Pandanglah segala yang ada di sekelilingmu dengan penuh rasa kasih kerana DIA. Moga-moga dirimu akan dikasihi ..
... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...
Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.
Tuesday, 11 December 2012
Bacaanku: ANAKKU .. HIDUP SEKALI BIAR BERERTI
25 November yang lalu, kawan anak bujang kami datang bertamu dari KL. Atau lebih tepat, Kajang. Ainaj namanya. Awal-awal lagi kami sekeluarga telah menunggunya di lapangan terbang. Sebagai sahabat akrab kepada anak bujang kami, kami amat mengalu-alukan kehadirannya ke teratak batu kami. Banyak tempat kami kunjungi. Menjalin ukhuwah sambil mengisi waktu. Anak-anak memang seronok. Selain hajat mereka berjalan-jalan sini sana dipenuhi, mereka juga mendapat 'abang' ekstra! Haha! Ternyata Ainaj, anak yang baik. Ramah melayan adik-adik ekstranya walaupun dia sebenarnya agak pemalu orangnya. Abang Man! Itulah nama mesra bagi Izzah dan Arham.
Seminggu berlalu, Ainaj terbang pulang. Untuk ibunya, saya kirimkan sekotak kek lapis. Buat dirinya, yang telah saya anggap seperti anak sendiri, sebuah buku karya Anwar Nursi saya berikan. Buat santapan rohani di kala lapangnya. Hasil pena Saudara Anwar Nursi itu sungguh menyentuh jiwa saya sebenarnya. Jiwa seorang ibu yang sentiasa mahu nasihat beribu-ribu untuk anak-anaknya. Anakku.. Hidup Sekali Biar Bererti. Begitulah, mudah sekali tajuknya. Sedap pula rimanya. Tak rugi saya membeli dua naskhah. Satu untuk anak bujang kami, satu lagi untuk sahabat karibnya.
Buku ini terhasil daripada 35 sub -topik yang bukan saja sedap disebut tetapi isi yang bererti. Langgam bahasanya yang indah dibumbui 1001 mesej kepada anak-anak yang sangat bermakna. Saya kongsikan antara sub topik yang dimuatkan oleh penulisnya:
Waktu itu usia kita, hargailah ||| solat itu mudah, usah dilalaikan |||| 30 tip semarakkan jiwa ilmu ||||| potret teladan: kasihmu duhai Rasulullah |||| Meraih cita-cita: satu impian sejuta pengorbanan ||| bila tangan mulai KLIK || jangan engkau dekati zina ||| nasihat iman dan wasiat
Selamat mendidik anak-anak gajet! Semoga usaha kita akan membuahkan hasil yang diidamkan. Dianugerahkan Allah anak-anak penyejuk mata!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Sy juga berkira utk menghadiahkan sebuah buku utk anak angkat sy yg cemerlang dlm UPSR baru ni..tp blm berkesempatan meninjau toko buku..
Tahniah kerana memilih buku sebagai hadiah! Lepasan UPSR, saya cadangkan buku RAHSIA JADI GENIUS karya Cikgu Kamil. Anak saya, Arham Tahun 4 mengulang baca berkali-kali. Grafik menarik dan bahasanya sesuai dengan kanak-kanak. Terbitan Alaf 21.
Post a Comment