... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Friday 28 February 2014

Puisi: Nota Buat Pejuang


Pejuangku,
ketabahan itu
tidak terletak pada kenyataan
bahawa kita tidak pernah jatuh

Ketabahan itu
adalah ketika kita
berani bangun
setelah jatuh
berkali-kali

Teruskan perjuangan!

Puisi: Khabar Manis


Pada titis hujan
yang menggerimis
kuterima khabar manis
arjuna hatiku
bakal bergelar al-hafiz

Selaut syukurkum ya Rahman!
kekalkan  arjuna aman
di dalam iman
di dua dunia

Puisi: Dayangku Aishah


Kukenal dia
wajah yang selalu diwarnai ketenangan
sekalipun dalam kegetiran perasaan

Kukenal dia
mata cerlang yang selalu memancar sinar
melimpahi cangkir perasaan

Kukenal dia
kata-kata yang sarat dengan ingatan
penuh ketulusan

Kukenal dia
doa yang tidak pernah lekang
daripada rimba ingatan
bahawa aku ini
pernah dia panggil 'sahabat'!

Terima kasih, Aishahku.



Puisi: Aksara dosa

Subuh
kuhitung aksara dosa
di kerikil kembara
doaku berapungan di langit

Puisi: Catatan Perjalanan

Perjalanan yang panjang
serasa semakin panjang
dipanggang resah-gelisah
didendang lagu sayu yang mendesahkan
segalanya
menghantar seribu rasa pilu!

--- melihat wajahku sebagai pendidik, 20 tahun lagi ---

Naskhah Kasihku: Nota Buat Pendidik

Seorang pendidik di abad ini, bukan semata-mata mendidik. Pakej kerjayanya amat berencam. Tekanan datang daripada pelbagai penjuru. Perlu mantapkan benteng kesabaran agar terus dilindungi kekuatan. Jaga hubungan dengan Allah, inshaallah Allah akan menjaga dirimu. Fi hifzillah!

Naskhah Kasihku: Penulis Simpanan

Seorang penulis - berkata-kata dengan kalamnya. Isi hatinya terluah di atas kertas. Fikrahnya didokumentasikan dalam karya.

Aku? Hanya penulis simpanan. Menulis apabila penulis utama menyepikan diri?

Menulislah, Azizah!

Naskhah Kasihku: Debat Hati


Musim berdebat bermula lagi. Usul bakal dibentangkan. Di atas kertas hukum-hakam seorang hakim sudah terakam.

Dalam hati: ada perdebatan yang panjang. sampai bilakah seorang pendebat akan terus berdebat?

Puisi: Dewasa

Kemelut hidup
pernah meranjauku luka
aku bangkit
dengan serpih semangat
meneruskan langkah
menongkah segala mehnah!

Kini
aku telah menjadi dewasa.

Puisi: Kenangan



Kenangan silam
menjadikan aku dewasa
sebagai seorang mukmin
sentiasa berpada-pada pada yang ada
sebelum ia tiada!

Tahmid!

Bacaanku: Berubat dengan Solat

Sungguhlah benar hakikat bahawa setiap syariat mempunyai hikmat yang ada kala sukar kita fahami.

Setelah khatam karya Fahrur Muis (PTS Publications) saya duduk bertenang-tenang. Allahu Akbar! Selain mengubati penyakit rohani, kita dapat sihat dengan solat. Bukankah solat itu ..

- menyeimbangkan tekanan darah
- sujud melancarkan peredaran darah ke otak
- mencegah penyakit jantung
- menguatkan antibody
- tulang lebih kuat
- melambatkan proses penuaan.

Jadi, tunggu apa lagi. Jom, jaga solat kita! Inshaallah.

Naskhah Kasihku: Ke Mana Tumpahnya Kuah ..


Nampaknya  masa berlalu begitu laju. Sedar tak sedar, Februari telah pun berakhir. Banyak perkara, banyak peristiwa telah menjadi sejarah. Menjadi sebahagian daripada dokumentasi kehidupan kita.

Melihat ke dalam diri sendiri sambil memegang cermin refleksi. Aku temui fakta, tumpahlah sudah kuah ke mangkuk. Izzah, anak gadis saya sudah mula menulis kisah hidupnya. Dari kanta mata seorang kanak-kanak 8 tahun. Malam tadi,  dia berkongsi impiannya untuk menjadi seorang penulis. Mahu menyampaikan Islam dengan menulis, katanya. Alhamdulillah!

Thursday 13 February 2014

Puisi: Sebuah Puisi, Sebuah Perjuangan


 
Sebuah puisi, sebuah perjuangan!
(Dedikasi buat sahabat-sahabat yang bergelar pendidik)
 
 
 
Kasihilah profesion keguruanmu

                          … sepadat kalbu

gubahlah gundahmu menjadi kuntum indah

raihlah kekuatan pada setiap cemidu

yang datang bertalu-talu

senyumlah walaupun dalam riak resah

lakarlah peta dan resa di atas kanvas

yang kau namakan kemenjadian