... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Wednesday 13 June 2012

Cerpen: Doa Dari Canberra



DOA DARI CANBERRA
Suasana yang riuh-rendah tiba-tiba bertukar sunyi. Boris yang semenjak awal pagi sudah galak bergelak-ketawa dengan Burhan, Calvin dan Randy tiba-tiba diam bagai terbius. Pelajar puteri yang membentuk beberapa kelompok kecil bergosip tentang seribu satu kisah artis turut duduk tegak seperti patung yang menjadi model di pasaraya. Erlisa, Cristine, Stacy, Kathy dan Fatin di sudut belakang yang gamat berbalas pantun dengan Geng Bas Sekolah (GBS!) sebentar tadi tiba-tiba kaku. Amirul dan Haminoor yang tidak pernah kering idea mengenakan beberapa orang pelajar puteri yang kelihatan tekun menatap buku rujukan Pengajian Am setebal 3 inci juga pegun di tempat masing-masing.

            Entah bila, sedar-sedar saja di hadapan kelas sudah terpacak seorang guru baru. Berbaju biru laut polos dikenakan tali leher biru terqoiuse yang sedikit berkilat. Ada garis-garis halus berwarna putih yang menyerong dari kanan ke kiri. Seluar slack juga daripada rona biru seperti uniform polis. ‘Wah! Memang pandai menyuai-padan adunan warna’, sempat hati kecil Stacy si ratu fesyen berdesis. Serentak guru baru (yang juga masih muda!) itu betul-betul tegak di bahagian tengah hadapan kelas, 43 orang pelajar 6A6 berdiri tegak.

            “Satu, dua, tiga. Selamat pagi, cikgu!!” Kamal Ariffin, Ketua Kelas yang terlalu menjaga penampilan itu sempat berlucu mengetuai ucap selamat terhadap guru itu. Anak-anak buahnya serentak menyambut ucap selamat itu. Hening! Masing-masing mengawal nafas yang sudah mula tidak teratur. Tiada senyuman terpokah. Tiada sinar kemesraan terpancar. Tiada sepatah kata pun terlontar. Debar mula melebar!

            Guru itu mengalihkan fail di tangan kiri beralih ke tangan kanan. Barangkali penat atau  itu sebahagian daripada bahasa badannya. Tiada sesiapa yang pasti.  Pandangannya melingas ke seluruh kelas. Satu-persatu dipandangnya sekilas. Tiada sesiapa pun berani membuka mulut. Guru yang tidak memakai tag nama itu terlalu sukar diduga. Apatah lagi di pertemuan pertama seperti hari itu. Sesungguhnya kelas yang sentiasa kecoh dengan keletah penghuninya yang ramai itu benar-benar kaku saatika itu. Beku, malahan!

            Sejurus. Sepi. Berjurus-jurus. Sunyi. Sunyi dan sepi masih mengapungi ruang. Haminoor yang tidak betah mengunci mulut mula gelisah-resah. “Biar betul mamat ni. Bukannya kami ni budak kecil mahu disuruh berdiri macam ni. Aduyai!” sempat dia mengomel dalam hati. Mengkal dengan pertemuan pertama itu!

“Sebelum awak semua duduk, pastikan lima perkara ini awak patuhi. Hidup atau mati!”

“Alamak! Macam dalam kamar hakim pula rasanya”, sempat Naemah yang pernah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Negeri Sarawak itu berbisik pada Jujiana di sebelahnya. Jujiana hanya mampu menyiku kawannya itu menyuruhnya diam. Apabila pandangan guru baru itu menikam tepat ke arah mereka berdua, terasa bagaikan hendak luruh jantung dibuatnya. Kecut perut!

Usai memperincikan pantang-larangnya semasa sesi pembelajaran berlangsung dia membuka ruang pertanyaan. Namun tiada sesiapa berani melontarkan sebarang pandangan. Resah dan lelah bercampur-baur. Teruja dan terpenjara saling bertindihan. Akhirnya semua pelajar dipersilakan duduk. Huh! Lega. Itulah yang ingin dijeritkan oleh sebahagian besar pelajar itu. Ketegasan Cikgu Fadh benar-benar membuatkan lutut menggeletar. Terketar-ketar! Kelas pertama bersama Cikgu Fadh bolehlah dikatakan mimpi ngeri. Mereka yang gemar bermimpi di siang hari bertambah-tambahlah ngerinya. Ramai menarik nafas lega sebaik Cikgu Fadh mengatur langkah meninggalkan kelas.

“Huh! Hari-hari macam ni, tak sempat kahwin puteri rajalah aku.” Delvin yang sedikit gempal itu mendepangkan tangannya dengan muka yang terkilan dibuat-buat. Gamat suasana dengan gelak dan tawa. “Esok ada PA, aku cuti sendirilah. Boleh macam tu?”, Saudi tidak mahu ketinggalan menghidupkan suasana. “Sakit jantung aku dengar suara dia”, Elizabeth yang disinonimkan dengan Snow White kerana potongan rambut pendeknya yang melengkung ke dalam itu juga tidak mahu ketinggalan. “Siapa Ha ha ha! Mereka tergelak panjang mendengar komen Eliza yang jarang bersuara itu. yang langgar lima hukum karma dia, alamat gantung diri di tali gantunglah weii ..”, komentar Azidi meletuskan tawa besar. Hanya Ilham yang duduk bersetentang dengan meja guru itu hanya malas hendak mengambil tahu. Namun di hati, Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui betapa di hati berkali-kali dia mengutuk guru muda itu. “Dasar peguam tak menjadi!”, itulah tag line yang akan ditulisnya dalam blognya malam nanti. Tebal dengan rasa yang sebal!

Entah di mana silapnya, kelas paling hujung itu mempunyai empat masa yang lompang. Dua daripadanya diambil oleh Cikgu Fadh secara sukarela. ‘Menampung masa yang banyak terbuang semasa kamu berbulan madu tahun lepas’, katanya beralasan. Maknanya, setiap hari memang terpaksa mengadap muka tegas peguam tak jadi itulah jawabnya. Alahai. Cikgu Fadh!

2 comments:

Unknown said...

Mdm karang cerita kelas kami pula yaa... hihi

Unknown said...

Cikgu akan buat manuskrip lain pula dengan meminjam watak-watak 6A2 & 6A3/2011. Nantikan!