... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Saturday 16 June 2012

Manuskrip yang belum siap: Tika Hidayah Melimpah

TIKA HIDAYAH MELIMPAH

Tika Hidayah Melimpah. Begitulah karya yang tersiar dalam sebuah majalah bernafas Islam – Maui’zah Hasanah. Majalah islamik yang menjadi alternatif kepada mereka yang dahagakan pengisian rohani dengan nur rabbaniyah. Mujurlah masih ada jiwa-jiwa manusia yang mahu menulis dan menerbitkan bahan-bahan bacaan yang boleh mengisi ruang-ruang lompang dalam jiwa manusia yang ada kala mudah hilang jiwa kemanusiaan, kontang jiwa kehambaan. Hakikatnya pasaran bahan bacaan banyak didominasi oleh bahan-bahan yang lebih berunsurkan hedonism, hiburan tahap melampau. Memuatkan pelbagai cerita dan berita artis tanpa memikirkan maruah dan keaiban orang lain. Walhal Islam menuntut umatnya berusaha keras menutup keaiban orang yang. Bahkan Allah telah menjanjikan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, Allah akan memelihara keaibannya di akhirat kelak.
Wafaa Iffah masih membelek-belek majalah yang baru diterimanya itu. Dia membeli secara atas talian kerana daerah tempatnya berkhidmat itu tidak memasarkan majalah tersebut. Dia kelihatan agak teruja. Jelas. Ada seulas senyuman di garis wajahnya. Manis! Semanis tuannya. Juga nama tuannya. Nama yang pernah menggugah resah dan gundah puluhan mahasiswa semasa di kampus. Syukurlah Wafaa Iffah tahu menjaga diri. Tahu harga diri. Dia tidak terbuai oleh siulan jejaka-jejaka yang menggilai paras rupa anugerah ilahi. Malahan dia akhirnya nekad membuat keputusan untuk mengenakan tudung labuh. Pelbagai pandangan yang dilontarkan kepadanya tika itu. Ada usikan berbaur kritikan yang pedih. Ada sanjungan yang sarat dengan rasa kagum.

Dan Wafaa Iffah arif, bahkan amat sedar bahawa dia hanyalah siswi jurusan kesusasteraan, bukan aliran agama seperti siswi-siswi di Akademi Pengajian Islam. Rata-rata mereka memakai jilbab. Siap berjubah lagi. Kalau ada pun yang memakai tudung ‘kecil’ hanyalah sebilangan kecil.  Rasa-rasanya dapat dikira dengan jari. Itulah yang membezakan mereka secara zahiriah dengan siswi-siswi di fakulti lain. Justeru itu, barangkali ada di kalangan teman-teman sekuliah yang berpendapat bahawa dia tidak layak berpakaian seperti siswi-siswi yang kental pegangan agama lantaran saban hari menuntut ilmu islami. Dia cukup tahu tentang itu. ‘Tetapi bukankah hidayah Allah dilimpahkan kepada sesiapa sahaja yang terpilih?”, desis hati kecilnya. Agh! Biarkan. Apa yang lebih penting, nawaitu dalam hati ini lebih Dia ketahui.
Wafaa Iffah kembali menekuni bait-bait kata yang mencerna cerpen ‘Tika Hidayah Melimpah’ itu. Hampir dua puluh minit berlalu dia menoktahi bacaannya. Ada sesuatu yang meruntun rasa. Watak dan alur cerita yang digarap penulis itu terasa begitu dekat dengannya. Tiba-tiba ada debaran yang sukar ditafsirkan. Akal dan hatinya rancak berbicara. Namun lidahnya gagal menyulam kata-kata. Apakah? Bagaimanakah? Siapakah? Itulah persoalan yang berlegar-legar di fakulti fikirnya. Tiada ketemuan jawapan. Soalan demi soalan dan soalan bertemu soalan malahan!
Bagaimana mungkin Wafaa Iffah boleh duduk keruan apabila segala latar cerita dan pengisahan itu betul-betul sama dengan kisah hidupnya di kampus dulu. Adakah hanya suatu kebetulan atau sememangnya penulis itu memang mengenalinya. Ketelitian menggarap plot dan melukiskan watak ‘gadis’ dalam cerpen enam muka surat itu benar-benar mendesaknya untuk berfikir siapakkah penulis yang berselindung di sebalik nama pena ‘Kalam Karat’ itu! Adakah si ‘Kalam Karat’ itu pernah hadir dalam leksikon hidupnya atau diakah yang pernah melakar sejarah dalam hayat si Kalam Karat? Agh! Bingung dia untuk terus merungkaikan persoalan itu.
Watak ‘gadis’ Sino yang dilukiskan lewat Tatkala Hidayah Melimpah itu memang amat meyakinkan. Wafaa Iffah tidak menafikan itu. Alur ceritanya menggalurkan urutan peristiwa bagaimanakah kisah, Nurul ‘Afifah Abdullah akhirnya melafazkan kalimah syahadah setelah begitu terpengaruh dengan ketinggian pekerti bekas gurunya di sekolah menengah. Seorang guru agama yang mengajarnya subjek Pengajian Am. Watak guru itu amat mengesani jiwa remajanya tika jiwa membuak-buak mencari pegangan agama!
Tegas dalam kelembutan, tahap keintelektualan yang tinggi dalam pelbagai bidang menjadi pakej lengkap kepada pendidik bernama Ustazah Rania Jannah untuk menjadi personaliti unggul dalam jiwa Nurul ‘Afifah. Bahkan kepada semua murid yang diajarnya juga. Malahan pelajar-pelajar dari kelas lain juga turut mencuri-curi perhatiannya. Kelas bimbingan yang dikendalikannya seringkali menjadi rebutan. Bersesak-sesak pelajar di kelasnya itu walaupun sepatutnya dia hanya mengendalikan kelas itu untuk 70 orang pelajar yang diajarnya sahaja.
Akaun ‘facebook’nya yang menjadi gelanggang menyalurkan maklumat tambahan tentang isi pembelajaran dan informasi tentang tugasan terkini juga sering dikunjungi oleh anak-anak didiknya. Apa juga aktiviti kokurikulum yang dibimbingnya pasti berhasil. Pasukan bahas umpamanya, baik bahas konvensional mahupun bahas ala parlimen tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Pidato anjuran pelbagai jabatan juga begitu! Ustazah Rania Jannah pernah membawa pelajar menjulang Piala Diraja di peringkat perdana.

No comments: