... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Thursday 24 July 2014

Naskhah Kasih: Hiduplah dengan Semangat




Di hadapan mataku  terpampang wajah-wajah anak-anak didik yang sudah kurang bersemangat. Semangat hendak ke sekolah sudah susut. Apatah lagi semngat untuk menekuni diskusi ilmiah di dalam kelas. 'Cuti raya' - itulah kalimah yang sudah tertancap di dalam hati nubari mereka.

Maka pada suatu ketika, aku berkongsi petua dengan mereka. Tentang cara-cara untuk hidup dengan lebih bersemangat. Mudah sahaja ; hiduplah dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Dunia ini hanyalah sementara. Dunia selepas mati itulah dunia sebenar. Justeru, 'cuti' hanya apabila sudah selamat masuk ke syurga. Bolehlah cuti rehat sepuas-puasnya!

Anak-anak didik yang mendengar petua ini hanya tersengih. Bersama keluhan ; 'susah tu!'

Hakikatnya memang susah tetapi jika hati kuat, insha-Allah berhasil.

Puisi : Tentang Cinta




Cinta di Gaza
hanya mampu kutulis
pada stanza

Cinta di Grodovo
tersisip kemas
di dalam doa

Cinta di hati
kuserah kepada ilahi

'Dia' Pergi

Ramadhan sudah pun hampir di penghujung. Cepat betul rasanya masa berlalu. Alih-alih Ramadhan berbaki beberapa hari sahaja lagi. Pelbagai persoalan bertamu dalam cepu kepala. Persoalan yang tidak memerlukan jawapan. Cukuplah sekadar dijadikan muhasabah peribadi. Sayunya, Ramadhan akan datang belum tentu bertemu lagi. Terkenang beberapa orang rakan yang sudah 'berhijrah' ke negeri abadi.  Pergi tanpa menjangkakan Ramadhan yang lalu itulah Ramadhan terakhir buat mereka.

Ramadhan tahun ini kita dikejutkan dengan nahas MH17 yang turut membawa 'pergi' 6 orang anak Sarawak. Jauh di dalam hati, saya tersentuh dengan pemergian mereka sekeluarga. Sungguhpun saya tidak mengenali mereka secara peribadi. Sebagai anak rantau, saya dapat merasakan betapa pedihnya hati-hati yang ditinggalkan. Semoga mereka  semua aman di dalam iman di sana. Semua ini pastinya ditakdirkan dengan titipan hikmah.

Ramadhan! Dia juga bakal pergi. Semoga perginya bersama barakah dan maghfirah yang dititipkan buat hamba-hamba-Nya yang telah mengisi Ramadhan dengan penuh rasa kehambaan.

Dia pergi!

Wednesday 2 April 2014

Naskhah Kasihku: Biru oh Biru!

Dulu saya pernah suka secara fanatik pada warna biru. Biru yang romantik, biru yang tenang. Biru yang mendamaikan. Biru laut, biru langit selalu menghadiahkan saya sebuah ketenangan. Sehinggakan bilik di Kolej Kediaman dulu juga penuh dengan biru. Cadar, langsir, alas meja belajar segala-galanya dibaluti warna biru. Koleksi baju pun kebanyakannya berwarna biru. Biru yang damai!

Namun, entah bagaimana kesukaan  itu berubah juga. Hijau! Segala-galanya menjadi serba hijau. Hijau yang menyejukkan mata. Dan jiwa.

Tiba pada satu ketika, saya perlu membuat pilihan antara hijau atau pun biru. Sang Arjuna memang pencinta warna biru. Dia memujuk-mujuk agar saya membuat pilihan biru. Lama berfikir, akhirnya saya memilih biru. Bukan kerana kembali mencintai biru yang lama, namun kerana meraikan si pencinta biru.

Ternyata biru masih memberikan aku hadiah yang sama. Damai dan tenang mata memandang!

PEKASA

Persatuan Karyawan Sastera atau PEKASA akhirnya saya pinang untuk kesinambungan kegiatan sastera saya. Jujur, kegiatan sastera saya ini sangat bermusim sifatnya. Ada kala, ilham datang mencurah-curah tetapi lupa dicatat. Ada kala ilham yang datang sudah dicatat tapi tidak ditukangi. Ada yang ditukangi tapi tidak ketemu noktah. Tergendala di tengah jalan. Dahsyat!

Harapan saya satu - bila selalu bertemu para penulis yang telah mempunyai karya besar selalulah motivasi itu tidak mati di hati. Dan semoga jari juga akan sering kali sudi menari-nari di papan kekunci. Ya, semoga! Moga-moga.

Naskhah Kasihku: Sasterawang?

"Aku menulis bukan kerana wang sangat", kata seorang rakan penulis. Dia sudah banyak menulis buku yang diterbitkan.

"Jadi?", saya bertanya.

"Untuk dakwah. Bila mati ada sesuatu yang ditinggalkan." Dia berjeda. Panjang.

Dalam hati, mercup rasa kagum. Dia berdakwah berwahanakan penulisan.

Ada ramai juga di luar sana yang berangan-angan nak jadi sasterawan kerana wang. Kalau begitu itu bukanlah sasterwan tulin.

"Itu sasterawang!", komen seorang rakan penulis yang lain.

Jika mahu menulis, menulislah bukan kerana nama. Bukan juga kerana harta!

Naskhah Kasihku: Jika Itu Takdirku

Mendengar cerita rakan-rakan Facebook  yang aktif mengikuti perkembangan drama 'Jika Itu Takdirku' , di luar sedar rasa ingin tahu tiba-tiba mencanak naik. Maka, pada episod akhir saya atur jadual agar dapat duduk santai di depan skrin seusai Maghrib.

Sebuah plot yang mempunyai peleraian konflik yang agak klise. Namun rasanya seperti ada sesuatu kelainan pada drama yang mengisahkan konflik rumahtangga ini. Apa ya? (Persoalan yang tidak memerlukan jawapan)

Puisi: Malam Tragedi di Lautan Hindi

Malam Tragedi di Lautan Hindi

Malam ini sepi
sesepi lahad
yang kudengar
hanya desir angin
yang berzikir
kurenung diri
di arca imani.

Bacaanku: Sebuah Memoir Menyusur Jalan Kenangan Salbiah Painah

Bacaanku kali ini menyentuh soal tokoh wanita di Sarawak - Salbiah Painah. Sebuah buku terbitan PEKASA yang menambat hati dan naluriku. Istimewanya memoir ini letaknya pada teknik penceritaan yang bersahaja dan latar belakang penceritaan zaman kolonial yang penuh informasi.

Meneliti kisah hidup Salbiah Painah seolah-olah kita berada pada zamannya. Nostalgia yang dinukilkan berbaur duka lara dan ceria. Ketika membaca kehilangan adiknya ke alam barzakh, ada air mata yang mengalir, Ketika dia berkisah tentang zaman cinta remajanya, tanpa dapat ditahan ada tawa yang pecah. Ha ha ha!

Bacalah buku memoir ini. Di sini ada inspirasi!

Monday 31 March 2014

Puisi: Bila-Bila Adalah Harapan

Bila-bila Adalah Harapan
(Dedikasi buat MH370)

Bila-bila adalah harapan
segala kejadian adalah ketentuan
terancang dek takdir
ketika Allah berfirman
'kun fa ya kun'
jadi .. maka jadilah

Bila-bila adalah harapan
dalam hening azan
iman kian teruji
doa tetap meranum makna
walau kaki berlari
di bawah awan yang rawan
dan seribu duri terpacak di hati.

Friday 28 February 2014

Puisi: Nota Buat Pejuang


Pejuangku,
ketabahan itu
tidak terletak pada kenyataan
bahawa kita tidak pernah jatuh

Ketabahan itu
adalah ketika kita
berani bangun
setelah jatuh
berkali-kali

Teruskan perjuangan!

Puisi: Khabar Manis


Pada titis hujan
yang menggerimis
kuterima khabar manis
arjuna hatiku
bakal bergelar al-hafiz

Selaut syukurkum ya Rahman!
kekalkan  arjuna aman
di dalam iman
di dua dunia

Puisi: Dayangku Aishah


Kukenal dia
wajah yang selalu diwarnai ketenangan
sekalipun dalam kegetiran perasaan

Kukenal dia
mata cerlang yang selalu memancar sinar
melimpahi cangkir perasaan

Kukenal dia
kata-kata yang sarat dengan ingatan
penuh ketulusan

Kukenal dia
doa yang tidak pernah lekang
daripada rimba ingatan
bahawa aku ini
pernah dia panggil 'sahabat'!

Terima kasih, Aishahku.



Puisi: Aksara dosa

Subuh
kuhitung aksara dosa
di kerikil kembara
doaku berapungan di langit

Puisi: Catatan Perjalanan

Perjalanan yang panjang
serasa semakin panjang
dipanggang resah-gelisah
didendang lagu sayu yang mendesahkan
segalanya
menghantar seribu rasa pilu!

--- melihat wajahku sebagai pendidik, 20 tahun lagi ---

Naskhah Kasihku: Nota Buat Pendidik

Seorang pendidik di abad ini, bukan semata-mata mendidik. Pakej kerjayanya amat berencam. Tekanan datang daripada pelbagai penjuru. Perlu mantapkan benteng kesabaran agar terus dilindungi kekuatan. Jaga hubungan dengan Allah, inshaallah Allah akan menjaga dirimu. Fi hifzillah!

Naskhah Kasihku: Penulis Simpanan

Seorang penulis - berkata-kata dengan kalamnya. Isi hatinya terluah di atas kertas. Fikrahnya didokumentasikan dalam karya.

Aku? Hanya penulis simpanan. Menulis apabila penulis utama menyepikan diri?

Menulislah, Azizah!

Naskhah Kasihku: Debat Hati


Musim berdebat bermula lagi. Usul bakal dibentangkan. Di atas kertas hukum-hakam seorang hakim sudah terakam.

Dalam hati: ada perdebatan yang panjang. sampai bilakah seorang pendebat akan terus berdebat?

Puisi: Dewasa

Kemelut hidup
pernah meranjauku luka
aku bangkit
dengan serpih semangat
meneruskan langkah
menongkah segala mehnah!

Kini
aku telah menjadi dewasa.

Puisi: Kenangan



Kenangan silam
menjadikan aku dewasa
sebagai seorang mukmin
sentiasa berpada-pada pada yang ada
sebelum ia tiada!

Tahmid!

Bacaanku: Berubat dengan Solat

Sungguhlah benar hakikat bahawa setiap syariat mempunyai hikmat yang ada kala sukar kita fahami.

Setelah khatam karya Fahrur Muis (PTS Publications) saya duduk bertenang-tenang. Allahu Akbar! Selain mengubati penyakit rohani, kita dapat sihat dengan solat. Bukankah solat itu ..

- menyeimbangkan tekanan darah
- sujud melancarkan peredaran darah ke otak
- mencegah penyakit jantung
- menguatkan antibody
- tulang lebih kuat
- melambatkan proses penuaan.

Jadi, tunggu apa lagi. Jom, jaga solat kita! Inshaallah.

Naskhah Kasihku: Ke Mana Tumpahnya Kuah ..


Nampaknya  masa berlalu begitu laju. Sedar tak sedar, Februari telah pun berakhir. Banyak perkara, banyak peristiwa telah menjadi sejarah. Menjadi sebahagian daripada dokumentasi kehidupan kita.

Melihat ke dalam diri sendiri sambil memegang cermin refleksi. Aku temui fakta, tumpahlah sudah kuah ke mangkuk. Izzah, anak gadis saya sudah mula menulis kisah hidupnya. Dari kanta mata seorang kanak-kanak 8 tahun. Malam tadi,  dia berkongsi impiannya untuk menjadi seorang penulis. Mahu menyampaikan Islam dengan menulis, katanya. Alhamdulillah!

Thursday 13 February 2014

Puisi: Sebuah Puisi, Sebuah Perjuangan


 
Sebuah puisi, sebuah perjuangan!
(Dedikasi buat sahabat-sahabat yang bergelar pendidik)
 
 
 
Kasihilah profesion keguruanmu

                          … sepadat kalbu

gubahlah gundahmu menjadi kuntum indah

raihlah kekuatan pada setiap cemidu

yang datang bertalu-talu

senyumlah walaupun dalam riak resah

lakarlah peta dan resa di atas kanvas

yang kau namakan kemenjadian

 

Friday 24 January 2014

Januari yang Sarat dengan Cerita dan Berita

Nampaknya, Januari menyaksikan kesibukan kerja yang tidak berkesudahan. Januari juga dibebani dengan pelbagai cerita dan berita. Tahmid pada semua khabar manis. Istighfar di kala menerima khabar duka. Semua itu - suka dan duka - menginsafkan kita. Tentang hakikat diri; skrip hidup kita 'ditulis' oleh Allah SWT sejak azali. Jauh berbeza dengan skrip drama yang ditulis oleh manusia, banyak yang indah daripada yang menggugah rasa gundah di dalam jiwa.

Selamat menjalani kehidupan yang lebih manis!

Aksara Usia


Tahun 2014 ini akan membawa pertambahan aksara kepada semua kita. Aksara usia! Dalam pada usia yang semakin bertambah, semoga iman dan amal kita turut bertambah takah. Saya merenung panjang; umur manusia tidak sepanjang harapan dan cita-cita kita!

Saya kira semua kita tidak menafikan hakikat itu. Cuma tinggal lagi, kita mampu atau tidak mengisi usia kita dengan persiapan yang mencukupi untuk 'dimanfaatkan' apabila aksara usia kita berakhir pada titik noktah rahsia. Peringatan ini buat diri saya juga!

Wednesday 1 January 2014

Bacaanku: Soalan Bocor dari Kubur



'Buah fikiran' bersumberkan al-Quran dan hadis yang ditulis oleh P.Madya Rasid Muhamad ini merupakan tazkirah yang sangat baik bagi setiap manusia yang bernyawa. 'Soalan bocor dari kubur' ini membekalkan kita dengan ilmu yang cukup bermanfaat sebagai persediaam kita menuju alam 'transit' di perkuburan dan dunia yang baqa' (kekal) - AKHIRAT!
 
Soal solat dan kiblat, tilawah dan penghayatan al-Quran serta sakaratul maut dan hubungannya dengan pemergian kita yang tidak akan kembali  - semuanya mengingatkan kita semua - betapa mati itu terlalu dekat dengan kita! Hati berdebar dan bergetar lama setelah menoktahi bacaan - apakah mampu hamba ini menjawab segala persoalan dan soalan kelak?
 
Takwa menjadi sandaran! Bacalah!
 
 
 
 

Wanita Januari


Saya  memulakan penulisan ini dengan lafaz nama Allah yang Maha Memberi Anugerah! Segenap rasa syukur saya rafakkan kepada Dia yang telah terlalu banyak memberikan anugerah sepanjang tahun 2013 dan tahun-tahun sebelumnya. Alhamdulillah! Syukur seperabung langit.
 
Januari 2014 datang dengan cabaran baru. Barangkali lama di zon yang sudah agak selesa, Allah SWT datangkan bentuk anugerah yang lain pula. Tugasan kerja yang lebih berat dan menuntut kekuatan fizikal dan mental! Saya redha dan akan sehabis daya melakukan yang terbaik.
 
Semoga tahun baharu ini akan lebih bermakna buat kita semua; penuh dengan peningkatan takah kualiti kehidupan dunia dan akhirat. In-sha-Allah!
 
 
 
Sekian catatan - Wanita Januari yang selalu positif tentang kehidupan!