... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Thursday 14 June 2012

Cerpen: Sebuah Sejarah Untuk Esok

SEBUAH SEJARAH UNTUK ESOK
[Cerpen Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak - telah diterbitkan dalam Antologi Cikgu 2010]

Udara di utara desa itu begitu mendamaikan. Arah timurnya dipagari bukit. Di baratnya pula terbentang lembah hijau yang dikelilingi sungai dan denai. Pemandangan yang sungguh menakjubkan, Sungguh indah! Keindahan yang tidak dapat dinukilkan dengan kata-kata. Sukar digambarkan dengan sebuah lukisan. Dan Cikgu Rania benar-benar terpesona. Terpukau! Dibiarkannya indera lihatnya berkelintaran ke sekeliling buat seketika. Dia dipesonakan lagi dengan bukit-bukau, jalan sempit berliku-liku dan beribu jurang di banjaran.
            Perlahan-lahan dia memusing tombol rumah teres kayu kediaman guru. Perlahan-lahan dan berhati-hati sekali dia menolak daun pintu. Sambil memberikan salam yang begitu perlahan dia memulakan langkah pertama memasuki rumah itu dengan langkah kanan. ‘Moga ada keberkatan-Nya’, getus hati kecilnya.
            Rumah yang bakal menaungi kehidupannya di desa kecil yang jauh terpencil itu adalah kediaman yang dikhaskan untuk guru-guru dan staf SMK Ulu Lampai. Seperti rumah guru-guru lain, rumah Cikgu Rania juga adalah ala-ala rumah panjang satu tingkat yang telah diberikan sentuhan modenisasi. Di ruang sebelah kanannya ialah Cikgu Aizah manakala jiran sebelah kirinya ialah Cikgu Saliza. Masing-masing memilih untuk tidak berkongsi rumah kerana keluasan ruang rumah yang agak terhad. Selebihnya barangkali mereka mahukan sedikit masa bersendirian di rumah masing-masing. Rumah itu kelihatan sedikit kusam. Debu berapungan di mana-mana apabila Cikgu Rania membuka tingkap yang menghadap padang sekolah. Cikgu Rania terbersin beberapa kali. Diam-diam Rania merencana untuk melaksanakan agenda membersihkan rumahnya petang itu juga.

            Rumah yang amat sederhana itu kelihatan lebih kemas setelah sepetang suntuk Cikgu Rania bertungkus-lumus menjayakan operasi pembersihannya. Dia duduk merehatkan diri di serambi rumah barunya sambil belajar menghirup udara desa yang tidak pernah dirasainya. Cikgu Rania anak jati bandaraya yang telah banyak mengalami proses urbanisasi. Dia lahir dan membesar di ibu negeri Bumi Kenyalang yang cukup serba-serbinya. Bangun pagi, petik suis lampu akan menyala. Melangkah ke bilik air, pulas kepala paip, air akan mengalir. Tapi di desa itu segala-galanya akan jauh berbeza. Tanpa bekalan air bersih. Tiada juga bekalan elektrik 24 jam. Kata Cikgu Zamri yang berasal dari Sri Aman, mesin penjana adalah sumber bekalan elektrik di situ.
Di rumah kediaman guru, penjana itu diselanggarakan secara berpusat. Jam 6.00 petang mesin keramat itu akan mula berfungsi dan akan dimatikan seketika pada jam 10.00 malam sebelum dihidupkan semula menjelang jam 5.00 pagi. Jadi, lampu suluh merupakan suatu keperluan yang mendesak di situ. Cikgu Rania mengeluh kecil mengenangkan hakikat itu masih wujud dalam zaman yang telah jauh berubah. Masih ada ceruk desa yang terperuk belum menikmati pembangunan sebagaimana yang dialami di bandar. Dia juga perlahan-lahan memujuk hatinya agar menerima segala kekurangan dan kelebihan  yang ada di situ.
Sejenak terlintas di benaknya, alangkah baiknya jika ada saintis yang mengaplikasikan teknologi hijau di kampung itu untuk kemaslahatan masyarakat setempat. Dia teringat rahmat perkembangan teknologi yang telah membolehkan penduduk Kampung Libang Laut, sebuah desa pedalaman di Tambunan, Sabah menikmati bekalan tenaga elektrik berterusan 24 jam. Lebih menakjubkan sumber tenaga itu berpunca daripada sumber tenaga alternatif yang mesra alam dan berupaya menghasilkan tenaga elektrik sehingga 40 kilowatt secara efektif dan selamat. Hakikatnya, tenaga solar, angin dan ombak mampu membekalkan tenaga elektrik tanpa menjejaskan alam sekitar. Tenaga solar yang dikeluarkan matahari dalam satu jam, umpamanya dianggarkan lebih daripada keperluan penggunaan tenaga global untuk satu tahun! ‘Betapa nikmat dan kurniaan Allah maha luas’, bisik Cikgu Rania kemudian.
            Bot ekspres adalah pengangkutan utama di desa itu. Sungai Selambai satu-satunya laluan untuk ke desa dan sekolah itu. Namun jika cuaca mengizinkan terutamanya pada musim kemarau, sesekala lori balak juga boleh menembusi belantara tebal untuk sampai ke situ. ‘Asalkan ada kemahuan dan segumpal keberanian, segalanya ditanggung beres’, itulah yang Cikgu Rania dengar dari mulut Cikgu Zamri yang banyak celoteh itu. Apabila ditanya tentang liputan telekomunikasi di situ, raut wajah Cikgu Rania jelas memantulkan bintik-bintik kekecewaan. Sebenarnya dia tidaklah mengambil hirau sangat tentang bekalan elektrik. Ketiadaan bekalan air bersih di situ juga dia masih boleh terima. Namun tiadanya isyarat talian di situ benar-benar membuatkan hatinya menggerutu. Bagaimana harus dia mengkhabari keluarganya di Kuching, memaklumkan mereka tentang perkhabarannya di utara Sarawak itu! Aduh! ‘Kacau kalau begini,’ gumamnya sendiri. Hakikatnya dia tidak dapat menggambarkan bagaimana sepi hidupnya terputus hubungan dengan dunia luar. Tidak dapat berkongsi cerita kehidupan dengan rakan-rakannya di alam siber. Berapa lamakah nanti akaun laman sosial ‘facebook’nya tidak akan dikunjungi? Hanya masa yang akan memberikan jawapan.
            Malam itu, Cikgu Rania gagal melelapkan mata sebaik mesin penjana elektrik dimatikan. Deru angin yang berlagu dan bersatu dengan alunan bunyi cengkerik dan unggas hutan ternyata gagal mendamaikan tidurnya. Terasa baringnya berselimutkan anyaman sepi. Limpahan cahaya bulan yang mencuri-curi melepasi tirai biliknya bagaikan melagukan senandung rindu. ‘Agh! Hari pertama jauh dari keluarga memang begini’, bisiknya kepada dirinya sendiri. Puas mengiring ke kanan dan ke kiri, Cikgu Rania bangkit melunaskan tahajudnya. Penuh pengharapan. Penuh keinsafan. Seusai ibadat nawafil itu dia perlahan-lahan memujuk sang mata untuk lena.
            Keesokannya sebaik selesai menunaikan solat Subuh dan mengalas perut dengan beberapa keping biskut kering, Cikgu Rania sudah pun mengatur langkah menuju ke sekolah. Menurut Cikgu Zamri juga sudah menjadi budaya guru-guru di situ untuk berada di sekolah seawal mungkin. Lazimnya mereka akan bersarapan pagi di ruang makan di hujung Bilik Guru saja. Hari pertama bertugas di situ, Cikgu Rania hendak membuka lembaran kariernya dengan suatu pelaksanaan kerja yang rapi. ‘Aku perlu membuat tinjauan dulu tentang latar belakang dan tahap keupayaan anak-anak didikku’, kata-kata itu bermain-main di ufuk fikirnya. Enam bulan pertama dia akan cuba melaksanakan sebuah kajian tindakan. Jika perlu dia akan mencetuskan suatu inovasi demi melonjakkan kecemerlangan pencapaian pelajar-pelajarnya.
            “Selamat pagi, Cikgu Rania”, Cikgu Ricky Donald adalah orang pertama yang menyapanya pagi itu. Mesra. Ada senyuman terpongah di sudut  bibirnya. Dia orang tempatan. Rumah keluarganya hanya sepelaung sahaja dari pintu masuk utama sekolah itu. Malah suku-sakatnya ramai yang menjadi murid di SMK Ulu Lampai itu.
            SMK Ulu Lampai letaknya di tengah sebuah desa yang permai. Amat permai. Angin yang damai. Dan mendamaikan. Pertama kali menginjakkan kaki ke situ, Cikgu Rania sudah jatuh cinta. Jiwa kependidikan yang tebal memperkuatkan lagi cinta di hatinya. Sesungguhnya dia amat mencintai bidang pendidikan. Sejak usia mentahnya lagi dia sudah menanam menjadi seorang pendidik. Kisahnya untuk menjadi guru itu memang sudah sekian lama dimaklumi oleh ahli keluarganya. Dahulu semasa di bangku sekolah rendah lagi, dia sudah mulai mencintai kerjaya guru. Inspirasi menjadi seorang pendidik ditiupkan oleh seorang guru muda yang amat berkarisma dari kaca matanya sebagai anak kecil. Ketika itu dia baru sahaja Tahun Lima. Cikgu Nuridah Kadum. Itulah nama yang masih mesra dan hangat di jiwanya hingga kini. Lambang guru yang cekal dan tekal dalam melaksanakan amanah masyarakat mencemerlangkan anak watan. Pengajarannya terkesan di hati. Kata-katanya menghidupkan semangat belajar yang hampir mati. Kaedah yang dihamparkannya benar-benar membuat Rania mencintai subjek Bahasa  Inggeris tanpa dia sedari.
Setiap hari Cikgu Rania akan menulis coretan hati dan letusan mindanya dalam sebuah buku yang dipanggil journal. Cikgu Nuridah akan memberikan sebuah buku cerita kanak-kanak versi Bahasa Inggeris sebagai hadiah tiga bulan sekali sebagai apresiasi kepada ‘karya-karya’ yang dihasilkan oleh Rania dan rakan-rakannya. Dan Rania tidak pernah tersingkir dari senarai penerima hadiah itu. Sebelum kelas Bahasa Inggeris bermula pula, Cikgu Nuridah mewajibkan latihan ejaan lima kalimah. Sesiapa yang meraih markah penuh akan mendapat satu bintang. Pada setiap akhir bulan, bintang yang terkumpul boleh ditebus dengan getah pemadam yang dibeli Cikgu  Nuridah di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam dalam perjalanannya balik ke kampung halamannya di Lawas. Berebut-rebut Rania sekelas berjuang mengumpul bintang demi getah pemadam dari luar negara itu! Rania sendiri mengatur strategi membaca buku teks Bahasa Inggeris setiap hari sambil mengingat-ingat ejaan yang sukar kerana dia tahu Cikgu Nuridah mengambil perkataan-perkataan ejaan dari buku itu. Sungguh lucu! Sungguh indah kenangan itu!
Setiap hari juga seusai sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris kelas Rania dibekalkan kerja rumah yang menyeronokkan. Mereka perlu menyalin satu perkataan yang tidak difahami dalam satu buku khas yang telah dilabelkan huruf A sehingga Z. Maksud perkataan itu juga perlu dituliskan. Dan paling menyeronokkan, Cikgu Nuridah memberikan kebenaran untuk melakar lakaran grafik bagi menyokong huraian maksud perkataan yang dituliskan. Siap berwarna lagi! Pelajar yang berjaya menyenaraikan 100 patah perkataan akan menerima habuan besar sebuah kamus dwi-bahasa terbitan Fajar Bakti. Kata Cikgu Nuridah, jika berjaya mengingat 100 ribu perkataan akan mendapat ganjaran sebuah kamus yang pandai berkata-kata! Maka Ranialah yang paling berkobar-kobar semangatnya bersahabat dengan kamus kerana ingin memiliki sebuah kamus elektronik. Ke hulu ke hilir diusungnya kamus mininya. Siapa sangka sehingga ke usianya kini, Cikgu Rania masih setia dengan kamus! Sungguhlah guru itu meninggalkan satu kesan abadi!
            Good morning Miss!” suara seorang pelajar lelaki kecil molek mencantas kenangan lamanya.
            Good morning. Yes, Kennedy. Is there anything I can do for you?”, Cikgu Rania bertanya.
            Sengih. Terserlah baris giginya yang agak kekuningan. “ No. I just want to help you bawa your book to the class”. Sinar keikhlasan terpancar dari anak matanya. Cikgu Rania terkesima seketika. Budak yang sedikit comot itu petah berbahasa Inggeris walaupun berselit bahasa Melayu. ‘Suatu permulaan yang indah!’, desis hati kecilnya. Dia menghulurkan buku-buku yang akan dibawanya ke Kelas 1 Gemilang. Dia melemparkan senyuman kepada pelajar yang tertera namanya di sudut atas sakunya – KENNEDY - . “Thank you, good little boy!”, Cikgu Rania tidak lupa menghargai bantuan kecil anak itu.
            Hari-hari yang berlalu di sekolah itu dilalui dengan semangat juang seorang perajurit. Cikgu Rania menerima segala kekurangan kemudahan dan prasarana di sekolahnya itu seadanya. Dia cuba melihat segala kekurangan itu dari lensa yang positif. Sekurang-kurangnya dia bersyukur kerana mendapat elaun hidup sukar dan berpeluang hidup di suatu tempat yang tidak semua orang akan dapat. Dia adalah insan terpilih. Pilihan Allah untuk menabur bakti menjaring budi di negeri orang. Ya, sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di daerah pedalaman. Bohonglah kalau dia kata, segalanya berjalan lancar. Namun dia akan melakukan yang terbaik! Inspirasi dan aura Cikgu Nuridah tetap dibawa bersama.

[bersambung ..]

No comments: