
Saya kembali merenung surat undangan menyampaikan ceramah. Tentang cinta remaja! Jujur saya akui, agak kekok bagi saya. Berkali-kali saya mohon agar pihak penganjur mencari orang lain namun dua tiga kali itu juga pihak penganjur memohon saya terima. Sebenarnya saya lebih sukakan ceramah motivasi. Atau pun ceramah kesusasteraan. Bukanlah saya tidak mahu berkongsi idea tapi rasanya saya bukanlah orang yang paling layak bercakap soal ini. Secara teori, saya boleh saja membuat sedikit kajian. Atau bertanyakan mereka yang saya pasti ada pengalaman dalam bab ini. Tetapi, secara praktisnya saya tiada pengalaman dalam bab hati dan perasaan zaman remaja. Nil. Dunia remaja saya sarat dengan mandat. Dan amanat!
'Bicara Hati Hawa dan Adam'. Begitulah tajuk yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Perkara yang terlintas di hati saya, ketika Hawa diciptakan untuk Adam bukanlah mereka sudah di pentas usia dewasa. So, tajuk ini ada pertikaian bagi saya. Kedua, hukum bercinta di dalam Islam? Maksud saya cinta di zaman remaja. Bagi saya, hukumnya jelas haram. Itu adalah salah satu sebab saya takut bercinta semasa usia menginjak remaja. Dan saya syukuri takdir saya itu. Sungguh!

Lewat petang, anak-anak sudah pun berpamitan dengan kawan-kawan sepermainan. Mereka memang tahu, 30 minit sebelum azan adalah 'sempadan masa' yang paling akhir mereka berada di luar rumah. Kalau rasa nak duduk di luar rumah ditemani nyamuk, cubalah untuk melanggar sempadan waktu ini. Tanpa disuruh, Am dan Izzah sudah pun bergegas mandi. Bersiap kemudiannya untuk solat Maghrib. Saya menanti mereka di bilik tidur utama memandangkan walid berada di luar stesen. Siap sejadah mereka bentangkan dan azan usai dilaungkan oleh Bilal di masjid berhampiran, kami mendirikan Maghrib berjemaah.
Sementara Izzah dan Am ke dapur menyenduk nasi, saya menanti di ruang tamu. Bersandar di sofa sambil memejamkan mata. Seketika cuma. Selesai segala keperluan malam itu, sambil menemani anak-anak mengulangkaji, saya kembali menerobosi langit maklumat mencari-cari bahan ceramah. Alhamdulillah! Membaca catatan Pak Samad Said, saya menemui sesuatu yang boleh dijadikan bahan bicara. Meneliti beberapa ceramah di youtube mencambahkan lagi idea. Akhirnya, saya sampai kepada satu titik simpul. Muda-mudi dan belia remaja masa kini perlu diperbetulkan 'persepsi' mereka tentang cinta. Mereka perlu diberitahu cinta dari kanta Islam pula. Berat tanggungjawab yang saya galas kali ini. Di hadapan 200 audiens remaja yang sedang kemaruk cinta, mampukah saya menyejukkan lahar cinta yang mereka ciptakan.

No comments:
Post a Comment