... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Wednesday 6 June 2012

Naskhah Hati: Catatan PERTAMA

Bismillah-ir-rahman-ir-rahim.

Saya bertekad memulakan langkah pertama hari ini untuk memiliki sebuah blog sendiri. Jika saya ditanya tentang keistimewaan hari ini, terus terang .. saya tidak mempunyai jawapan yang khusus. Bagi saya setiap hari adalah hari yang istimewa kerana saya sentiasa menjadikan setiap detik yang saya lalui membawa erti bagi saya. Jadi, hari saya memulakan larikan pena yang pertama ini tetaplah istimewa kerana ada sejarah yang tersendiri: saya mula merealisasikan impian untuk menulis di blog. Sebelumnya beberapa kali juga terlintas di fakulti fikir ini untuk menulis secara terbuka (tidak lagi sekadar menulis nota di Facebook, itupun ditatap oleh individu terpilih sahaja) tetapi macam-macam dalih yang saya hadirkan! Bukan tidak ada yang bertanya mengapa saya tidak menulis sahaja di blog? Malahan ada yang menyatakan kesediaan mahu membantu untuk saya mula menulis di paparan terbuka. Jujurnya, saya pun mahu menulis agar dapat berkongsi pandangan dan pengalaman dengan mereka yang sudi untuk itu tetapi seperti yang saya nyatakan tadi macam-macam alasan saya ciptakan. Paling selalu saya katakan: 'risau nanti laman sesawang saya akan penuh dengan sawang!' Ha ha ha! Bunyinya tidak ubah seperti orang yang pesimis. Ibarat pejuang yang bergegar sebelum masuk gelanggang lagaknya! Seolah-olah menulis di blog itu adalah suatu pekerjaan yang menuntut 'modal' yang sangat mahal walhal sebenarnya hanya perlu minat dan komitmen. Minat? Saya memang minat menulis sejak kecil. Seawal usia 9 tahun saya sudah mula menulis jurnal peribadi. Awal, bukan? Setahun kemudian saya sudah mempunyai koleksi kata-kata mutiara yang saya gunting daripada majalah-majalah yang dibeli oleh kakak-kakak saya. Cuma sayangnya, kemahiran pendokumentasian saya masa itu cukup tumpul. Bahan yang terkumpul, akhirnya hilang entah ke mana. Pada tahun yang sama, saya juga berjaya mengkhatamkan novel Badai Semalam! Mampu pula mengingat plot karya Khadijah Hashim itu secara rinci.  Sehingga kini, watak Mazni, Karim dan Zaki masih segar di ingatan saya. (Fuh! Punyalah menjiwai) Semasa Darjah Empat, sebaik saja saya mengenali komponen Karangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, saya jatuh cinta pada 'pertemuan' kali pertama. Bermulalah hobi baru saya pada tahun 1984, apa lagi kalau bukan mengarang. Jurnal saya telah bertukar menjadi 'catatan setiap hari' pula. Karangan saya selalu mendapat perhatian guru Karangan pada masa itu. Ada kala, Cikgu Shamsir (guru BM saya semasa Darjah Lima) membacakan karangan saya di hadapan kelas. Kadang-kadang karangan saya disalin oleh rakan-rakan sekelas (atas arahan cikgu) sebagai karangan contoh. Komentar lisan yang cikgu berikan sentiasa saja berbaur dorongan alias pujian. Bohonglah saya kalau saya katakan semua itu tidak memberikan apa-apa impak kepada 'self-esteem' saya. Sebagai kanak-kanak yang baru 10 tahun hidup, kata-kata dorongan dan tindakan guru yang sentiasa menyuntik motivasi menjadikan saya sentiasa mahu berusaha mencapai satu tahap yang lebih baik. Itulah juga antara sebab mengapa saya selalu mencuba sehabis daya menyuntik motivasi kepada anak-anak didik saya dengan pelbagai cara apabila saya memilih untuk menjadi pendidik. Bertitik tolak daripada pengalaman di zaman awal persekolahan, tindakan seorang guru amat mengesani jiwa kanak-kanak milik saya. Terima kasih, cikgu. Untuk suntikan semangat itu!

Setelah menginjak kaki ke sekolah menengah, saya terus menulis secara 'kecil-kecilan'. Syukurlah, karangan saya selalu saja mendapat markah yang baik. Komen yang guru BM berikan juga amat memberangsangkan maka semakin bersemangatlah saya mengarang hari demi hari. Saya mula membeli majalah Dewan Siswa setiap bulan. Kebetulan ibu angkat saya pada ketika itu bekerja di DBP, maka makin mudahlah saya mendapatkan naskhah DS dengan harga diskaun. Pada masa itu, menulis diari adalah suatu kewajipan yang rutin sifatnya. Tambahan pula, berada jauh di perantauan dan hanya sekali setahun berpeluang menjengah kampung halaman memang selalulah disapa rasa sentimental pada banyak perkara. Suka duka kehidupan sebagai remaja yang belajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) merupakan khazanah pengalaman yang sangat bermakna. Hampir semua perkara yang signifikan dalam riwayat hidup seorang remaja, saya abadikan dalam diari (masih tersimpan kemas hingga kini!) Saat pertama kali menghirup udara Kuala Lumpur, pertama kali menduduki Kelas Tingkatan 1 Merah yang tersorok di blok Asrama Putera, orang pertama yang menegur bertanya khabar saya di sekolah baru, senior pertama yang menghulurkan bantuan kepada saya, kad hari raya pertama yang saya terima di perantauan, kiriman lagu yang pertama saya terima. Huh! Pendek kata, hampir segala-galanya! Sari peristiwa yang berlaku setiap hari menjadi bahan untuk saya abadikan dalam 'arkib' penulisan. Bila membelek kembali catatan-catatan lama itu, tergambar satu per satu perjalanan hidup remaja yang saya lalui di perantauan. Amat nostalgik! Namun apa yang lebih bermakna daripada nostalgia itu ialah nilai ukhuwwah dan kasih yang terjalin antara saya dan rakan-rakan seperjuangan. Hanya kami yang memahami makna ukhuwah itu dalam erti kata yang sebenarnya. Di sekolah menengah jugalah saya mencuba-cuba menyertai beberapa sayembara penulisan. Alhamdulillah! Ada jugalah yang sangkut dan dapat hadiah wang tunai. Tetapi lebih banyaklah projek penulisan yang tergendala sekerat jalan.

Dunia penulisan saya menyaksikan sedikit takuk kemajuan apabila belajar di Pra-Universiti. Kebetulan saya diamanahkan sebagai Exco Biro Penerbitan yang memang skop tugasnya adalah bergelumang dengan dunia penulisan. Selain 'menerbitkan' beberapa makalah dan sebuah majalah kampus, saya bertanggungjawab menulis apa juga bahan yang tidak mencukupi. Di situlah saya mula mempertajamkan daya fikir. Saya memperluaskan horizon pembacaan kepada disiplin ilmu yang lebih berencam. Haruslah banyak membaca, kalau tidak hendak digali dari mana bahan untuk menulis. Pada zaman bergelar siswi juga, tidak kurang daripada 100 pucuk surat berkenaan urusan rasmi persatuan saya tulis!

Apabila terjun dalam alam pekerjaan, saya masih terus-terusan menulis. Timbul dan tenggelam semangat untuk menulis itu! Beberapa kali menerima hadiah utama dalam penulisan karya kreatif dan kritikan sastera serta esei ilmiah yang lain, saya menulis ke sayembara secara tidak konsisten. Banyak projek penulisan terbengkalai di tengah jalan walaupun alhamdulillah, ada juga yang selesai ke noktah yang terakhir. Hakikatnya, kekangan yang terentang di hadapan membataskan usaha untuk meneruskan 'kecintaan' saya untuk terus menulis secara lebih aktif. Maka, pada hari ini saya menghidupkan kembali semangat yang pernah marak membakar dalam diri ini untuk menyumbangkan sesuatu dalam dunia penulisan. Seadanya! Jujur saya katakan, bidang penulisan adalah salah satu daripada tujuh padang kecintaan saya. Saya inginkan padang ini terus menghijau! Walaupun ada kala, barangkali saya akan kehilangan waktu namun harapan saya, saya tidak akan sekali-kali kehilangan kata. Semoga apa yang bakal kita kongsikan di medan bicara ini akan memberikan manfaat.

Ikhlas!  Itulah rentetan perjalanan saya menggilap gemerlap potensi penulisan saya. Tidak terlintas pun di hati ini untuk menunjukkan kelebihan diri. Apa yang mahu saya nyatakan, sebenarnya menulis itu dapat diasuh melalui satu proses yang panjang. Semenjak kecil lagi, kita sudah didedahkan dengan dunia penulisan. Kemahiran kita menulis diasah semasa pertama kali kita belajar menyusun perkataan menjadi satu ayat yang lengkap! Jadi, sebenarnya tiada alasan yang signifikan untuk berhujah bahawa kita tidak mampu menulis sesuatu untuk dimanfaatkan oleh orang lain, khususnya mereka yang kita kasihi!

Ehsan foto: Niech, sahabat karib saya di zaman kanak-kanak yang banyak menyimpan manuskrip saya yang sekerat jalan ..
Ya Allah! Di saat suasana malam gelita ini telah pun dipagar sepi, akhirnya 'bingkisan' pertama ini menemui noktah akhirnya. Ya Rabb al-Jalil wal Aziz, anugerahkan hamba-Mu ini kekuatan untuk terus berbakti berwahanakan penulisan. Moga-moga usaha kerdil ini akan dapat memberikan secebis inspirasi kepada mereka yang menginginkan. Sesungguhnya hidup duniawi ini visanya amat terhad! Izinkan daku mengalirkan pengalaman perjalanan lewat NASKHAH KASIH IZZAH ini .. Salam penuh kasih fillah!

4 comments:

ADILLATUL HASIF NASAH said...

TERBAIKKK....

Unknown said...

Alhamdulillah, tercatit entry pertama uztazah :) Sejarah minat uztazah yang sy baru tahu. Tahniah! :) You are a blogger starting from now. Heee. Keep on writing ya. Kalau uztazah nak saya tolong design blog uztazah pun boleh.. InsyaAllah :D

neez said...

"Namun apa yang lebih bermakna daripada nostalgia itu ialah nilai ukhuwwah dan kasih yang terjalin antara saya dan rakan-rakan seperjuangan. Hanya kami yang memahami makna ukhuwah itu dalam erti kata yang sebenarnya."

- Bergenang airmata membacanya...bangga menjadi salah seorang rakan seperjuangan. Moga ukhuwah antara kita berpanjangan. Keep on writing & I'll definitely be one of your follower...

Lyssa said...

Yayy, mana bulih lawan sifu ini macam. Ayat punya power :)