... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Monday 18 June 2012

Esei: Krisis Makanan

KRISIS MAKANAN DUNIA: PERANAN NEGARA DUNIA KETIGA

(Peraduan Menulis Esei DBP peringkat Kebangsaan)


PENGENALAN
Gejolak krisis makanan dunia mula dirasai sejak awal April lalu apabila rakyat di beberapa negara dunia seperti Haiti, Filipina dan Mesir bangkit merusuh dan berdemonstrasi secara besar-besaran akibat tekanan kekurangan bekalan makanan asas. Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menyifatkan kenaikan harga bekalan makanan yang mencetuskan rusuhan dan tunjuk perasaan di negara-negara tersebut sebagai suatu yang berkuasa mencetuskan pelbagai krisis sosial dan krisis ekonomi yang lebih buruk. Hal ini termasuklah kejatuhan sesebuah kerajaan, peperangan dan risiko ancaman keselamatan.
Josette Sheeran (2008), Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) melahirkan kebimbangan terhadap purata kenaikan harga beras sehingga dua kali ganda di seluruh dunia. Pengarah Program Pemakanan Sedunia (WFP) Asia, Anthony Banbury pula membentangkan statistik yang lebih membimbangkan. Menurutnya kenaikan harga gandum mencatatkan sehingga 75 peratus berbanding 60 peratus tahun lalu. Statistik Bank Dunia (2008) pula memaparkan bahawa harga makanan telah meningkat 83 peratus sejak tiga tahun lepas.
Fenomena ini menghumban kira-kira 800 juta penduduk dunia ke gaung derita kebuluran dan sengsara kelaparan. Sebenarnya kecenderungan berlakunya krisis makanan global ini telah mula dikesan oleh Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) sejak awal alaf 2000.  Pertubuhan itu menganggarkan jumlah penduduk kelaparan di dunia bagi tempoh 2002 hingga 2004 berjumlah 862 juta termasuk 830 juta dari Negara Dunia Ketiga. Selain itu kira-kira 2 bilion daripada 6.6 bilion penduduk dunia lagi berisiko tinggi mendapat pelbagai penyakit akibat kekurangan Vitamin A dan mikro nutrien yang lain.

NEGARA DUNIA KETIGA

Sejak awal tahun ini, harga bekalan bahan makanan melambung tinggi berikutan penyusutan stok makanan seperti beras, gandum dan bijirin di negara pengeluar. Hal ini mengakibatkan kira-kira 36 buah negara berdepan dengan krisis bekalan makanan yang serius. Sebanyak 21 daripada negara-negara itu terletak di rantau Afrika. Menurut jangkaan FAO lebih banyak negara termasuk di benua Asia dan Negara Dunia Ketiga serta sebahagian Amerika Tengah bakal berdepan dengan krisis kekurangan bekalan makanan asas.

            Negara Dunia Ketiga merujuk negara-negara sedang membangun yang sering dikaitkan dengan stigma kemiskinan dan kemunduran. Negara Dunia Ketiga juga amat sinonim dengan sektor pertanian yang digiatkan oleh faktor-faktor geostrategik dan kekayaan biodiversiti. Negara Dunia Ketiga terdiri daripada  187 buah  negara.  Negara ini termasuklah negara-negara di Asia dan Afrika.
Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Haruhiko Kuroda menyatakan sebahagian besar rakyat Asia yang membentuk dua pertiga daripada penduduk dunia diancam kebuluran akibat kemiskinan. Fakta semasa juga menunjukkan bahawa 1.7 bilion penduduk dunia berpendapatan kurang RM6 sehari.

FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA KRISIS MAKANAN

Hakikatnya, krisis makanan global ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Krisis ini telah bercambahbiak semenjak lama dahulu akibat pelbagai faktor. Menurut Mohd. Shukri Abdullah (1989) kepesatan pertumbuhan penduduk, daya produktiviti sektor pertanian yang rendah dan pola agihan makanan yang tidak sekata antara beberapa kelompok tertentu telah membawa kepada krisis kekurangan bekalan makanan. Dalam konteks Negara Dunia Ketiga, pengeluaran makanan per kapita pada keseluruhannya amat sedikit iaitu kurang daripada 1% setahun.

Dasar pembangunan yang tidak seimbang juga menyumbang kepada tercetusnya krisis kekurangan makanan. Dalam konteks Asia Tenggara, Setiausaha Pertanian Filipina, Arthur Yap, menyifatkan bahawa penyusutan bekalan makanan disebabkan oleh transformasi ekonomi negara-negara di rantau ini daripada sektor pertanian kepada perindustrian. Penekanan berlebihan kepada sektor perindustrian telah mengkesampingkan sektor pertanian. Hal ini mengakibatkan produktiviti pertanian termasuk makanan berkurangan.

Mentaliti pemimpin kerajaan dan rakyat sesetengah negara yang menganggap kemajuan harus diraih menerusi sektor industri semata-mata turut menyumbang ke arah kelembapan perkembangan pertanian. Persepsi negatif bahawa sektor pertanian hanyalah sektor kelas ketiga dan sinonim dengan negara-negara mundur juga memburukkan lagi keadaan ini. Kejadian malapetaka semula jadi akibat perubahan iklim dunia yang kerap berlaku mutakhir ini turut menjejaskan hasil tanaman negara-negara pengeluar seperti Indonesia dan negara-negara Asia Selatan. Hal ini juga memberi kesan ke atas kemerosotan  bekalan makanan sedangkan penduduk dunia terus bertambah.

Ban Ki-moon, Setiausaha Agung PBB pula menjelaskan krisis makanan global berpunca daripada beberapa faktor seperti perubahan iklim, kemarau panjang, perubahan corak penggunaan di negara-negara membangun utama dan tanaman digunakan untuk mengeluarkan bahan bakar bio. Contohnya, Negara Kesatuan Eropah memperuntukkan lebih dari 3 juta tan atau 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran minyak biji sesawi mereka untuk pengeluaran biodiesel. Amerika Syarikat juga mengambil langkah serupa dengan menggunakan sebahagian besar pengeluaran minyak jagung dan soya mereka sebagai bahan mentah untuk penjanaan bahan bakar biologi.
Tindakan mereka ini mengheret dunia kepada kekurangan bekalan minyak makanan dan bahan makanan haiwan ternakan.
Namun, tidak semua aktiviti penghasilan bahan bakar biologi merencatkan bekalan bahan makanan. Malaysia, umpamanya berdasarkan perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada tahun 2007, hanya sekitar 128,193 tan atau 0.81 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran minyak sawit di negara ini dimanipulasi untuk menghasilkan bahan bakar biologi. Hanya 95,013 tan bahan bakar biologi daripada jumlah tersebut dieksport ke luar negara. Jumlah ini adalah sangat kecil untuk memberi sebarang impak negatif ke atas krisis makanan global.
Sesungguhnya kekurangan penawaran bahan makanan dan peningkatan permintaannya dalam pasaran telah melonjakkan harga bekalan makanan. Dalam masa yang sama pendapatan para penduduk dunia terutamanya Negara Dunia Ketiga pula semakin mengecil. Implikasinya masyarakat dunia terpaksa bergelut hebat dengan kemelut kekurangan makanan ini.


….. bersambung …

No comments: