... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Saturday 16 June 2012

Cerpen: Naskhah Kasih Aishah





NASKHAH KASIH AISHAH

Erlisa Marcella Francis @ Chacha
228 Elm Hills,
Azalea Avenue,
University of Manchester
MNC1407
England


Kembali menemui guruku yang kini menjadi sahabat baik – Cik Izalina Syaherzad.

            Adalah menjadi harapan dan doa saya agar Cikgu Alin sentiasa berpijak di atas jalan kewajaran yang menghantar Cikgu ke ruang kebahagiaan sepanjang usia hayat Cikgu. Ya, semoga Cikgu berbahagia dalam apa jua pilihan Cikgu. Saya di sini baik-baik sahaja. Seadanya saya cuba sedaya upaya menikmati kehidupan serba sederhana di perantauan. Bukankah hidup ini adalah lukisan indah yang mesti dinikmati? Cikgu selalu katakan itu dulu, bukan begitu?

            Manchester adalah sebuah bandar dinamik yang indah. Destinasi rehlah untuk melepaskan lelah seperti Peak District, Lake District dan North Wales terletak 60 km sahaja di bahagian selatan. Bandar yang menyimpan khazanah sejarah seperti Chester, York dan Buxton juga terletak amat hampir. Hutan pine Formby pula terhampar menghijau ibarat padang bola yang terpelihara rapi jika dipandang seimbas lalu. Seputar bandar ini terdapat empat buah universiti kesemuanya. University of Manchester menjadi kebanggan penduduk tempatan kerana kejayaannya melahirkan 22 orang penerima Anugerah Nobel sehingga tahun 2008. Selain itu kelengkapan infrastruktur dan infostruktur moden di universiti yang tersohor dengan ‘nilai industri’ ini memang cukup mengagumkan.

Cikgu Alin,
Perubahan musim di sini amat mengesani emosi saya pada ketika ini, cikgu. Terlalu banyak yang menyelubungi pemikiran saya. Tambahan lagi, inilah pengalaman sulung saya merantau jauh sekaligus terpisah secara zahiriah dengan keluarga. Keluarga yang selama ini sentiasa ada di depan mata. Saat ini pun saya terbayang empat orang adik-adik saya bermain tembak-tembak di ‘ruai’ rumah panjang kami di utara Bahagian Limbang. Bila jauh begini, barulah mengerti makna rindu! Bila terpisah begini, rasa kasih menjadi padu!

            Walaupun dikelilingi teman-teman sekuliah namun sentiasa benar di hati saya merasakan kesepian berapungan di segenap ruang. Ada waktu-waktu tertentu rasa kesunyian itu menjadi terlalu tepu, cikgu. Sunyi yang maha pilu. Setiap kali itu jugalah saya menghimpun kekuatan untuk terus teguh berdiri dan mengatur langkah, meneruskan perjuangan yang baru sahaja hendak bermula.

            Saya semat di dada, saya ingat di minda ucapesan cikgu di saat-saat keberangkatan saya dulu. “ .. agar kekar mengatur langkah laksana laksama perkasa.” Dalam catatan jurnal saya (saya bawa ke mana-mana), saya ada meminjam ungkapan cikgu untuk dicatatkan: “selalunya yang pahit itu akan merintis jalan kebahagiaan. Jalan ke syurga yang indah juga penuh dengan cabaran” Selamanya saya akan titipkan di lipatan ingatan. Tidak akan saya lupakan. Sesungguhnya saya yakin cikgu benar. Tuhan tidak akan mempersia-siakan segala kesungguhan dan keikhlasan kita menggapai makna sebuah kehidupan!

Cikgu Alin yang dikasihi,
Berjauhan dengan keluarga rupa-rupanya sangat mencabar ya! Terus-terang saya katakana terlalu sukar untuk saya mendepani cabaran getir ini. Hampir setiap hari empangan air mata ini pecah. Titis-titis jernih dari kelopak mata saya menjadi semakin laju tatkala gerimis turun menitis-nitis. Bersatu tangis dan kenangan-kenangan manis dengan titis gerimis di luar jendela apartmen ini. Di kampung gerimis yang hamis dengan langir bau hutan di belakang rumah adalah suatu yang manis kerana saya akan menyaksikan adik-adik berselubung dengan gebar beramai-ramai di ruai rumah - untuk menghangatkan kedinginan dan persaudaraan adik-beradik. Cikgu, andai hati saya tidak kuat, akan saya laju berlari merentasi litar waktu untuk bertemu insane-insan tercinta. Adakah mereka juga seperti saya, cikgu?

Cikgu Alin,
Kuliah pertama saya telah bermula pada tiga minggu yang sudah. Secara purata seramai 22 orang sahaja yang menghuni kelas-kelas yang saya ambil – Introductions to Law, Upper Intermediate English for Foreigners, World Civilizations dan Professional Ethics of Legal Practitioner. Kelas-kelas ini merupakan kombinasi subjek universiti, subjek wajib (Bahasa Inggeris) dan subjek elektif). Saya dan Zulhafizi Ahmad Zulfadhli sahaja pelajar Malaysia dalam kelas itu. Selebihnya adalah pelajar-pelajar asing. Masing-masing datang dari Kenya, Turki, Amerika Latin dan juga anak-anak tempatan England.

            Kaedah pembelajaran di sini begitu berbeza berbanding di universiti tempatan yang pernah saya tonton melalui rakaman semasa mengikuti lawatan ke UMS. Kelas beroperasi secara tutorial tanpa kuliah. Segala penerangan, perbincangan dan pembentangan dibuat dalam kelas-kelas kkelompok ini. Kuliah hanya dilakukan dalam sesi rumusan segala intipati pelajaran pada akhir setiap semester. Pensyarah akan bertindak selaku ‘perunding’ manakala pelajar dari lima kumpulan kelas akan bergabung tenaga mengendali-selia kuliah yang ala-ala seminar. Setiap pelajar akan membuat pembentangan manakala pensyarah akan mengemukakan soalan-soalan. Selalunya soalan-soalan yang diajukan itu atomic sifatnya kerana ia ringkas tapi sukar dijawab. Segala kepakaran yang ada perlu digunakan – content knowledge, skill communication, orator skill, creative & critical thinking. Hanya satu sahaja kemahiran yang tidak boleh diaplikasikan pada masa itu. Cikgu tahu apa? Jawapannya – kemahiran loyar buruk! Berdepan dengan pakar perundangan dan professor-profesor yang sudah senja usianya bukanlah mudah, bukan? Mujurlah mereka mesra pelajar, berkuranglah sedikit rasa gementar.

            Pelajar pra-universiti seperti kami juga terus ditawarkan subjek yang menjurus kepada pengkhususan yang hendak diambil. Bagi melengkapkan pakej pembelajaran kami dibiasakan denga orientasi pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah – problem based learning. Pensyarah memberikan imput pelbagai teori kemudian memberikan beberapa isu atau masalah yang perlu diselesaikan mengikut teori yang bersesuaian. Penyesuaian teori dan situasi juga perlu diimplementasikan. Apabila pelajar membuat pembentangan, pelajar berlu mempertahankan hujah-hujah yang dikemukakan. Sesi pembentangan selalunya hangat dengan debat. Debat yang sarat dengan ilmu.

            Proses menyelesaikan isu dan output akhir atau penyelesaiannya adalah sama penting. Hasil kerja keseluruhannya akan dijadikan kompilasi dan dipanggil projek. Projek haris menepati spesifikasi kualiti yang telah digariskan. Jika tidak pelajar perlu bekerja lebih keras untuk mencapai standard penulisan ilmiah yang setara dengan penulisan ahli-ahli akademik. Menariknya, tiga esei yang terbaik akan dimuatkan dalam penerbitan oleh pihak sekolah (di Malaysia dikenali juga sebagai fakulti). Lebih menarik lagi, jika jualan terbitan itu laris poket akan sendat juga dengan honorarium 150 pound. Lepas jugalah kos makan minum selama dua minggu. Dalam rintih rindu saya, termuat juga artikel ilmiah saya itu di dada makalah terbitan universiti itu! Syukurlah.

Cikgu Alin yang budiman,
Pada mula-mulanya memanglah sukar kehidupan saya di sini. Perubahan corak pembelajaran ini pun sedikit sebanyak memberikan sedikit tekanan juga. Zulhafizi banyaklah membantu saya dalam hal ini. Kendatipun berlainan bangsa dan agama dia tidak pernah meletakkan jurang sempadan untuk menjaring persahabatan dengan saya yang berasal dari belantara hutan utara Sarawak ini. Zul sahabat yang baik.

            Setelah sepurnama berlau, perlahan-lahan saya sudah mula serasi dengan situasi kuliah seperti ini. Tenaga pengajar di sini semuanya mesra-mesra belaka. Kami diminta memanggil mereka dengan nama keluarga sahaja tanpa terikat dengan protokol sosial  seperti gelaran ‘miss’, ‘madam’, ‘sir’ atau ‘mr.’ mahupun gelaran akademik ‘professor’, ‘A.P – Associate Profesor / Profesor Madya’ atau ‘Dr’ yang terletak di pangkal nama mereka. Pensyarah kami Prof. Dr. Richard Harrison umpamanya kami panggil Harris sahaja. Janggal juga rasanya pertama kali memanggil guru dengan nama sahaja. Maklumlah sejak kecil kita di sekolah diajar untuk memanggil ‘cikgu’ pada setiappangkal nama seorang guru. Selain itu di negara kita, kita sudah terdidik dengan panggilan-panggilan simbol kehormatan kita kepada orang yang lebih tua, termasuklah guru.

            Sungguhpun mereka amat baik dan jelas ketara mereka kesemuanya amat berwibawa dalam bidang masing-masing namun saya tetap merasakan ada kekurangan. Setiap kali masuk ke kelas, semua pensyarah kami akan terus memulakan aktiviti pembelajaran tanpa menghiraukan  persekitaran. Terus mengajar tanpa ada sesi ‘tazkirah’ menyentuh soal sahsiah diri. Secara tiba-tiba sahaja ingatan saya diterpa wajah cikgu. Selagi pelajar tidak senyap, cikgu tidak akan memulakan kelas, bukan? Selagi papan hitam tidak dipadam, semua pelajar akan terus berdiri. Selagi ada sampah bersepah di lantai kelas cikgu akan tergendala, betul? Minda saya seolah-olah sudah menghafal skrip cikgu: “Sebelum perbincangan kita bermula, pastikan tidak ada sampah berhampiran anda. Kalau ada sila ringan-ringankan tangan mengutipnya sekarang. Bimbang nanti ada yang terasa kakinya berat kerana selepas ini jika saya nampak ada sampah lagi, dipersilakan kutip dengan kaki..” “Kebersihan cermin keimanan”, ungkapan ini juga kekal basah di ingatan saya sehingga kini. Ungkapan ini juga telah mengesani sebahagian daripada kelaziman saya – sentiasa mengutamakan kebersihan; diri dan persekitaran. Ada masanya keadaan yang berterabur membuat hidup saya rasa tidak teratur, sedikit gusar. Sungguhpun semasa kecil, saya sudah mangli dengan suasana serba tidak keruan, tidak tersusun. Maklumlah cikgu, kami penduduk di ulu hidup sekadarnya saja. Kehidupan yang sukar tanpa sumber air yang sempurna mengajar kami untuk tidak terlalu berkira soal susun atur dan bersih serba-serbi. Pada musim kemarau umpamanya baju-baju kami terpaksa digunapakai untuk beberapa kali selepas dijemur di bawah terik mentari. Kata ibu untuk menjimatkan penggunaan air! Banyak keutamaan yang perlu diberi lebih keutamaan.

Cikgu Alin yang berbudi,
Ketika saya menaymbung kembali penulisan ini alam telah pun dilamar siang. Hujung minggu begini kawan-kawan serumah lebih gemar ‘beradu’ lena. Barangkali membuang lelah setelah sepanjang minggu terkejar ke sana ke mari. Saya memilih untuk menulis buat cikgu. Terbentang di luar sana ialah kuntuman tulip merah, ungu, putih, kuning dan samudera biru – suatu lukisan alam yang amat mendamaikan. Musim bunga baru sahaja bermula  dua tiga hari yang lepas. Semasa pertama kali menikmati keindahan kudup tulip saya benar-benar teringat pada cikgu. Terbayang-bayang di ruang mata, meja cikgu di Bilik Guru yang berhias sejambak bunga tulip berwarna ungu. Juga screen saver di dada computer riba cikgu. Saya kira memang tulip mengerdip inspirasi buat cikgu. Mungkinkah ada sejarah tersirat yang disuguhkan oleh kisah lama?

Cikgu Alin, menyinggung soal siratan sejarah, ingin saya kongsikan sesuatu yang peribadi sifatnya pada cikgu – soal hati yang resah, resah yang bahagia (meminjam larik kata penyair agung A. Samad Said). Beberapa minggu lepas, saya dikunjungi huluran persahabatan dari seseorang. Berhari-hari saya memikirkan tentang itu, sedikit sebanyak tumpuan saya pada assignment yang sudah mula menimbun hilang sekejap. Kunjungan di luar dugaan itu menyebabkan fikiran saya sarat berserabut dengan galau yang berselirat dan bersimpang-siur. Mungkin cikgu dapat menebak, soal ini dicetuskan oleh seorang lelaki. Ya, cikgu begitulah. Namanya Ahmad Asyraff Al-Sadat (bukan Asyraf Sinclair, cikgu !), mesra dipanggil A.F sempena huruf ‘a’ dan ‘f’ di hujung namanya. Dia pelajar Malaysia (bukan Arab tahu!) tajaan Bank Negara dan mengambil jurusan perakauan. A.F anak jati Seberang Takir yang kikir dengan senyuman. Amat sukar melihar alur mesra di wajahnya sebenarnya apatah lagi untuk melihat kuntum senyum terpokah di sudut mulut miliknya. Dia tenang orangnya, setenang kisur angina di Seberang Takir!

            Semalam untuk tidak mendera dia ternanti-nanti tanpa sebarang cerita, saya menghantar sms kepadanya. Dia tidak pun membalasnya. Malamnya dia menelefon saya. Lebih kurang beginilah perbualan kami, saya kongsikan untuk cikgu buat pertimbangan sewajarnya.
Erlisa:              Berikan saya sedikit waktu.
Asyraf:                        Berapa lama?
Erlisa:              Taklah lebih sepurnama. Barangkali seminggu dua.
Asyraf:                        Sukarkah membuat keputusan?
Erlisa:              Biasa saja. Saya akan Tanya pendapat cikgu saya dulu, Cikgu Alin                                      namanya.
Asyraf:                        Tapi apa kena-mengena dengan guru awak? Mengapa tak refer your                                    parents?
Erlisa:              Saya sudah terbiasa bercerita dengannya.
Asyraf:                        Sampai begitu sekali baik dengan cikgu. Bertuah badan!
Erlisa:              Ya, dia bukan sekadar guru. Dulu dia selalu meminjamkan saya semangat.              Dia membuat saya terasa kuat ketika suasana amat-amat kalut. (‘Guruku                                   itu adalah kesegalaanku’, ayat ini sengaja saya gantungkan di halkum,                           terlalu awal untuk terlalu banyak bercerita dengan Asyraf)
Asyraf:                        Ok, saya tunggu.
Erlisa:              Ya, harap awak tidak menjadi penanti yang derita. (saya ketawa kecil untuk                                                            menutupi rasa segan yang menjalar dalam diri kerana bercakap ala sasterawan negara)
Asyraf:            Saya harap akan menerima khabar manis.
Erlisa:              ???
Asyraf:                        Salam takzim pada Cikgu Alin awak itu!
Erlisa:              Will do. Take care.

                                                ------ KLIK. Talian diputuskan -----

.... bersambung ...

No comments: