Hari ini 10 Ramadhan. Fasa pertama sudah pun berlalu. Ya Allah! Alangkah ruginya jika kita membiarkan 10 hari yang sarat dengan berkat itu berlalu begitu sahaja. Alhamdulillah! Subuh 9 Ramadhan cerpen saya: Aku, Dia dan Ramadhan selamat ke penghujungnya. Sebuah kisah tentang Cikgu Adrian yang berpuasa buat pertama kalinya dalam suku abad kehidupannya. Betapa indah! Betapa manis! Kenangan itu. Selesai proses bacaan pruf, insya-Allah akan saya kongsikan.
Saya tidak sabar menantikan esok. 11 Ramadhan! Saya inginkan Ramadhan yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Dalam kehidupan ini, wajiblah setiap daripada kita untuk mengimpikan dan melakukan yang terbaik, bukan? Bukankah Islam sebuah agama yang mementingkan kecemerlangan hidup di dua dunia.
Tiga hari yang lalu, saya meraikan hari ulang tahun seorang ibu guru. Hasrat untuk menghadiahkan sesuatu kepadanya tidak kesampaian. Barangkali dek kerana terlalu ghairah melangsaikan 1001 tuntutan kerja dan kehidupan saya terlupa tarikh ibu guru itu. Akhirnya sekadar ucapan berlatarkan mesej pendek kepadanya. Tepat jam 0938 malam pada Jumaat yang lalu.
"Ya Allah, anugerahkan dia keimanan yang kental, hati yang selalu bergetar menyebut nama-Mu, keafiatan dan keikhlasan menyempurnakan segala ibadat dan mandat, keberkatan dalam setiap detik waktu yang dilaluinya. Anugerahkan dia kebahagiaan dan kecemerlangan di dua dunia.
Ya Allah! ENgkau kasihilah dia, ampuni segala silap dan khilafnya. Sesungguhnya dia ibarat seorang ibu yang selalu mahu yang terbaik buat anak-anaknya. Berikan daku kekuatan, ya Allah untuk terus mendokong perjuangannya mencemerlangkan anak didik, agama dan bangsa kami.
Selamat hari ulang tahun kelahiran ibu guru. Doa ini hadiah istimewa buat cikgu!"
-Salam yang tulus & ikhlas -
^^ Itu sahajalah yang aku mampu berikan. Selain sebuah ingatan yang tepu! ^^^
Pandanglah segala yang ada di sekelilingmu dengan penuh rasa kasih kerana DIA. Moga-moga dirimu akan dikasihi ..
... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...
Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment