... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Wednesday, 13 November 2013

Demi Kasih, Berdua-duaanlah!


DEMI KASIH, BERDUA-DUAANLAH
 
 
Sebagai pasangan yang berkerjaya, masa yang terluang untuk pasangan sudah tentu amat terhad. Kata orang ini adalah salah satu daripada faktor yang akan menjarakkan perasaan kasih sayang suami isteri. Antara percaya dan tidak tentang dakwaan orang ini, saya mengitari kisah kehidupan rumahtangga Rasulullah s.a.w. Dalam kesibukan menjalankan kewajiban sebagai rasul pilihan Allah, baginda juga memikul amanah sebagai suami dan ayah. Bayangkan saja kalau memimpin sebuah daulah atau kerajaan, bukan alang-alang cabaran yang didepaninya. Menuntut seribu pengorbanan, sejuta pengertian daripada ahli keluarga. Isteri terutamanya!


Zaman ini, kerja kita biasa-biasa saja. Tapi masa yang dihabiskan dengan urusan kerja bukan main banyaknya. Saya tidaklah menafikan bahawa kerja yang kita buat kerana Allah SWT, in-sha-Allah akan dihitung juga sebagai ibadat. Namun, hakikatnya hanya Dia yang Maha Menilai kategori manakah jatuhnya kerja-kerja kita itu. Kita yang kurang serba-serbinya itu memanglah tidak layak hendak dijadikan perbandingan dengan Rasulullah s.a.w yang maksum dan terpilih, tetapi rasanya kita perlu memetik ibrah tentang kebijaksanaan baginda mengemudi bahtera rumahtangga dalam arus kesibukan yang bukan alang kepalang!

Bagaimana baginda melapangkan masa untuk bersama suri hatinya? Bagaimana pula seorang isteri memahami kesibukan arjuna hatinya? Titik kebahagiaan itu bertemu pada satu garis: saling mengerti dan bertoleransi. Seorang isteri tidak wajar terlalu ‘demand’. Begitu pula, seorang suami tidak wajar bersifat ‘take for granted’. Jangan terlalu mengambil mudah. Mestilah ada usaha untuk menjadikan ikatan suci yang terjalin sentiasa bugar. Mekar! Perkahwinan ini adalah suatu komitmen tentang perkongsian hayat! Itulah tekad yang dilafaz di sebalik sebuah akad semasa majlis gilang-gemilang dulu, bukan?

Justeru, pada setiap ruang dan peluang yang datang, luangkanlah masa lapang untuk berdua-duaan dengan pasangan. Sesekali tiada masalah besar untuk memberikan ‘kuasa’ menjaga anak-anak kepada anak sulung. Itu pun pendidikan juga namanya. Mendidik anak-anak tentang tanzim @ organisasi. Tentang konsep qiadah @ kepimpinan dan ketaatan. Sepanjang ketiadaan Ummi dan Walid kita mengajar mereka tentang ‘empowerment’ juga!

 

 

 

 

 

No comments: