... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Saturday 16 June 2012

Cerpen: Dialah Wira di Hatiku


DIALAH WIRA DI HATIKU




            Pagi yang bening tiba-tiba sahaja berubah menjadi hangar-bingar.Riuh-rendah dengan suara pelajar yang bergerak santai menuju ke kelas masing-masing. Kelihatan pelajar-pelajar bertali-arus seperti semut yang berbaris pulang ke markas ratu. Matusin salah seorang daripada mereka. Berduyun-duyun menghala ke gelanggang juang untuk kesinambungan perjuangan.

            Cikgu Nadzrull melangkah kemas ke Kelas 4 Sastera 4, kelas paling hujung dalam senarai kelas Tingkatan Empat. Pelajar-pelajar yang menghuni kelas tersebut merupakan tapisan dan saringan daripada pelajar-pelajar yang mengisi kelas-kelas di hadapan. Tapisan dibuat berdasarkan keputusan pencapaian mereka dalam PMR.

            Tangan kanan Cikgu Nadzrull mengepit buku rancangan pengajaran, sebuah buku teks dan kompilasi latihan pengukuhan hasil perahan otaknya sendiri. Bukan dia tidak percayakan buku kerja yang berlambak di pasaran namun dia lebih yakin untuk mengukur tahap penguasaan pelajarnya berdasarkan kehendak sukatan pelajaran terbitan Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Komputer riba pula disandangkan pada bahu kiri. Sungguhpun agak berat dia cuba bergerak cepat. Ketinggian mencecah 174cm membolehkannya mengatur langkah yang panjang. Melangkah begitu dia cuma mengambil masa selama 5 minit untuk sampai ke aras tiga.

            Setiap pagi, jika Cikgu Nadzrull mempunyai kelas waktu pertama dia akan memastikan  langkah pertamanya dari Bilik Guru bermula seawall 6.45 pagi lagi. Sebaik loceng pertama berbunyi tepat jam 7.00 pagi dia telah memulakan sesi induksi bagi pengajaran Matematik Modennya pada hari tersebut. Itu sudah menjadi suatu budaya dalam kehidupan guru muda itu. Masa hendaklah sentiasa ditepati.

            Menjadi guru Matematik bukanlah suatu yang mudah. Namun baginya tiada yang tidak payah jika kita tidak mahu susah. Apa yang penting ialah usaha dan kesungguhan guru mengajar dan pelajar belajar. Namun, di sudut hati kecilnya dia tetap mengakui bahawa suatu hakikat pahit yang terpaksa ditelan oleh guru-guru Matematik ialah mendepani mentaliti pelajar yang ‘alergik’ dengan angka-angka berbanding aksara. Mengubah mentaliti pelajar-pelajar terutamanya di luar bandar sebenarnya lebih sukar berbanding mengajar rumus-rumus Matematik itu sendiri!

            Kadang-kala dia sedikit gusar berdepan dengan saat-sat getir meniupkan semangat kepada pelajar-pelajar agar tidak gentar ‘bermain’ dengan angka. “Ini cabaran besar”, desis hati Cikgu Nadzrul lebih mengingatkan dirinya sendiri. Dan Cikgu  Nadzrull berikrar untuk terus menyemarakkan api semangatnya untuk mengajar sehabis baik. Dia ingin motivasi dalaman miliknya terus marak terbakar.

            “Selamat sejahtera, cikgu!”, gemuruh suara pelajar-pelajar 4 Sastera 4 itu meradak suasana riuh-rendah di luar kelas. Semua pelajar berdiri tegak sebagai tanda hormat dan kesiap-siagaan untuk memulakan pembelajaran. Bersedia menerima pengajaran.

            Cikgu Nadzrul juga berdiri tegak. Dia kelihatan segak dengan tali leher berjalur hitam dan merah dipadankan dengan baju putih berjalur halus warna perak metalik. Dia mengangguk-angguk kecil. Tanpa kata matanya melingar ke seluruh kelas – ke tingkap, ke lantai, ke ruang sudut ilmu di papan notis kemudian ke bahagian hadapan. Setelah berpuas hati dengan keadaan kelas dia membalas salam pelajar.

            “Salam sejahtera dan assalamualaikum wrt wbt. Silakan berdiri!” Suara yang tegas dan lantang tidak memungkinkan sesiapa untuk ingkar perintah guru berusia awal 30-an itu.

            “Apa cerita hari ini? Sihat?” Nada suara yang kini mesra menjadikan debar di dada reda seketika. Pelajar-pelajar Cikgu Nadzrull sudah cukup arif dengan stail pengajarannya bahkan personalitinya juga. Setiap sesi pengajaran dan pembelajaran pasti ada kuiz spontan, jika tidak membuka tirai pembelajaran diselitkannya di akhir waktu, beberapa ketika sebelum loceng penamat berdering.

            “Boleh kita memulakan kuiz congak kita sekarang?”, antonasi suaranya sengaja digayakan meniu suara Redza, pengacara Rancangan Pop Kuiz terbitan Astro. Serentak pelajar-pelajar menjawab “boleeeeeeeeeeeeeh!” Penuh yakin. Cukup lantang. Barangkali sudah teruja walaupun tersemat juga sedikit rasa cuak. Masing-masing tidak mahu menerima gelaran ‘JTC hari ini’. ‘JTC’ adalah singkatan kepada ‘juara tercorot’. Penerima gelaran ini akan dikenakan denda berbentuk ilmiah iaitu menghafal sifir di hadapan kelas pada sesi pengajaran & pembelajaran yang seterusnya. Sesiapa yang merangkul gelaran itu, alamat mengigau sifirlah sepanjang malam!

            Sebuah  bas bertolak dari Miri ke Limbang dengan 32 orang penumpang. Semasa tiba di Limbang 3 orang penumpang turunn dan 12 orang penumpang naik. Dalam perjalanan ke destinasi seterusnya 4 orang penumpang lagi naik. Soalannya … ”, Cikgu Nadzrul sengaja berjeda memberikan peluang kepada pelajar-pelajarnya untuk bersedia mendengar lebih teliti. “Berapa ramaikah penumpang yang telah menggunakan perkhidmatan bas tersebut?”. Cikgu Nadzrul membacakan soalan sekali lagi.

            Sepi seketika. Masing-masing terkumat-kamit, sibuk mengira. Ada yang mengira di dalam minda, tidak kurang juga yang menggunakan bantuan pen. Kalkulator adalah bahan terlarang semasa sesi kuiz congak. Nama pun kuiz congak!

            “45 orang, cikgu” jawab Matusin.

            “Hampir betul. Cuba lagi”, sambut Cikgu Nadzrull. Pelajar-pelajar berbisik-bisik sesama sendiri.

            “Cikgu, cikgu, saya tahu! 48 orang”, Edlin di hujung belakang kelas menjawab lantang.

            “Ya, betul! Bagus Edlin. Sila duduk. Kelas, tepuklah sikit!”, respons Cikgu Nadzrull menjadikan suasana cukup gamat. Meriah!

            Lima minit berlalu pelajar-pelajar kembali senyap, khusyuk mengikuti penerangan guru Matematik itu. ‘Quadratic Expressions and Equations’ , itulah tajuk baru pada hari itu. Istilah-istilah penting seperti factorization  ax² + bx , ax² + c diperincikan satu persatu.

            Seusai penerangan dan simulasi penyelesaian masalah langkah demi langkah menggunakan bahan-bahan pembelajaran interaktif dalam CD, Cikgu Nadzrull beralih kepada penyelesaian masalah di papan putih pula. Kemudian pelajar akan membuat rumusan-rumusan penting. 20 minit sebelum kelas berakhir, pelajar-pelajar membuat 5 soalan latih tubi dalam buku tulis. Susun atur perjalanan sesi pengajaran & pembelajaran Cikgu Nadzrull cukup cantik dan menarik. Diam-diam pelajar-pelajar di kelas hujung itu tertarik dengan Matematik! Hati Matusin juga dalam sedikit terpaut!

            Hampir setiap minggu, Cikgu Nadzrull turut memberikan kerja rumah. Selalunya sekitar 5 hingga 10 soalan Matematik. Walaupun terkial-kial mencari-cari formula yang sesuai digunakan untuk masalah yang diberikan, pelajar-pelajar itu setidak-tidaknya berhempas-pulas mencuba. Tanpa seorang pun jua yang culas – termasuk Matusin yang tidak pernah memecahkan rekod kegagalannya dalam mata pelajaran Matematik setiap kali peperiksaan semenjak menengah rendah lagi. Sama ada senang apatah lagi soalan yang sukar, itu bukanlah persoalan yang besar kepada Matusin. Persoalan maha besar yang menyelubungi Matusin ialah mentalitinya bahawa dia ‘alergik’ matematik, menghisab itu suatu yang azab!’

            Dalam siri kuiz congak Matematik pun, pelajar bernama Matusin itulah yang sering  kali muncul juara – JTC. Setiap kali dinobatkan dengan gelaran itu terpancar riak mendung di matanya. Ada kalanya sedikit keluhan terhambur dari kelopak bibirnya. Cikgu Nadzrull mengerti kesuraman di mata Matusin itu. Pengertian yang membawa kepada pertemuan empat mata antara Cikgu Nadzrull dan Matusin pada suatu petang Jumaat di Bilik Kaunseling.

                                                                        II

            “Mat, ada masalah belajar Matematik?” soalan  Cikgu Nadzrul terus berfokus kepada isu pokok. Matusin kelihatan mengumpul ketenangan. Dalam kebisuannya, dia sempat mengangguk-angguk kecil.

            “Boleh cerita dengan cikgu, tak?” umpan Cikgu Nadzrull. Sepi lagi. Cikgu Nadzrull memberikan ruang masa kepada anak didiknya itu mencari-cari kata yang sesuai atau barangkali memilih ungkapan yang paling tepat. Padat. Dia harus diberikan peluang dan ruang untuk meluahkan perasaan atau barangkali memberikan penjelasan.

            “Saya tak pandai kira-mengira, cikgu”, akui Matusin. Jujur. Terus-terang. Wajahnya terlukis sebuah kepolosan yang benar-benar ikhlas.
            “Lagi?”, Cikgu Nadzrull terus cuba mengutip input. Maklumat-maklumat mentah itu akan dianalisisnya nanti. Setiap pelajar harus dibantu untuk menyerlahkan potensi diri yang kadang-kala mereka tidak sedari kewujudannya. Dia cukup yakin dan percaya, setiap pelajar lahir dengan potensi yang Tuhan kurniakan kepadanya. Guru berperanan penting untuk menggilap potensi itu agar bersinar dan terserlah! Itulah yang dilakukan oleh bekas gurunya dulu, Cikgu Awangku Perali. Kalau tidak kerana guru tuanya itu barangkali kini dia adalah juara sabung ayam di kampung!

            Matusin kelihatan bersahaja. Dia mula mengangkat muka tetapi belum berani bertentang mata dengan guru yang muda usia tapi sudah menampakkan kematangan pada cara berikir dan bertindaknya itu! Matusin sememangnya mengagumi Cikgu Nadzrull. Sikapnya yang prihatin menyerlahkan sifat dedikasinya kepada para pelajar. Dia adil dan saksama. Semua pelajar dilayannya dengan baik tanpa mengira agama, warna kulit apatah lagi pangkat dan darjat ibu bapa pelajar. Pelajar pintar dan lemah masing-masing tidak terlepas daripada mendapat perhatian Cikgu Nadzrull itu!

            “Tak minat sangat, cikgu. Banyak yang keliru. Tak seronok”, tokok Matusin lagi. Dia mengumpul kekuatan untuk mengatakan itu. Di hadapan guru yang dikaguminya itu. Dia mengakui hakikat perit itu walaupun barangkali guru di hadapannya itu sakit telinga mendengarnya. “Maafkan saya, cikgu”, desis hati kecil Matusin.

            Cikgu Nadzrull memperbetulkan kedudukan, biar lebih selesa. Dibiarkannya sahaja Matusin terus mengatur bicara.
            “Saya mengajar tak seronok?”, Cikgu Nadzrull sudah mula bermain psikologi.

            “Err .. bukan gitu, cikgu. Maksud saya Matematik itu membosankan, tidak menyeronokkan”, berlapik-lapik juga Matusin berkata-kata.

            “Tidak mahu jatuh hati?”, asak Cikgu Nadzrull lagi. Kelihatannya Matusin sedikit terkejut. Cikgu Nadzrull cepat-cepat melanjutkan kata. “Jatuh hati pada Matematiklah, Mat.” Tersipu-sipu Matusin melakar senyum. Barangkali dia malu sendiri. Perbualan guru-pelajar itu berlangsung lingkungan setengah jam. Beberapa rumusan sudah tersimpul di fakulti fikir Cikgu Nadzrull. Lewat bicara dari hati ke hati itu, sempat Cikgu  Nadzrull menitipkan kata-kata semangat.

            “Mat, berbanding aksara atau huruf, angka sebenarnya lebih mudah”, ujar Cikgu Nadzrull. Bahu kanan Matusin ditepuknya  lembut.

            “Apabila belajar angka, kita hanya perlu ingat 0 hingga 9 sahaja. Sebaliknya kita perlu tahu 26 abjad A sampai Z bila belajar aksara.” Demikian Cikgu Nadzrull memberikan penjelasan. Selebihnya cuba merungkaikan kecelaruan dalam pemikiran dan pandangan yang telah berakar-umbi dalam diri Matusin.

            Sungguhpun amat lemah dalam bab pengiraan, namun dalam hal ehwal bahasa, Matusin boleh setanding dengan ahli-ahli debat di SMK Long Metupang itu. Bererti masih ada harapan untuk ‘menyelamatkan’ Matusin. Lagipun dia tidak menunjukkan sebarang reaksi kebencian terhadap matapelajaran yang kurang digemari sebahagian besar pelajar khususnya di luar bandar.

                                                                        III

            Isnin berikutnya, Cikgu Nadzrull menghadiri seminar pembelajaran Matematik Berasaskan ICT di Hotel Dynasty, Miri. Seminar 3 hari bererti dia akan mengorbankan empat waktu Matematiknya di kelas 4 Sastera 4. Menghadiri seminar seumpama ini tidak dinafikan dapat meningkatkan tahap pengetahuan. Namun apa yang lebih penting ialah kemahiran guru membuat plot pengajaran dengan mengambilkira perbezaan latar belakang dan aras pemikiran pelajar. Guru memerlukan pengetahuan, skill dan stail mengajar yang terbaik untuk menarik minat pelajar. Selebihnya mesti ada personaliti yang juga menarik bagi menambat hati pelajar. Bagi Cikgu Nadzrull ilmu pengetahuan semata-mata tanpa kemahiran penyampaian dan pendekatan pengajaran yang berkesan bukan jaminan keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.

            Proses pengajaran dan pembelajaran adalah kombinasi dua proses utama iaitu guru mengajar dan pelajar belajar.Oleh hal demikian guru perlu memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan seiringan. Bukan suatu yang mudah sebenarnya menjadi seorang pendidik! Sekolah ibarat kilang cetak yang membentuk watak dan perwatakan modal insan sebagai ‘produk’ yang akan dipasarkan di luar sana. Jika guru gagal berperanan secara berkesan, negara akan  kekurangan modal yang tiada tolok bandingan dari aspek nilai dan kualitinya.

No comments: