... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Thursday, 12 December 2013

Naskhah Kasihku: Hati Seorang Ibu


HATI SEORANG IBU
 

Aku telah sekian lama untuk mengunjungi sebuah tempat yang dekat di hatiku. Mesra dalam ingatanku selalu. Malah mutakhir ini selalu hadir menjengah kembara lenaku beberapa malam berselang. Tidak jauh letaknya. Tidak perlu menyeberang sempadan. Malah ada di mana-mana tanah. Tanah ratu, tanah rata; memang ada saja. Barangkali bagi orang lain tempat ini tidak menjanjikan apa-apa. Tapi bagi aku, tempat ini menjanjikan ketenangan bagiku. Aku pasti tempat yang mahu aku kunjungi ini tidak mengujakan ramai orang. Namun, bagi aku walaupun memang ia tidak mengujakan tempat ini menagih sebuah janji untuk ditepati. Kali ini!

Pagi yang sederhana panas, dengan ditemani seorang sahabat lama, Iffah namanya, aku ke tempat itu. Oleh kerana ini kunjungan pertama maka, seorang lagi sahabat lamaku memandu arah ke sana. Seawal Subuh, seusai berdoa mengharapkan keredhaan ilahi, debar sudah mula bergetar. Aku menyudahkan Yassin sebanyak 3 kali bacaan dalam tempoh 60 minit. Kesemuanya aku sedekahkan buat mereka yang telah pergi memulakan ‘kehidupan’ baru dengan mengkhususkan beberapa nama yang jarang hilang di laman rinduku. Alhamdulillah! Bukan mudah untuk kita tidak lupa kepada mereka yang telah pulang. Seorang anak mungkin akan menangis pada hari ibu atau ayahnya menghembuskan nafas terakhir. Menangis atas banyak sebab yang hanya mereka yang tahu. Menangis lagi untuk berhari-hari selepas pemergian itu. Mungkin kerana rindu. Atau sepi! Ingat berminggu-minggu. Barangkali juga sampai berbulan-bulan masih menangis sesekala. Maka sehari, seminggu, berbulan-bulan kemudian, anak-anak masih menghadiahkan ‘ingatan imaniyyah’ kepada mereka. Tetapi, berapa ramaikah yang akan kekal mengirim bingkisan ‘hadiah’ sehingga bertahun-tahun?

Mengingatkan ini, ingatanku terheret pada perbualanku dengan puteri bongsu kami, Izzah. Suatu Maghrib, sebaik selesai menghabiskan bacaan Yasin bersama-sama aku diasaknya dengan pelbagai soalan. “Ummi, sayang Izzah tak?”, sambil itu dia melirikku manja. “Izzah tahu kan jawapannya?”, kata saya membalas dengan soalan. Dia senyum. Aku pasti dia sengaja bertanya walhal hampir setiap pagi ketika menghantarnya ke muka pintu sebelum dia dihantar walidnya ke sekolah, skrip biasaku ialah:”Ummi sayang anak dara Ummi ni. Fokus masa cikgu mengajar, dengar apa kata cikgu tau!”. Selalunya dia akan menjawab: “Ya, Ummi. Izzah dah tahu tu.” Kami berbalas pelukan dam ciuman di pipi kemudiannya.


Mana mungkin seorang ibu tidak sayangkan anak yang lahir dari rahimnya. Bukankah seorang ibu bukan sahaja mengandungkan anaknya selama 9 bulan, bahkan membawa anak itu dalam ingatannya selagi hayat dikandung badan. Ingatan itulah tanda cinta dan kasihnya yang tidak bertepi untuk anaknya! Hanya mereka yang bergelar ibu sahaja yang dapat menikmati saat indah mengasihi, mengingati dan merindui seorang anak. Aku yakin itu setelah  bergelar ibu selama 15 tahun. Alhamdulillah!  Naluri keibuan ini secara lazimnya sama sahaja. Cuma barangkali bagi ibu yang rasa cintanya kepada Al-Khaliq, kecintaan kepada anaknya lebih akrab. Setiap kali mendoakan anaknya, memohon macam-macam ‘anugerah’ untuk anak tercinta, setiap kali itulah Allah SWT mengikat hati-hati itu agar lebih dekat, lebih mendalam cinta kasihnya, in-sha-Allah. Bukankah Allah SWT yang Al-Wadud itu yang memegang hati manusia dan mencampakkan cinta kasih ke dalam hati hamba-hamba-Nya?Maka sebagai seorang ibu yang mahukan perasaan cinta kasih antara anak dan ibu sentiasa bersemarak, banyakkan berdoa!


“Ummi, Izzah takutlah kalau Ummi mati dulu?” Aku kesani riak cuak di wajah mulusnya yang bulat. “Kenapa pula?”, sengaja aku menduga apa sebenar warna perasaannya dengan ungkapan itu. “Kalau Ummi dah taka da, siapa nak doakan Izzah dengan Abang Ameer dan Abang Am?” Rupanya tentang ‘doa’ yang mengundang galau di hati si kecil ini. Aku tersenyum. Tawar. Hambar! Separuh hatiku terharu, separuh lagi terasa syahdu. Sangat syahdu! Anak sekecil itu boleh bertanyakan soalan yang sama sekali di luar jangkaanku! Sejujurnya, kalau ikutkan hati wanitaku, basah lencun telekungku dengan titis air mata yang cuba kutahan-tahan.

“Ummi akan selalu berdoa, sayang.” Aku menguatkan benteng perasaanku. “ .. sehingga ke deru nafas yang terakhir, anakku!” Aku hanya menyimpan kata-kata ini di dalam hati. Aku mendakapnya erat.Saat dia membalas dakapan itu, aku berasakan bahawa sehayat doaku untuknya akan terus hidup walaupun  kehidupanku kelak pasti akan berakhir. Demikian dia. Dan seluruh makhluk yang  bernyawa. “Setiap yang bernafas, akan merasai mati”. Mati itu pasti! “Izzah, masa Ummi hidup, Ummi doakan Izzah, kan?” Dia mengangguk laju-laju. Tanda dia faham. “Itu sudah cukup untuk doa bagi Izzah sepanjang Izzah hidup.” Dia angguk lagi. Kali ini agak perlahan-lahan. “Tapi, tak apalah. Kalau Ummi dah taka da, Izzah akan doakan Ummi. Selalu Izzah akan doa”, jawabnya. Ada kesungguhan yang terpancar lewat sinar matanya yang selalu bercahaya ceria! “Alhamdulillah!”, bisikku kepada diriku.

 

Malamnya, mata terlalu tidak mahu untuk terlena. Apabila aku mula memulakan fasa kehidupan baru di alam sana, siapakah yang mendoakan anak-anakku. Semoga mereka dianugerahkan pasangan yang akan sentiasa mendoakan mereka. Atau barangkali ‘bekas cinta hati’ yang akan selalu mendoakan mereka walaupun mereka hanya dijodohkan untuk bertemu, bukan untuk bersatu. Kata orang, mereka yang pernah mencintai kita kerana Allah akan selalu mendoakan kita walaupun hanya dari kejauhan. Tetapi, bercakap memanglah mudah. Melakukannya tidaklah semudah berkata-kata!

Apapun, doaku untuk Izzah dan abang-abangnya akan terus kuhimpun di setiap gerak langkah dan deru nafas mereka! Hati seorang ibu, beginilah.

 

No comments: