DAYANG ESAH TANDANG SARI SI GADIS BULUH BETONG
Di pinggir hutan tebal Simanggang tinggal beberapa keluarga Melayu yang menjadi penghuni perkampungan warisan turun-temurun itu. Masyarakat kecil itu menjalani kehidupan harian dengan penuh kesederhanaan tanpa sebarang sentuhan kemudahan asas apatah lagi kemajuan dan kemodenan. Sungguhpun demikian semua keluarga itu menikmati hidup dengan segenap rasa kebahagiaan, kesyukuran dan keinsafan. Kehidupan yang rukun!
Sumber pencarian utama penduduk perkampungan Melayu itu bercucuk-tanam. Padi, pisang, ubi bandung, keledek, labu dan pelbagai tanaman lain menjadi sumber makanan mereka. Di samping itu terdapat juga ‘wira-wira’ kampung yang berburu binatang liar di hutan. Lazimnya mereka berburu secara berkumpulan. Seringkali mereka tidak pulang dengan tangan kosong kerana kemahiran mereka berburu sejak sekian tahun menjadikan mereka pemburu yang cekap dan dapat menembak sasaran buruan dengan tepat. Rusa, seladang dan pelanduk adalah antara binatang yang sering dibawa pulang.
Sebahagian yang lain pula turun ke laut menangkap ikan atau menjala udang. Pelbagai hasil tangkapan yang lumayan membekalkan makanan yang mencukupi keperluan penduduk perkampungan itu. Setiap tahun terdapat juga golongan wanita tua yang berhuma di perbukitan berhampiran kampung itu. Proses penanaman mereka selesaikan secara ‘menabang’ atau bergotong-royong. Hasil padi kemudiannya dibahagi-bahagikan sesama sendiri.
Bagi memenuhi keperluan hidup masing-masing, penduduk pinggir hutan itu saling bertukar-tukar hasil pencarian. Mereka juga berpegang kepada prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Ibarat ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ itulah sendi kerukunan kehidupan bermasyarakat di situ. Sebarang pertelingkahan dan perselisihan faham diselesaikan melalui rundingan secara bersemuka dan dicari jalan perdamaian. Tiada dendam. Tanpa sengketa. Tidak hairanlah mereka sentiasa hidup dengan penuh rukun dan semangat muhibbah yang tinggi. Toleransi menjadi tiang seri kerukunan hidup.
Di hujung perkampungan tersebut, terdapat banyak rumpun buluh yang tinggi menggalah. Berdaun rimbun, berbatang keras-liat. Saban kali bumi dicengkam sepi tatkala malam mengibarkan sayapnya di mana-mana, pasti sayup-sayup kedengaran rimbunan buluh itu bergeseran sesama sendiri. Bersatu dengan nyanyian malam sang cengkerik! Satu suasana malam yang cukup indah di perkampungan terpencil itu.
Pada suatu subuh yang hening-bening, penduduk kampung terpencil itu digemparkan dengan suara tangisan halus seorang bayi. Tangisan yang begitu meruntun hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Penduduk kampung beramai-ramai menjejaki arah tangisan bayi itu. Nyaring tangisan bayi di subuh dingin itu membawa penduduk kampung ke rumpunan buluh di hujung kampung. Gerakan pengesan yang turut disertai kaum ibu begegas menghampiri rimbunan buluh yang merimbun itu.
Tidak lama kemudian secara tiba-tiba batang buluh yang lebih besar daripada buluh yang lain kelihatan bergoncang kuat. Kuat, kuat dan semakin kuat. Di luar jangkaan batang buluh sebesar pemeluk lelaki dewasa perlahan-lahan terbelah. Penuh dramatik sekali. Serentak itu tangisan bayi kedengaran semakin kuat. Sebaik sahaja batang buluh itu terbelah sepenuhnya, kelihatan seorang bayi berbedung dedaun hutan berlinangan air mata, sudah keletihan meneran tangis.
Tangisan bayi yang masih bersisa amat menyentuh hati keibuan. Naluri seorang ibu mendorong isteri Temenggong menerpa ke arah bayi yang putih mulus-polos kemerah-merahan itu. Didakapnya erat bayi perempuan yang gebu kulitnya itu penuh kasih. Comel. Sungguh comel! Itulah perkataan untuk menggambarkan bayi yang ajaib itu.
“Aku akan memelihara bayi ini,” ujar isteri Temenggong seraya mendakap dan mencium-cium ubun-ubun bayi itu dengan penuh sifat keibuan. Tidak semena-mena bayi itu berhenti menangis. Matanya melingas-lingas seolah-olah memerhati keadaan sekeliling yang dirasakannya begitu asing. Isteri Temenggong mengukir senyum sambil melirik suaminya, tanda meminta persetujuan. Lirikan itu berbalas dengan anggukan kecil Tuan Temenggong sebagai memberikan lampu hijau. Tambahan pula anak-anak mereka juga telah besar panjang malah ada yang telah berumah-tangga. Penduduk lain yang turut berada di situ turut mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan hasrat isteri Temenggong itu. Sementelah rasa hormat mereka kepada ketua begitu menebal. Maka bermulalah kehidupan bayi buluh betong itu di rumah Tuan Temenggong. Bayi itu diberi nama Dayang Esah Tandang Sari.
Masa beredar, zaman bergantian. Dayang Esah kini semakin meningkat remaja. Dia membesar sebagai gadis sunti yang rupawan dan digilai ramai pemuda. Dayang Esah dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan didikan sempurna oleh keluarga barunya yang bertanggungjawab itu. Tidak hairanlah Dayang terkenal dengan sikap lemah-lembut, peramah, periang dan indah tutur kata. Tinggi pekerti serta baik pula peri lakunya dan cantik budi bahasa menjadikan Dayang Esah amat dikasihi sesiapa sahaja yang bertemu dengannya, baik golongan muda mhupun kanak-kanak kecil dan orang-orang tua. Apatah lagi sesama rakan sebaya. Semuanya suka bergaul dengan Dayang Esah.
Kejelitaan Dayang Esah menjadi sebutan masyarakat setempat terutamanya belia-belia muda. Ramai yang menaruh hati untuk memperisterikannya namun Dayang Esah tetap merendah diri dan menolak setiap lamaran dengan baik. Dayang Esah memberi alasan masih mahu berbakti membantu meringankan beban orang tuanya yang telah banyak berjasa kepadanya. “Ibu yang menjadi permata hatiku masih ingin bermanja denganku. Khidmat air tanganku masih diperlukan oleh bapaku yang menjadi wira di jiwaku.” Demikian Dayang Esah berperi. Dia kasihkan kedua orang tuanya sebagaimana mereka mengasihinya. Dayang sayang keduanya sesungguh hati. Sungguh!
No comments:
Post a Comment