*sebuah kisah yang ditulis sebagai ‘tazkirah’ kepada anak-anak didikku yang kian meningkat remaja. Remaja yang berdepan dengan pelbagai cabaran. Termasuk cabaran tuntutan nafsu untuk bercinta. Menyintai dan dicintai. Istimewa buat mereka yang selalu ‘bersadu’ soal hati dan perasaan. Soal cinta yang tidak kesampaian. Putus di tengah jalan. Soal rasa yang sarat dengan rindu, benci dan dendam. Banyak sudah yang saya pelajari daripada generasi pasca-moden ini. Juga kepada mereka yang selalu bertanya: ‘kenapa cikgu memilih untuk BERCINTA selepas kahwin?’. Singkaplah makna cinta kasih yang sebenar lewat karya yang tidak sepertinya ini. Semoga ada iktibar yang dapat kalian petik di sini. Percayalah, cinta yang paling indah ialah cinta kepada DIA yang kekal. Abadi! Salam kasih fillah ..
KUBAH HATIKU
Titis kenangan jatuh menderu. Namun, dia telah cukup dewasa dengan gelombang yang tidak menentu. Dia juga sudah mangli dengan mimpi-mimpi miliknya yang selalu saja berderai tiba-tiba.

"Apa khabar awak?" . Sepi. Suasana yang sepi di Perpustakaan Undang-undang Universiti Malaya menjadi semakin sepi. Sepi yang membuat dia bungkam.
"Alhamdulillah." Hambar! Di timpanumnyasendiri sudah cukup hambar malahan. Apatah lagi di deria dengar orang yang bertanya. 'Oh! Di tanganku mimpi yang tidak sempurna, Ayee.' Itu skrip yang sering menjadi mainan lidahnya suatu ketika dulu. Namun, petang itu semuanya hanya tergantung di relung hatinya saja.
Dia menundukkan pandangan. Sesungguhnya dia amat mengerti dan amat menyedari keadaan dulu dan kini sudah terlalu jauh berubah. Dia juga tidak mahu menjebak lelaki itu dengan jerat panahan syaitan di matanya. Dia ingin segera berlalu. Tanpa pamit dia mengatur langkah. 'Biarkan aku berlalu bersama rimba rinduku yang telah lama hangus terbakar!' Antara dengar dan tidak dia meniupkan semangat untuk terus membiarkan jurang yang menjarakkan mereka sejak sekian lama.
"Ayee, dah solat belum?" . Itu adalah sebahagian daripada set soalan yang pasti akan diajukan kepada sahabatnya itu dengan harapan dia mendengar jawapan yang mampu menyejukkan hatinya. Namun, nama yang telah mula memegang watak penting dalam hidupnya itu jarang-jarang sekali memberikan jawapan yang membuatkan dia bangga. Atau sekurang-kurangnya berasa lega. Itulah persoalan pokok yang akhirnya menjadikan rasa kasih kian menjadi renggang. Tiada lagi lagu mahu didendang. Betapapun dia memang seorang yang cukup mengagumkan. Cakaplah apa saja. Sebutlah bidang apa sekalipun. Akademik? Kokurikulum? Kepimpinan? Ketrampilan? Sempurna segala-galanya. Begitulah dia di mata orang lain. Dan di mata Arishah juga. Itulah hakikat. Sukar dinafikan oleh sesiapa pun. Dia seorang siswa yang datang dari kampung, dengan segala kesederhanaan. Tidak terlalu hebat tetapi memang cukup mengagumkan! Cuma di kanta iman Arishah, rasanya lelaki itu perlu menambah satu lagi. Bab keagamaan!
Dia petah berbicara. Lebih tepat lagi .. dia petah berhujah. Itu adalah salah satu daripada aset yang melonjakkan lagi sahamnya sebagai pemimpin mahasiswa. Rempuhan ideanya yang dijalin dalam urutan dan tingkat fakta yang kedengaran amat tersusun segala huraiannya. Membikin telinga yang mendengar mahu terus mendengar hingga ke noktah akhir. Dia memiliki suara emas. Di kala dia mengalunkan azan, hati tersentuh sehingga ke lubuk jiwa. Menyerlahkan lagi aura dan personalitinya! Dia sentiasa mempamerkan riak tenang. Wajah yang terpancar keyakinan dan semangat yang tinggi. Tidak mudah menggelabah. Walau bagaimana sekalipun keadaan. Dia tidak pernah tercicir daripada Senarai Dekan! Tetapi tetap aktif di bidang kokurikulum. Agh! Arishah selalu mengingatkan dirinya dulu agar jangan terlalu taksub dengan lelaki bernama Hizairi itu.
Dulu, Arishah juga selalu mempertahankan pendiriannya agar tidak keluar berdua-duaan dengan lelaki itu. Syukurlah, dia sentiasa dipinjamkan kekuatan iman oleh-Nya untuk menolak ajakan Hizairi itu. Hizairi? Ada kala dia berkecil hati juga. Dia yang suka berterus-terang hampir dalam semua perkara akan 'merehatkan' diri beberapa hari tidak menjejakinya. Namun, Arishah memikirkan itu adalah lebih baik daripada beralah kepada ajakan Hizairi untuk bertemu. 'Membuka ruang kepada makhluk ketiga!'. Peringatan Ustaz Mujahidin dulu segar di benak Arishah!

.....
Bertahun-tahun berlalu, bahagia yang dicari Arishah kekal tiada. Deru usia terus beredar namun angannya tidak pernah mekar. Kesian, bukan? Dia menguak jendela kenangan di zaman bergelar mahasiswi. Ternyata, dia dapat merumuskan bahawa keakraban sememangnya telah mewujudkan kecenderungan hati. Segalanya terbina hari demi hari. Roh, kasih, emosi, suara hati dan fikiran saling bertingkah antara satu sama lain. Setiap hari itu juga, Arishah membisikkan tazkirah agar dia tidak sekali-kali cuba mudik di arus songsang apatah lagi melabuhkan sauh singkat ketika angin sakal! Dia tidak pernah lupa ucapesan arwah ayahnya agar terus menjaga maruah diri. Zaman akhir remaja itulah, taufan emosi kuat bertiup.Kalaulah dia tidak teliti dan berhati-hati, dia bimbang dia akan menyesal kemudian hari.
... bersambung?
1 comment:
Post a Comment