Pandanglah segala yang ada di sekelilingmu dengan penuh rasa kasih kerana DIA. Moga-moga dirimu akan dikasihi ..
... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...
Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.
Tuesday, 23 April 2013
CATATAN SEORANG HAKIM
Hari ini ada sedikit kesempatan untuk meluahkan apa yang berapungan di minda ini. Sementara menanti giliran menjadi hakim perdebatan Kenyalang Muda ini, kesempatan ini tidak saya persiakan. Sebenarnya memanglah banyak yang selalu hendak dikongsikan (walaupun ada kala apa yang mahu diceritakan itu hanyalah perkara biasa-biasa saja bagi sesetengah orang), namun alasan klise : hilangnya masa senggang. Hujah lama yang ada masanya sudah kedengaran tidak relevan. Bukankah semua orang sibuk terkejar ke sana ke mari, cuba menghambakan diri kepada seribu satu tugan yang tidak berkesudahan. Hendaknya, usahlah kerana kerja-kerja duniawi, jambatan ke akhirat terputus terus. Biarlah apa yang kita perbuat di dunia ini menjadi landasan perhubungan yang baik untuk kita mengutip saham akhirat. Cantik kan kalau begitu? Dua-dua kita dapat. Dunia ini kan jambatan yang menghalakan kita ke akhirat?
Ada beberapa hal yang mendesak fakulti fikir saya hari ini. Minda daya sesak dengan seribu persoalan yang mengasak. Persoalan yang tercetus daripada beberapa isu perdebatan. Atau lebih tepat lagi - usul perdebatan. Senarai 20 usul yang dicadangkah oleh pihak penganjur ini, saya akui sangat mencabar daya ketajaman kritikan para pendebat. Namun, ada juga yang menjerut leher para hakim yang juga merupakan tenaga pendidik. Cuba halusi usul ini : SEKOLAH PENJARA, UNIVERSITI NERAKA dan PELAJAR SEKOLAH SUDAH MENJADI TIKUS PUTIH. Kedengarannya di telinga anak-anak pelajar sangat mengujakan. Namun, jauh di sudut hati seorang saya sebagai pendidik yang amat mencintai dunia kependidikan - ada persoalan yang memaksa saya membuat refleksi diri yang benar-benar analitikal. Seteruk itukah dasar dan sistem pendidikan kita? Dahsyat benarkah rasa teraniaya dan terdera dalam kalangan pelajar? Adakah saya turut terlibat sebagai pemegang watak mendera dan menganiayai anak-anak didik sendiri? Saya terduduk di sudut Dewan Kuliah di UiTM ini memikirkan jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Jujur saya akui : ada resah yang mendesah di tasik nurani ini. Adakah semangat juang anak-anak muda ini sudah mula sirna. Segalanya mahu yang mudah dikecapi. Selalunya mahu saja beralah dengan sedikit rintangan yang merentangi perjalanan jauh menuju kegemilangan? Entahlah! Hakim ini masih lagi membuat timbang tara!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment