... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Friday 24 January 2014

Januari yang Sarat dengan Cerita dan Berita

Nampaknya, Januari menyaksikan kesibukan kerja yang tidak berkesudahan. Januari juga dibebani dengan pelbagai cerita dan berita. Tahmid pada semua khabar manis. Istighfar di kala menerima khabar duka. Semua itu - suka dan duka - menginsafkan kita. Tentang hakikat diri; skrip hidup kita 'ditulis' oleh Allah SWT sejak azali. Jauh berbeza dengan skrip drama yang ditulis oleh manusia, banyak yang indah daripada yang menggugah rasa gundah di dalam jiwa.

Selamat menjalani kehidupan yang lebih manis!

Aksara Usia


Tahun 2014 ini akan membawa pertambahan aksara kepada semua kita. Aksara usia! Dalam pada usia yang semakin bertambah, semoga iman dan amal kita turut bertambah takah. Saya merenung panjang; umur manusia tidak sepanjang harapan dan cita-cita kita!

Saya kira semua kita tidak menafikan hakikat itu. Cuma tinggal lagi, kita mampu atau tidak mengisi usia kita dengan persiapan yang mencukupi untuk 'dimanfaatkan' apabila aksara usia kita berakhir pada titik noktah rahsia. Peringatan ini buat diri saya juga!

Wednesday 1 January 2014

Bacaanku: Soalan Bocor dari Kubur



'Buah fikiran' bersumberkan al-Quran dan hadis yang ditulis oleh P.Madya Rasid Muhamad ini merupakan tazkirah yang sangat baik bagi setiap manusia yang bernyawa. 'Soalan bocor dari kubur' ini membekalkan kita dengan ilmu yang cukup bermanfaat sebagai persediaam kita menuju alam 'transit' di perkuburan dan dunia yang baqa' (kekal) - AKHIRAT!
 
Soal solat dan kiblat, tilawah dan penghayatan al-Quran serta sakaratul maut dan hubungannya dengan pemergian kita yang tidak akan kembali  - semuanya mengingatkan kita semua - betapa mati itu terlalu dekat dengan kita! Hati berdebar dan bergetar lama setelah menoktahi bacaan - apakah mampu hamba ini menjawab segala persoalan dan soalan kelak?
 
Takwa menjadi sandaran! Bacalah!
 
 
 
 

Wanita Januari


Saya  memulakan penulisan ini dengan lafaz nama Allah yang Maha Memberi Anugerah! Segenap rasa syukur saya rafakkan kepada Dia yang telah terlalu banyak memberikan anugerah sepanjang tahun 2013 dan tahun-tahun sebelumnya. Alhamdulillah! Syukur seperabung langit.
 
Januari 2014 datang dengan cabaran baru. Barangkali lama di zon yang sudah agak selesa, Allah SWT datangkan bentuk anugerah yang lain pula. Tugasan kerja yang lebih berat dan menuntut kekuatan fizikal dan mental! Saya redha dan akan sehabis daya melakukan yang terbaik.
 
Semoga tahun baharu ini akan lebih bermakna buat kita semua; penuh dengan peningkatan takah kualiti kehidupan dunia dan akhirat. In-sha-Allah!
 
 
 
Sekian catatan - Wanita Januari yang selalu positif tentang kehidupan!