Pandanglah segala yang ada di sekelilingmu dengan penuh rasa kasih kerana DIA. Moga-moga dirimu akan dikasihi ..
... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...
Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.
Monday, 10 December 2012
SETEGUH KASIH ADAM DAN HAWA
Berjaga malam menyiapkan kerja-kerja penulisan memanglah sedikit penat. Beberapa kali sebelum tidur, rakan hati @ soulmate saya mengingatkan agar jangan terlalu leka menulis hingga lupa untuk tidur. Hmm .. "tidaklah leka sangat, yang sampai tak ingat bantal," respons saya, spontan. Di hati memanglah amat teruja bila lama menangguhkan kerja-kerja penulisan. Mahu siap cepat sebenarnya. Mahu juga tengok kesudahan kisah yang diplotkan. Walaupun tidak seberapa, tapi asalkan ada indah yang boleh dipetik itu sudah cukup menerbitkan rasa indah di hati seorang penulis sambilan seperti saya. Buat masa ini, kerjaya sebagai pendidik memang mendapat prioriti. Mana mungkin saya meninggalkan karier yang menjadi cita-cita sejak di alam rahim lagi. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Saat cinta terhadap profesion keguruan ini terlalu mendalam. Tidak dapat digegau dasar kecintaan ini.
Selanjur berjaga untuk berkarya, saya mengambil sedikit waktu melafaz doa lewat qiam yang ringkas. Memohon kepada DIA agar apa yang tulis meninggalkan sesuatu tanda yang positif dalam hati sesiapa yang sudi menekuni karya hati saya.Saya kemudiannya menghazami beberapa petikan kalamullah. Buat peneguh cinta kepada Ilahi. Buat memperbaharui ikrar keimanan kepada-Nya yang sentiasa menurunkan pelbagai nikmat, kecil dan besar. Isnin lepas, kebetulannya saya baru selesai menghadiri Majlis Anugerah Khas Ketua Menteri. Syukur, Alhamdulillah.
Saya tidak mahu mengulas panjang tentang itu semua. Apa yang saya mahu kongsikan kali ini agak selari dengan demam peminat drama masa kini. Apa lagi, kalau bukan kisah Adam dan Hawa. Kisah yang diterjemahkan daripada sebuah novel popular. Sebagai seorang pencinta bidang penulisan, novel ADH ini telah lama saya khatam beberapa tahun dahulu. Dan kali ini, sebagai penulis kerdil yang ada hati nak menulis skrip drama (drama pendek sahajalah kot!) saya curi-curi masa juga mengikuti kisah ADH yang telah dijadikan drama. Walaupun tidaklah sesetia mereka yang minat maut pada Aaron Aziz, saya mempunyai penilaian sendiri terhadap kualiti drama ini. Sudah tentu penilaian yang lebih telus tanpa dipengaruhi sentimen sebagai peminat setia kepada artis yang membintangi drama tersebut.
Menariknya, kisah ADH bagi saya ialah keteguhan cintakasih Adam terhadap Hawanya. Opps! Saya tidak ingin mengulas lanjut tentang kisah yang idea asalnya ialah karya Aisya Sofea, seorang novelis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan seni. Saya lebih tertarik mengulas bagaimana kukuhnya kasih Adam a.s terhadap cinta hatinya, Hawa. Bersandarkan cinta yang terpasak kukuh utuh teguh, sanggup memakan buah terlarang. Walaupun, akhirnya terpaksa meninggalkan istana cinta mereka di syurga firdausi. Demikanlah ... kerana kasih segalanya diturutkan. Syukurlah Allah SWT mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah. Ibrah indah daripada kisah cinta ini wajar fikirkan bersama.
Hakikatnya, cinta boleh saja merubah pendirian seseorang! walaupun pendirian itu pada mulanya seteguh karang di lautan. Hebat juga penangan cinta, kan?
Sebenarnya, (mengikut apa yang saya baca dalam karya tentang cinta oleh Saudara Zamri Mohamad) rupa-rupanya cinta mampu mengubah biologi manusia.Debar yang sentiasa bergetar, degung jantung menjadi tidak teratur adalah antara tindak balas biologi mereka yang disapa 'musim bunga' pada peringkat awal. Inilah kesan daripada bahan-bahan kimia yang dihasilkan secara semulajadi oleh tubuh. Begitulah, Helen Fisher dari Universiti Rutgers, New Jersey sudah pun menemukan bahan-bahan kimia itu.Di sinilah kita dapat menyelami hakikat kebesaran Allah yang membekalkan 'perasaan halus' itu di dalam diri mahkluk-Nya. Fitrah! Inilah namanya fitrah. Kajian-kajian tentang rahsia cinta dan biologi ini membuka mata fikir kita bahawa itulah sebabnya Islam menggalakkan umatnya berkahwin setelah menepati syarat-syaratnya. Antara sebabnya adalah untuk memenuhi fitrah manusia!
Antara bahan kimia yang berkaitan dengan kehadiran cinta dalam diri kaum Adam mahupun Hawa ialah hormon testosterone dan estrogen. Kewujudan hormon-hormon inilah yang mendorong manusia berlainan jantina agar tertarik antara satu sama lain. Bagaimanakah agaknya hormon mereka yang tertarik sesama jantina itu? Nauzubillahi min zalik. Hati-hatilah kita dalam mengemudi hati. Pasaklah akal sebagai tiang kepada cinta yang kita bina.
Dan ingat! Berpada-pada dalam bertindak.. Tidak semua yang kita cintai adalah takdir yang terbaik buat kita. Hanya DIA yang maha mengetahui plot hidup yang paling sesuai buat kita. Dan janganlah hendaknya kasih kita sesama makhluk melampaui kasih dan cinta kita kepada Al-Khalik. Semoga menemui keindahan cinta yang hakiki. Seteguh cintakasih Adam dan Hawa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Setuju..:-)
Post a Comment