Pandanglah segala yang ada di sekelilingmu dengan penuh rasa kasih kerana DIA. Moga-moga dirimu akan dikasihi ..
... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...
Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.
Tuesday, 2 April 2013
MENUAI RINDU
Minggu persekolahan baru sahaja bermula setelah 'sekolah' berehat selama 9 hari. 3 hari pertama, anak-anak sendiri telah memilih untuk belajar secara 'marathon'. Arham berjaya memenuhi piawaian membuat latihan sebanyak 50 muka surat bagi 5 subjek utama termasuk Pendidikan Islam. Hari Rabu hingga Sabtu, dia mahu memperuntukkan masa santai pada tahap optima. Syukurlah! Arham sudah pandai merancang!
Anak-anak kelihatannya masih mahu bercuti lagi. Tambahan pula, cuti kali ini kami menerima kunjungan ahli keluarga yang jauh. Kakak saya yang berjasa - Kak Lynn - dan 5 orang anak-anaknya. Arham & Izzah adalah orang yang paling berbahagia bertemu muka dengan sahabat merangkap sepupu yang akrab. Siapa lagi kalau bukan Syufi & Syazmie - Upie & Amie -! Dunia kanak-kanak sememangnya sentiasa indah. Ceria! Bermain bersama-sama di rumah sahaja pun sudah cukup memberikan mereka kebahagiaan.
Kunjungan singkat ini sebenarnya terlalu bermakna. Maklumlah, setahun boleh dibilang dengan jari berkali bertemu muka. Sebagai adik-beradik kami membesar di bawah bumbung yang sama. Pernah berkongsi lauk dan gulaian yang serupa. Bahkan berkongsi suka dan derita sepanjang usia kanak-kanak dan remaja, saya sendiri ada kala digugah rasa rindu! Ada ketikanya rindu itu meruah di segenap relung hati. Jadi, pertemuan sesingkat ini kami isi dengan menghabiskan masa bersama-sama. Biar pun sekadar keluar berbelanja atau duduk-duduk bercerita panjang, bertukar khabar di ruang tamu. Nikmat rasanya menuai rindu yang telah terlalu ranum! Agh! Saya selalu merindui zaman Kak Lynn saya mewariskan 'tangon mantad id idik' kepada saya ketika usia mencecah 5 atau 6 tahun, 33 tahun yang lampau. Ketika Kak Lynn saya 'menggula-gulakan' saya dengan janji membelikan aiskrim apabila saya 'humakut' ibu dan ayah berurusan di Kota Kinabalu - suatu ketika dulu! -
Semoga Allah sentiasa menautkan hati-hati kami juga generasi selepas kami atas pilinan mahabbah dan ukhuwwah. Semoga Allah mengurniakan kami anak-anak penyejuk mata - qurratu a'yun-
Ketika kami berpisah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, ada doa yang berkelintar di langit ingatan saya. Semoga masih ada lagi pertemuan antara kami semua. Saya belum puas menuai rindu!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment