... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Monday 18 June 2012

Esei: Pengurusan Disiplin


KEBERKESANAN PENGURUSAN DISIPLIN DAN HUBUNGANNYA DENGAN KECEMERLANGAN AKADEMIK PELAJAR


1.0  PENGENALAN

Disiplin dan pencapaian akademik pelajar adalah antara aspek yang begitu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak seperti sekolah, guru, ibubapa, masyarakat setempat, media mahupun pihak kerajaan. Kedua-dua aspek ini saling mempengaruhi antara satu sama lain dan mempunyai hubungan yang sangat akrab. Menurut Laporan Kabinet 1979, salah satu daripada matlamat pendidikan ialah membentuk masyarakat yang berdisiplin. (Abdullah Sani Yahaya; 2005)

            Hakikatnya, kualiti disiplin dan pencapaian akademik di kalangan pelajar adalah dua aspek yang begitu sinonim. Lazimnya pelajar yang memperoleh pencapaian akademik yang cemerlang mempunyai rekod disiplin yang baik. Dalam situasi yang lain, pelajar yang gagal mencapai pencapaian akademik yang baik pula seringkali terlibat dalam kes dan masalah salah laku disiplin.

            Justeru pengurusan disiplin yang baik menyumbang ke arah meningkatkan kecemerlangan pencapaian akademik pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Menurut kajian, pelajar yang berdisiplin tinggi lebih bermotivasi, proaktif, konsisten dan komited terhadap pembelajaran. (Wan Rafaei; 1999 dalam Abdullah Sani Yahaya; 2005) Keupayaan guru mengurus disiplin pelajar dalam darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung akan menghindarkan gangguan yang tidak perlu dan memberikan ruang waktu instruksional yang optimum. Sebaliknya kegagalan guru mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah akan membenihkan masalah disiplin.(Mohd. Salleh Lebar; 2000) Contohnya, pengajaran guru yang membosankan, sukar difahami, suara yang tidak jelas, antonasi suara yang monotenus serta interaksi guru dan pelajar yang lemah mendorong pelajar melakukan masalah disiplin seperti bising, mengganggu pengajaran dan pembelajaran, ponteng kelas dan masuk lewat ke kelas.

2.0 KONSEP DISIPLIN DAN KECEMERLANGAN PENCAPAIAN AKADEMIK

2.1 Definisi Disiplin

Disiplin adalah perkataan latin discere  yang bermaksud penyerahan kepada peraturan yang menstrukturkan apa yang perlu dipelajari. (Souper; 1976 dalam Omardin Ashaari; 1999). Definisi ini memberikan penekanan kepada kepatuhan terhadap set peraturan yang telah ditentukan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 mentakrifkan disiplin sebagai kesanggupan individu menghormati dan mematuhi undang-undang  sama ada kerana dorongan faktor luaran mahupun atas kerelaan dan kehendak sendiri. Takrifan ini merujuk disiplin dalam suatu kontinum yang sangat luas iaitu akur kepada peraturan yang tersedia.

            Berdasarkan takrifan ini, Mohd. Ismail Othman (2004) menjelaskan disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu untuk bekerja atau melakukan sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, kesanggupan  mempraktikkan tingkah laku yang baik dan memelihara kepentingan orang lain. Takrifan ini membolehkan kita menentukan bahawa individu yang berdisiplin dicirikan oleh tiga kriteria penting iaitu komited terhadap tugasan, hormat kepada hak dan kepentingan orang lain serta berkelakuan baik.

            Dalam konteks sekolah, Mok Soon Sang (1995) mengaitkan disiplin dengan kemampuan pelajar mematuhi peraturan sebagai suatu mekanisme kawalan tingkah laku melalui ganjaran dan hukuman. Guru harus bijak memilih pendekatan yang terbaik dalam membentuk disiplin pelajar sama ada melalui ganjaran atau hukuman. Selain itu guru perlu bersikap tegas, telus dan tekal dalam menangani masalah disiplin pelajar.

            Menurut Buluc (2006), disiplin adalah berkait dengan pembangunan mekanisme dalaman yang membolehkan seseorang individu mengawal diri. Disiplin juga dikaitkan dengan suatu bentuk latihan yang dapat menghasilkan watak tertentu atau pola tingkahlaku yang diingini melalui peraturan dan cara-cara tertentu.

            Disiplin juga sering dikaitkan dengan hukuman, terutamanya hukuman koperal. Hukuman koperal ialah bentuk tindakan yang mengakibatkan kesakitan kepada anggota badan. Hukuman rotan merupakan salah satu bentuk hukuman koperal yang masih diamalkan di sekolah-sekolah di Malaysia (Mohd. Rashid Mohd. Saad; 2005). Merotan pelajar perlu dilaksanakan mengikut prosuder yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Hukuman koperal diberikan sebagai tindakbalas kepada tingkah laku pelanggaran disiplin yang dilakukan oleh pelajar (Betts-Fields, Marquita L.; 2005). Awang Had Salleh (1991) dalam Omardin Ashaari (1999) merujuk disiplin secara umumnya sebagai ketenteraan dan pengawasan tingkah laku dengan tindakan kekerasan. Namun, hakikatnya disiplin tidaklah semestinya dalam bentuk hukuman. Martella et. al (2003) menolak pengertian disiplin yang disinonimkan dengan hukuman namun menerima bahawa hukuman adalah salah satu cara yang membolehkan tahap disiplin dikekalkan.

            Di negara-negara maju seperti Sweden dan United Kingdom hukuman koperal telah dihapuskan secara berperingkat sebagai reaksi kepada pandangan pelbagai pihak (Mohd. Rashid Mohd. Saad; 2005). Di Amerika Syarikat pula, Akademi Pediatrik Amerika (AAP) telah menyarankan penghapusan hukuman koperal kerana kesan negatifnya terhadap imej kendiri, pencapaian, keganasan dan penyalahgunaan dadah. Rentetan itu, 28 daripada 50  negeri telah menghapuskan hukuman koperal melalui perundangan. (Randail; 2003 dalam Betts-Fields; 2005). Dapatan kajian di negara tersebut menunjukkan hukuman koperal adalah kurang berkesan dalam pembentukan disiplin pelajar di sekolah.

            Seiring dengan perubahan persekitaran pendidikan, strategi menangani masalah disiplin pelajar juga perlu diberikan ‘sentuhan baru’ yang lebih berunsurkan ‘human touch’. Contohnya, perubahan minda tentang kesedaran masyarakat kini terhadap hak mendedahkan sekolah dan guru kepada risiko perundangan. Oleh itu sebarang tindakan disiplin yang diambil oleh guru dan pihak pengurusan sekolah perlu mengambilkira peruntukan perundangan dan prosuder yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama guru perlu menghayati kepentingan pengurusan disiplin pelajar secara berkesan dan merealisasikannya untuk mewujudkan suasana pengajran dan pembelajaran yang kondusif ke arah mencapai kecemerlangan pencapaian akademik pelajar.

2.2 Ciri-ciri Disiplin

            Berdasarkan definisi disiplin yang telah dikemukakan, secara umumnya disiplin berhubungkait dengan tatasusila, kesopanan dan akhlak. (Omardin Ashaari;1999) Secara spesifik, disiplin berpaksikan peraturan dan disandarkan kepada kesediaan seseorang individu untuk akur dan tunduk kepada set peraturan yang perlu, iltizam terhadap kerja, tingkah laku baik dan  keupayaan mengawal diri serta usaha berterusan untuk memperbaiki keadaan.   Disiplin dapat dibentuk melalui latihan berterusan dan pemberian ganjaran serta hukuman mengikut keperluan keadaan.

            Antara ciri-ciri disiplin termasuklah komited terhadap tugasan, hormat kepada hak dan kepentingan orang lain serta berkelakuan baik. Pelajar-pelajar yang berdisiplin pula lazimnya rasional, berkeyakinan tinggi dan memiliki ketabahan dalam menghadapi tribulasi pembelajaran.(Omardin Ashaari;1999) dan Abdullah Sani Yahaya(2005) pula menyatakan ciri-ciri berikut sebagai ciri utama yang membentuk disiplin:
a)      kepercayaan kepada Tuhan
b)      kepatuhan terhadap undang-undang dan peraturan
c)      ketinggian akhlak dan sahsiah diri
d)     kemantapan nilai murni dan budi pekerti
e)      pemilikan ilmu pengetahuan
f)       peningkatan produktiviti
g)      keterampilan diri dan keperibadian
h)      kebijaksanaan (bestari) menangani situasi
i)        kualiti diri dan kehidupan

Berdasarkan ciri-ciri disiplin yang dijelaskan dalam perbincangan ini dapatlah dirumuskan bahawa disiplin mempunyai hubungan yang rapat dengan kualiti keperibadian dan pegangan dalaman seseorang individu yang mendorong kepada proses pengawalan diri dan kepatuhan kepada peraturan. Pelanggaran peraturan merupakan masalah disiplin.

2.3  Definisi Operasional

2.3.1 Definisi Disiplin

Disiplin merujuk kepada sistem peraturan dan tatatertib yang ditentukan oleh sesuatu organisasi dan dilaksanakan supaya perjalanan pengajaran dan pembelajaran di institusi menjadi mudah dan lancar. (Laporan Seminar Kebangsaan Mengenai Disiplin; 1978 dalam Omardin Ashaari; 1999) Pelanggaran peraturan yang telah ditetapkan pula adalah masalah disiplin.

            Abdullah Sani Yahaya (2005) dan Mohd. Othman Ismail (2003)menjelaskan bahawa dalam konteks sekolah, disiplin ditakrifkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaksanaan Pendidikan 1979 sebagai :
a)      kesanggupan bekerja dan membuat sesuatu secara tertib
b)      menghormati hak-hak orang lain
c)      bertingkah laku baik dan tidak menggangu kepentingan orang lain
d)      saling menghormati dan semangat bantu-membantu
e)      melakukan panambahbaikan ke atas keadaan sedia ada


2.3.2 Keberkesanan Pengurusan Disiplin

            Keberkesanan pengurusan disiplin dalam penulisan ini merujuk kepada keupayaan pihak sekolah termasuk guru untuk mengawalselia disiplin pelajar di sekolah secara efektif dan efisien. Kawalan disiplin pelajar adalah bermula dalam bilik darjah. Dalam hal ini, bilik darjah dilihat sebagai suatu organisasi yang penting untuk mewujudkan iklim sekolah yang berdisiplin sesuai dengan peranan bilik darjah sebagai nuklues kepada institusi sekolah (Abdullah Sani Yahaya; 2005) Justeru guru memainkan peranan penting dalam menjamin keberkesanan pengurusan disiplin pelajar dalam sesebuah sekolah.

            Menurut kajian yang dijalankan oleh Educational Research Information Centre (ERIC) di Amerika Syarikat pada tahun 2005, kriteria sekolah yang gagal mewujudkan pengurusan disiplin pelajar yang berkesan termasuklah tidak ada peraturan yang jelas, pelaksanaan hukuman yang tidak konsisten, kelonggaran kerjasama antara pengurus sekolah dan para guru, saiz sekolah yang besar, kekurangan sumber pengajaran dan pembelajaran. Kriteria ini memberikan gambaran bahawa pengajaran dan pembelajaran yang berkesan merupakan manifestasi kewujudan pengurusan disiplin yang berkesan di sekolah. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah pula merupakan faktor penting yang menyumbang ke arah kecemerlangan pencapaian akademik pelajar.

            Antara indikator yang dapat dijadikan kayu ukur keberkesanan pengurusan pengurusan disiplin pelajar di sesebuah sekolah ialah kualiti pencapaian akademik pelajar penglibatan pelajar terhadap aktiviti kokurikulum, kewujudan budaya ilmu, iklim sekolah yang kondusif dan sosio emosi pelajar yang tenang.

2.3.3 Kecemerlangan Pencapaian Akademik

            Secara umum kecemerlangan pencapaian akademik merujuk kepada suatu tahap pemerolehan hasil yang amat membanggakan dalam bidang pembelajaran.Secara saintifik, kecemerlangan ditakrifkan sebagai keupayaan seseorang untuk melonjakkan tahap kemampuannya untuk berjaya pada tahap yang paling maksimum bagi dirinya berdasarkan kayu ukur yang telah ditentukan bagi kelompok atau kumpulan.(Abdullah Sani Yahaya;2005) Usaha meningkatkan kualiti pencapaian akademik merupakan suatu proses yang dijalankan atau dorongan persekitaran bagi meningkatkan tahap akademik kepada yang lebih cemerlang.

            Dalam sistem pendidikan di Malaysia, pencapaian dalam peperiksaan, khususnya dalam peperiksaan umum; UPSR, PMR, SPM atau STPM merupakan instrumen pengukuran terhadap kecemerlangan akademik seseorang pelajar. Selain pencapaian peperiksaan, kecemerlangan pencapaian akademik seseorang pelajar juga dicirikan oleh beberapa aspek lain seperti minat membaca yang tinggi, keupayaan menulis, tahap pemikiran dan kematangan, proaktif dan mempunyai disiplin diri yang baik. (Abdullah Sani Yahaya; 2003)

            Kecemerlangan pencapaian akademik pelajar banyak dipengaruhi oleh kewujudan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah  yang berkesan. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran pula berkait rapat dengan kecekapan pengurusan  bilik darjah.(Abdullah Sani Yahaya,2005; Abdul Rahim Abdul Rashid;  2002). Pengurusan bilik darjah merangkumi pembentukan disiplin pelajar melalui penggunaan rutin, penyediaan dan penguatkuasaan undang-undang serta perhubungan mesra antara guru dan pelajar.

2.4 Jenis-jenis masalah disiplin

            Senario semasa di sekolah-sekolah  menunjukkan trend masalah disiplin yang menonjol dalam beberapap jenis seperti datang lewat, ponteng sekolah, rambut panjang, ponteng kelas, mengganggu pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah serta kegiatan vandalisme. (Mohd. Ismail Othman; 2004). Menurut kajian Unit Disiplin Bahagian Sekolah-sekolah  yang melibatkan seramai 1 191 233 orang pelajar di Semenanjung Malaysia pada tahun 1994 menunjukkan bahawa kecenderungan pelajar terhadap salah laku disiplin adalah menjurus kepada kesalahan-kesalahan disiplin yang ringan. Dapatan kajian tersebut dirumuskan dalam rajah di bawah:

Rajah 1 : Jenis-jenis salah laku disiplin pelajar di sekolah (sumber: Abdullah Sani
                          Yahaya, 2005; Mohd. Othman Ismail,2003)


datang lewat
1.43%
Ponteng sekolah
1.36 %
rambut panjang
0.92 %
Ponteng kelas
0.57 %
mengganggu p&p
0.25 %
vandalisme
0.16 %








3.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KE ARAH MASALAH DISIPLIN PELAJAR

Masalah disiplin adalah sama tua dengan umur institusi sekolah. (Ibrahim Saad;1982) Justeru perbincangan tentang faktor-faktor masalah disiplin pelajar sekolah di Malaysia membuka kepada ruang perbahasan yang sangat luas. Walau bagaimanapun kecenderungan mengklasifikasikan faktor-faktor tersebut pada dekad yang berbeza tidak menunjukkan perbezaan pendapat atau dapatan yang ketara.

Amir Sharifuddin (1982) mengaitkan masalah disiplin dengan beberapa faktor seperti persekitaran rumah yang tidak kondusif, hubungan hambar guru-murid, kekecewaan dalam pembelajaran, peraturan sekolah yang terlalu rigid, iklim bilik darjah yang bersifat menindas sebahagian pelajar, kelemahan pihak pengurusan sekolah dan peminggiran pelajar yang mempunyai status sosial yang rendah.

Pendapat tentang hubungan hambar antara guru dan murid mempunyai hubungan dengan pernyataan Anderson & Brewer’s 1946 (dalam Hashim Deraman et al.,2002) yang menyatakan bahawa terdapat dua jenis tingkah laku guru dalam interaksi semasa pengajaran dan pembelajaran dalam darjah. Dua jenis interaksi tersebut ialah interaksi dominatif dan integratif. Amaran, tengking-herdik dan tidak menerima cadangan pelajaran merupakan amalan interaksi dominatif. Guru mendominasi aktiviti bercakap dan mengeluarkan arahan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Antara amalan interaksi integratif pula termasuklah guru mengiktiraf perbezaan pendapat, menggalakkan partisipasi pelajar, berempati dan menggalakkan interaksi dua hala. Kedua-dua jenis tingkahlaku interaksi ini memberikan implikasi kepada pelajar secara positif dan negatif.

Dari sisi psikologi, sifat guru yang terlalu autokratik dan dominan menyebabkan emosi pelajar sentiasa dalam keadaan tegang.(Mohd. Salleh Lebar,2000) Akibatnya pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan tertekan dan terpaksa. Suasana kan menjadi bertambah tegang apabila guru-guru yang mengajar menghabiskan masa dengan meleteri pelajar, menunjukkan muka yang tegang, terlalu serius tanpa unsur kecindan dan cenderung melabel serta menghukum pelajar. Pelajar yang gagal mengawal emosi akan menimbulkan masalah disiplin sebagai jalan keluar daripada tekanan yang dialami.

Malek Murad (1982) pula menggabungkan faktor-faktor kemasyarakatn khususnya perubahan sosial yang mewujudkan jurang nilai antara generasi ibu bapa sebagai golongan yang lebih tua dengan generasi anak sebagai punca utama. Charles (2002) dalam Mohd. Ismail Othman (2004) juga merujuk kepada faktor masyarakat yang kurang prihatin terhadap permasalahan salah laku pelajar sekolah sebagai penyumbang utama terhadap masalah disiplin pelajar di Barat. Mohd. Ismail Othman (2004) memberikan respons yang senada dengan pendapat ini namun beliau turut menyenaraikan guru, ibu bapa, media, persekitaran dan rakan sebaya sebagai punca masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah di Malaysia.Dalam kajian lain (Masruhan; 1995 dalam Mohd. Ismail Othman; 2004) menekankan pengaruh rakan sebaya sebagai faktor penyumbang paling berpengaruh terhadap masalah disiplin pelajar.

Menurut Rajagu dan Mohd. Daud Saad (1982) faktor kekeluargaan dan faktor sekolah merupakan dua faktor penting yang menyumbang kepada percambahan masalah disiplin pelajar. Pendapat ini mempunyai persamaan dengan dapatan pengkaji-pengkaji terdahulu. Herriot & St. John (1966) (dalam Omardin Ashaari;1999) umpamanya menegaskan bahawa institusi keluarga yang tidak sempurna serta sikap ibu bapa yang tidak prihatin terhadap perkembangan dan keperluan anak, menentang peraturan sekolah dan terlalu membela anak menyumbang kepada gejala salah laku disiplin di kalangan pelajar. Kajian juga menunjukkan bahawa pelajar yang cenderung melakukan kesalahan disiplin ialah pelajar yang mempunyai status sosio ekonomi yang rendah.

Selain itu, sebab yang berhubung rapat dengan sosio-psikologi turut menjadi faktor pendorong pelajar sekolah terlibat dalam masalah disiplin.(Mohd. Nor Long;1982) Gragey (1970) dan Maslow & Rogers(1962) (dalam Omardin Ashaari;1999) menyatakan bahawa kawalan ketat dan peraturan yang terlalu rigid di sekolah memberikan kesan psikologi kepada para pelajar. Pelajar akan bertindakbalas secara negatif terhadap peraturan-peraturan seumpamanya melalui pelbagai tingkah laku devian dan destruktif. Antara tindak balas pelajar termasuklah tidak hormat kepada guru, berkelakuan tidak sopan, melawan guru dan merosakkan harta benda sekolah. Begitu juga jika guru terlalu garang dan agresif, pelajar menyalurkan penentangan secara tidak langsung dengan menconteng dinding dan melepaskan emosi kepada pihak ketiga.

Marimuthu(1980) dalam Omardin Ashaari(1999) menyatakan pendangan kritis terhadap beberapa amalan dalam sistem pendidikan negara iaitu penempatan pelajar berdasarkan pencapaian akademik (streaming), persekolahan berorientasikan peperiksaan dan sikap serta ekspektasi guru yang terlalu ideal terhadap pelajar. Beliau berpendapat kesemua kelaziman ini mendorong pelajar untuk melakukan masalah disiplin pelajar.

Mohd. Salleh Lebar (2000) menyokong pandangan kritis ini dengan menyatakan bahawa penekanan aspek peperiksaan  dan kecemerlangan akademik yang berlebihan menjadi punca utama masalah disiplin pelajar berleluasa di sekolah. Kecenderungan guru menekankan aspek kecemerlangan akademik menyebabkan mereka mengabaikan aspek lain yang tidak kurang penting iaitu pembentukan disiplin pelajar. Lebih malang lagi apabila, amalan streaming mengikut tahap kecerdasan intelek dan pencapaian akademik membawa kepada konotasi bahawa pelajar kelas lemah adalah golongan ‘hapuskira’ yang boleh diabaikan.

Abdullah Sani Yahaya (2005) memperincikan faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah disiplin dengan menekankan empat aspek iaitu sikap pelajar, asuhan awal atau didikan keluarga di rumah, pengaruh negatif media massa elektronik dan bercetak serta kegagalan guru memainkan peranan dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran yang mampu menarik perhatian dan minat pelajar dalam bilik darjah.

---- Wacana PROFES 2009 

No comments: