidak pernah sesaat pun tidak merindui ibu yang melahirkannya itu.Dia kemudiannya menyalami semua yang ada di situ. Anak-anak buahnya seramai tujuh orang melompat-lompat girang mengerumuninya. Mereka bertukar-tukar cerita dan berita. Banyak sebenarnya yang ingin Balo Bilong tanyakan namun dia sengaja menyimpannya dahulu.Daripada pertemuan itu, dia dapat tahu ada seorang rakyat asing duduk di petempatan mereka itu.
“Dia baik kepada kita semua di sini”, itulah persepsi yang dikongsikan oleh kakak sulongnya yang sudah beranak 18 orang itu. Anak sulong kakaknya itu sudah pun hampir sama tinggi dengan kakaknya.
“Berapa lama sudah orang itu diam di sini?”, Balo Bilong terus mengorek maklumat. Sememangnya dia ada terbaca tentang kehadiran ‘orang asing’ itu di dada media.
“Lama juga, lebih kurang 3 atau 4 bulan?”, begitu kata abangnya, Bili pula.
“Lama tu”, getus Balo. Ada kerut terbanir di dahinya.
“Apa yang sudah dia perbuat?”, Balo Bilong bagaikan sudah tidak mahu menanti esok untuk mengetahui lebih lanjut aktiviti ‘orang asing’ itu.
“Stib itu datang untuk menolong kita di sini. Ada masa dia bagi kita semua mee maggi sekotak setiap rumah. Kadang-kadang gula, garam, pusuk diagih-agihkan kepada setiap keluarga”, terang Bili dengan penuh teruja. Stib ‘orang asing’ itu ibarat dewa dari kayangan yang datang menghamparkan sejuta pemberian!

Stib atau sebenarnya Steve (kaumnya memang sukar menyebut fonem dengan betul!). Mereka menyebutnya dengan lidah orang ulu yang tidak terdedah sepenuhnya kepada pemelajaran bahasa yang benar-benar betul.  Bagaimanakan mengajar mereka dengan wajar, jika kehadiran ke sekolah pun hanya mengikut musim. Musim hujan umpamanya, kehadiran ke sekolah amatlah mendukacitakan walaupun jarak rumah dan sekolah hanya sepelaung sahaja. Kehadiran menjadi semakin susut pada musim buah-buahan hutan meluruhkan hasil masing-masing.
Agh! Sampai bilakah anak-anak nusaku ini akan sedar?”, keluh Balo Bilong. Dan dia tidak menemui sebarang jawapan. Berdasarkan cerita dari abang dan kakaknya itu, Balo dapat merumuskan bahawa Steve telah mengatur strategi yang rapi untuk sesuatu misi. Masalahnya, Balo belum dapat mengesani misi ‘orang asing’ bernama Steve itu. Namun, kata hatinya membisikkan sesuatu yang kurang menyenangkan.
Dia berkira-kira untuk berbaring merehatkan tulang belakangnya ketika peristiwa Bruno Manser menyebarkan cerita palsu tentang kaumnya di belantara itu terpampang di skrin mindanya! Kata penjenayah sejarah yang cuba menjarah pemikiran masyarakat marcapada ini kaum Balo dizalimi oleh kerajaan, disisihkan daripada arus pembangunan, dijadikan buruh paksa dalam projek-projek pembalakan. Dan agh! Macam-macam lagi. Segalanya berkemendang di layar fikir!  Tanpa terkawal, berjurus persoalan menujah ruang fikiran sebelum akhirnya dia terlena panjang. Sesekali mimpi ngeri menerobosi alam tidak sedarnya itu.
Malam itu gelap. Kehitaman ada di mana-mana. Bulan sehiris di dada langit sesekali menjenguk di balik gemawan yang kelabu pekat bagaikan lumpuh untuk menumpahkan sinar. Hilir perkampungan itu didakap sepi. Balo Bilong terjaga tiba-tiba. Dia mencongak-congak agendanya untuk hari esok. Dalam diam dia menanam azam dan membulatkan tekad. Nekad. Mukatamad! Dia akan bersemuka dengan lelaki bangsa asing. Bangsa bangsat yang cuba menjerat bangsanya.
Aku anak lelaki. Aku tidak akan membiarkan harga diri bangsaku dipijak-pijak. Aku mahu maruah kaumku tidak kamu pertaruhkan demi sebuah motif jahat kepada kerajaan yang menanungi kami! Demi belantara ini .. aku bersumpah akan terus berjuang. Aku bersumpah! Sumpah! Sumpah! Suara hati Balo Bilong bergenta lantang di relung jiwanya. Dia seolah-olah memperbaharui ikrar perjuangannya. Semangat wira membara, api juang terus tinggi menjulang. Jamung perjuangan ini harus terus dijunjung di jemala hati.
Subuhnya Balo sudah membuat keputusan. Dia mahu membuat perhitungan. Jauh di dasar hati, dia amat sedar sebagai bangsa pribumi, kaumnya sejak dahulu berdepan dengan tiga masalah dasar. Pertamanya; kehilangan tanah warisan leluhur. Kedua; status sosioekonomi yang sentiasa terkepung dalam kepompong kemiskinan yang amat. Dan ketiga; belantara yang menjadi sumber rezeki dan inspirasi musnah dibaham pembangunan. Itulah yang dialami oleh kaum pribumi di Amerika Latin dan tengah. Itulah yang dirasai oleh pribumi Costa  Rica. Namun perbezaan tetap wujud!
Kami tidak dilayani seperti binatang sebagaimana yang berlaku ke atas pribumi Amerika Latin. Dan kami tidak dibunuh kerana cuba menghalang-hadang arus pemodenan seperti yang dideritai oleh kaum Yanomami di Brazil.” Ada nada yang tegas pada hujung jeda Balo kali ini.
Seusai bersarapan sekadarnya, Balo tidak mahu membuang masa lagi. Dia terus mengatur langkah ke destinasi yang telah dikenalpasti sejak dia tiba semalam.Dalam perjalanan dia berpapasan dengan Bilun Balalan, Ketua Kampung yang cukup dihormati kerana datang dari keturunan yang bersifat perwira dan tangkas berburu di hutan. Asal ke hutan, Bilun tidak pernah pulang tanpa hasil yang lumayan. Ada-ada saja yang dia bawa pulang.
“Pak Ketua, apa khabar?” Balo bersalaman mesra dengan pemimpin penempatannya itu.
“Oh! Bagus. Bagus. Bagus juga”, balas Bilun Balalan. Terpancar ketokohan sebagai ketua dari nada suaranya. Tegas. Garau!
“Kalaulah dia tahu apa yang mahu aku lakukan, apakah tindak-balasnya?” soalan itu bersipongang dalam hati Balo. “Huh! Aku pedulia apa?”, suara hatinya berkata lagi.
Ketika matahari mula naik dan menyerlahkan sinar garangnya, Balo sudah berdiri di depan sebuah rumah kayu bertiang tinggi, setinggi galah. Nyanyian kecil yang didengari Balo menghantar isyarat jelas bahawa ada seseorang di situ.
Pintu diketuk. Pintu dikuak.
Ada riak terkejut di wajah lelaki asing itu. Barangkali dia tertanya-tanya siapakah gerangan yang datang. Mengapa? Matanya lembut merenung ramah ke hitam anak mata Balo. Dia memaksa dirinya untuk tersenyum.
Lukisan di wajah Balo secara jelas adalah sebaliknya. Terpalit warna-warna keruh. Sesungguhnya Balo tidak pandai berselindung. Dia gagal berpura-pura mesra kerana di hatinya mendidih rasa amarah. Pijar! Pijar menjalar di seluruh urat nadinya. Jika benteng kesabarannya runtuh saat itu, tika itu jugalah dia menetak leher bangsa asing itu dengan kapak buatan tangannya sendiri. Mujurlah kesabaran masih menambak tembok kewarasan akalnya.
“Aku bagi kau satu amaran!”, suara Balo melengking bunyinya.
Diam. “Sekali kau ulang sejarah hitam, menjarah maruah kami dan kerajaan kami, kau kusumbat dalam jirat.” Jari telunjuk Balo ditujal-tujalnya di dahi lelaki asing itu. Anehnya, dia tidak sedikit pun berkutik. Tegak seperti patung. Barangkali dia terkejut. Yang jelas dia memang terpinga-pinga. Sejurus Balo bergegas pulang. Dia berusaha keras mempertahankan kesabarannya. ‘Berikan dia peluang terakhir. Dan pertama. Ini baru babak pertama’, bisik Balo.
Di dalam rumah ehsan penduduk penempatan itu, Steve tersandar di dinding. Dia datang bukan untuk mencari gaduh. Dia tidak datang sebagai penjarah. Jauh sekali sebagai penjajah. Dia cuma datang untuk misi kemanusiaan. Dia datang sebagai kawan. Dia bukan datang sebagai lawan! ‘Uh! Pemuda itu silap mentafsir’, putusnya kemudian.
Ketukan lembut di pintu mencantas lamunannya. Bertalu-talu. Dia tidak terus menarik daun pintu, sebaliknya mengintai di celah-celah dinding kayu yang tidak rapat susunannya.
Dia menarik nafas lega seraya melihat kelibat Porla Judan. Gadis itu sudah acap kali datang membawakan makanan untuknya. Sup tulang rusa, jagung salai, ikan yang dijeruk dengan nasi dan buah bambangan itulah sebahagian menu pilihan anak dara Ketua Kampung untuk menjadi santapannya.
“Nah! Emak kirimkan ini untuk tuan”, katanya agak silu.
“Terima kasih. Kamu sungguh baik. Saya terhutang budi”, balas Steve tulus.
Gadis itu kemudiannya duduk di depan pintu. Steve mengelus rambutnya seketika. Sejurus gadis itu menghilang.
 Di kejauhan ada hati yang nanar berbaur rasa iri. “Jahanam!”
Semalaman Balo tidak dapat memicingkan mata, bagaikan ada batang mancis yang menyendal kelopak matanya daripada terkatup. Peristiwa Porla dielus rambutnya oleh Steve menyakitkan mata dan hatinya. ‘Dasar bangsat!’, desisnya berkali-kali.
Siang tadi dia berjalan-jalan keliling penempatan kaumnya itu. Beberapa pembaharuan sudah dapat disaksikan dengan mata kepalanya. Sekolah rendah di situ sudah ditambah bilik darjahnya. Sebuah klinik kesihatan juga sudah terpasak di hujung utara kampungnya itu. Kendatipun kecil dan tanpa pegawai perubatan tetap tetapi setidak-tidaknya sudah ada tempat mengambil ubat bila ada keperluan. Khabarnya, kerajaan juga telah mengerah Jabatan Pendaftaran Negara untuk memastikan kaumnya mempunyai kad identiti seperti warganegara yang lain. Unit Khas Bergerak (UKB) dengarnya bekerja keras, akur kepada perintah itu.
Ya! Hakikatnya kerajaan sudah berusaha memajukan bangsanya, cuba memandaikan mereka malahan. Kerajaan membina sekolah, menghantar guru-guru yang berkualiti untuk mendidik anak watannya di daerah terpencil itu untuk mengubah nasib mereka. Namun, bangsanya itulah yang sukar menerima perubahan, tegar untuk berubah.
“Kami bukan anti-pembangunan. Cuma ada kala kami dikelirukan oleh orang luar”, begitulah kata Bilun Balalan petang tadi di serambi rumahnya. Balo sengaja duduk bersama-sama golongan tua itu, kalau-kalau ada maklumat berguna boleh digunakan untuk memerangi orang asing itu!
“Orang-orang gomen ada datang. Gomen rokemen kita kerja di kompeni balak”, sela pula Jobras Tudan.
“Lebih baguslah kita kekal di sini sampai kita mati”, putus ahli-ahli forum itu kemudiannya menyimpul sesi perbincangan tidak rasmi di rembang patang itu.
Suatu hakikat yang sukar dinafikan ialah kerajaan memang telah berusaha banyak. Namun, kesilapan terbeban di bahu kaumnya sendiri. Mereka tidak ghairah untuk berubah. Tidak seperti kaum Kenyah dan Kayan. Atau seperti kaum Lunbawang  dan Kelabit di ulu sana. Mereka itu semua menyahut seruan kerajaan. Berpusu-pusu datang meraih peluang pekerjaan di syarikat-syarikat balak yang rancak beroperasi.
Masyarakat asing pula sentiasa menuding jari kepada aktiviti pembalakan. Pembalakan punca pencemaran. Pembalakan punca masyarakat pribumi hilang tempat tinggal. Pembalakan mencabul khazanah alam. Dan seribu satu macam lagi! Masyarakat luar tidak pula meuar-uarkan sumbangan positif aktiviti pembalakan ini. Sungguh tidak adil!
Subuh. Ketika kokokan pertama si ayam jantan Balo Bilong sudah bingkas bangun. Dia mandi dan bersiap-siap untuk meneruskan agenda besarnya hari itu. Dia akan bersemuka dengan lelaki asing itu lagi! Kali ini untuk membuat perhitungan akhir.
“Steve bedebah! Turun!!”, Bergema suara halilintar Balo.
Sepi. Sepi sekali. Hanya kicau burung keluar pagi dan lagu cengkerik yang menggubal muzikal alam yang begitu indah.
“Kalau kau anak jantan, turun sekarang Steve celaka!”
Sah. Rumah itu telah dikosongkan. Ada rasa kecewa bernanah dalam dada Balo. Lebih membara amarahnya setelah dikhabarkan Porla, bekas ratu biduk kasihnya juga hilang tanpa jejak.
Di Lusong Ladu, perkampungan Penan yang bersebelahan dengan Long Lalong gempar. Seorang lelaki mengikat dirinya pada puncak kren yang memunggah balak dari kawasan itu ke pelabuhan antarabangsa. Apakah maknanya semua ini? Siapakah lelaki itu?
Warna rembang petang kemerah-merahan. Di balik daun, warna keemasan berjalur-jalur, menatang kehadiran senja yang kian mendatang. Tampang Steve kelihatan samar-samar menuju longlai ke rumah papan Balo Bilong. Gontai sekali! Tengahari tadi dia bersembang panjang dengan Lah Gagau semasa meninjau-ninjau kawasan pembalakan di Ba’ Kelarau. Dialah yang menceritakan segala-galanya kepadanya. Lahar marah Balo bakal meletus bila-bila masa sahaja. ‘Dia perlu hakikat sebenar’, tegas Steve. Kalau tidak, dia mungkin akan bersemadi di tanah asing ini. Balo tiada di rumah. Kata anak saudaranya, dia ke Sungai Punan. Sekejapan Steve sudah bertentang mata dengan Balo Bilong di sungai itu. Sejurus mendengar derap langkah, Balo tangkas tegak berdiri. Porla yang bersamanya sejak tadi telah menceritakan segala-galanya. Tentang Steve. Misi dan visinya. Agenda besarnya! Balo kini mengerti: betapa dungu kaumnya itu melebarkan kesesatan dalam diri.
Cerlang mata milik Balo bagaikan memancar sinar di hati Steve. Melimpahi cangkir kemesraan. Dia mula rasai itu. Dia rasai. Dia pasti. Benar-benar pasti. Sesungguhnya pendirian mereka tidak pernah kehilangan erti. Ketegasan bukanlah sesuatu yang mutlak untuk dipertahankan selama-lamanya. Apalagi ketegasan itu telah diempangi dengan pendirian masing-masing.
“Balo, aku ke sini untuk karyaku semata-mata”, tunak mata Steve merenung anak mata Balo.
“Ya, aku mengerti kini”, balas Balo.
“Aku akan pergi esok. Kerja-kerjaku sudah habis”, sambung Steve lagi.
“Jadi apa lagi mahumu?”, suara Balo kedengaran kembali tegas.
“Aku hanya mahu mewariskan ini”, katanya seraya megeluarkan senaskhah buku dari beg sandit belakangnya. “Aku mahu kau tahu, tidak semua orang asing memandang serong kepada kaummu yang memilih belantara ini sebagai dunia mereka”, ada nada sendu yang cuba disembunyikannya. “Sejarah dan masa silam, mendorong dan memberi inspirasi baru dan menjulang semangat daya juang, menyuluh masa depan yang masih panjang. Dan kau .. kau adalah sebahagian daripada masa depan itu!”. Jelas. Tegas. Perlahan-lahan dia pergi. Porla sekadar mengangguk-angguk kecil.
“Ya. Aku adalah sebahagian daripada masa depan itu. Aku yang akhirnya kembali ke sini, ke belantara yang mewariskan kemiskinan sejak ratusan tahun yang lampau .. Aku mahu jadi pejuang walaupun belum pasti sama ada menjadi pejuang yang hilang atau terbilang!”, bisiknya perlahan kepada dirinya.
Perlahan-lahan dia menancapkan pandangan pada kulit buku itu – “BELANTARA INI TAKDIRKU”. Sebuah novel yang merakamkan kehidupan sebenar masyarakat Penan yang tinggal di ceruk belantara pedalaman Sarawak. Segala usaha kerajaan yang telah dijalankan untuk membantu membangunkan kaumnya itu. Diadun dengan bahasa Melayu yang puitis dan jalan cerita yang berliku-liku dengan sisipan unsur suspens di sana-sini. Begitulah prawacana yang diungkapkan oleh salah seorang sasterawan tersohor yang membuat catatan pembukaan di helaian (i).
“Porla, ke mari”, panggil Balo.
“Kalaulah kamu pandai menulis seperti ini, alangkah bagusnya”, Balo sekadar mengongsikan keinginannya yang meluap-luap. Keinginan untuk menulis. Menulis sesuatu yang bermanfaat kepada anak bangsanya. Sesuatu yang dapat menangkis-tepis persepsi-persepsi buruk terhadap isu yang dikaitkan dengan kaumnya.
“Ya, kan?”, soalan bersambut pertanyaan.
Dalam diam, Balo bertekad untuk mula menulis sesuatu. Biarpun hasilnya kelak tidak seberapa, dia perlu memulakan langkah pertama. Sesungguhnya langkah terakhir bermula dengan langkah pertama.
“Kalau bukan kita, siapa lagi Balo?”, soalan Porla membuatkannya lebih teruja.
“Gelanggang juang terbentang di mana-mana ..”, sekadar dapat didengar oleh deria Porla. “Selamat berjuang, Balo Bilong!”, ucap Porla sebelum mereka berpisah di senja yang merah itu!