... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Thursday, 12 December 2013

Naskhah Kasihku: Betapa Satrianya Doa

Ketika terbaca sebaris ayat: 'musuh yang gagah terkulai hatinya kerana doa' dalam sebuah buku yang saya belek-belek, terbayang di layar fikrah saya, bagaimana Umar Al-Khattab yang memusuhi Islam sehabis daya, akhirnya menangis teresak-esak semasa mengisytiharkan syahadah. Doa Rasulullah s.a.w akhirnya dijawab oleh Allah lewat hidayah yang meresapi seluruh relung hati Umar.
 
Demikianlah 'satria'nya sebuah doa! Doa yang didengari oleh Allah SWT.
 
Maka, teruslah berdoa. Di kala susah dan senang. 
 
"Sesiapa yang mahu supaya doanya diterima ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan." -Riwayat Tirmizi.
 
Semasa terjumpa hadis ini, saya menghantarkannya kepada seorang sahabat lama yang baru sahaja mengkhabari saya tentang kejayaan anaknya terpilih ke Sekolah Berasrama Penuh. Berita yang saya baca dengan genangan air mata. Alhamdulillah!
 
Saya juga mendoakan sahabat-sahabat saya, khususnya sahabat-sahabat lama. Kerana saya sedar betapa 'satria'nya sebuah doa!
 
 

No comments: