Pandanglah segala yang ada di sekelilingmu dengan penuh rasa kasih kerana DIA. Moga-moga dirimu akan dikasihi ..
... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...
Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.
Tuesday, 11 December 2012
NO GIRLFRIEND, NO PROBLEM!
Lazimnya bila ada masa senggang, kami suami isteri sering bercakap soal anak-anak. Tentang perkembangan mereka bertiga. Tentang sikap dan kecenderungan mereka juga. Seorang putera kami sudah pun meningkat remaja. Dulu suka 'escort' walidnya. Terutama bila diajak ke kedai ICT. Tapi sekarang lebih suka bergelumang dengan gajet. Syukurlah, masih dalam keadaan yang terkawal. Di rumah tiada WiFi, jadi segala penggunaan internet agak terbatas. Walaupun ada iPad, iPhone dan komputer riba yang dapat diguna tetapi semuanya ada limitasi kuota. Senang begini, kuota itu sendiri kami jadikan sebagai mekanisme kawalan.
Anak-anak zaman gajet ini terdedah kepada ledakan gajet. Iklan di kaca TV saja menyajikan ratusan produk gajet terbaru. Daripada sekecil-kecil iPod hinggalah kepada perisian-perisian teknologi yang berencam. Semua gajet yang canggih seperti itu memang amat memancing minat anak-anak generasi gajet ini. Sebagai ibu bapa yang zaman remaja kita sudah tentu terlalu jauh bezanya dengan zaman sekarang ini, adalah kurang wajar kita mendidik mereka sama dengan cara kita dididik secara total. Kita memerlukan kreativiti dalam proses mendidik anak-anak yang sememangnya mencabar. Pendekatan kita wajib tepat dengan syariat dan dalam masa yang sama tidak terlalu mengekang kecenderungan anak-anak kepada dunia gajet.Laluan yang sukar, bukan? Tetapi kita tidak ada pilihan lain. Kita mesti merentasi laluan itu. Getir macamana sekalipun!
Semasa anak-anak kita belum sampai ke usia remaja, mereka selalu mahu berdamping dengan kita. Ada kala sehingga kita rasa kita kehilangan masa untuk diri sendiri. Atau masa untuk bersama pasangan. Namun, ketika usia mereka menginjak remaja, mereka sudah mahu ruang kehidupan mereka sendiri. Mereka sudah ada privasi yang meka mahu kita hormati. Kalau diajak keluar pun sesekala mereka memberi pelbagai alasan. Pendek kata, sudah mula ada sempadan yang terbina. Walaupun banyak perkara yang mereka akan kongsikan dengan kita, tetapi ada juga yang mereka simpan kemas. Berbeza dengan zaman kanak-kanak, mereka bercerita kepada kita hampir tentang segala-galanya yang mereka alami. Termasuk juga rancangan TV atau games yang mereka suka! Mengenangkan itu semua, saya selalu mengingatkan diri saya. Luangkan masa menikmati rengek-tangis anak-anak semasa kecil. Bila dah tua, barangkali kita pula yang akan menangis, rindukan tangisan anak-anak yang sibuk melayan rengek-tangis anak-anak mereka pula.
Bercakap soal privasi, ada kala apabila ditekan rasa ingin tahu ada juga saya
bertanyakan anak remaja kami siapa yang selalu dia berSMS atau chat di FB. Responsnya selalu cepat saja. Dua nama gadis yang dia sebut. Salah seorang adalah anak kawan saya. Juga belajar di SBP di Selangor. Seorang lagi ada dalam friends list saya di FB. (saya memang suka add kawan anak-anak dalam FB. Ada kejujuran dari pancaran matanya. Dan saya melafaz syukur untuk itu. Bukan apa, walidnya selalu risau. Dia terlalu pemalu dengan budak perempuan. Dulu, anak gadis jiran saya yang juga merupakan rakan sekelas semasa Tadika datang bertandang ke rumah kami. Setelah 7 tahun tak jumpa, dia mahu bertemu anak bujang kami.
"Ameer, Adawiyah nak jumpa. Dia ada di bawah." Saya menyapa ya di muka pintu bilik.
"Hah! Apahal nak jumpa pula? Ameer nak borak pasal apa?" Saya mengesani riak risau di hujung senyum hambarnya.
Lalu, tiada pertemuan dua sahabat lama. Anak bujang kami memilih untuk membaca komik petang itu.
Lama hal itu berlaku. Kini, selain bergelumang dengan aktiviti berkaitan pelbagai gajet, dia ada kegemaran sampingan. Menonton kartun dengan adik-adiknya (baru dilanggan oleh Walid). Satu lagi, menekuni koleksi novel yang ada dalam simpanan saya. Hati kecil saya, ada kejanggalan yang bertindan-tindih dengan perkembangan yang kedua itu.
Bila dia memberi ulasan novel mana yang BEST dan tidak, saya bertanyakan dia satu soalan cepu emas. Ada GIRLFRIEND ke tidak? "Hahahaha! NO GIRLFRIEND, NO PROBLEM lah, Ummi. Ni GIRLFRIEND Ameer ni .." dia ketawa mengekek. Sambil dia menayangkan telefon bimbit Samsungnya yang tak sampai RM500 harganya. Tawa saya berdekah-dekah akhirnya.
Bila walidnya bertanya lanjut soal GIRLFRIEND ketika mereka berdua lepak-lepak dalam bilik si anak bujang, spontan dia menjawab. "Bukan Ummi dan Walid bergirlfriend, boyfriend hanya selepas kahwin ke? Tak ada GIRLFRIEND pun, kahwin juga kan?" Rupanya dia memetik 'ibrah daripada tawarikh mahabbah kami!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Menarik sgt..terima kasih cikgu.. Sedikit sebanyak bagi semangat n kekuatan utk menempuhi liku sebuah kehidupan..selalunya kita akan merindui apa yg telah berlalu..kadangkala, saya tertanya pada diri,mampu ke nak jadi ibu..
Byk yg berkesan di hati sy ttg catatan ini...
Naimah, selamat menjadi ibu. Ibulah sekolah pertama buat anak-anak kita. Jadilah pendidik yang terbaik! All the BEST, dear.
Nismarnieza, syukurlah kalau begitu. Semoga manfaat akan bertebaran. Doakan saya istiqamah memanfaatkan dunia penulisan sebagai wahana dakwah. Walau tidak segagah mana. Thanks, my dear old friend!
Post a Comment