Hirisan kek keju semakin sedikit. Begitu berselera si anak bujang menikmatinya. Sesekala dia meneguk milo panas yang sudah kekeringan asap halus. Kami berdua sahaja di ruang tamu. Abie dan adik-adiknya riang ria beriadah di hadapan rumah.
"Ummi, bila keputusan PMR keluar?", soalnya bersahaja.
"In-sha-allah, Khamis depan." Begitulah maklumat yang aku terima daripada rakan-rakan yang dipercayai.
Aku mengesani sedikit cuak di wajahnya.
"Takut?" Soalan yang menduga hatinya. Atau lebih tepat imannya!
"Biasa je." Jawaban selamat pada perkiraanku.
Sepi. Aku memberinya ruang.
Dia kembali menyambung kata. "Ummi doakan Ameer ya." Kata-kata yang sarat dengan harapan.
Sememangnya doa itu selalu terucap, anakku. "In-sha-Allah", jawabku ringkas. Aku tahu bahawa dia tahu tentang doaku untuknya selalu ada.
"PMR ni bukan semata-mata untuk menilai pencapaian ilmiah. Tetapi lebih dari itu, ia menilai nilai imaniyyah kita."
"Maksud?" Mata kami bertemu. Tepat di anak mata! Aku membalas pandangannya. Kucuba redupkan sinar mataku yang kurasa menyala-nyala kerana semangat nak berkhutbah! Hahaha!
"Maksud Ummi, setelah apa usaha yang kita buat selama bertahun-tahun .. sampailah masanya untuk menguji keimanan kita. Redha atau tidak dengan apa yang Allah takdirkan untuk kita. Syukur atau kufur kita dengan nikmat kejayaan yang Allah 'pinjamkan' untuk kita." Sengaja akau berikan penekanan kepada kalimah 'pinjamkan'.
"Oh!" Dia mengangguk-angguk kecil. Dengan senyuman dia melirik aku. Entah apa maknanya, aku kurang mengerti.
"Ummi dulu debar tak tunggu keputusan PMR?" Dia pula bertanyakan aku.
"Ummi dulu, SRP. Sijil Rendah Pelajaran. Ha-ah, berdebar-debar memanjang."
"Samalah." Dia mengakui resahatinya. Jujur. Dan polos sekali pada telinga keibuanku.
Debar - memang biasa! Tapi barangkali kuat atau lemah debarannya itu tetap berbeza. Ibunya seorang wanita - makhluk emosi. Lelaki lebih kebal dari sudut emosi ini.
Selesai suapan kek keju yang terakhir, dia meminta izin naik ke tingkat atas. Ketika di anak tangga paling bawah sempat dia melaung. "Ummi - SMS kat big boss KPM, ubah PMR jadi Penantian Mengenai Redha!" Hahahaha!
Ada-ada saja idea si anak bujang. In-sha-Allah, apapun 'hasil tuaiannya' aku berdoa dia redha dengan rezeki Allah SWT. Sedia menjadi hambanya yang memiliki sifat seorang As-Syakir!
No comments:
Post a Comment