... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Thursday 12 December 2013

Naskhah Kasihku: Betapa Satrianya Doa

Ketika terbaca sebaris ayat: 'musuh yang gagah terkulai hatinya kerana doa' dalam sebuah buku yang saya belek-belek, terbayang di layar fikrah saya, bagaimana Umar Al-Khattab yang memusuhi Islam sehabis daya, akhirnya menangis teresak-esak semasa mengisytiharkan syahadah. Doa Rasulullah s.a.w akhirnya dijawab oleh Allah lewat hidayah yang meresapi seluruh relung hati Umar.
 
Demikianlah 'satria'nya sebuah doa! Doa yang didengari oleh Allah SWT.
 
Maka, teruslah berdoa. Di kala susah dan senang. 
 
"Sesiapa yang mahu supaya doanya diterima ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan." -Riwayat Tirmizi.
 
Semasa terjumpa hadis ini, saya menghantarkannya kepada seorang sahabat lama yang baru sahaja mengkhabari saya tentang kejayaan anaknya terpilih ke Sekolah Berasrama Penuh. Berita yang saya baca dengan genangan air mata. Alhamdulillah!
 
Saya juga mendoakan sahabat-sahabat saya, khususnya sahabat-sahabat lama. Kerana saya sedar betapa 'satria'nya sebuah doa!
 
 

Naskhah Kasihku: Mengurus Kehidupan di Kampung Akhirat

 
Minggu lepas saya menerima panggilan telefon. Jemputan untuk sesi perkongsian rohaniah dalam suatu program yang mereka namakan Diskusi Ad-Deen. Januari depan diskusinya bakal berlangsung.
 
"Apa skop yang mahu dikongsikan?", soal saya. Klise!
 
"Mengurus kehidupan di kampung akhirat." Suara pemanggil yang menamakan dirinya Puan H begitu jelas.
 
Sentap sekejap! Benar! Tajuknya saja telah memberikan suatu 'tazkirah' atau peringatan buat diri saya. Bukan kehidupan di sini saja yang perlu diurus, dunia di sana juga menuntut pengurusan. Sudah tentu, pengurusan di sana perlu kita lakukan ketika masih di sini.
 
Agh! Dalam keadaan duniaku di sini pun pengurusannya belum mencapai standard piawaian yang sepatutnya, bagaimanakah mahu saya kongsikan tips untuk mengurus kehidupan di akhirat.
 
Maka, saya menangguhkan jawapan. Saya perlu muhasabah diri terlebih dahulu!

Penantian Mengenai Redha .. PMR

Hirisan kek keju semakin sedikit. Begitu berselera si anak bujang menikmatinya. Sesekala dia meneguk milo panas yang sudah kekeringan asap halus. Kami berdua sahaja di ruang tamu. Abie dan adik-adiknya riang ria beriadah di hadapan rumah.
 
"Ummi, bila keputusan PMR keluar?", soalnya bersahaja.
 
"In-sha-allah, Khamis  depan." Begitulah maklumat yang aku terima daripada rakan-rakan yang dipercayai.
 
Aku mengesani sedikit cuak di wajahnya.
 
"Takut?" Soalan yang menduga hatinya. Atau lebih tepat imannya!
 
"Biasa je." Jawaban selamat pada perkiraanku.
 
Sepi. Aku memberinya ruang.
 
Dia kembali menyambung kata. "Ummi doakan Ameer ya." Kata-kata yang sarat dengan harapan.
 
Sememangnya doa itu selalu terucap, anakku. "In-sha-Allah", jawabku ringkas. Aku tahu bahawa dia tahu tentang doaku untuknya selalu ada.
 
"PMR ni bukan semata-mata untuk menilai pencapaian ilmiah. Tetapi lebih dari itu, ia menilai nilai imaniyyah kita."
 
"Maksud?" Mata kami bertemu. Tepat di anak mata! Aku membalas pandangannya. Kucuba redupkan sinar mataku yang kurasa menyala-nyala kerana semangat nak berkhutbah! Hahaha!
 
"Maksud Ummi, setelah apa usaha yang kita buat selama bertahun-tahun .. sampailah masanya untuk menguji keimanan kita. Redha atau tidak dengan apa yang Allah takdirkan untuk kita. Syukur atau kufur kita dengan nikmat kejayaan yang Allah 'pinjamkan' untuk kita." Sengaja akau berikan penekanan kepada kalimah 'pinjamkan'.
 
"Oh!" Dia mengangguk-angguk kecil. Dengan senyuman dia melirik aku. Entah apa maknanya, aku kurang mengerti.
 
"Ummi dulu debar tak tunggu keputusan PMR?" Dia pula bertanyakan aku.
 
"Ummi dulu, SRP. Sijil Rendah Pelajaran. Ha-ah, berdebar-debar memanjang."
 
"Samalah." Dia mengakui resahatinya. Jujur. Dan polos sekali pada telinga keibuanku.
 
Debar - memang biasa! Tapi barangkali kuat atau lemah debarannya itu tetap berbeza. Ibunya seorang wanita - makhluk emosi. Lelaki lebih kebal dari sudut emosi ini.
 
Selesai suapan kek keju yang terakhir, dia meminta izin naik ke tingkat atas. Ketika di anak tangga paling bawah sempat dia melaung. "Ummi - SMS kat big boss KPM, ubah PMR jadi Penantian Mengenai Redha!" Hahahaha!
 
Ada-ada saja idea si anak bujang. In-sha-Allah, apapun 'hasil tuaiannya' aku berdoa dia redha dengan rezeki Allah SWT. Sedia menjadi hambanya yang memiliki sifat seorang As-Syakir!
 

Naskhah Kasihku: Hati Seorang Ibu


HATI SEORANG IBU
 

Aku telah sekian lama untuk mengunjungi sebuah tempat yang dekat di hatiku. Mesra dalam ingatanku selalu. Malah mutakhir ini selalu hadir menjengah kembara lenaku beberapa malam berselang. Tidak jauh letaknya. Tidak perlu menyeberang sempadan. Malah ada di mana-mana tanah. Tanah ratu, tanah rata; memang ada saja. Barangkali bagi orang lain tempat ini tidak menjanjikan apa-apa. Tapi bagi aku, tempat ini menjanjikan ketenangan bagiku. Aku pasti tempat yang mahu aku kunjungi ini tidak mengujakan ramai orang. Namun, bagi aku walaupun memang ia tidak mengujakan tempat ini menagih sebuah janji untuk ditepati. Kali ini!

Pagi yang sederhana panas, dengan ditemani seorang sahabat lama, Iffah namanya, aku ke tempat itu. Oleh kerana ini kunjungan pertama maka, seorang lagi sahabat lamaku memandu arah ke sana. Seawal Subuh, seusai berdoa mengharapkan keredhaan ilahi, debar sudah mula bergetar. Aku menyudahkan Yassin sebanyak 3 kali bacaan dalam tempoh 60 minit. Kesemuanya aku sedekahkan buat mereka yang telah pergi memulakan ‘kehidupan’ baru dengan mengkhususkan beberapa nama yang jarang hilang di laman rinduku. Alhamdulillah! Bukan mudah untuk kita tidak lupa kepada mereka yang telah pulang. Seorang anak mungkin akan menangis pada hari ibu atau ayahnya menghembuskan nafas terakhir. Menangis atas banyak sebab yang hanya mereka yang tahu. Menangis lagi untuk berhari-hari selepas pemergian itu. Mungkin kerana rindu. Atau sepi! Ingat berminggu-minggu. Barangkali juga sampai berbulan-bulan masih menangis sesekala. Maka sehari, seminggu, berbulan-bulan kemudian, anak-anak masih menghadiahkan ‘ingatan imaniyyah’ kepada mereka. Tetapi, berapa ramaikah yang akan kekal mengirim bingkisan ‘hadiah’ sehingga bertahun-tahun?

Mengingatkan ini, ingatanku terheret pada perbualanku dengan puteri bongsu kami, Izzah. Suatu Maghrib, sebaik selesai menghabiskan bacaan Yasin bersama-sama aku diasaknya dengan pelbagai soalan. “Ummi, sayang Izzah tak?”, sambil itu dia melirikku manja. “Izzah tahu kan jawapannya?”, kata saya membalas dengan soalan. Dia senyum. Aku pasti dia sengaja bertanya walhal hampir setiap pagi ketika menghantarnya ke muka pintu sebelum dia dihantar walidnya ke sekolah, skrip biasaku ialah:”Ummi sayang anak dara Ummi ni. Fokus masa cikgu mengajar, dengar apa kata cikgu tau!”. Selalunya dia akan menjawab: “Ya, Ummi. Izzah dah tahu tu.” Kami berbalas pelukan dam ciuman di pipi kemudiannya.


Mana mungkin seorang ibu tidak sayangkan anak yang lahir dari rahimnya. Bukankah seorang ibu bukan sahaja mengandungkan anaknya selama 9 bulan, bahkan membawa anak itu dalam ingatannya selagi hayat dikandung badan. Ingatan itulah tanda cinta dan kasihnya yang tidak bertepi untuk anaknya! Hanya mereka yang bergelar ibu sahaja yang dapat menikmati saat indah mengasihi, mengingati dan merindui seorang anak. Aku yakin itu setelah  bergelar ibu selama 15 tahun. Alhamdulillah!  Naluri keibuan ini secara lazimnya sama sahaja. Cuma barangkali bagi ibu yang rasa cintanya kepada Al-Khaliq, kecintaan kepada anaknya lebih akrab. Setiap kali mendoakan anaknya, memohon macam-macam ‘anugerah’ untuk anak tercinta, setiap kali itulah Allah SWT mengikat hati-hati itu agar lebih dekat, lebih mendalam cinta kasihnya, in-sha-Allah. Bukankah Allah SWT yang Al-Wadud itu yang memegang hati manusia dan mencampakkan cinta kasih ke dalam hati hamba-hamba-Nya?Maka sebagai seorang ibu yang mahukan perasaan cinta kasih antara anak dan ibu sentiasa bersemarak, banyakkan berdoa!


“Ummi, Izzah takutlah kalau Ummi mati dulu?” Aku kesani riak cuak di wajah mulusnya yang bulat. “Kenapa pula?”, sengaja aku menduga apa sebenar warna perasaannya dengan ungkapan itu. “Kalau Ummi dah taka da, siapa nak doakan Izzah dengan Abang Ameer dan Abang Am?” Rupanya tentang ‘doa’ yang mengundang galau di hati si kecil ini. Aku tersenyum. Tawar. Hambar! Separuh hatiku terharu, separuh lagi terasa syahdu. Sangat syahdu! Anak sekecil itu boleh bertanyakan soalan yang sama sekali di luar jangkaanku! Sejujurnya, kalau ikutkan hati wanitaku, basah lencun telekungku dengan titis air mata yang cuba kutahan-tahan.

“Ummi akan selalu berdoa, sayang.” Aku menguatkan benteng perasaanku. “ .. sehingga ke deru nafas yang terakhir, anakku!” Aku hanya menyimpan kata-kata ini di dalam hati. Aku mendakapnya erat.Saat dia membalas dakapan itu, aku berasakan bahawa sehayat doaku untuknya akan terus hidup walaupun  kehidupanku kelak pasti akan berakhir. Demikian dia. Dan seluruh makhluk yang  bernyawa. “Setiap yang bernafas, akan merasai mati”. Mati itu pasti! “Izzah, masa Ummi hidup, Ummi doakan Izzah, kan?” Dia mengangguk laju-laju. Tanda dia faham. “Itu sudah cukup untuk doa bagi Izzah sepanjang Izzah hidup.” Dia angguk lagi. Kali ini agak perlahan-lahan. “Tapi, tak apalah. Kalau Ummi dah taka da, Izzah akan doakan Ummi. Selalu Izzah akan doa”, jawabnya. Ada kesungguhan yang terpancar lewat sinar matanya yang selalu bercahaya ceria! “Alhamdulillah!”, bisikku kepada diriku.

 

Malamnya, mata terlalu tidak mahu untuk terlena. Apabila aku mula memulakan fasa kehidupan baru di alam sana, siapakah yang mendoakan anak-anakku. Semoga mereka dianugerahkan pasangan yang akan sentiasa mendoakan mereka. Atau barangkali ‘bekas cinta hati’ yang akan selalu mendoakan mereka walaupun mereka hanya dijodohkan untuk bertemu, bukan untuk bersatu. Kata orang, mereka yang pernah mencintai kita kerana Allah akan selalu mendoakan kita walaupun hanya dari kejauhan. Tetapi, bercakap memanglah mudah. Melakukannya tidaklah semudah berkata-kata!

Apapun, doaku untuk Izzah dan abang-abangnya akan terus kuhimpun di setiap gerak langkah dan deru nafas mereka! Hati seorang ibu, beginilah.

 

Bacaanku: Indahnya Kematian

Bismillah-ir-rahman-ir-rahim ..

Ketika usia sudah mencapai 4 siri ini, begitu terasa bahawa 'hari' itu juga semakin hampir. Maka ketika jalan-jalan cari buku, sebuah karya Bisri M.Djaelani agak memancing perhatian saya. Dengan kulit depan, bunga kemboja dan dedaunan berguguran jatuh perlahan di atas pusara .. hati tiba-tiba disengat rasa hiba. Ibarat dedaunan ini, demikianlah daun-daun usia seorang manusia!
 
'Hadapi Ajal Dengan Senyuman' - tertera di kulit buku ini. Alahai! Saat Malaikat Maut datang bertandang, mampukah lagi bibir mengukir senyum? Soal saya perlahan. Lebih kepada membisikkan pada diri sendiri. Persoalan yang sangat berat bagi orang seperti aku. Selalu alpa dan lupa hakikat diri sebagai hamba.
 
Saya menghazami bait-bait catatan hati yang dinukilkan berwahanakan pena ini. 'Kehidupan di alam kubur' adalah antara sub-tajuk yang amat menyentuh perasaan. Tatkala amalan-amalan baik dan jahat kita menjelmakan diri sebagai teman di alam barzakh. Sangat mengujakan perasaan!
 
Semoga Allah menganugerahkan kita dengan kesudahan yang baik - husnul khatimah. In-sha-Allah!

Wednesday 27 November 2013

Bacaanku: Alien Menchari Chinta

Terus-terang, saat pertama kali membaca puisi karya Ramzah Dambul @ RD saya terus jatuh cinta dengan aspek stilistikanya. Sebagai pencinta bahasa, hati memang terbuai dengan puisi-puisi RD yang mempunyai diksi yang amat segar. In-sha-Allah, jika berkesempatan saya akan menulis sebuah artikel kritikan sastera menghazami unsur-unsur stilistika yang dihidangkan oleh RD yang juga merupakan sahabat lama saya. Pernah berkongsi aspirasi yang sama untuk memperjuangkan kemajuan anak bangsa Dusun khususnya dalam bidang pendidikan lewat beberapa siri motivasi di serata daerah Ranau ketika sama-sama menuntut di Universiti Malaya. Istimewanya, modal kem motivasi yang kami jalankan ini dibiayai sepenuhnya oleh kami sendiri bersama beberapa orang sahabat yang lain. Anak-anak muda yang berkongsi harapan dan impian yang sama! Alhamdulillah, pihak sekolah yang kami pilih menyambut baik kedatangan kami.
 
Banyak yang menyentuh hati saya dalam koleksi puisi hati RD ini. Saya tahu dia menulis dari hati. Itulah sebabnya 'nota hati' ini menyentuh hati pembacanya. Saya meneliti dan menghazami semua puisi yang dimuatkan dalam antologi sulungnya itu. Ternyata, RD berjaya mengetengahkan  persepsi 'cinta' daripada dimensi yang 'di luar kotak'. Tahniah! Lalu saya menulis tentang puisi-puisi RD di 'dinding' Facebook saya. Ikhlas!
 
Saya kongsikan sedikit sisipan puisi RD tentang cinta yang saya kira amat romantic pengucapannya:
 
Puisi 1:
 
Cinta tertangguh
seperti warkah baru
berhari-hari menunggu
rindu enggan berlalu
 
                              Puisi 2:
 
                              Cinta dalam diam
                               seperti api dalam sekam
                               tak mudah padam
 
 
Memahami bahasa hati seorang sahabat lama saya membuat sesi 'penggulungan' tentang cinta. Begini ..
 
" Saya kira ada peribahasa Perancis  yang sesuai 'menggulung' semua nuansa cinta dalam antologi ini;  cinta membuatkan masa berlalu, masa membuatkan cinta berlalu. Hakikat yang terpahat: cinta ilahi menjadikan masa yang berlalu selalu tepu dengan restu!"
 
 
Dalam bahasa bonda kami, dia menulis begini: Bah Dayang, ponsikou togumu. Ma'an kundo quote ini kio .. mana tau doh haro kawagu book do wagu.
 
Semoga buku baru itu akan lahir nanti. In-sha-allah!
 
 
 

Bacaanku: Nota Hati Seorang Lelaki

Kunjunganku ke kedai buku kali ini menemukan aku dengan sebuah 'nukilan hati' seorang penulis yang amat berkebolehan; Pahrol Mohd Juoi. Sebuah nama yang telah lama saya tahu. Rasanya kali pertama saya mengenali nama ini ialah ketika membaca catatan dalam sebuah majalah islamik, lama dahulu. Namun, saya tidak pula menjejaki karya-karyanya dalam bentuk buku. Alhamdulillah, inilah koleksi pertama saya bagi karya beliau.
 
NOTA HATI SEORANG LELAKI - kulit yang didominasi warna hijau. Warna yang selalu menghadirkan kedamaian di mata saya, menghadirkan ketenangan di hati juga. Saya membelek-belek naskhah contoh. Catatan  awal: Nota Hati Seorang Anak berjaya menambat hati saya. Tentang keberkatan rezeki seorang anak yang selalu memperuntukkan sedikit wang untuk ayahnya setiap kali pulang ke kampung. Atau lebih tepat lagi, bagaimana peranan watak 'ayah' menagih duit daripada anaknya yang hidup susah setiap kali anaknya pulang ke kampung.
 
Saya ke kaunter pembayaran dengan harapan garapan 'jiwa' PMJ ini tidak akan mengecewakan saya. Hakikatnya, saya memang pencinta buku yang tegar. Sudah memiliki ribuan koleksi buku yang bernilai puluhan ribu ringgit. Terkumpul sejak saya pandai menjalankan urusan pembelian di zaman awal kanak-kanak. Alhamdulillah! Sehingga kini saya memperuntukkan peruntukan khas untuk membeli buku dan majalah yang bermanfaat bagi saya. Semoga pustaka mini yang  menghimpunkan 'Koleksi Izzah' ini akan terus dipelihara oleh anak-anak.
 
Ternyata, NOTA HATI SEORANG LELAKI tidak mengecewakan. Tahniah buat penulis; Pahrol Mohd Juoi. Saya jadikan nota-nota hati ini bekalan kembara lima hari saya ke Putrajaya. Dalam kedinginan penghawa dingin semasa terbang merentasi Laut China Selatan, nota-nota inilah yang menghangatkan danau  perasaan dan kolam mata saya dengan air mata dan kesedaran tentang betapa kehidupan di dunia ini penuh dengan kesementaraan. Kehidupan di akhiratlah yang kekal abadi. Sungguh! Buku yang ditulis dengan hati memang akan mampu menyentuh hati.
 
Banyak 'ibrah yang saya kutip sepanjang pembacaan ini. Semoga nota-nota ini akan kekal mengesani jiwa kehambaan ini, ya Allah!
 

Friday 15 November 2013

Puisi: Penyair


 
Kata orang
penyair itu adalah
manusia seni
penuh misteri
rindukan erti
 
Kata aku
penyair itu
penanya bahasa
bahasa baginya
adalah jantung
 
 
Majlis Anugerah Hari Guru 2013
termenung di Hotel Four Points, Kuching

Bekerja Penuh Bahagia


 
Saya selalu ditanya, bagaimana menjadi seorang yang nampak bahagia di tempat kerja. Kekal bermotivasi dan memberi inspirasi kepada orang lain. Sebenarnya, bahagia itu anugerah Allah SWT. Jika hati tenang, itulah letaknya bahagia. Bahagia itu adalah pilihan. Siapa yang memilih untuk bahagia, in-sha-Allah dia akan beroleh kebahagiaan yang diimpikan. Pilihan itu di tangan kita. Maknanya, bahagia itu amat dekat dengan kita. Terlalu dekat!
 
Sifir mudahnya, kalau nak berbahagia di tempat kerja semaklah senarai semak ini:
a) Bos kita paling tinggi ialah Allah SWT.
b) Bekerjalah dengan gigih, kerana Allah SWT.
c) Usah takutkan makhluk (walau sehebat dan segarang mana pun dia!) melebihi ketakutan kita kepada Allah SWT.
 
Selamat berkhidmat! Pilihlah untuk kekal bahagia.

Puisi: Doa



Akulah pengembara malam
berjalan di lelorong kelam
tidak mengharapkan apa-apa
selain sebidang lahad subur
dinaungi pohon doa yang merimbun!
 
 
Kenang daku dalam doamu,
Lohan, Ranau
Ogos, 2013

Dia Yang Kau Panggil Wanita


 
Hari ini hari yang agak sibuk. Walaupun cuti sudah bermula, saya tetap hadir di tempat kerja. Menjenguk kerja-kerja berbaki, kalau-kalau ada. Selebihnya mencari-cari kerja yang boleh didahulukan untuk kegunaan tahun hadapan. Semalam, ramai yang demam keputusan UPSR. Sekadar tumpang bahagia melihat anak-anak orang lain, khususnya sahabat-sahabat lama yang pernah berkongsi 1001 cerita zaman remaja di asrama, puluhan tahun dahulu. Syukurlah, kejayaan seorang muslim merupakan sebahagian daripada kejayaan umat Islam juga. Kejayaan itu pula perlu didefinisikan daripada horizon pengertian yang amat luas! Bukan semata-mata kejayaan akademik, bahkan kejayaan-kejayaan dalam banyak bidang yang lain juga. Akidah dan sahsiah, terutamanya!
 
Sejak semalam saya sudah merencana untuk menulis tentang wanita; tanpa tajuk yang khusus. Kebetulan dalam grup WhatsApp saya (yang paling aktif), ahlinya semua wanita - pelbagai wajah dan personality. Apapun, saya menyenangi mereka semua. Bukan kerana apa yang mereka ada sekarang, namun kerana apa yang pernah kami ada dan miliki sepanjang 5 tahun bernaung di bawah lembahyung persahabatan (in-sha-Allah berpilin mahabbah dan ukhuwwah fillah!) Menamakan grup dengan Ladies of Jannah, bukanlah untuk menunjuk baik (in-sha-Allah berusaha memperbaiki diri) tetapi inilah manifestasi impian yang tinggi untuk menempa tiket ke syurga.
 
Wanita! Wanita insan istimewa. Allah SWT bekalkan dengan sifat kasih sayang yang lebih seni berbanding lelaki. Emosinya lebih tajam tetapi mudah tertikam dengan hujaman perasaan. Sinonim dengan air mata. Benar, ramai wanita boleh merebut gelaran 'Queen of Tears'. Bagi saya, menangis itu bagus. Tanda hati belum mati! Saya sendiri menangis pada ketika-ketika tertentu, semata-mata untuk melegakan beban perasaan!
 
Siapakah wanita dalam hidup kita? Wajah pertama yang terlintas ialah wajah tua ibu, kan? Ibu adalah Negara paling tenteram dalam wilayah kehidupan kita. Hati seorang ibu bagaikan jurang yang dasarnya selalu ada kemaafan. Hebat, bukan? Tidak hairanlah ada yang mengatakan bahawa: daripada semua hak wanita yang paling agung adalah menjadi seorang ibu! Hanya mereka yang bergelar ibu atau pernah memegang gelaran ibu sahaja yang benar-benar mengerti tentang itu.
 
Selain ibu, bagi yang Allah kurnikan rezeki jodoh maka merasalah nikmat mempunyai pendamping hidup yang dipanggil isteri! Isteri yang menjadi ibu kepada anak-anak suami. Suri hati kepada seorang lelaki bergelar suami. Islam melihat isteri sebagai amanah Allah SWT yang perlu dipelihara sehabis baik oleh suami. Selain menjadi suri di hati, isteri juga menjadi madrasah pertama anak-anak. Di tangan para isterilah tarbiah aulad (pendidikan anak-anak) bermula. Justeru, para isteri perlu mempersiapkan diri sebagai murabbiah!  Betapa hebat pun kita di tempat kerja, apabila kaki melangkah ke dalam perkarangan rumah, kita tetap isteri dan ibu yang mempunyai tempat yang amat istimewa dalam syariat.
 
Ibu dan isteri - dialah yang kau panggil wanita! Wanita istimewa. Bukan sahaja istimewa di hati, tetapi juga istimewa dalam Al-Quran.

Thursday 14 November 2013

Puisi Sisipan Novel HCG: Nostalgia Ayu




.... puisi ini merupakan sisipan dalam novel yang sedang ditukangi separuh tekun ..

NOSTALGIA AYU



Seorang gadis paling ayu di mataku
tersipu-sipu silu
ketika pertama kali
soalan kuaju malu-malu
di hari jadi
mata hatiku
pegun dan tegun
astaghfirullah!

Puisi Hati: Terimalah Kasihku, Cikgu


Guruku,
bakti yang ditabur
budi yang dihulur
cetusan luhur
letusan lahar
sarat dengan semangat
 
Guruku,
kuingat katamu dulu
selagi sendi masih bernadi
dan mentari sudi menabur budi
kau kan tetap berbakti
 
 
.... Terima kasih, cikgu
yang mendidik aku menjadi manusia kini.
SMAP Labu
Oktober 2013

Puisi Hati: Kundasang yang Kukenang






... Kundasang,
kan tetap kukenang
kerana di kiri dan kananmu
terbentang lorong sejarah
yang telah menghalakan aku
ke menara sarjana!

-sumandak mantad kundasang-
Kolej Pertama, Universiti Malaya
14/7 - 1996

Puisi Hati: Hilangnya Seorang Wira (ayahanda AFT)



Kehilangannya
mengembalikan sugugus ingatan tulus
menghidupkan kembali sebuah ingatan
yang dilarikan putaran sejarah
 
Terimalah kasihku
atas hangatnya aku
dan ayahandaku
dalam ingatanmu
di malam inilah
aku menjadi terlalu terharu!
 
Terima kasih,
Sahabat lamamu.

Tahniahlah, calon UPSR .. kejayaan bukan destinasi


KEJAYAAN BUKAN DESTINASI


Alhamdulillah! Dan tahniahlah buat anak-anak para sahabat saya yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR yang diduduki awal September lepas. Sesungguhnya memang berbahagia inu dan ayah apabila anak-anak mencapai kejayaan. Tahniah, khas untuk Puan Intan Sharz - sahabat lama saya sebumbung di sebuah SBP dulu.  Buat anaknya, Chichi juga. Tergelak saya membaca debaran dramatik dia dan puteri bongsunya menunggu keputusan UPSR pagi tadi.
 
Juga buat semua guru di Sekolah Rendah yang berkerja dengan semangat waja seorang pendidik untuk memastikan anak-anak didik mencapai kecemerlangan. Semoga titis keringat yang mengalir akan dinilai oleh Allah SWt sebagai suatu ibadat, in-sha-Allah. Istimewa untuk sahabat zaman kanak-kanak saya Cikgu Nismah Niech yang kini berkhidmat di selatan Semenanjung atas kejayaannya membariskan pelajar kelas hujung yang mampu menggegau 'A' dalam BM Pemahaman. Suatu perjalanan yang panjang! Amat panjang.
 
Salam tahniah! Kejayaan bukan destinasi. Kejayaan adalah sebuah perjalanan yang panjang. Ibu dan ayah semua, ajari anak-anak kita betapa kita tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada mereka. Atas segala pengorbanan kita selama ini, kita hanya mengharapkan mereka berjaya (dalam erti kata yang amat luas) dalam hidup daaraini (dua dunia!); dunia dan akhirat! Kejayaan ini adalah sebahagian daripada sumbangan anda demi kegemilangan ummah.
 
 

UPSR: Tangga untuk Melangkah Jauh?

 
Pagi ini bangun dengan dada berdebar-debar. Sedikit gementar! Saya beristighfar kecil. Memujuk rasa debar yang menggetarkan hati. "Hati berdebar-debar saja sejak semalam", saya cuba mengongsi debar dengan arjuna. Ketika itu, kami baru usai solat Subuh bersama anak-anak. "UPSR?" Dia menjawab, hampir tanpa nada. "A-ah!" Saya mengiakan. Anak-anak sudah pun sibuk berkemas untuk ke sekolah. "Hmm .. ingat apa tadi. Muka tu macam tunggu keputusan kena pergi berperang ke tidak je." Dia sempat 'mengenakan' saya. Saya menyambutnya dengan senyuman tawar.
 
Sepi. Itulah yang merajai suasana apabila anak-anak dan Mr. H keluar ke sekolah dan tempat kerja. Pagi ini cadangnya hendak menyiapkan kerja-kerja penyelenggaraan di laman ini. Tapi, entahlah. Saya bagai kehilangan fokus. Debar memanjang. Itu baru menunggu keputusan anak buah. Kalau anak sendiri, bagaimanakah? Haha! Hati yang tepu dengan nuansa keibuan. Barangkalilah!
 
Semalam saya menerima kiriman mesej seorang sahabat lama yang masih akrab sehingga sekarang. Apalagi kalau bukan bila keputusan UPSR keluar. Sebelumnya saya telah pun menghantar mesej di WhatsApp kepadanya sebenarnya. Rupanya dia tidak perasan. Maklumlah sibuk dengan kembara khidmat untuk negara. Saya tidak marah pun. Soal negara memang pada kebanyakan masa lebih mengatasi hal keluarga, termasuklah hal anak-anak.
 
Semalam antara mesej terawal yang masuk dalam peti inbox saya: kalau dpt tahu result Aisyah msg eh. Berdebar pulak. 9:40 pagi ketika itu. Saya tidak segera  menjawab sebab sedang tekun menguliti kerja-kerja penulisan. Saya senyum. Hati siapalah tidak risaukan anak, kan? Saya pun mengalami itu dulu. Tiga tahun yang lalu. In-sha-Allah, tahun depan akan berperang dengan debar yang sama. Rasanya debaran itu nanti lebih menggetarkan! Anak sendiri! Pencapiannya pula tidak sekonsisten mana. Ada kala melonjak menjejak markah 100%, ada kala sangat biasa-biasa saja! Oh, anakku! Sebentar kemudian, bunyi 'drop' kedengaran lagi. Saya menjeling sekilas. Ada mesej di WhatsApp yang sampai.  .."taking off to singapore". Saya mahu membalas: safe journey atau take care. Tapi saya memilih: fi hifzillah (dalam peliharaan Allah). Saya kira itu lebih bermakna. Siapalah sangat kita ini untuk 'take care' sedang hakikatnya yang berhak mutlak menjaga kita ialah Allah SWT. Justeru, ungkapan fi hifzillah lebih tepu dengan makna. Ungkapan doa, bukan sekadar seruan atau peringatan agar dia menjaga diri.
 
Saya menghantar mini poster : PUT YOUR TRUST IN ALLAH. Saya sebenarnya mahu dia bertenang. Jangan terlalu risau. Apa pun, usaha telah disempurnakan. Keputusan akhir milik mutlak Allah SWT. "Tq for the reminder", balasnya. "Apa-apa hal will let you know."  Saya mahu menyambung lagi: Rileks! Kalau rezeki tidak ke mana. Tapi, saya menyimpan sahaja ungkapan itu di dalam hati. Sempat saya merafakkan doa, moga-moga anak gadisnya itu beroleh kecemerlangan. Mendoakan anak sahabat-sahabat saya juga sebenarnya sebahagian daripada doa harian saya.
 
10.35 pagi -- saya terima lagi mesej daripada sahabat saya itu. Saya tahu dia risau. Dan berdebar seperti kebanyakan orang yang menunggu keputusan anaknya diumumkan. 'Thanks in advance. No data here. Can only SMS.' Apalah sangat nak diterima kasihkan. Simpan terima kasih itu untuk guru yang berhempas-pulas mencemerlangkan anak-anak didiknya di sekolah, termasuk puteri sulungnya, Aisyah. 'Don't mention!" Saya ikhlas. Anak musuh lagi kan saya bantu, inikan pula sahabat yang pernah berkongsi seribu satu cerita zaman dahulukala. Jiwa pencinta pendidikan, beginilah.
 
Maka bermulalah jejak saya; misi merisik keputusan! Insan-insan terpilih saya hubungi. Saya juga dimaklumkan bahawa sekolah anak sahabat saya itu calonnya 71 orang yang memperoleh 5A. Tahniah untuk seluruh warga sekolah yang telah berusaha keras merealisasikan impian kecemerlangan.
 
Alhamdulillah! Pagi ini saya menghantar ucapan tahniah! Walaupun pada mulanya terlintas juga nak mengusik :"nak berapa A untuk Aisyah?" Jahat! Saya sebaliknya lebih berdiplomasi dengan mengucapkan 'congrates!' diiringi satu missed call. Saya menerima panggilan balas dari Seberang Tambak. Sah! Memang dia berperang dengan seribu resahati. Galau dan kacau! Tahniahlah, dari hati. Sepanjang perjalanan pulang ke tanah air, melebarlah senyuman. Syukurlah kepada Allah. Hakikatnya, UPSR adalah tangga untuk melangkah lebih jauh. Tapi, UPSR juga bukan garis penamat dalam proses pendidikan. Selepas ini, perjuangan masih panjang! Baik dia, puterinya. Juga saya! Semoga terus melakar sejarah kecemerlangan, anakanda Aisyah Qasrina! All the BEST!
 
Di hati debar sudah pun reda. Tinta saya bernoktah di sini untuk catatan ini!
 
 
 
 
 
 
 
 

Wednesday 13 November 2013

Merenung diri



Jom! Kita renung diri, memperbaharui caj motivasi diri.

  • Hidupkan kepercayaanmu, engkau akan mampu menggerakkan dunia jagat ini!

  • Hidup ini sentiasa ada pilihan. Buatlah pilihan yang terbaik berlandaskan ketakwaan.

  • Rintis jalan sendiri. Berjalan di atas jejak orang lain tidak akan meninggalkan sebarang kesan. Jadilah diri sendiri.

  • Binalah batu loncatan daripada batu-batu halangan.

  • Gagal bermakna peluang untuk bermula sekali lagi dengan lebih persediaan.


Selamat memotivasikan diri! Kalau bukan kita, siapa lagi?

Selamat Maju dan Berjaya, Calon SPM 2013

 
 
 

 
 
Sebenarnya bukan terlupa atau sengaja, tetapi disebabkan di penghujung kalendar pendidikan yang sarat, catatan tentang ucapan selamat berjaya ini ditangguhkan seketika. Namun, di hati selalu ada harapan semoga kalian semua pulang dengan kecemerlangan. Beroleh hasil tuaian setelah ilmu dicambah-biakkan. In-sha-Allah!
 
Beramallah dengan doa, hidupkan sunnah Rasulullah  dan syariah islamiyyah dalam diri kalian semua. Peliharalah segala adab sebagai pencinta ilmu, semoga Allah SWT mempermudahkan laluan kalian untuk merintis kejayaan. Sesungguhnya doa seorang guru kerdil ini akan sentiasa mengiringi derap langkah dan deru nafas kalian melalui denai-denai ujian.
 
 
 
 
Salam kecemerlangan!
 
Bintang Tujuh,
November - Muharram, 2

Bicara Kasih: Tentang Sahabat dan Persahabatan (2)




Lagi tentang ungkapan kata tentang sahabat dan persahabatan. Hakikat yang terpahat; kita memang selamanya memerlukan sahabat dalam kehidupan kita. Andai Allah mentakdirkan sahabat yang baik buat anda, tatanglah persahabatan itu dengan penuh rasa keimanan dan ketakwaan! Sesungguhnya ukhuwwah fillah yang bersendikan iman dan Islam, akan berkekalan hingga ke syurga akhirat. In-sha-Allah!


·         True friendship is never serene.

·         Life without a friend is death without a witness.

·         A friend is long sought, hardly found, and with difficulty kept.

·         True friendship comes when silence between two people is comfortable.

·         Every man should have a fair-sized cemetery in which to bury the faults of his friends.

Bicara Kasih: Tentang Sahabat dan Persahabatan (1)


Mutakhir ini, barangkali kerana seringkali bertemu semula dengan sahabat-sahabat lama, hati saya selalu tersentuh dengan apa jua yang menyentuh soal persahabatan. Di usia yang hanya tinggal sisa ini, persahabatan yang akrab sejak 26 tahun dahulu menjadi lebih akrab. Persahabatan yang lebih matang, tiada lagi soal merajuk 'tak nak geng' dan soal-soal 'emo' yang remeh-temeh. Sekarang segalanya berkisar soal kehidupan, alam rumahtangga, kerjaya, anak-anak, sisa usia, soal bekalan ke alam akhirat. Juga tentang impian untuk bersahabat 'ilal jannah (sehingga ke syurga!). Lalu diabadikan di sini ungkapan-ungkapan tentang persahabatan sebagai renungan kepada kebenaran impian semasa menconteng autograph di zaman sekolah: FRIENDS FOREVER!


·         Old friends, like old swords, still are trusted best.

·         The only way to have a friend is to be one.

·         Of all the things which wisdom provides to make us entirely happy, much the greatest is the possession of friendship.

·         Hold a true friend with both your hands.



Puisi Hati: Daerah Kecintaanku





Daerah kecintaanku,
darimu kupetik seribu 'ibrah
 
Pertama; mawaddah dan rahmah seorang ibu
tiada sempadan
tinggi kinabalu lebih tinggi puncak kasihnya
dalam kinabatangan lebih dalam dasar doaharapnya
luas segara china selatan lebih luas ingatan tulusnya
 
Kedua; mustahil tiada yang mudah
dalam sekian payah
duka dan luka hanyalah cabaran
masyaqqah adalah bumbu kehidupan
mendewasakan fikrah
menggagahkan lagi langkah
 
Ketiga; hidup ini perjalanan pergi
visa kembara amat terhad
saat usia menjadi sisa
paspot tidak sah laku lagi
hanya iman menjadi paksi
mengejat ketaqwaan
memperkuat kemandirian
 
Mesilau,
2010

Puisi Hati: Rindu Itu Sepi



Rindu itu segunung batu
membenamkan aku kepedihan
Sepi menjadi lautan bara
membakar rentung
------- rindu itu adalah sepi
yang mengirim seribu sengsara


Malam aku membilang bintang
jelas kudengar doa bumi dan munajat langit
yang bertaut di taman nubariku

Dinihari yang sepi
gemersik aku bisikkan doaharap
Tuhanku, hadiahkan aku
keteguhan iman Sumaiyah, Asiah dan Aishah
kekuatan jiwa Khadijah, Fatimah dan Mariah
sebelum Izrail mendakap nafasku kekap

Subuh yang mendesah resah
membuat aku gelisah membaca raspodi semesta
kuserah seluruh hidup kepada pemergian
suatu saat di hujung hayat!


Executive Suite 930
Hotel Everly, Putrajaya
4 November 2013




Catatan Buku: Muallaf Berpengaruh


10 Muallaf Paling Berpengaruh di Eropah dan Amerika
(Muhammad Yusuf Anas)
 
 

Mengisi masa terluang di musim-musim percutian panjang, terdetik rasa hati untuk menelaah buku yang sudah lama dalam senarai intaian saya untuk dibaca. Belum berkesempatan membuat catatan penuh berkenaan kesemua tokoh yang dihimpunkan oleh penulisnya dalam buku ini. Sungguh pun demikian, saya kongsikan 10 nama yang memiliki sejarah indah dalam menggegau hidayah Allah SWT!
 
 
1.       Mark Hanson – keturunan Pengasas Kota Chisholm yang menemui kebenaran

2.       Yusuf Estes – bekas pendeta yang menulis ‘Kisah Para Pendeta yang Memeluk Islam’

3.       Ingrid Mattson – penduduk asli dan wanita pertama yang mempimpin organisasi muslim terbesar di Amerika Utara

4.       Malcolm X – tokoh revolusioner Afro-Amerika yang disapa hidayah iman

5.       Michael Wolfe – penulis dan pujangga Amerika penerima Anugerah Wilbur 2003

6.       Maurice Bucaille – pakar bedah ternama Perancis yang membuktikan kebenaran Al-Quran

7.       Charles Le Gai Eaton – pencarian kebenaran seorang ahli falsafah dan penulis

8.       Yusuf Islam – ahli muzik bernama Cat Stevens

9.       Kareem Abdul Jabbar – jaguh Slam – Dunk dan Skyhook NBA

10.   Kristiane Backer – daripada entertainment ke ‘inner-tainment’

 

 

Puisi Hati: Kundasangku


KUNDASANGKU



Tika tarhim mengejutkan mentari
kurafak selangit syukur
meratib selaut tafakur
tersimpan sekian Qadar
bertahun murba rinduku marak membara
 
Kundasangku,
Kasih rahmahmu mekar segar
di raudhah kenangan
aku mahu segala-galanya mewangi
40 tahun memesraimu
tidak mungkin lagi
aku merindui yang lain
 
Tika bulan dan matahari menyatu
di horizon ungu
qasidah masa lalu kubiar berkumandang
kugagahkan hati
membilang butir zikir
yang bersepah di sejadah maghfirah
sambil kukucup semilir bayumu
lagu takwa kembali kudendang



Kinasaraban,
Aidilfitri, 2013

Puisi Hati: Tentang Bahasa


                                         




Tersungkur sudahkah rasa kasih
hingga tegar bahasamu kausisih
rebah sudahkah atma yakinmu
tentang daya upaya bahasamu
yang dulu berkemilau
di langit sejarah sarwajagat
 
Kubong, Limbang
2011
 

Puisi Hati: Bahasa Ini


Bahasa Ini
Bahasa ini bukan semata-mata pusaka
jadi warisan turun-temurun
Bahasa ini bukan semata-mata pusaka
menjadi khazanah balai pustaka
Bahasa ini bukan semata-mata pusaka
menjadi lukutan tepian gantang
 
           Bahasa ini adalah jiwa bangsa
            padanya  nadi dan nyawa
            padanya maruah dan sejarah
            padanya perjuangan dan peradaban
           padanya ada segala-galanya
 
 
Jalan Pandaruan,
Limbang
Mei 2011

Demi Kasih, Berdua-duaanlah!


DEMI KASIH, BERDUA-DUAANLAH
 
 
Sebagai pasangan yang berkerjaya, masa yang terluang untuk pasangan sudah tentu amat terhad. Kata orang ini adalah salah satu daripada faktor yang akan menjarakkan perasaan kasih sayang suami isteri. Antara percaya dan tidak tentang dakwaan orang ini, saya mengitari kisah kehidupan rumahtangga Rasulullah s.a.w. Dalam kesibukan menjalankan kewajiban sebagai rasul pilihan Allah, baginda juga memikul amanah sebagai suami dan ayah. Bayangkan saja kalau memimpin sebuah daulah atau kerajaan, bukan alang-alang cabaran yang didepaninya. Menuntut seribu pengorbanan, sejuta pengertian daripada ahli keluarga. Isteri terutamanya!


Zaman ini, kerja kita biasa-biasa saja. Tapi masa yang dihabiskan dengan urusan kerja bukan main banyaknya. Saya tidaklah menafikan bahawa kerja yang kita buat kerana Allah SWT, in-sha-Allah akan dihitung juga sebagai ibadat. Namun, hakikatnya hanya Dia yang Maha Menilai kategori manakah jatuhnya kerja-kerja kita itu. Kita yang kurang serba-serbinya itu memanglah tidak layak hendak dijadikan perbandingan dengan Rasulullah s.a.w yang maksum dan terpilih, tetapi rasanya kita perlu memetik ibrah tentang kebijaksanaan baginda mengemudi bahtera rumahtangga dalam arus kesibukan yang bukan alang kepalang!

Bagaimana baginda melapangkan masa untuk bersama suri hatinya? Bagaimana pula seorang isteri memahami kesibukan arjuna hatinya? Titik kebahagiaan itu bertemu pada satu garis: saling mengerti dan bertoleransi. Seorang isteri tidak wajar terlalu ‘demand’. Begitu pula, seorang suami tidak wajar bersifat ‘take for granted’. Jangan terlalu mengambil mudah. Mestilah ada usaha untuk menjadikan ikatan suci yang terjalin sentiasa bugar. Mekar! Perkahwinan ini adalah suatu komitmen tentang perkongsian hayat! Itulah tekad yang dilafaz di sebalik sebuah akad semasa majlis gilang-gemilang dulu, bukan?

Justeru, pada setiap ruang dan peluang yang datang, luangkanlah masa lapang untuk berdua-duaan dengan pasangan. Sesekali tiada masalah besar untuk memberikan ‘kuasa’ menjaga anak-anak kepada anak sulung. Itu pun pendidikan juga namanya. Mendidik anak-anak tentang tanzim @ organisasi. Tentang konsep qiadah @ kepimpinan dan ketaatan. Sepanjang ketiadaan Ummi dan Walid kita mengajar mereka tentang ‘empowerment’ juga!