... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Tuesday 12 June 2012

Naskhah Hati: Tawarikh Hayat Keguruanku



Naskhah Kasih ini istimewa untuk mereka yang pernah dan sudi menjadi anak-anak didik saya!

[Catatan: Ini adalah sebuah naratif. Kata ganti 'aku' sengaja digunakan untuk menyuntik aura penceritaan]

Aku memulakan hariku dengan deru nafas yang amat teratur. Tanpa jeda yang panjang, seusai salam kedua aku melafaz istighfar berkali-kali. Terasa ada sesuatu yang menyentuh mesra damai jiwaku di subuh-subuh begitu. Sebaik merafa' doa rutinku, pandangan mataku jatuh pada senarai nama anak-anak didikku di daerah baru yang kutampal hampir dengan kabinet fail di ruang solat di kamar utama. Satu persatu kuseru nama mereka.Khususnya mereka yang selalu dekat di hati keguruanku. Memohon pada Dia agar dilapangkan dada mereka, dipermudahkan memahami setiap butir bicara dan ilmu yang dikongsikan. Begitulah kelazimannya, nama anak-anak didik kusebut dalam doa dan munajatku tanpa mengira bagaimanapun rupa fizikal dan kepercayaan mereka. Walaupun ada kala anak-anak menzahirkan ketidakpuasan hati kerana senarai nama yang panjang selalu membuatkan mereka berteleku lebih lama di atas sejadah. Melafaz nama anak-anak biologi tidak pun sampai 90 saat kerana mereka hanya bertiga. Tetapi anak didikku secara purata sekelas ada 30 orang. Sempena 16 Mei 2012, aku sebut 45 orang anak didikku, calon SPM di kelas hadapan. Insya-Allah, selepas Dhuha, dan empat waktu fardhu selebihnya  akan menyusul jujukan nama lagi. Sejak dahulu, menyebut nama mereka yang dekat di hati sudah menjadi kebiasaan. Mereka yang banyak membantu dan mempermudahkan urusan kehidupanku, kudoakan kesejahteraan mereka. Agar doa itu menjadi lebih khusus aku mengungkapkan nama penuh mereka. Selalu suamiku bergurau: 'untungnya siapa yang baik dengan Adik ni, siap didoakan lagi. Kalah-kalah sahibus samahah doakan orang kenamaan.' Haha! Selalu aku menyedapkan hatinya begini: Abang lagi beruntung sebab Adik doakan abang bukan saja selepas solat, bahkan sepanjang waktu bila tanpa ada limitasi masa. Senyuman girangnya menghantar isyarat yang amat mudah aku fahami. Dia gembira dengan apa yang aku lakukan. Untuknya dan untuk mereka yang hadir dalam lingkaran hayatku. Alhamdulillah! Dia memang selalu memahami. Jika tidak, memang sukar aku merintis laluan kerjaya yang memberikan kepuasan jiwa dalam erti kata yang sebenar sebagai pendidik. Terima kasih, ya Allah!
Siap bersarapan bersama-sama, kami berpisah ke destinasi masing-masing. Exora bersamaku menghala ke utara manakala Mercs menghantar anak-anak ke sekolah masing-masing di sebelah selatan.  Perjalananku ke sekolah hanya tidak sampai 10 minit. Buat pertama kali aku mengharapkan berlaku sedikit kesesakan lalu-lintas. Haha! Aku memerlukan sedikit masa tambahan untuk membuat refleksi diri. Lebih lama dalam perjalanan, lebih banyak yang dapat kurentasi dalam sesi refleksi diri. 'Forgive Me' Suara Maher Zain mengalunkan halwa telinga memang tak pernah gagal menyentuh jiwaku. Kalau dulu, semasa zaman awal remaja aku suka juga mendengar (pada tahap terkawal) penyanyi bersuara serak RMX,(kerana pernah menerima kiriman lagu 'RHW' yang diletakkan dalam buku nota Bahasa Arabku. (punyalah! Diterjemahkan dalam Bahasa Arab lagi tu! Berbulan-bulan baru kuperasan itu adalah 'direct translation' daripada lagu popular tahun 1989. Bab lagu, memang gagal! Kisah zaman purbakala ini adalah cerita edisi terhad yang tidak dapat dikongsikan di sini. Haha!)  Ritma suara yang hampir sama dengan penyanyi R&B itu aku kesani pada alunan vokal Maher Zain. Sungguhkah? Itu analisis yang dibuat oleh timpanumku tanpa sebarang pengaruh daripada kisah di zaman budak hingusan.
Refleksiku pagi itu berkisar seputar perjuanganku dalam bidang pendidikan. Sempat aku menyusuri bagaimana karierku bermula sebagai tutor di menara sarjana. Letak jawatan kerana mengikut suami yang berkhidmat di stesen lain. Kemudian menjadi seorang guru ganti selama dua bulan sebelum menjadi GSTT. Berpeluang pula menjadi pensyarah di kolej swasta yang bahasa pengantarnya adalah Bahasa Inggeris. Aku senyum kambing sendirian mengenangkan semester pertamaku di kolej itu. Lidah yang selalu sangat tergeliat kerana medium pengucapan yang lama tidak kututurkan. Terminologi yang aku tidak fahami semasa menghadiri pelbagai mesyuarat jabatan. Haha! Soal kawalan kelas yang melibatkan 200++ pelajar pelbagai peringkat usia dalam kuliah 2 jam. Soal kerja yang semakin menggunung setelah dinaikkan pangkat menjadi Head of Department dan emcee tetap dalam pelbagai acara. Tanpa keyakinan dan kekentalan semangat memang boleh jadi gila masa itu. Keluar rumah jam 0700 pagi, balik rumah ketika matahari telah lama beradu. Hanya sempat bermanja dengan 'my other half' and little hero selama beberapa jam sehari. Bekerja di sektor korporat memang benar-benar 'mendidik' aku menjadi seorang pendidik yang kuat. Kuat semangat. Kuat bekerja. Kuat menuntut ilmu (apa lagi kalau bukan belajar meningkatkan kualiti bahasa pengantar di situ!). Aku juga belajar bergaul dengan mat dan minah saleh yang menjadi sebahagian besar daripada pensyarah di sana. Mengenali budaya kerja orang Cina yang juga ramai di situ (hanya aku dan seorang rakan senior anak kelahiran Pulau Mutiara yang menjadi pensyarah di situ!) Banyak yang aku pelajari. Sangat berharga!
Justeru apabila menerima penempatan pertama dengan bermajikankan seorang pegawai dari JPN, rasanya sudah tiada masalah yang terlaluu besar untuk dilalui. Semasa bergelar pensyarah dulu, segala keruwetan adalah berpuluh-puluh kali ganda beratnya. Sebutlah soal apa sahaja; komitemn, perancangan, sistematika pelaksanaan, dokumentasi, penilaian berterusan, tarikh akhir serahan itu dan ini. Pendek kata, serba ada sistematika yang mesti dipatuhi.
Di sekolah pertama aku ditempatkan, sebuah sekolah pinggiran bandaraya. Aku merakamkan perjalanan karierku di situ lewat sebuah curahan idea 'Semanis Senyum Cikgu Anis'. Secara ringkasnya, aku sukakan sekolah itu. Anak-anak didik ada sedikit nakal tapi masih dapat dikawal. Namalah budak remaja. Banyak sejarahku di situ. Tidak mampu kesenaraikan satu persatu sejarah indah dan sejarah yang membuat aku gundah berhari-hari. Rakan seperjuang juga dapat diharap kecuali seorang dua yang memang dengki pada kejayaan orang lain. (Ada kukisah? Hanya kerana sekerat kecil yang begitu, tak akan mahu kubuh 1001 kenangan indah di sana, kan?)
Aku kemudiannya 'terpaksa' berpindah ke Limbang. Terus-terang! Itu adalah daerah yang sangat asing bagiku! Tapi siapa sangka dulu asing, sekarang terpahat sebagai daerah terbilang di hati ini!) Hehehe!
Sempena Hari Guruku yang ke-11, aku memperbaharui ikrar kecintaanku pada profesion ini. Aku berbisik begini: 'You go further, Azizah. Educate them with your open heart! ^^ sambung lain kali ^^^ %&*(* mengapa? Exora tiba di hadapan STAR sudah!)

Selamat Hari Guru @ SHG, DAMS! Semoga akan terus istiqamah mendidik dengan JIWA dan CINTA. Cinta kepada agamamu dan bangsamu. Tawarikh kerjayamu bermula hari ini!

No comments: