... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Monday 18 June 2012

Esei Kenegaraan: SCORE

ESEI KENEGARAAN 2008 (Johan Peringkat Negeri)

PEMBANGUNAN “KORIDOR TENAGA YANG BOLEH DIPERBAHARUI NEGERI SARAWAK” (KORIDOR SARAWAK): PEMACU KEMAJUAN SELURUH NEGERI

1.0 PENGENALAN

Era pentadbiran YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi menyaksikan kesinambungan perjuangan pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu. Perjuangan ini menjurus kepada misi nasional untuk meletakkan Malaysia tampil sebagai negara yang trampil maju menjelang 2020. Terangkum dalam kerangka perjuangan ini ialah pembangunan holistik mencakupi pembangunan sosial, politik, modal insan dan ekonomi. Dari sisi ekonomi, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar dan projek nasional bagi menjana pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara yang mapan dan berdaya saing.

            Dalam arus pemodenan dan pembangunan, Sarawak mendapat perhatian khusus menerusi pewujudan Koridor Tenaga yang boleh Diperbaharu Negeri Sarawak (SCORE). Koridor ekonomi ke-lima negara yang telah dilancarkan pada 11 Februari 2008 di Bintulu oleh YAB Perdana Menteri dilihat sebagai pelengkap kepada rangakian koridor ekonomi sedia ada. Dalam konteks Sarawak, SCORE merupakan langkah kerajaan pusat mengindustrikan ekonomi negeri ini. Koridor Sarawak ini juga disifatkan sebagai rahmat kepada rakyat dengan seribu manfaat kepada masyarakat setempat di pelbagai peringkat.




2.0 KONSEP DAN APLIKASI KORIDOR SARAWAK

Kawasan pembangunan koridor ini terletak di wilayah tengah Sarawak yang menganjur dari pesisiran Tanjung Manis, Mukah ke Similajau, Bintulu. Kawasan pembangunan koridor sepanjang 320 km ini turut meliputi kawasan sekitar kedua-dua lokasi ini serta kawasan pedalaman berhampiran. Koridor Sarawak adalah rancangan yang akan menggerakkan Sarawak untuk memiliki industri tinggi serta menukar misi menjadi negeri maju sebagai suatu realiti kepada seluruh penduduk negeri ini.

Koridor ini memberikan fokus kepada usaha penggunaan sumber tenaga asli di Sarawak melalui pembangunan industri berintensifkan tenaga. Kewujudan koridor ini dijangka dapat memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi Sarawak seperti bekalan tenaga elektrik daripada kuasa hidro, arang batu dan tenaga solar serta gas asli. Sumber-sumber semula jadi ini  dapat dimanipulasikan untuk menjana tenaga dengan pelbagai tujuan. Hal ini termasuklah untuk tujuan perindustrian tempatan mahupun industri eksport.

Hakikatnya, Sarawak mempunyai keunikan tersendiri dengan anugerah sumber alam yang melimpah. Dalam hal ini, tapak pembangunan Koridor Sarawak iaitu wilayah tengah Sarawak bukan sahaja terletak di lokasi yang strategik iaitu di pinggir laut yang panjang bahkan juga kaya dengan kawasan tanah suai yang subur dan besar.

Kebergantungan Sarawak kepada industri asas sumber menjadikan pemilihan tenaga sebagai teras utama dan elemen terpenting yang menunjangi pembangunan koridor ini adalah amat tepat dan relevan.




3.0 KORIDOR SARAWAK MEMACU KEMAJUAN SELURUH NEGERI

Koridor Sarawak bermatlamatkan pendidikan dan penerokaan peluang oleh masyarakat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan ekonomi moden. Koridor ini mensasarkan pembangunan holistik yang bakal membawa perubahan kepada struktur pendapatan rakyat yang dijangka akan meningkat. Peningkatan pendapatan ini dapat direalisasikan menerusi usaha menjana dan mengagihkan peluang keemasan yang berencam secara lebih rata dan meluas.

                  Chamhuri Siwar & Surtahman Kastin Hasan (2000) menekankan bahawa pengagihan peluang dan pendapatan yang tidak seimbang  dalam kalangan rakyat mempunyai hubungan yang akrab dengan fenomena kemiskinan. Pertumbuhan ekonomi yang dijana dalam pembangunan Koridor Sarawak akan dipastikan menitis ke bawah supaya sampai kepada golongan miskin dan termiskin. Justeru, dalam konteks ini, sasaran Koridor Sarawak yang lebih penting ialah membanteras kemiskinan tegar dalam kalangan penduduk negeri ini menjelang 2020. Dalam konteks Sarawak, menurut Samuel Bassey Okposin et al. (2003),  kadar kemiskinan di Sarawak mencatatkan kaum Bidayuh dengan kadar kemiskinan tertinggi iaitu 64.9%, diikuti kaum Iban sebanyak 48.7% dan Melayu sejumlah 22.1%.

                  Pemilihan wilayah tengah sebagai tapak operasi Koridor Sarawak adalah atas justifikasi bahawa konotasi ‘kemiskinan’ sering kali disinonimkan dengan wilayah ini, khususnya Mukah dan Bintulu. (Sumber:  Jabatan Penerangan; 2008). Koridor ini disasar akan menukar kehidupan 607 800 penduduk di wilayah ini ke arah kehidupan dan kualiti hidup yang lebih makmur apabila mereka bebas daripada belenggu kemiskinan.

                  Koridor Sarawak akan menyumbang kepada ekonomi Sarawak yang subur dan makmur melalui pelaburan swasta. Dalam perkiraan ekonomi, pelaburan merupakan tonggak kepada pulangan ekonomi yang bakal dilaksanakan melalui pembangunan koridor ini. Hal ini disebabkan pelaburan berperanan menyuntik dana kepada projek-projek pembangunan Koridor Sarawak. Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir (2003) amat mementingkan aspek pelaburan khususnya pelaburan asing kerana penyertaan pelabur akan mengatasi kekangan modal dan pasaran domestik yang terhad.

                  Menurut Jabatan Penerangan Malaysia (2008), dalam tempoh 20 tahun akan datang, Koridor Sarawak dijangka menarik pelaburan kira-kira RM350 bilion. Jumlah pelaburan ini akan membolehkan Koridor Sarawak terus dibangunkan sepenuhnya dan seterusnya mencapai misi negeri maju yang diimpikan oleh seluruh warga negeri Sarawak. Perolehan kewangan yang dijana di wilayah pembangunan koridor ini akan dialir keluar ke merata ceruk negeri untuk tujuan pembangunan dan manfaat secara kolektif.

                  Sesungguhnya jumlah pelaburan akan menjadi penentu kepada kerancakan pembangunan ekonomi yang mampu dipacu. Sebanyak 12 memorandum persefahaman dan satu perjanjian yang dimeterai sempena pelancaran koridor ini pada 11 Februari yang lepas diharap akan dapat memperbaiki kedudukan Sarawak di tangga ke-lima bersama Melaka dan Pulau Pinang dalam carta penerimaan langsung asing (FDI) pada tahun 1981-1995.

                  Pelaburan yang melibatkan pelbagai pihak dari pelbagai latar korporat ini turut menjana perkembangan sektor pertanian dan industri sokongan selain daripada sektor perindustrian yang menjadi modus operandi koridor ini. Antara pihak yang memberikan komitmen termasuklah pelabur tempatan dan asing seperti Sarawak Energy Berhad (SER), Tenaga Nasional, Kumpulan Sime Darby Berhad, Bank Islam RHB Berhad, Japan Carbon Company Limited dan Kumpulan CMS.

                  Komitmen syarikat-syarikat ini mencakupi industri tani, industri hiliran sehinggalah industri berat. Contohnya; industri kayu palpa dan akuakultur, pelaksanaan projek loji penyaluran tenaga, pembekalan tenaga, pembangunan kluster bersepadu keluli, projek tenaga dan sumber biofuel diperbaharui dan penyelenggaraan limbungan kapal.

Pelaburan ini dijangka berupaya meningkatkan produktiviti projek udang harimau secara makro di Delta Rejang yang meliputi tanah seluas 80 000 hektar. Hal ini akan meletakkan nama Sarawak pada peta dunia sebagai antara pengeksport udang terbesar di dunia. Pada era 1990an, projek ini telah menyumbangkan kira-kira RM3 juta kepada hasil tahunan Sarawak. Selain itu, pelaburan dalam pembangunan koridor ini akan turut menyaksikan pembekalan tenaga antara 900 – 1200 megawatt kepada Kilang Peleburan Aluminium di Similajau, Bintulu dan pembekalan tenaga tamabahan sebanyak 510 megawatt kepada kilang yang sama di Mukah.

 Pembangunan Koridor Sarawak juga akan menyaksikan pembangunan sektor industri berat yang lain seperti pembinaan kilang penapisan zink elektro serta pelaksanaan projek pembinaan dua kabel dasar laut untuk menhubungkan projek Hidro Bakun dengan Semenanjung Malaysia membabitkan pelaburan RM22 bilion.

                  Selain menarik pelaburan swasta, koridor ini juga berupaya menjadi pemangkin kepada pelbagai dimensi pembangunan. Contohnya, kemudahan infrastruktur, kemudahan awam dan sosial. Pembangunan kemudahan-kemudahan seumpama ini diberikan keutamaan kerana ia merupakan komponen penting untuk memastikan kepesatan pertumbuhan dan pembangunan dalam sektor ekonomi utama. Di samping itu, Koridor Sarawak juga berpotensi menggerakkan ekonomi melalui penawaran peluang perniagaan dan perdagangan dan pekerjaan. Peluang bermutu ini akan menjadi asas kepada pembangunan yang lebih seimbang di antara wilayah-wilayah di negeri Sarawak yang terdiri daripada 11 residensi pelbagai latar masyarakat dan komposisi etnik.

                  Pembangunan Koridor Sarawak juga disasarkan memberikan rahmat dari sudut pendapatan dan kualiti hidup yang meningkat. Hal ini direncanakan bukan sahaja di bandar bahkan turut disebar secara meluas sehingga ke kawasan-kawasan pedalaman. Secara tidak langsung, koridor ini akan memberikan saham dalam iltizam  merapatkan jurang pendapatan dan pengagihan kekayaan negara dalam kalangan warga bandar dan luar bandar. Hal ini akan membantu Sarawak ke arah mewujudkan sistem sosial dan ekonomi yang lebih mantap.

                  Dari segi peluang pekerjaan, menurut Jabatan Penerangan Malaysia (2008) pelaksanaan Koridor Sarawak dijangka memperlihat anjakan jumlah peluang pekerjaan di Sarawak daripada 0.9 juta pada tahun 2006 kepada 2.5 juta pada tahun 2030. Anjakan ini mencatatkan kenaikan 2.5 kali ganda dalam tempoh 15 tahun.

                  Pasaran kerja tersebut amat memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan separa mahir dalam pelbagai bidang. Sehubungan itu, bidang pendidikan akan turut dibangunkan. Pembangunan pendidikan ini adalah amat relevan memandangkan modal insan yang diperlukan untuk mengisi keperluan pasaran kerja dijana dalam institusi pendidikan. Institusi pendidikan yang berkesan pada masa hadapan bukan sahaja berperanan menjana kecerdasan intelek bahkan juga kecerdasan emosi dan kemahiran sosial serta kemahiran insaniah (soft skills) yang tinggi.

                  Menurut Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak pada 22 Mei 2008, Koridor Sarawak meliputi semua bentuk pekerjaan termasuk pengurusan. Justeru peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh koridor ini menuntut modal insan yang memiliki kemahiran baru, profesionalisme tinggi, kompetitif, berfikiran kreatif, strategik dan inovatif.

                  Oleh yang demikian kerajaan negeri akan memberikan penekanan kepada aspek pendidikan anak-anak. Sarawak akan mengimplementasikan strategi menjana kapasiti institusi pendidikan dan latihan ke arah fungsi yang lebih autentik dan benar-benar relevan dengan keperluan semasa. Selari dengan aspirasi menjana kapasiti institusi pendidikan dan latihan serta teknikal, pelaburan akan dibuat bagi membina lebih banyak industri pendidikan di pelbagai peringkat merangkumi sekolah, kolej, universiti teknikal dan institusi latihan vokasional. Strategi sinergi industri juga akan diaplikasikan khususnya untuk promosi bersama tentang institusi latihan, pembangunan kurikulum, sistem pentaksiran, kemudahan prasarana serta membuat kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

                  Pelaburan untuk meningkatkan kapasiti kualiti ke atas modal insan (human capital) ini mengikut Jomo K.S & Ishak Shari (2003)  akan mendorong pertumbuhan ekonomi. Hal ini disebabkan sistem persekolahan, program latihan teknik dan vokasional juga boleh membawa kesan positif kepada kualiti dan kecekapan tenaga kerja.


                  Kerajaan Negeri Sarawak juga akan menawarkan pelbagai insentif kepada golongan muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Pembangunan pendidikan ini akan membuka perabung peluang kepada seluruh rakyat negeri ini untuk memajukayakan diri dengan penguasaan ilmu pengetahuan dalam suasana pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) dan infrastruktur kelas pertama. Sesungguhnya bidang pendidikan memberikan sumbangan yang amat signifikan dalam memacu negeri ini menapak laju menjadi sebuah negeri maju.

                 
Selain peluang pekerjaan dan penyertaan dalam bidang pendidikan, Koridor Sarawak turut membuka ruang dan peluang kepada rakyat untuk menikmati taraf sosioekonomi yang lebih baik melalui peluang keemasan dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Contohnya; Tanjung Manis, Mukah akan dibangunkan sebagai Bandar Perindustrian Pelabuhan manakala Similajau, Bintulu pula sebagai Pusat Industri Berat.Kemajuan di kedua-dua wilayah ini mencakupi sektor perkhidmatan, perkilangan, pembinaan dan seumpamanya.  Semua ini akan membuka banyak peluang perniagaan dan perusahaan bukan sahaja kepada masyarakat setempat bahkan kepada rakyat di segenap ceruk Sarawak yang mempunyai minat dan bakat menjadi sebahagian daripada masyarakat niaga.

                  Bagi tujuan pengangkutan dan pemasaran hasil-hasil ekonomi dari kawasan pedalaman pula, pembangunan dan kemajuan jaringan infrastuktur pengangkutan dan komunikasi akan diberikan perhatian. Pembangunan infrastruktur dan infostruktur  ini akan berfungsi menghubungkan kawasan luar bandar dengan dunia luar sejajar dengan sasaran kerajaan negeri 50% kawasan luar bandar menikmati kecanggihan teknologi informasi internet. Pembangunan ini juga membolehkan produk ekonomi yang dijana di wilayah tengah Sarawak ini menembusi pasaran global. Hal ini akan meningkatkan nilai produktiviti tempatan seterusnya memberikan impak langsung dalam memperkasa taraf hidup rakyat negeri ini.


Pelbagai kemudahan dan infrastruktur serta infostruktur yang disediakan dalam wilayah pembangunan koridor ini bukan sahaja memberi manfaat kepada nilai produk ekonomi malah turut menyemarakkan sektor pelancongan. Contohnya, Lapangan Terbang bertaraf antarabangsa yang bakal dibina di Mukah akan menjadi gerbang kemasukan pelancong luar. Dengan peningkatan penerbangan terus ke Sarawak bilangan pelawat dijangka bertambah dengan ketara. Hal ini tercetus oleh dorongan minat yang meluas terhadap kegiatan yang mencabar dan pelancongan ekologi yang terdapat di Sarawak.

Justeru, pengusaha pelancongan wajar bersiap-siaga dengan komitmen peningkatan kualiti perkhidmatan pelancongan dan infrastruktur serta prasarana fizikal penginapan yang memuaskan. Hakikatnya, pelabur asing dan ahli keluarga yang datang ke koridor ini mempunyai kuasa ‘voice-of-mouth’ (VOM) yang berfungsi menjadi promosi atau provokasi lisan untuk pelancong terus datang atau beralih arah ke destinasi pelancongan yang lain. Sesungguhnya, melalui koridor ekonomi ini, kekayaan kebudayaan dan alam semula jadi yang unik akan terus menjadikan sektor pelancongan menikmati pertumbuhan yang mantap.


4.0 MEREALISASIKAN KORIDOR SARAWAK MEMACU SARAWAK MAJU

Bagi merealisasikan misi, visi dan sasaran Koridor Sarawak untuk tampil sebagai negeri maju menjelang 2020 memerlukan penglibatan pelbagai pihak secara kolektif. Kejayaan koridor ini amat berkait rapat dengan kerjasama padu oleh rakyat dan kerajaan khususnya sebagai pemain peranan yang aktif dalam projek-projek pembangunan yang dilaksanakan.

Selain itu sistem pemantauan yang proaktif dan efektif serta efisien turut memberikan pengaruh yang signifikan ke arah merealisasikan Koridor Sarawak sebagai agen yang memacu kemajuan seluruh negeri ini. Dalam hal ini Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi memantau pelaksanaan Koridor Sarawak amat wajar berperanan secara berkesan.

Dari sisi sosial, masyarakat secara keseluruhannya hendaklah bersedia untuk menerima perubahan. Kegagalan untuk berubah dari dimensi paradigma pemikiran dan tindakan akan menjadi titik tolak kegagalan pelaksanaan koridor ini. Rakyat yang menjadi nadi pembangunan negeri hendaklah memiliki keyakinan dan kesedaran bahawa masa untuk menikmati dan menyertai pembangunan holistik telah tiba. Bak kata pepatah “perahu sudah di air, pengayuh sudah di tangan”, segala-galanya telah tersedia di depan mata untuk digegau dan dimanfaatkan bersama ke arah kehidupan yang lebih bermakna dan berkualiti.

Sarawak akan terus menjadi pilihan yang jelas di rantau ini dalam kalangan pelabur yang ingin memperluas usaha niaga khasnya yang berorientasikan teknologi tinggi. Hal ini kerana Sarawak mempunyai bekalan tenaga, air dan tanah yang lebih daripada mencukupi. Di samping itu, Sarawak juga memiliki kerajaan negeri yang memberikan sokongan penuh dalam membina rangkaian perkongsian antara pengendali tempatan dan pelabur luar. Sesungguhnya semua ini menjadi sebuah pakej yang amat lengkap untuk menyempurnakan agenda pembangunan Koridor Sarawak.





No comments: