Kunjunganku ke kedai buku kali ini menemukan aku dengan sebuah 'nukilan hati' seorang penulis yang amat berkebolehan; Pahrol Mohd Juoi. Sebuah nama yang telah lama saya tahu. Rasanya kali pertama saya mengenali nama ini ialah ketika membaca catatan dalam sebuah majalah islamik, lama dahulu. Namun, saya tidak pula menjejaki karya-karyanya dalam bentuk buku. Alhamdulillah, inilah koleksi pertama saya bagi karya beliau.
NOTA HATI SEORANG LELAKI - kulit yang didominasi warna hijau. Warna yang selalu menghadirkan kedamaian di mata saya, menghadirkan ketenangan di hati juga. Saya membelek-belek naskhah contoh. Catatan awal: Nota Hati Seorang Anak berjaya menambat hati saya. Tentang keberkatan rezeki seorang anak yang selalu memperuntukkan sedikit wang untuk ayahnya setiap kali pulang ke kampung. Atau lebih tepat lagi, bagaimana peranan watak 'ayah' menagih duit daripada anaknya yang hidup susah setiap kali anaknya pulang ke kampung.
Saya ke kaunter pembayaran dengan harapan garapan 'jiwa' PMJ ini tidak akan mengecewakan saya. Hakikatnya, saya memang pencinta buku yang tegar. Sudah memiliki ribuan koleksi buku yang bernilai puluhan ribu ringgit. Terkumpul sejak saya pandai menjalankan urusan pembelian di zaman awal kanak-kanak. Alhamdulillah! Sehingga kini saya memperuntukkan peruntukan khas untuk membeli buku dan majalah yang bermanfaat bagi saya. Semoga pustaka mini yang menghimpunkan 'Koleksi Izzah' ini akan terus dipelihara oleh anak-anak.
Ternyata, NOTA HATI SEORANG LELAKI tidak mengecewakan. Tahniah buat penulis; Pahrol Mohd Juoi. Saya jadikan nota-nota hati ini bekalan kembara lima hari saya ke Putrajaya. Dalam kedinginan penghawa dingin semasa terbang merentasi Laut China Selatan, nota-nota inilah yang menghangatkan danau perasaan dan kolam mata saya dengan air mata dan kesedaran tentang betapa kehidupan di dunia ini penuh dengan kesementaraan. Kehidupan di akhiratlah yang kekal abadi. Sungguh! Buku yang ditulis dengan hati memang akan mampu menyentuh hati.
Banyak 'ibrah yang saya kutip sepanjang pembacaan ini. Semoga nota-nota ini akan kekal mengesani jiwa kehambaan ini, ya Allah!
No comments:
Post a Comment