... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Tuesday 12 June 2012

Naskhah Hati: Tentang Ameer dan Hipotesis Makcik


Jun, 10

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Kami menghantarnya berkelana. Lagi! Betapa masa terlalu laju berlalu. Rasanya seperti baru sekejapan saya memimpin tangannya melintas jalan raya. Menyemak bacaan Iqra’nya. Menyemak hafazan ayat-ayat lazimnya sebelum tidur. Menyemak memori doanya. Menyemak hafalan sifirnya. Menyemak sebutannya membaca koleksi kisah nabi dan Ensiklopedia Sains Growlier. Menyemak buku latihannya. Menyemak jurnal hariannya! Masih terbayang-bayang dengan nyata, tangis esaknya apabila pertama kali saya hadiahkan dia ‘gula-gula panjang’ sebagai amaran keras apabila dia liat bangkit untuk solat Subuh. Usianya 11 tahun ketika itu. Jauh di dasar hati, ibu manalah yang tidak pilu melihat air mata anaknya jatuh berderu-deru. Namun demi sebuah ‘pendidikan’ hati ibu muda saya ketika itu cuba bertahan. Tiada pujukan. Tiada dakapan. Tiada sepatah pun kata-kata. Tanda amarah yang menjulang-julang. Alhamdulillah! Dia belajar sesuatu daripada ‘rotangogi’ itu. Beberapa minggu kemudiannya dia bercerita tentang Ustaz Zainal yang merotan rakan sekelasnya yang ponteng amali solat Asar di sekolah. Satu pengukuhan yang cukup bermakna! Tepat pada masanya, saya kira.

            Ameer adalah anak sulung kami. Saya mengandungkannya semasa tahun akhir di universiti. Dia lahir ketika dua bulan lagi usia saya menginjak angka 24. Huh! Masih muda belia ketika walidnya melaungkan azan di telinganya. Tahun pertama menjadi seorang ummi merupakan tahun yang mencabar juga. Berjauhan dengan ibu sendiri, banyak perkara yang perlu dipelajari. Perlu belajar dengan cepat. Mengurus anak kecil tentulah tidak sama dengan mengurus anak patung ketika  main pondok-pondok dengan adik dan jiran saya ketika awal tahun 80-an. Ha ha ha! Syukurlah, Ameer pada usia bayinya merupakan anak yang mudah dijaga. Dia tidak akan menangis tanpa sebarang alasan yang ‘kukuh’. Masa untuk tidur adalah masa yang paling menyenangkan. Sebaik saya membaringkannya di atas katil sambil menyusu, selang beberapa minit dia pasti lena. Apatah lagi jika dia didakap dan telinganya dijamu dengan alunan merdu suara Munif, solo kumpulan Hijjaz. Berbeza sedikit dengan anak kami yang kedua, Arham. Umminya lena dulu dan dia akan menjaga ummi pula!

            Seorang makcik yang sudah ada 7 orang cucu ketika berziarah di rumah kami pernah memberitahu saya: anak yang mudah dijaga semasa kecil, besarnya nanti dia akan payah sedikit dijaga. Lama juga saya terfikir-fikir (‘ter’ .. maksudnya tidak disengajakan ..) tentang hal itu. Berganda-ganda doa saya agar putera sulung kami ini akan terus menjadi qurratu a’yun @ penyejuk mata kami. Sudah menjadi kelaziman saya, apabila berdoa nama penuh akan saya sebut. Lama juga minda saya menganalisa ‘hipotesis’ Makcik Abok itu!

            Jika sekarang saya ditanya tentang kebenaran hipotesis makcik itu, saya belum lagi mempunyai jawapannya. Dari kanta mata saya sebagai seorang ibu di penghujung usia 30-an ini, ada kala ada kebenarannya jugalah hipotesis itu. Adakala apabila bercakap-cakap tentang hal anak-anak dengan suami, saya bangkitkan juga hipotesis makcik itu. Namun suami selalu sahaja terlalu optimis: “Insya-Allah didikan yang benar akan sentiasa menjadikan dia tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat!” Dalam hal mendidik anak-anak, berbanding suami, saya lebih banyak memberikan teguran lisan kepada anak-anak. Apa yang tidak kena di mata saya, memang saya tidak akan ‘miss’ menegur. Dan kepada anak-anak saya selalu menegaskan bahawa marah itu adalah tanda kasih sayang seorang ibu. Sekiranya seorang ibu tidak marah anak-anak kerana kesalahan yang mereka lakukan itu tandanya ibu itu tidak kisah pun dengan anak-anaknya. Justifikasi itu, saya kira dapatlah diterima oleh anak-anak. Walaupun ada ketika mereka menyifatkan teguran itu sebagai ‘ceramah’! (Pernah Ameer menulis dalam status Facebooknya ketika dia sudah hendak kembali ke asrama: ‘will miss my mom’s LECTURE’).

Dalam nada bergurau, dia juga pernah mencadangkan saya bersara sebagai guru. Itu ketika dia di Tahun Lima. Semasa saya sibuk mencari bahan untuk menyiapkan slaid ceramah di hujung minggu, beria-ia dia memberikan saranan. “Ummi ni banyak betul jemputan ceramah (sambil matanya menyoroti senarai ceramah satu bulan yang saya tampal di dinding ruang kerja)”. “Apa kata ummi jadi penceramah sepenuh masa saja?”. Sehiris senyuman sebagai balasan. “Dunia pendidikan adalah dunia Ummi, sayang. Dari kecil lagi, Ummi nak jadi pendidik. Ceramah ni pun satu cara kita mendidik orang lain. Ameer yang escort Ummi pergi ceramah pun, insya-Allah dapat saham sama.” Harapan saya, dia tidak akan jemu menemani saya berceramah di sana-sini. Namun akhirnya, apabila dia memilih untuk ke Sekolah Berasrama Penuh di Putrajaya, salah satu kehilangan yang saya amat rasai ialah hilangnya ‘pengiring tetap’ saya ketika memenuhi undangan berceramah.

Minggu pertama dia ke asrama, segala-gala yang ada kait-mengait dengannya  di rumah membuatkan  rindu saya sebagai seorang ibu menjadi terlalu menjadi-jadi. Kami hanya menghantar dia di lapangan terbang kerana dia akan transit di Kuching untuk sesi orientasi oleh Yayasan Sarawak. Saya menangis teresak-esak. Anak pula yang memujuk Umminya agar jangan menangis kerana dia pergi tak lama. “Ada cuti Ameer akan balik, Ummi.” Pada hal dua hari lepas itu saya akan menyusulinya di Putrajaya. Saya mahu mendaftarkannya sendiri di sekolah baru. Selain itu, saya nak jumpa Pengetua dan guru-gurunya supaya mudah nanti bertanyakan khabarnya. Aduhai! Bukan senang rupanya melepaskan anak berjauhan.

Ketika dia jauh di mata, selalulah saya membuat refleksi diri. Bagaimanakah corak kepimpinan saya mendidiknya? Apakah yang dia rasakan daripada ketegasan yang saya tunjukkan? Dapatkah dia merasai rasa kasih seorang ibu yang tidak bertepi (walaupun belum teruji! Na’uzubillah)? Teringat saya dengan kisah Muawiyah r.a yang bertanya kepada seorang sahabat Rasulullah s.a.w tentang bagaimanakah cara memperlakukan anak-anak? Lebih kurang beginilah mafhumnya: “Anak-anak kita adalah buah daripada harapan kita. Mereka adalah penyangga punggung kita. Kita asalnya dari bumi yang lembut dan tak berbahaya. Bagi mereka, kewujudan kita bagaikan langit yang memberikan naungan kepada mereka. Dan melalui merekalah kita dapat mengerjakan pekerjaan yang luar biasa.” Saya sukakan analogi ini!

            Berbalik kepada kisah menjadi seorang ibu. Suatu hakikat yang sukar dinafikan, ketika menjadi ibu di usia muda, ada masa-masanya memang kita ‘emo’ terlebih-lebih. Usia akan mematangkan pandangan, pemikiran dan cara kita bertindak. Kita tidak lagi menjadi terlalu idealis. Itu tak boleh, ini tak boleh. Begitu jangan, jangan begini! Banyak sangat pantang-larang. Kita juga menjadi lebih memahami psikologi anak-anak. Mendalami kehendak dan keinginan mereka yang sudah tentu berbeza benar dengan keinginan kita pada usia yang sama dengan mereka lebih 30 tahun yang lalu. Generasi Y? Saya tidak mendalami sangat teori ini, namun saya cukup mengarifi perubahan zaman yang ledakannya terlalu kuat. Seringkali saya dan suami berbincang dan berkongsi resah, bagaimanalah cara terbaik nak mendidik anak-anak di zaman teknologi maklumat yang canggih ini. Games! Itulah ketagihan anak-anak kecil sekarang ini. (Usah cakap anak kecil lah kan .. Seorang kawan saya pernah bercerita tentang kerisauannya berdepan dengan ketagihan suaminya bermain permainan interaktif di internet. Sanggup tak makan. Sanggup tak tidur. Sanggup tak keluar rumah di hujung minggu. Semuanya gara-gara kemaruk menjadi ‘manager’ lapangan terbang di alam maya. Lebih menyakitkan hati, asal berbual-bual dengan si isteri, tidak sah kalau tidak bercerita tentang kehebatannya menerajui syarikat penerbangannya! Sambil berseloroh saya memberitahu kawan saya itu, syukurlah suaminya tidak bercerita tentang wanita lain ..)

            Bercakap soal ‘games’ ini, kami sering tersepit di tengah-tengah. Mengongkong mereka secara keterlaluan, kasihan pula bila mereka pulang dengan cerita tentang rakan-rakan sekelas yang bermain game itu dan game ini. Mereka hanya duduk melangut, tak tahu apa. Saya dan suami kemudiannya sepakat, anak-anak boleh bermain dengan permainan yang ‘ditapis’ oleh walid atau ummi. Masa pula dihadkan kepada hujung minggu sahaja. Itupun masa adalah terhad. Sebelum bermain pula,  mesti selesaikan perkara-perkara wajib terlebih dahulu. Solat dan pelajaran mesti diutamakan! No personal laptop, no personal i-Pad. Dan no personal iPhone. Semuanya adalah milik 1 keluarga. Penggunaan pula terhad di ruang tamu sahaja. Sekiranya hendak bermalasan di atas katil sambil bermain gajet ini,  pintu bilik mesti terbuka. Tak ada kunci-kunci! Setakat ini, Alhamdulillah. Rules dan regulation ini masih berjaya mereka patuhi.

            Tapi, dua hari lepas ketika menghantar anak bujang kami itu ke lapangan terbang saya menjadi tertanya-tanya. Adakah apabila dia pulang sekali lagi ke rumah sebagai seorang anak yang semakin meningkat remaja, rules yang telah disepakati bersama akan terus kekal dipatuhi? Hanya masakah yang akan memberikan jawapan? Dalam di dasar hati, bertemali doa saya panjatkan .. semoga Allah SWT sentiasa menjaga hati permata-permata hati milik kami. Selalu saya merayu kepada-Nya: “Ya Allah! Hanya tiga bintang yang Engkau anugerahkan kepada kami, tak banyak ya Allah! Namun Engkau jadikanlah mereka bintang yang menyinar terang, baik di dunia mahu pun di dunia yang kemudian. Jadikanlah Ameer ‘Irfan, Ameer Arham dan ‘Izzah ‘Adzeemah penyejuk mata dan hati kami berdua ya Allah!”

            Jujur saya katakan, saya memang amat bimbangkan perkembangan dunia sekarang. Kemajuan sains dan teknologi memanglah mendatangkan seribu manfaat namun bersamanya juga hadir seribu musibat. Kita menapis-tangkis kemasukannya di rumah namun di luar sana anak-anak boleh saja mengakses pelbagai bahan di atas talian. Akhirnya kebergantungan kita kembali kepada DIA jua. Moga-moga anak-anak kecil ini akan sentiasa melangkah di bawah naungan perlindungan yang Maha Esa. Sejauh mana pun usaha kita agar mereka mengerti manfaat dan mudarat sesuatu perkara, akhirnya iman sahaja yang menjadi perisai. Bila mereka jauh di mata, segala-galanya sudah tidak mampu kita kawal. Anak yang tinggal di asrama pula akan lebih banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya. Jika mereka berjaya memilih kawan yang baik, insya-Allah mereka akan dipengaruhi secara positif. Semoga hipotesis makcik itu belasan tahun yang lalu hanyalah sebuah hipotesis yang tidak signifikan. Ya, mudah-mudahan anak bujang kami yang akan meraikan ulang tahun kelahiran penghujung Jun ini akan terus mudah ‘dijaga’ sebagaimana mudahnya dia dijaga semasa kecilnya. Semoga juga dia akan terus dengan sikap ‘keras’nya yang susah beralah dan selektif dalam memilih kawan. Tidak ada ibu bapa yang tidak meletakkan apa-apa  harapan untuk melihat anak sulung mereka mampu memimpin dirinya dan adik-adiknya! Itu jugalah yang kami harapkan!

            “Ya Allah! Dengan segenap rasa kasih seorang ibu yang mengandung dan melahirkannya telah tumpah segala kasihku kepadanya. Peliharalah kehidupannya; zahir dan batini. Aku sedar cinta dan kasih terhadap anak-anak adalah ujian bagiku. Janganlah kiranya, kecintaan ini menjadi halangan dalam perjuangan hidupku. Jadikanlah aku dan suamiku sentiasa dinaungi petunjuk-Mu dalam mendidik permata-permata hati kami.”

            Semoga kita semua mampu menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak kita. Sama-samalah kita melihat kembali ke dalam diri kita tentang peringatan Allah SWT lewat Surah Al-Anfaal: 28 “.. Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar.” Ayat yang hampir sama juga termaktub dalam Surah at-Taghabun: 15.

            Berdoalah kita, moga-moga sewaktu usia kita nanti direcup tua, anak-anak setia melayani karenah kita. Apabila kita sudah tiada, moga doa mereka tidak putus-putus diutus sebagai tanda ingatan yang mulus terhadap kita yang pernah mereka panggil ‘Ummi’! Berbahagialah kita kerana pernah dikasihi oleh anak-anak semasa hayat kita. Dan pernah pula menumpahkan kasih kepada zuriat kita. Ingatlah, tidak semua wanita di dunia ini dianugerahkan dengan gelaran keramat: UMMI!

Naskhah kasih ini tertulis buat mereka yang bergelar ‘anak’ dan ‘ibu’! Salam kasih dan mahabbah.

2 comments:

Unknown said...

Sedih pulak baca. Semoga Ameer istiqamah dalam apa yang dia lakukan. :) InsyaAllah. He is a good boy. ^^

Unknown said...

Terima kasih, Faez. Seorang ibu tidak pernah putus mengingati anak-anak yang dilahirkannya. Begitu juga seorang guru yang berjiwa ibu, sentiasa mahu ambil peduli dengan anak-anak didiknya!