... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Wednesday 26 September 2012

BERMULALAH ..

Hari ini saya berkisah panjang dengan anak-anak didik saya. Di luar waktu persekolahan tentunya. Tentang ceritera sebuah kecemerlangan. Tentang bagaimana menggegau bintang yang bersinar terang.

Hakikat kecemerlangan bukan hanya pada pencapaian akademik sahaja. Kecemerlangan yang lebih bermakna ialah kecemerlangan ibadat dan sahsiah. Namun, percayalah .. kiranya kecemerlangan ibadah dan sahsiah sudah mampu kita perolehi, insya-Allah kita akan cemerlang dalam seluruh bidang kehidupan kita.

Saya menegaskan begini kepada mereka: sebagai umat Islam, kecemerlangan harus kita miliki! Bermulalah dengan langkah pertama. Anda adalah harapan kecemerlangan ad-deen ini.

Jom! Mulakan langkah kecil ke arah kecemerlangan nun di hujung lorong perjalanan ini ..

Monday 24 September 2012

Panggilan DIA





Minggu lepas, pagi Ahad. Kami empat beranak sedang enak menjamu selera. Bercerita tentang macam-macam perkara. Tentang Abang Ameer yang jauh di Putrajaya. Tentang pencapaian anak-anak. Tentang harapan Ummi dan Walid. Juga sudah pasti tentang harapan anak-anak. Selepas sarapan pada hari itu kami memang sudah sepakat untuk ke Taman Hidupan Liar nun jauh terpencil di pinggir hutan simpan Sarawak.

Sedang seronok bercerita, telefon genggam di kocek seluar berdecit-decit. Gegaran peranti elektronik itu jelas saya rasakan. Ada mesej yang masuk. Entah dari siapa. Sejurus selepas selesai bersarapan, dalam perjalanan ke Matang Wild Life Park, saya membuka mesej. Kak Lynn!



"Kami akan berangkat ke Tanah Suci 26 September. Doakan kami selamat pergi dan kembali. Maaf atas segala salah dan silap selama 38  tahun kita hidup bersama." Berkaca-kaca mata saya. Gembira. Sayu. Terharu. Semuanya bersatu membersitkan suatu emosi yang sukar saya kongsikan. Suami di sebelah sekadar mengerling sambil bertanya ringkas. "Siapa, dik?". "Kak Lynn", jawab saya.

Jujur saya akui, saya ingin sekali menjadi tetamu-Nya. Kalau boleh di saat itu juga. Ada kala kerinduan itu terlalu sukar digambarkan. Namun, apakan daya kudrat tiada. Iradat sahaja sudah tentulah tidak memadai. Menantikan orang sebelah ini benar-benar ikhlas melepaskan saya pergi dengan penuh kerelaan. Menanti dia ada kelapangan yang benar-benar lapang. Benarlah kata orang, duit dah mencukupi pun kalau belum dengan izin-Nya, ada sahaja halangan di sana-sini.

"Ya, kak. Semoga beroleh haji yang mabrur. Doakan kami di sana nanti." Butang 'send' saya tekan. Semoga Kak Lynn dan Abang Dee akan selamat pergi dan kembali. Pulang nanti menjadi hamba yang lebih bertakwa, insya-Allah. Sesungguhnya saya amat mengasihi kakak saya. Dan amat bersyukur kerana jiwa agamanya sentiasa hidup walaupun tidak pernah bergelar 'budak sekolah agama'.

Labbaikallahumma labbaik, labbaikala syariika laka labbaik ....

6 Zulkaedah

Bicara Hawa dan Adam



Termenung. Saya duduk merenung kepulan awan yang berarak petang . Di langit putih. Tanpa sedikit pun titik cela. Sejurus saya membuang pandang lagi ke luar jendela. Anak-anak sedang berseronok, main tangkap bola bersama beberapa orang anak jiran. Dunia kanak-kanak alangkah indah! Tanpa ada rasa beban, tanpa banyak perkara yang perlu difikirkan. Sekejapan juga, sempat serpihan kenangan zaman kanak-kanak singgah di layar ingatan. Seronok!

Saya kembali merenung surat undangan menyampaikan ceramah. Tentang cinta remaja! Jujur saya akui, agak kekok bagi saya. Berkali-kali saya mohon agar pihak penganjur mencari orang lain namun dua tiga kali itu juga pihak penganjur memohon saya terima. Sebenarnya saya lebih sukakan ceramah motivasi. Atau pun ceramah kesusasteraan. Bukanlah saya tidak mahu berkongsi idea tapi rasanya saya bukanlah orang yang paling layak bercakap soal ini. Secara teori, saya boleh saja membuat sedikit kajian. Atau bertanyakan mereka yang saya pasti ada pengalaman dalam bab ini. Tetapi, secara praktisnya saya tiada pengalaman dalam bab hati dan perasaan zaman remaja. Nil. Dunia remaja saya sarat dengan mandat. Dan amanat!

'Bicara Hati Hawa dan Adam'. Begitulah tajuk yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Perkara yang terlintas di hati saya, ketika Hawa diciptakan untuk Adam bukanlah mereka sudah di pentas usia dewasa. So, tajuk ini ada pertikaian bagi saya. Kedua, hukum bercinta di dalam Islam? Maksud saya cinta di zaman remaja. Bagi saya, hukumnya jelas haram. Itu adalah salah satu sebab saya takut bercinta semasa usia menginjak remaja. Dan saya syukuri takdir saya itu. Sungguh!


Saya hanya mengenali makna sebuah 'cinta' setelah diijab-kabulkan. Tidak pernah melafaz ungkapan cinta walaupun sekali kepada mana-mana lelaki selain yang dipanggil suami. Hmm .. bertuah sang suami. Dia lelaki pertama saya cintai .. sepenuh hati. Dan moga-moga cinta ini tidak akan melunturkan cinta kasih saya kepada DIA yang lebih berhak dicintai sepenuh juwa dan raga.

Lewat petang, anak-anak sudah pun berpamitan dengan kawan-kawan sepermainan. Mereka memang tahu, 30 minit sebelum azan adalah 'sempadan masa' yang paling akhir mereka berada di luar rumah. Kalau rasa nak duduk di luar rumah ditemani nyamuk, cubalah untuk melanggar sempadan waktu ini. Tanpa disuruh, Am dan Izzah sudah pun bergegas mandi. Bersiap kemudiannya untuk solat Maghrib. Saya menanti mereka di bilik tidur utama memandangkan walid berada di luar stesen. Siap sejadah mereka bentangkan dan azan usai dilaungkan oleh Bilal di masjid berhampiran, kami mendirikan Maghrib berjemaah.


Sementara Izzah dan Am ke dapur menyenduk nasi, saya menanti di ruang tamu. Bersandar di sofa sambil memejamkan mata. Seketika cuma. Selesai segala keperluan malam itu, sambil menemani anak-anak mengulangkaji, saya kembali menerobosi langit maklumat mencari-cari bahan ceramah. Alhamdulillah! Membaca catatan Pak Samad Said, saya menemui sesuatu yang boleh dijadikan bahan bicara. Meneliti beberapa ceramah di youtube mencambahkan lagi idea. Akhirnya, saya sampai kepada satu titik simpul. Muda-mudi dan belia remaja masa kini perlu diperbetulkan 'persepsi' mereka tentang cinta. Mereka perlu diberitahu cinta dari kanta Islam pula. Berat tanggungjawab yang saya galas kali ini. Di hadapan 200 audiens remaja yang sedang kemaruk cinta, mampukah saya menyejukkan lahar cinta yang mereka ciptakan.

Ya Allah! Atas rasa raheem-Mu, aku mohon untuk diberikan kekuatan berkongsikan peringatan ini buat mereka yang bakal menerajui tonggak kepimpinan negara pada masa hadapan. Dengan sebuah senyuman, saya menyambut tangan Izzah yang memimpin saya ke meja makan ..




Monday 3 September 2012

3 September

Salamullah alaikum ..

Ogos berlalu tanpa apa-apa catatan di dada blog ini. Sedihnya! Jujur saya akui, di dalam hati meronta-ronta untuk menulis. Banyak yang mahu saya tulis, tetapi saya tidak dapat meluangkan masa. Orang yang paling rapat dengan saya kata: itu hanya alasan. Tak pandai urus pencuri masa lah tu. Begitu katanya. Saya akui ada juga kebenaran kata-kata sang arjuna hati itu.

Ogos berlangsungnya Ramadhan dan Syawal. Ramadhan memanglah sibuk. Hajat di hati mahu menggandakan amal ibadat. Bukan mengejar syurga. Bukan juga kemaruk pahala. Cuma saya mahu diri saya yang baru setelah habis 'persekolahan' di taman Ramadhan. Meminta syurga, rasanya masih terlalu jauh untuk layak diri ini. Namun, keredhaan-Nya sentiasa saya dambakan. Semoga dengan Rahim dan Rahman-Nya masa depan saya dan insan-insan yang tersayang akan tenang dan berbahagia di akhirat sana. Amin ya Rabbal 'Alamin.

Hari ini hari ketiga di bulan September. Harap-harap bulan Syawal dan  Zulhijjah ini akan menjadi bulan yang lebih menjadikan kita semua mulia di sisi DIA. Dan saya juga mengharapkan saya akan lebih bijak mengurus 'pencuri masa' agar saya ada sedikit waktu terluang untuk menulis di blog ini.

Istimewa buat anak-anak didik dan anak-anak saudara yang akan menapak ke menara sarjana, selamat maju dan berjaya. Manfaatkan peluang yang tidak akan datang berkali-kali ini dengan sebaik-baiknya. Berkawanlah dengan mereka yang mencintai ilmu pengetahuan. Ingatlah sentiasa bahawa tujuan utama kita berkelana jauh ke varsiti adalah untuk mencari permata ilmu demi keredhaan-Nya. Semoga beroleh kecemerlangan!

Salam kasih demi-Nya ..