Ramadhan akhirnya datang jua. Hari-hari terakhir di penghujung Syaaban, saya menyediakan diri. Merancang itu dan ini. Seadanya. Menulis beberapa azam yang mahu kucapai pada kunjungan Ramadhan kali ini. Bagiku, Ramadhan adalah tetamu yang istimewa. Amat istimewa malahan.
1 Ramadhan - seusai terawih, aku terkenangkan anak bujang kami yang berkelana jauh mencari ilmu. Lalu aku panjatkan doa agar Dia memelihara anak teruna kami itu. Aku juga mendoakan ibu dan ayahku agar dipelihara dalam keimanan. Tidak lupa suami tercinta dan anak-anak yang dikasihi. Moga semuanya istiqamah dalam kalimah tauhid-Nya. Aku kemudiannya memohon agar anak-anak didikku dilembutkan hati dalam menerima hidayah serta lapang dada menerima ilmu yang diajarkan guru. Tulus di hatiku, aku mahu mereka juga lulus cemerlang dalam peperiksaan yang akan mereka duduki November ini. Lebih-lebih lagilah, lulus dalam dewan KEHIDUPAN. Insya-Allah!
Seperti selalunya, Ramadhan terisi dengan pelbagai ibadat. Sekadar kemampuan diri. Pagi yang redup dan tenang memberikan semacam kedamaian. Tatkala anak-anak kembali terlena selepas Subuh, saya bersendirian di ruang tamu. Sambil membaca beberapa bahan bacaan, sesekala aku terusik oleh pelbagai imbasan. Terasa diri ini kerdil di sisi-Nya. Dalam usia puluhan tahun sekarang, saya cuba menghitung bekalan. Agh! Rasanya masih terlalu banyak yang perlu dipersiapkan. Lalu, aku bangkit di waktu Dhuha-Nya. Ya Allah! Rezekikan kami hidayah, iman dan Islam yang berkekalan.
Apa pun juga, semoga Ramadhan kali ini jauh lebih bermakna buat kita semua. Moga-moga kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Insya-Allah!
Salam kasih di pagi Ramadhan al-Mubarak!
Pandanglah segala yang ada di sekelilingmu dengan penuh rasa kasih kerana DIA. Moga-moga dirimu akan dikasihi ..
... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...
Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment