... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Thursday 14 June 2012

Manuskrip yang belum siap: AKU BUDAK DEBAT



AKU BUDAK  DEBAT


Debat adalah suatu dunia seribu rencah. Indah. Siksa. Bahagia. Sengsara. Bangga. Derita. Emosi. Sebut apa sahaja, segalanya ada dalam dunia debat. Aku ‘terjebak’ dengan dunia debat secara tidak disengajakan. Hakikatnya, aku memang tidak ada langsung latar belakang pengucapan awam. Bercakap di depan umum sahaja sudah tersekat-sekat dan terketar-ketar, apatah lagi mahu menegakkan pendapat di tengah-tengah orang ramai. Maklumlah budak kampung, tinggal pula di tengah-tengah hutan yang belum dirimba. Terpisah daripada kawasan perumahan yang lain. Sudah tentulah aku tidak mempunyai kemahiran-kemahiran insaniah seperti itu.

Aku masih ingat lagi, suatu petang aku mengangkat meja ke Bilik Multimedia di tingkat tiga bangunan akademik. Aku baru selesai menduduki PMR ketika itu. Oleh kerana terlalu tinggi perjalanan memanjat tingkat tiga sambil mengangkat papan putih sebesar papan hitam di kelas, aku melepaskan mengah di bilik berhawa dingin itu. Bersandar di dinding, menghirup udara sejuk yang dihembuskan oleh dua buah alat penghawa dingin di bahagian depan dan belakang bilik itu. Aku turut mencuri-curi pandang pasukan bahas yang giat berlatih. Khabarnya mereka akan mara ke Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri di Kuching beberapa hari lagi.

Melihat kegigihan mereka berlatih, mercup rasa kagum di sudut hati. Mereka berlatih siang dan malam. Sehabis sahaja sesi persekolahan mereka dengarnya bergegas turun berlatih selama dua jam. Latihan bersambung semula selepas khidmat diri pada jam 0700 malam selama tiga jam pula. Huh! Mendengar saja aku sudah letih, apatah lagi menyertai pasukan ini. Aku membuang pandang ke sudut kanan, berhampiran dengan pembesar suara set teater rumah. Dua orang pendebat puteri sedang giat mengingat teks agaknya. Lucu pula kelihatannya mereka terkumat-kamit macam membaca jampi serapah. Aku terbayangkan nenek yang sibuk membaca pelbagai jampi apabila ada di antara kami adik-beradik yang sakit. Tidak kiralah demam, sakit tekak, sakit perut, atau luka jatuh basikal sekalipun.


 
Tidak jauh daripada mereka, seorang abang senior Tingkatan 6 Rendah sedang mengatur gaya berdebat. Sekejap senyum, sekejap menunjukkan memek muka yang amat serius. Siap dengan mata yang dicerlangkan dan anggukan-anggukan kecil. Aku melemparkan sekuntum senyuman kepadanya. Ikhlas. Perlakuannya itu mencuit hatiku. Aku tergeleng-geleng tanpa sedar. ‘Apa bendalah ni’, desis hati kecilku. Aku sempat membayangkan bagaimanalah hendak menghafal skrip panjang lebar dan serasikan pula dengan gaya tangan dan lontaran vokal.

Aku masih kaku terpaku di situ. Dalam pada hati kecilku tergelak, tiba-tiba mercup rasa mahu jadi seperti mereka.



3 comments:

Unknown said...

saya mula berbahas pun secara tak sengaja. Minat dah lama, keyakinan tu agak surut. Alhamdulillah, merasa jugak menjadi seorang pembahas. terima kasih, uztazah :)

ADILLATUL HASIF NASAH said...

Saya mula berbahas juga secara tidak di sengaja. Pada mulanya, minat pun tidak ada. Keyakinan tu lagi lah tak ada. Tetapi berkat usaha seorang Mahasifu yang berjaya menggilap bakat ini, akhirnya keyakinan diri tumbul, minat pun turut subur.Terima kasih Ummi.. Tetapi apa-apa pun.. perenggan pertama sebiji seperti kisahku.. ahahahak

Lyssa said...

Hi Cikgu, saya kat sini! :)
Agak rindu sikit lah.
updating my blogs...and saw this.
hati rasa berdebar debar menahan rindu, sebak pun ada, rasanya dah begitu lama tidak merasai debaran gemuruh tu.
Alangkah indahnya kirany saya ada masa untuk membuat naskhah perjalanan hidup sy jugak.
saya sayang cikgu, take care.