... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Wednesday 2 October 2013

TANPA DOA DAN DHUHA ..



Memang sesiapa sahaja merasakan bahawa waktu terlalu laju berlalu. Pejam celik, Oktober akhirnya datang bertandang. Selamat datang, Oktober yang beriringan datang dengan Zulhijjah. Selain musim menunaikan fardhu haji, Oktober ini juga musim peperiksaan besar - PMR. Kedua-duanya menuntut perjuangan untuk memperolehi hasil yang terbaik! In-sha-Allah ..

Seperti ibu-ibu yang lain, terdetik juga di hati kecil - apakah khabar gerangan anakanda jauh di seberang Laut China Selatan menjelang peperiksaan besar dalam kalendar pendidikannya. Ada debar yang bergetar! Anak yang menduduki peperiksaan, ibulah pula yang tak senang duduk.

Hakikatnya antara seorang ibu dan anak, ikatan hati selalu tertaut erat. Nada dering di telefon genggam mengundang segaris senyum di bibir. Syukurlah! Anakanda juga teringat akan umminya.

Bertukar khabar dan berita, akhirnya anak bujang ini memohon doa ummi. "Ummi doakan Ameer jadi Pelajar Terbaik. Tanpa doa dan dhuha Ummi, siapalah Ameer." Ada empangan yang akan pecah. Bila-bila masa sahaja. "In-sha-Allah. Siang dan malam Ummi mendoakan Ameer." Saya mahu menghadiahkan dia ketenangan kerana banyak atau sikit, saya dapat merasakan ada rasa gementar di hujung patah-patah kalimahnya.

"Pendidikan Islam dah habis ingat fakta?" Sekadar bertanya untuk meredakan kesangsian saya - sama ada dia telah benar-benar bersedia dengan ulangkaji yang mencukupi. "In-sha-Allah, Ummi. Agama ni, bukan semata-mata fakta. Kalau kita beramal, in-sha-Allah jawapan-jawapan kita pun beriman!" Saya membayangkan dia tersenyum. Bibir dan matanya tersenyum. Anak saya ini jarang bergurau, percakapannya juga jarang bercerita hal orang. Lazimnya, dia boleh bersembang berjela-jela jika berbicara soal gajet atau isu-isu persekolahan. Mendengar jawapan yang saya kira beralas dengan humor, saya menghamburkan tawa. "Betul apa, Ummi. Jawapan itu mencerminkan kita ni beramal ke tidak .." Hahaha! Saya tahu dia berhahjat untuk mengemukakan contoh bagi menyokong hujahnya.
Namun saya tidak membuka ruang yang panjang kali ini, risau masa ulangkaji saat akhirnya terganggu.

Ameer Irfan, selamat menempa kecemerlangan di dua dunia. Doa dan restu ummi tetap mengiring setiap degup jantung dan deru nafasmu. Juga di setiap derap langkahmu di daerah keilmuan sana.

Salam kasih berkekalan;
Wanita yang bernama Ummi
-Kuching-
2 Oktober