... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Monday 30 July 2012

Fasa 1 Telah Berlalu

Hari ini 10 Ramadhan. Fasa pertama sudah pun berlalu. Ya Allah! Alangkah ruginya jika kita membiarkan 10 hari yang sarat dengan berkat itu berlalu begitu sahaja. Alhamdulillah! Subuh 9 Ramadhan cerpen saya: Aku, Dia dan Ramadhan selamat ke penghujungnya. Sebuah kisah tentang Cikgu Adrian yang berpuasa buat pertama kalinya dalam suku abad kehidupannya. Betapa indah! Betapa manis! Kenangan itu. Selesai proses bacaan pruf, insya-Allah akan saya kongsikan.

Saya tidak sabar menantikan esok. 11 Ramadhan! Saya inginkan Ramadhan yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Dalam kehidupan ini, wajiblah setiap daripada kita untuk mengimpikan dan melakukan yang terbaik, bukan? Bukankah Islam sebuah agama yang mementingkan kecemerlangan hidup di dua dunia.

Tiga hari yang lalu, saya meraikan hari ulang tahun seorang ibu guru. Hasrat untuk menghadiahkan sesuatu kepadanya tidak kesampaian. Barangkali dek kerana terlalu ghairah melangsaikan 1001 tuntutan kerja dan kehidupan saya terlupa tarikh ibu guru itu. Akhirnya sekadar ucapan berlatarkan mesej pendek kepadanya. Tepat jam 0938 malam pada Jumaat yang lalu.

"Ya Allah, anugerahkan dia keimanan yang kental, hati yang selalu bergetar menyebut nama-Mu, keafiatan dan keikhlasan menyempurnakan segala ibadat dan mandat, keberkatan dalam setiap detik waktu yang dilaluinya. Anugerahkan dia kebahagiaan dan kecemerlangan di dua dunia.

Ya Allah! ENgkau kasihilah dia, ampuni segala silap dan khilafnya. Sesungguhnya dia ibarat seorang ibu yang selalu mahu yang terbaik buat anak-anaknya. Berikan daku kekuatan, ya Allah untuk terus mendokong perjuangannya mencemerlangkan anak didik, agama dan bangsa kami.

Selamat hari ulang tahun kelahiran ibu guru. Doa ini hadiah istimewa buat cikgu!"

-Salam yang tulus & ikhlas -

^^ Itu sahajalah yang aku mampu berikan. Selain sebuah ingatan yang tepu! ^^^

Sunday 22 July 2012

Naskhah Kasih: Tetamuku, Ramadhan

Ramadhan akhirnya datang jua. Hari-hari terakhir di penghujung Syaaban, saya menyediakan diri. Merancang itu dan ini. Seadanya. Menulis beberapa azam yang mahu kucapai pada kunjungan Ramadhan kali ini. Bagiku, Ramadhan adalah tetamu yang istimewa. Amat istimewa malahan.

1 Ramadhan - seusai terawih, aku terkenangkan anak bujang kami yang berkelana jauh mencari ilmu. Lalu aku panjatkan doa agar Dia memelihara anak teruna kami itu. Aku juga mendoakan ibu dan ayahku agar dipelihara dalam keimanan. Tidak lupa suami tercinta dan anak-anak yang dikasihi. Moga semuanya istiqamah dalam kalimah tauhid-Nya. Aku kemudiannya memohon agar anak-anak didikku dilembutkan hati dalam menerima hidayah serta lapang dada menerima ilmu yang diajarkan guru. Tulus di hatiku, aku mahu mereka juga lulus cemerlang dalam peperiksaan yang akan mereka duduki November ini. Lebih-lebih lagilah, lulus dalam dewan KEHIDUPAN. Insya-Allah!

Seperti selalunya, Ramadhan terisi dengan pelbagai ibadat. Sekadar kemampuan diri. Pagi yang redup dan tenang memberikan semacam kedamaian. Tatkala anak-anak kembali terlena selepas Subuh, saya bersendirian di ruang tamu. Sambil membaca beberapa bahan bacaan, sesekala aku terusik oleh pelbagai imbasan. Terasa diri ini kerdil di sisi-Nya. Dalam usia puluhan tahun sekarang, saya cuba menghitung bekalan. Agh! Rasanya masih terlalu banyak yang perlu dipersiapkan. Lalu, aku bangkit di waktu Dhuha-Nya. Ya Allah! Rezekikan kami hidayah, iman dan Islam yang berkekalan.

Apa pun juga, semoga Ramadhan kali ini jauh lebih bermakna buat kita semua. Moga-moga kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Insya-Allah!

Salam kasih di pagi Ramadhan al-Mubarak!

Friday 6 July 2012

Cerpen: Kubah Hatiku

*sebuah kisah yang ditulis sebagai ‘tazkirah’ kepada anak-anak didikku yang kian meningkat remaja. Remaja yang berdepan dengan pelbagai cabaran. Termasuk cabaran tuntutan nafsu untuk bercinta. Menyintai dan dicintai. Istimewa buat mereka yang selalu ‘bersadu’ soal hati dan perasaan. Soal cinta yang tidak kesampaian. Putus di tengah jalan. Soal rasa yang sarat dengan rindu, benci dan dendam. Banyak sudah yang saya pelajari daripada generasi pasca-moden ini. Juga kepada mereka yang selalu bertanya: ‘kenapa cikgu memilih untuk BERCINTA selepas kahwin?’. Singkaplah makna cinta kasih yang sebenar lewat karya yang tidak sepertinya ini. Semoga ada iktibar yang dapat kalian petik di sini. Percayalah, cinta yang paling indah ialah cinta kepada DIA yang kekal. Abadi! Salam kasih fillah ..



KUBAH HATIKU


Titis kenangan jatuh menderu. Namun, dia telah cukup dewasa dengan gelombang yang tidak menentu. Dia juga sudah mangli dengan mimpi-mimpi miliknya yang selalu saja berderai tiba-tiba.

"The memory of you is so engraved in my heart that I take you with me, no matter where I go." Farihah Arishah melipat perlahan-lahan sehelai nota tulisan tangan yang lebih baik sedikit daripada cakar ayam. Nota yang telah pun berubah warnanya menjadi kekuningan. Sedikit kusam. 'Sekusam segugus kenangan silam ..', bisik Arishah perlahan.'Tapi ingatanku tidak pernah kusam', tukasnya kembali. Sebaris nama terpancar di skrin ingatan. Bersama segaris senyum yang sentiasa menguntum. Bersama suara gemersik yang pernah menggugah kubah hatinya. Tapi itu lama dulu. Sudah terlalu lama. Sudah pun menjadi sejarah yang tidak bertulis. Dia kalihkan ingatan bertahun dahulu.

"Apa khabar awak?" . Sepi. Suasana yang sepi di Perpustakaan Undang-undang Universiti Malaya menjadi semakin sepi. Sepi yang membuat dia bungkam.
"Alhamdulillah." Hambar! Di timpanumnyasendiri sudah cukup hambar malahan. Apatah lagi di deria dengar orang yang bertanya. 'Oh! Di tanganku mimpi yang tidak sempurna, Ayee.' Itu skrip yang sering menjadi mainan lidahnya suatu ketika dulu. Namun, petang itu semuanya hanya tergantung di relung hatinya saja.

Dia menundukkan pandangan. Sesungguhnya dia amat mengerti dan amat menyedari keadaan dulu dan kini sudah terlalu jauh berubah. Dia juga tidak mahu menjebak lelaki itu dengan jerat panahan syaitan di matanya. Dia ingin segera berlalu. Tanpa pamit dia mengatur langkah. 'Biarkan aku berlalu bersama rimba rinduku yang telah lama hangus terbakar!' Antara dengar dan tidak dia meniupkan semangat untuk terus membiarkan jurang yang menjarakkan mereka sejak sekian lama.

"Ayee, dah solat belum?" . Itu adalah sebahagian daripada set soalan yang pasti akan diajukan kepada sahabatnya itu dengan harapan dia mendengar jawapan yang mampu menyejukkan hatinya. Namun, nama yang telah mula memegang watak penting dalam hidupnya itu jarang-jarang sekali memberikan jawapan yang membuatkan dia bangga. Atau sekurang-kurangnya berasa lega. Itulah persoalan pokok yang akhirnya menjadikan rasa kasih kian menjadi renggang. Tiada lagi lagu mahu didendang. Betapapun dia memang seorang yang cukup mengagumkan. Cakaplah apa saja. Sebutlah bidang apa sekalipun. Akademik? Kokurikulum? Kepimpinan? Ketrampilan? Sempurna segala-galanya. Begitulah dia di mata orang lain. Dan di mata Arishah juga. Itulah hakikat. Sukar dinafikan oleh sesiapa pun. Dia seorang siswa yang datang dari kampung, dengan segala kesederhanaan. Tidak terlalu hebat tetapi memang cukup mengagumkan! Cuma di kanta iman Arishah, rasanya lelaki itu perlu menambah satu lagi. Bab keagamaan!

Dia petah berbicara. Lebih tepat lagi .. dia petah berhujah. Itu adalah salah satu daripada aset yang melonjakkan lagi sahamnya sebagai pemimpin mahasiswa. Rempuhan ideanya yang dijalin dalam urutan dan tingkat fakta yang kedengaran amat tersusun segala huraiannya. Membikin telinga yang mendengar mahu terus mendengar hingga ke noktah akhir. Dia memiliki suara emas. Di kala dia mengalunkan azan, hati tersentuh sehingga ke lubuk jiwa. Menyerlahkan lagi aura dan personalitinya!  Dia sentiasa mempamerkan riak tenang. Wajah yang terpancar keyakinan dan semangat yang tinggi. Tidak mudah menggelabah. Walau bagaimana sekalipun keadaan. Dia tidak pernah tercicir daripada Senarai Dekan! Tetapi tetap aktif di bidang kokurikulum. Agh! Arishah selalu mengingatkan dirinya dulu agar jangan terlalu taksub dengan lelaki bernama Hizairi itu.  


Dulu, Arishah juga selalu mempertahankan pendiriannya agar tidak keluar berdua-duaan dengan lelaki itu. Syukurlah, dia sentiasa dipinjamkan kekuatan iman oleh-Nya untuk menolak ajakan Hizairi itu. Hizairi? Ada kala dia berkecil hati juga. Dia yang suka berterus-terang hampir dalam semua perkara akan 'merehatkan' diri beberapa hari tidak menjejakinya. Namun, Arishah memikirkan itu adalah lebih baik daripada beralah kepada ajakan Hizairi untuk bertemu. 'Membuka ruang kepada makhluk ketiga!'. Peringatan Ustaz Mujahidin dulu segar di benak Arishah! 

Namun,  bagaikan ada 'chemistry' antara mereka, dalam perang dingin itu mereka tidak juga terjarak terlalu jauh. Hari-hari berpapasan di kompleks kuliah. Saban hujung minggu bertemu dalam mesyuarat persatuan. Dan Arishah memang amat menjaga. Batas pergaulan. Tutur bahasa. Bahasa lidah mahupun bahasa badan. Pelihara mata. Dan hati. Tidak mahu perhubungan itu tercela! Syukurlah pada zaman itu, media belum secanggih mana.

.....
Bertahun-tahun berlalu, bahagia yang dicari Arishah kekal tiada. Deru usia terus beredar namun angannya tidak pernah mekar. Kesian, bukan? Dia menguak jendela kenangan di zaman bergelar mahasiswi. Ternyata, dia dapat merumuskan bahawa keakraban sememangnya telah mewujudkan kecenderungan hati. Segalanya terbina hari demi hari. Roh, kasih, emosi, suara hati dan fikiran saling bertingkah antara satu sama lain. Setiap hari itu juga, Arishah membisikkan tazkirah agar dia tidak sekali-kali cuba mudik di arus songsang apatah lagi melabuhkan sauh singkat ketika angin sakal! Dia tidak pernah lupa ucapesan arwah ayahnya agar terus menjaga maruah diri. Zaman akhir remaja itulah, taufan emosi kuat bertiup.Kalaulah dia tidak teliti dan berhati-hati, dia bimbang dia akan menyesal kemudian hari.




    ... bersambung?

Wednesday 4 July 2012

NASKHAH HATI: Sahabat (1)


MENJEJAKI SAHABAT-SAHABAT LAMAKU ..


Saya baru sahaja selesai bertanyakan khabar seorang sahabat lama. Niech namanya. Sahabat yang pernah berkongsi 1001 kisah di zaman muda lela. Sahabat yang pernah ketawa terkekeh-kekeh bersama. Menangis tersedu-sedu berdua. Ya, kami bersahabat hanya selepas tamat SPM hampir 20 tahun yang lalu. Berjumpa pun hanya sesekala. Lebih tepat lagi hanya ketika saya balik bercuti di kampung halaman. Berhubung juga terlalu jarang. Terutama apabila berjauhan. Maklumlah, dulu bukannya seperti sekarang. Ada macam-macam kemudahan komunikasi yang canggih. Dulu, mengepos surat mengambil masa berhari-hari untuk ditatap oleh penerima. Bertelefon pula tidak semudah seperti sekarang ini. Namun, saya amat bersyukur. Apa pun keadaan pada masa itu persahabatan kami tetap terjalin.

Dalam hal memilih kawan, saya sebenarnya agak selektif orangnya. Saya tidak mudah rapat dengan semua orang (walaupun saya boleh dikategorikan sebagai 'friendly' jugalah) Tanpa 'chemistry' yang kuat, saya hanya akan hadir sebagai teman atau kawan. Ada kala menjadi lawan. Lawan bercakap! Saya bersahabat dengan mereka yang saya kira benar-benar serasi sahaja. Sepanjang bergelar murid sekolah rendah hinggalah keluar sebagai graduan, sahabat karib saya boleh dibilang dengan jari. Rasanya semasa di sekolah rendah, saya hanya rapat dengan seorang kawan. Ani namanya. Kami duduk bersebelahan sejak di Darjah Empat. Mempunyai kecenderungan yang sama; memilih untuk bertudung sejak di Darjah Lima. Saya kira itulah 'chemistry' yang mengakrabkan kami berdua. Namun, sebaik saya memilih untuk belajar di SBP, hubungan kami terputus. Bertahun-tahun. Tanpa khabar. Tanpa berita. Alih-alih kami berpapasan di Universiti Malaya pada tahun kedua pengajian. Alhamdulillah, persahabatan kembali bertaut.

Masa remaja saya banyak habis di rantau orang. Semasa anak-anak remaja lain masih kebal dengan rasa untuk berkepit di bawah ketiak emak, saya menerima tawaran ke SBP. Jujur saya akui, saya benar-benar pasrah untuk belajar di negeri orang. Walaupun dalam masa yang sama, hati amatlah berat untuk meninggalkan keluarga. Beberapa kali saya memohon petunjuk-Nya lewat beberapa siri istikharah (yang saya pelajari dari sebuah buku: Pedoman Solat Sunat). Entah kuasa apa yang menggerakkan hati ini agar sedia berkelana. Saya sendiri kurang pasti. Tetapi yang nyata, saya memang mahu bersekolah di sekolah agama.

Takdir menemukan saya dengan beberapa orang sahabat yang saya iktiraf sebagai 'good friends' di asrama. Kohort kami, pelajar puterinya tidaklah seramai mana pun. Tak sampai 60 oranglah rasanya. Jumlah yang sedikit itu membuatkan kami sememangnya baik dengan hampir semua rakan seangkatan. Hidup di asrama ini kenalah pandai membawa diri. Lebih-lebih lagi anak rantau seperti saya. Huh! Macam-macam yang perlu diambilkira.

Tahun pertama di sekolah menengah, Fidz adalah sahabat yang agak rapat dengan saya. Ditempatkan sebilik. Katil kami bertentangan arah. Satu persamaan yang ketara: kami saling menangis bersama. Terkenangkan ibu. Teringatkan adik. Rindukan bilik di rumah! Agh!! Lawak pula mengingat kembali momen itu. Sebaik bacaan ayat suci kedengaran di corong pembesar suara, hati dipagut sayu bertalu-talu. Rindu bertamu. Saya dan Fidz selalu jadi tidak menentu. Lalu kami berkongsi suara kerinduan kami. Kisah kami yang 'homesick'!

Seorang lagi sahabat saya, Kak Sham. Senior dua tahun. Seorang yang genius. Dan religious. Dia amat mementingkan bab keagamaan. Itulah 'chemistry' yang mengakrabkan kami. Sehingga dia tamat matrikulasi UKM, kami masih berutus-utus surat. Dia banyak menasihati saya. Ada kala saya juga menasihati dia. Dalam bab-bab tertentu. Kami meluangkan masa bersama. Dia yang genius itu tidak pernah lokek memberikan tunjuk ajar. Memberikan teguran. Terutama apabila 'outing' bersama, dialah yang selalu mengingatkan saya agar hemat berbelanja. Kalaulah dia tidak selalu mengingatkan saya, saya pasti turun dari bas SKS dengan beg plastik yang tak cukup tangan nak bawa. Ha ha ha! Thanks, Kak Sham for this. (Sekarang dah jadi doktor pakar dah!) Alhamdulillah, dalam kesibukan yang tak berpenghujung kami masih 'keep in touch' sehingga sekarang. Walaupun sudah puluhan tahun tidakbersua muka. Moga ukhuwah berpanjangan ..

Naskhah Hati: Menjengah Ke Kamar Diri

MENJENGAH KE KAMAR DIRI



Disebabkan terlalu banyak kerja yang bertindihan akhir-akhir ini, saya bagaikan kehilangan waktu. Terlalu banyak yang perlu difikirkan sehingga lupa berfikir tentang diri sendiri. Setiap hari ada saja yang menuntut perhatian. Tanggungjawab yang tidak pernah selesai. Saya teringatkan kata-kata seorang sahabat lama saya: 'pejuang tak kenal erti rehat ..' Seorang kawan lama saya yang lain pula pernah bercakap kalau nak rehat tunggu di syurga. (Huh! Itu pun kalau masuk syurga, Ya Allah! Layakkah? --- Ini persoalan lain pula).

Jadi, hari ini saya mengambil keputusan untuk menjengah diri saya sendiri. Di kamar diri! Saya membelek masa yang saya habiskan sepanjang minggu ini dan minggu lepas. Agh! Terlalu banyak masa habis dengan kerja rasmi. Banyak rutin di rumah yang tertunda. Banyak janji dengan anak-anak masih tertunggak. Aduyai! Hendak mengeluh pun tak berguna. Hari ini -- sebaik terjaga dari lena yang panjang, saya memberitahu diri saya tiga perkara. Pertama; ketika anak-anak masih berjaga, luangkan masa sepenuhnya dengan mereka. Lebih kerap mengajak mereka membantu kerja rumah secara berjemaah. Bukan sahaja kerja jadi mudah, tapi ukhuwwah insya-Allah akan menjadi lebih kukuh. Kedua; lambakan kerja di pejabat tinggalkan di pintu pagar. Rumah adalah syurga bersama keluarga. Namun, jika keadaan memaksa (maklumlah kerja-kerja online berkejaran dengan 'tarikh akhir', maka bukalah pejabat itu pada jam 0345 pagi hingga jam 0500 subuh. Ketika anak-anak masih diulit mimpi indah. Bersyarat! Langsaikan dulu nawafilmu dengan Tuhan-Mu sebelum menyelesaikan segala kerja yang diarahkan oleh hamba Tuhan-Mu. Ketiga; hayati kesibukan ini dengan rasa bahagia. Gembira dan teruja!

Detik ini. Saya harus berhenti di sini. Di hadapan saya masih ada timbunan tanggungjawab yang memerlukan sentuhan saya. Hidup ini adalah satu tanggungjawab yang berat. Sesungguhnya! Usah diringan-ringankan agar ia tidak menjadi liabiliti.

Salam kasih fillah. Selamat menjalani kehidupan yang membahagiakan.

Monday 2 July 2012

CERITA RAKYAT: Dayang Esah Tandang Sari

DAYANG ESAH TANDANG SARI SI GADIS BULUH BETONG


            Di pinggir hutan tebal Simanggang tinggal beberapa keluarga Melayu yang menjadi penghuni perkampungan warisan turun-temurun itu. Masyarakat kecil itu menjalani kehidupan harian dengan penuh kesederhanaan tanpa sebarang sentuhan kemudahan asas apatah lagi kemajuan dan kemodenan. Sungguhpun demikian semua keluarga itu menikmati hidup dengan segenap rasa kebahagiaan, kesyukuran dan keinsafan. Kehidupan yang rukun!

Sumber pencarian utama penduduk perkampungan Melayu itu  bercucuk-tanam. Padi, pisang, ubi bandung, keledek, labu dan pelbagai tanaman lain menjadi sumber makanan mereka. Di samping itu terdapat juga ‘wira-wira’ kampung  yang berburu binatang liar di hutan. Lazimnya mereka berburu secara berkumpulan. Seringkali mereka tidak pulang dengan tangan kosong kerana kemahiran mereka berburu sejak sekian tahun menjadikan mereka pemburu yang cekap dan dapat menembak sasaran buruan dengan tepat. Rusa, seladang dan pelanduk adalah antara binatang yang sering dibawa pulang.

            Sebahagian yang lain pula turun ke laut menangkap ikan atau menjala udang. Pelbagai hasil tangkapan yang lumayan membekalkan makanan yang mencukupi keperluan penduduk perkampungan itu. Setiap tahun terdapat juga golongan wanita tua yang berhuma di perbukitan berhampiran kampung itu. Proses penanaman mereka selesaikan secara ‘menabang’ atau bergotong-royong. Hasil padi kemudiannya dibahagi-bahagikan sesama sendiri.

            Bagi memenuhi keperluan hidup masing-masing, penduduk pinggir hutan itu saling bertukar-tukar hasil pencarian. Mereka juga berpegang kepada prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Ibarat ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ itulah sendi kerukunan kehidupan bermasyarakat di situ. Sebarang pertelingkahan dan perselisihan faham diselesaikan melalui rundingan secara bersemuka dan dicari jalan perdamaian. Tiada dendam. Tanpa sengketa. Tidak hairanlah mereka sentiasa hidup dengan penuh rukun dan semangat muhibbah yang tinggi. Toleransi menjadi tiang seri kerukunan hidup.

            Di hujung perkampungan tersebut, terdapat banyak rumpun buluh yang tinggi menggalah. Berdaun rimbun, berbatang keras-liat. Saban kali bumi dicengkam sepi tatkala malam mengibarkan sayapnya di mana-mana, pasti sayup-sayup kedengaran rimbunan buluh itu bergeseran sesama sendiri. Bersatu dengan nyanyian malam sang cengkerik! Satu suasana malam yang cukup indah di perkampungan terpencil itu.

            Pada suatu subuh yang hening-bening, penduduk kampung terpencil itu digemparkan dengan suara tangisan halus seorang bayi. Tangisan yang begitu meruntun hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Penduduk kampung beramai-ramai menjejaki arah tangisan bayi itu. Nyaring tangisan bayi di subuh dingin itu membawa penduduk kampung ke rumpunan buluh di hujung kampung. Gerakan pengesan yang turut disertai kaum ibu begegas menghampiri rimbunan buluh yang merimbun itu.

            Tidak lama kemudian secara  tiba-tiba batang buluh yang lebih besar daripada buluh yang lain kelihatan bergoncang kuat. Kuat, kuat dan semakin kuat. Di luar jangkaan batang buluh sebesar pemeluk lelaki dewasa perlahan-lahan terbelah. Penuh dramatik sekali. Serentak itu tangisan bayi kedengaran semakin kuat. Sebaik sahaja batang buluh itu terbelah sepenuhnya, kelihatan seorang bayi berbedung dedaun hutan berlinangan air mata, sudah keletihan meneran tangis.

            Tangisan bayi yang masih bersisa amat menyentuh hati keibuan. Naluri seorang ibu mendorong isteri Temenggong menerpa ke arah bayi yang putih mulus-polos kemerah-merahan itu. Didakapnya erat bayi perempuan  yang gebu kulitnya itu penuh kasih. Comel. Sungguh comel! Itulah perkataan untuk menggambarkan bayi yang ajaib itu.

            “Aku akan memelihara bayi ini,” ujar isteri Temenggong seraya mendakap dan mencium-cium ubun-ubun bayi itu dengan penuh sifat keibuan. Tidak semena-mena bayi itu berhenti menangis. Matanya melingas-lingas seolah-olah memerhati keadaan sekeliling yang dirasakannya begitu asing. Isteri Temenggong mengukir senyum sambil melirik suaminya, tanda meminta persetujuan. Lirikan itu berbalas dengan anggukan kecil Tuan Temenggong sebagai memberikan lampu hijau. Tambahan pula anak-anak mereka juga telah besar panjang malah ada yang telah berumah-tangga. Penduduk lain yang turut berada di situ turut mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan hasrat isteri Temenggong itu. Sementelah rasa hormat mereka kepada ketua begitu menebal. Maka bermulalah kehidupan bayi buluh betong itu di rumah Tuan Temenggong. Bayi itu diberi nama Dayang Esah Tandang Sari.

            Masa beredar, zaman bergantian. Dayang Esah kini semakin meningkat remaja. Dia membesar sebagai gadis sunti yang rupawan dan digilai ramai pemuda. Dayang Esah dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan didikan sempurna oleh keluarga barunya yang bertanggungjawab itu. Tidak hairanlah Dayang terkenal dengan sikap lemah-lembut, peramah, periang dan indah tutur kata. Tinggi pekerti serta baik pula peri lakunya dan cantik budi bahasa menjadikan Dayang Esah amat dikasihi sesiapa sahaja yang bertemu dengannya, baik golongan muda mhupun kanak-kanak kecil dan orang-orang tua. Apatah lagi sesama rakan sebaya. Semuanya suka bergaul dengan Dayang Esah.

            Kejelitaan Dayang Esah menjadi sebutan masyarakat setempat terutamanya belia-belia muda. Ramai yang menaruh hati untuk memperisterikannya namun Dayang Esah tetap merendah diri dan menolak setiap lamaran dengan baik. Dayang Esah  memberi alasan masih mahu berbakti membantu meringankan beban orang tuanya yang telah banyak berjasa kepadanya. “Ibu yang menjadi permata hatiku masih ingin bermanja denganku. Khidmat air tanganku masih diperlukan oleh bapaku yang menjadi wira di jiwaku.” Demikian Dayang Esah berperi. Dia kasihkan kedua orang tuanya sebagaimana mereka mengasihinya. Dayang sayang keduanya sesungguh hati. Sungguh!