... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Thursday 21 June 2012

Kritikan Sastera: Stilistika

PUISI SEDESA HARAPAN: SATU TINJAUAN DARI ASPEK STILISTIK

Pengenalan

SEDESA HARAPAN merupakan karya Abang Median Abang Said yang dimuatkan dalam Antologi Karya Guru 2007/2008. Puisi ini terbina daripada 163 patah perkataan yang digarap dalam 35 baris kesemuanya. Penulis memilih puisi ini untuk dijadikan bahan tinjauan dari aspek stilistik atas keyakinan bahawa puisi ini berjaya mengetengahkan kepelbagaian gaya bahasa yang menjadikannya tampil dengan kekuatan tersendiri.

Tema dan Persoalan

            Puisi ini mengungkapkan pencarian diri seorang guru tentang hakikat kewujudannya sebagai seorang pendidik di kawasan pedalaman yang terpinggir jauh dari sentuhan kemajuan dan kemodenan. Puisi ini terhasil setelah jiwa penyair meronta-ronta untuk menulis sebuah puisi melankolik untuk meluah rasa hatinya sebagai seorang guru yang diletakkan harapan menggunung oleh masyarakat sekitar. Pada hemat penyair masyarakat di kawasan pedalaman mempunyai ekspektasi yang amat tinggi terhadap dedikasi dan sumbangan guru untuk menganjak martabat kehidupan masyarakat setempat.

            Secara mudahnya, puisi Sedesa Harapan merupakan rakaman pengalaman penyair dalam satu daripada episod perjalanan hidup sebagai seorang pendidik berlatar belakangkan suka duka penduduk di kawasan pedalaman. Sungguhpun isi dan persoalan yang diungkapkan dalam puisi ini merupakan persoalan biasa yang sering didengar namun berjaya diangkat sebagai karya yang menarik menerusi aspek teknik estetika atau keindahan bahasa yang baik. Kemampuan dan kebolehan berpuisi mencerminkan kesungguhan dan kegigihan penyair untuk tampil dengan gaya berpuisi yang tersendiri.
           
            Puisi ini turut menitipkan unsur keagamaan. Unsur ini disisipkan menerusi rangkap ketiga. Antara kata yang disandarkan untuk menitipkan unsur keagamaan ini termaduklah ‘azan maghrib’, ‘air wuduk’, ‘surau’, ‘sujud’ dan ‘sejadah’. Ungkapan kata-kata ini terhasil mengikut pertimbangan yang didasari oleh hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia dengan manusia.

Konsep Stilistika

            Menurut Sanai Dundang Jeman (1990) stilistika dijelaskan oleh Donald C. Freeman sebagai penggunaan bahasa yang menyimpang daripada normanya, penggunaan pengulangan dan meninjau usaha-usaha penulis untuk mendapatkan kepadatan isinya. Dalam hal ini, stilistika memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pengkarya untuk meneroka khazanah bahasa mengikut ketajaman kreativiti, imaginasi dan keupayaan bahasanya.   Mana Sikana (1998) merujuk kritikan dari segi stilistik sebagai berfokus kepada ungkapan dan penggunaan bahasa. Bersandarkan definisi-definisi yang diutarakan ini adalah jelas bahawa pembicaraan gaya atau aspek stilistika dalam puisi tidak dapat dipisahkan daripada membincangkan tentang alat pengucapannya, iaitu bahasa.

            Gaya dalam penulisan puisi boleh diertikan sebagai suatu teknik penyair mengeksploitasi bahasa untuk menonjolkan kesan-kesan estetika. Ringkasnya, bahasa merupakan elemen yang penting dalam penulisan puisi kerana peranannya yang begitu besar untuk memindahkan pengalaman jiwa penyair, iaitu perasaan dan fikiran. Rahman Shaari (2004) menegaskan bahawa gaya adalah jalinan penulisan yang berhubung dengan diksi, imejan, sintaksis dan pengaturan unsur bunyi. Penggunaan unsur perbandingan seperti metafora, personafikasi, simile dan oksimoron berupaya menimbulkan kesan kesenian terhadap puisi yang dihasilkan.

            Puisi Sedesa Harapan berjaya diangkat menerusi kekuatan gaya bahasa yang ditonjolkan. Kepelbagaian gaya bahasa tersebut berupaya mewakili kerencaman stilistika dalam genre penulisan puisi dalam kalangan penyair guru.

Bahasa

            Bahasa merupakan wahana penyair untuk memindahkan pengalaman jiwanya kepada khalayak. Sohaimi Abdul Aziz (2003; 48) meletakkan bahasa sebagai medium sastera yang mempunyai peranan istimewa dalam perkembangan sastera. Oleh hal demikian bahasa yang digunakan dalam penulisan harus mengutamakan kefahaman dan kejelasan makna. Menurut Muhammad Haji Salleh, Sahlan Mohd. Sahlan, Shafie Abu Bakar dan Ramli Isin (1985; 47) asas karya adalah sama sebagai penglahiran rasa yang berbingkaikan fikiran seorang seniman. Dalam hal ini bahasa menjadi medium komunikasi antara penulis dan khalayak dan berfungsi menjadi alat penyaluran pemikirannya kepada khalayak.Dalam konteks puisi, bahasa perlu berupaya memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan kemuliaan pembentukan serta penyusunannya. (Dharmawijaya, 1991:24).

             Penyair bijak memilih bahasa, sama ada yang konotatif atau denotatif lagi ekspresif sesuai dengan suasana, nada serta tema puisi yang diketengahkannya. Denotatif menurut Lim Swee Tin (2004) bermaksud kata rujukan kamus manakala kata konotatif lebih berupa kata kiasan, perlambangan, dan perbandingan. Dalam penulisan puisi, kiasan bermakna menerangkan sesuatu hal, perkara atau keadaan dengan satu gambaran lain yang persis supaya mudah difahami atau dirasai. Secara umumnya, puisi Sedesa Harapan lebih banyak memperlihatkan ciri konotasi. Maksudnya, kata atau rangkai kata yang digarap oleh penyair mempunyai makna lebih daripada satu, kaya, luas dan jauh. Contohnya perkataan ‘gubuk buruk ’, makna denotasinya ialah ‘pondok yang telah usang’. Dalam makna konotasinya pula boleh membawa erti kehidupan yang dibelenggu kemunduran dan kemiskinan . Penggunaan bahasa konotasi inilah menjadikan puisi ini dapat menghidupkan emosi dan imaginasi khalayak.

            Ciri bahasa puisi yang ekonomis kurang diberikan perhatian oleh penyair kecuali pada rangkap ketiga. Rangkap pertama dan kedua banyak dipadatkan dengan ungkapan-ungkapan yang panjang. Dalam penciptaan metafora juga penyair ada ketikanya memilih lebih dari satu kata konkrit seperti ‘laman anjung pondok jasa’.

Diksi

            Sedesa Harapan mengetengahkan diksi yang cukup berhati-hati. Pemilihan kata dalam puisi tersebut dapat menggambarkan kesesuaian penggunaannya dengan mood dan tema puisi. Diksi disaring dengan wajar agar dapat mendokong nilai rasa, emosi dan erti puisi secara keseluruhannya. Kata-kata yang digunakan oleh penulis puisi ini dijalin dengan adunan bahasa yang penuh dengan kreativiti dan bersifat amat imaginatif.

            Diksi puisi ini memperlihat ketajaman daya sensitiviti penyair terhadap pelbagai kemungkinan bahasa. Penyair berjaya mengeksploitasikan bahasa sebagai medium komunikasi  dengan wajar. Pemilihan kata dibuat penuh hemat dan berhati-hati bagi memastikan mesej yang hendak disampaikan jelas dan dalam masa yang sama nilai estetikanya terpelihara indah.

            Jelasnya bahasa yang digunakan oleh penyair muda ini mudah difahami dan padat dengan makna. Pada sesetengah tempat puisi ini didapati diksinya bersifat amat dekoratif. Contohnya; ‘aku mengira sepi air sungai kehausan mendesah’.



a) Asonansi

            Pengulangan bunyi vokal yang sama dalam baris-baris sajak dikenali sebagai asonansi. Asonansi boleh menghasilkan kesan kemerduan kepada baris sajak yang digarap. Sedesa Harapan banyak mengetengahkan unsur asonansi ini. Beberapa baris yang memperlihatkan unsur ini dikemukakan dalam petikan baris-baris berikut:

                        dengan bijaksana bibir nasihat
                        mengalunkan irama kedamaian
                        bersepi kabus dinihari mengulit bakti
                        penduduk desa dengan gubuk buruk
                        aku mengira sepi air sungai kehausan

            Secara jelasnya, penggunaan unsur asonansi dalam puisi ini adalah untuk melenturkan bunyinya supaya lembut sebutannya.

b) Aliterasi

            Pengulangan bunyi konsonan dalam baris-baris puisi dirujuk oleh Ab. Rahman Ab. Rashid, Harun Jaafar, Mohd. Rosli Saludin & Talib Samat (2000:3) sebagai aliterasi. Sedesa Harapan menggarap unsur aliterasi dengan begitu ketara sekali. Kecenderungan Median menggunakan unsur pengulangan ini adalah bertujuan menghasilkan irama yang menarik. Selain itu penggunaan aliterasi dalam puisi ini berjaya menjelmakan jenis idea yang digunakan. Sesuai dengan nada puisi yang melankolik penggunaan aliterasi secara meluas dalam puisi ini ternyata berjaya mencetuskan irama yang puitik:
           
                        mengalunkan irama kedamaian
                        membanting usaha di bendang permatang
                        siul burung harap antara celah angin dingin
                        sepi air sungai kehausan mendesah
                        kuceduk air wuduk kesedaran


Simbol (Perlambangan)

            Simbol atau perlambangan adalah kata-kata tertentu yang penggunaannya berupaya menyatakan sesuatu di luar erti kata-kata itu sendiri. Oleh hal demikian, simbol amat sinonim dengan sifat konotasi. Simbol diklasifikasikan oleh Dharmawijaya (1989:35) kepada dua jenis. Pertama, simbol yang konvensional iaitu pengertiannya sudah biasa dan lama dikenal oleh masyarakat. Kedua, simbol yang personal, iaitu dicipta berdasarkan perasaan atau pengalaman penyair sendiri. Ukuran nilai penggunaan simbol terletak pada sejauh mana nilai kesejagatan (universal) simbol tersebut. Simbol yang mudah difahami dianggap simbol yang universal. Simbol seumpama ini dikatakan lebih berupaya membawa kejelasan penyataan perasaan dan fikiran.

            Sedesa Harapan menampakkan usaha penyair menerapkan simbol-simbol yang mudah difahami dan dihayati oleh audien. Simbol-simbol seperti ‘bukit’, ‘gunung’, ‘hujan’, ‘debu’ dan ‘kemarau’sememangnya adalah hampir dengan audien namun sifatnya yang agak konvensional memerangkap puisi ini dengan unsur-unsur klise yang  meninggalkan kesan ketidaksegaran kepada unsur bunyi puisi tersebut.

            Penyair sewajarnya memilih simbol yang lebih bersifat kontemporari dan segar serta asli dan baru. Penggunaan unsur alam seperti kabus, bendang, kolam, sungai, bukit, gunung, debu, hujan, angin, mentari dan kali adalah simbol-simbol yang seringkali digarap dalam penulisan puisi. Sungguhpun demikian keupayaan penyair ‘meromantiskan unsur-unsur alam’ ini dengan cara dan gaya yang meyakinkan sedikit sebanyak dapat menampung kelesuan simbol yang bersifat klise itu.

            Citra alam yang dipancarkan oleh penyair menerusi puisi ini menggambarkan keupayaannya untuk mengeksploitasikan elemen alam dalam satu ikatan yang harmonis. Contohnya ‘bukit hasrat’ , ‘gunung matlamat’, ‘angin rasa’ dan ‘hujan kejayaan’.  Kata ‘bukit’, ‘gunung’, ‘angin’ dan ‘hujan’ merupakan elemen alam yang mempunyai ikatan yang amat akrab antara satu sama lain dan amat sesuai menggambarkan suasana desa di kawasan pedalaman.

            Ringkasnya, puisi ‘Sedesa Harapan’ ini adalah hasil penampilan bisikan dari cetusan jiwa yang halus dan ilham dari kekagumannya terhadap alam dan persekitaran yang diadun bersama idea tentang ketinggian persepsi masyarakat luar bandar terhadap profesion keguruan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa puisi ini mengangkat unsur-unsur alam sebagai pemilik nilai yang tersendiri dan juga membawa makna simbolik.

Gaya Bahasa
Sinkope

            Unsur sinkope atau singkatan kata-kata dapat dikesan dalam 9 baris puisi. Penyair menggunakan sinkope dengan amat ketara. Antaranya ialah kata ‘aku’ yang disingkatkan menjadi ‘ku’ dalam perkataan-perkataan berikut:
            kutiup              kunanti
            kupetik            kuceduk
            kuharungi

            Perkataan ‘ketika’ pula disingkatkan menjadi ‘tika’ pada setiap awal baris bagi ketiga-tiga rangkap. Selain itu singkatan ‘mentari’ juga digunakan untuk kata ‘matahari’. Unsur sinkope ini digunakan untuk penyair bertujuan menimbulkan keadaan bersahaja.
           
Haplologi

            Haplologi bermakna penyingkatan kata-kata penggandaan. Haplologi dalam puisi berfungsi menimbulkan kemerduan pada bunyi baris serta melahirkan keberkesanan maksud keseluruhan puisi. Menerusi puisi ini tidak banyak digunakan kata-kata ini. Hanya pada rangkap kedua sahaja terdapat kata yang dikesan sebagai haplologi iaitu ‘jemari usaha’. Keupayaan penyair mengekperimentasikan haplologi dalam puisi ini wajar ditingkatkan dengan menyelitkan beberapa kata lagi yang mendukung unsur haplologi. Hal ini perlu bagi mencetuskan lebih nilai estetika kepada pengucapan puisi ini. Walau bagaimanapun penggunaannya berjaya menepati maksud yang hendak disampaikan kerana jari-jari adalah merupakan penggerak asas kepada pelaksanaan sesuatu usaha.

Unsur Pleonasme

            Unsur pleonasme merujuk kepada kata-kata yang mempunyai maksud yang sama atau hampir sama tetapi digandakan. Dalam puisi ini seiring dengan kecenderungan penyair bermain dengan bahasa, dua kata yang berunsurkan pleonasme telah diselitkan oleh penyair. Kedua-dua kata itu ialah ‘sejuk mesra’ ,‘sunyi pilu’ dan ‘bendang permatang’.

Unsur pemajmukan

            Penyair tidak menyelitkan sebarang unsur pemajmukan dalam puisi ini. Hal ini kurang menyerlahkan  kemampuan penyair untuk meneroka pembentukan kata-kata baru yang bererti dan mempunyai fungsi yang tersendiri.


No comments: