Hari ini hari yang agak sibuk. Walaupun cuti sudah bermula, saya tetap hadir di tempat kerja. Menjenguk kerja-kerja berbaki, kalau-kalau ada. Selebihnya mencari-cari kerja yang boleh didahulukan untuk kegunaan tahun hadapan. Semalam, ramai yang demam keputusan UPSR. Sekadar tumpang bahagia melihat anak-anak orang lain, khususnya sahabat-sahabat lama yang pernah berkongsi 1001 cerita zaman remaja di asrama, puluhan tahun dahulu. Syukurlah, kejayaan seorang muslim merupakan sebahagian daripada kejayaan umat Islam juga. Kejayaan itu pula perlu didefinisikan daripada horizon pengertian yang amat luas! Bukan semata-mata kejayaan akademik, bahkan kejayaan-kejayaan dalam banyak bidang yang lain juga. Akidah dan sahsiah, terutamanya!
Sejak semalam saya sudah merencana untuk menulis tentang wanita; tanpa tajuk yang khusus. Kebetulan dalam grup WhatsApp saya (yang paling aktif), ahlinya semua wanita - pelbagai wajah dan personality. Apapun, saya menyenangi mereka semua. Bukan kerana apa yang mereka ada sekarang, namun kerana apa yang pernah kami ada dan miliki sepanjang 5 tahun bernaung di bawah lembahyung persahabatan (in-sha-Allah berpilin mahabbah dan ukhuwwah fillah!) Menamakan grup dengan Ladies of Jannah, bukanlah untuk menunjuk baik (in-sha-Allah berusaha memperbaiki diri) tetapi inilah manifestasi impian yang tinggi untuk menempa tiket ke syurga.
Wanita! Wanita insan istimewa. Allah SWT bekalkan dengan sifat kasih sayang yang lebih seni berbanding lelaki. Emosinya lebih tajam tetapi mudah tertikam dengan hujaman perasaan. Sinonim dengan air mata. Benar, ramai wanita boleh merebut gelaran 'Queen of Tears'. Bagi saya, menangis itu bagus. Tanda hati belum mati! Saya sendiri menangis pada ketika-ketika tertentu, semata-mata untuk melegakan beban perasaan!
Siapakah wanita dalam hidup kita? Wajah pertama yang terlintas ialah wajah tua ibu, kan? Ibu adalah Negara paling tenteram dalam wilayah kehidupan kita. Hati seorang ibu bagaikan jurang yang dasarnya selalu ada kemaafan. Hebat, bukan? Tidak hairanlah ada yang mengatakan bahawa: daripada semua hak wanita yang paling agung adalah menjadi seorang ibu! Hanya mereka yang bergelar ibu atau pernah memegang gelaran ibu sahaja yang benar-benar mengerti tentang itu.
Selain ibu, bagi yang Allah kurnikan rezeki jodoh maka merasalah nikmat mempunyai pendamping hidup yang dipanggil isteri! Isteri yang menjadi ibu kepada anak-anak suami. Suri hati kepada seorang lelaki bergelar suami. Islam melihat isteri sebagai amanah Allah SWT yang perlu dipelihara sehabis baik oleh suami. Selain menjadi suri di hati, isteri juga menjadi madrasah pertama anak-anak. Di tangan para isterilah tarbiah aulad (pendidikan anak-anak) bermula. Justeru, para isteri perlu mempersiapkan diri sebagai murabbiah! Betapa hebat pun kita di tempat kerja, apabila kaki melangkah ke dalam perkarangan rumah, kita tetap isteri dan ibu yang mempunyai tempat yang amat istimewa dalam syariat.
Ibu dan isteri - dialah yang kau panggil wanita! Wanita istimewa. Bukan sahaja istimewa di hati, tetapi juga istimewa dalam Al-Quran.
No comments:
Post a Comment