... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Thursday 14 June 2012

Cerita Kanak-kanak: Salamku Dari Ulu

SALAMKU DARI ULU
[Cerita Kanak-kanak sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2011]
Gadam menatap langit yang putih. Bersih tanpa sebarang titik cela. Dia melepaskan nafas perlahan-lahan. Dia tahu begitulah hatinya. Hatinya seputih langit itu. Ada keluhan kecil di hujung nafas lelahnya. ‘Aku mahu jadi seperti Cikgu Jangau. Dia guru yang hebat. Timbalan Perdana Menteri pun menyebut-nyebut namanya semasa berucap’, bisikan-bisikan kecil berapungan di fakulti memori Gadam.

Gadam memalit hingus yang menuruni alur asli di bawah hidungnya. Warna hijau yang sudah semakin pekat itu melekat di baju baju putihnya yang telah lama kusam. Dia masih terpaku di Jeti Meragang sambil merenung riak air di Sungai Nanga Meramit. Ada tiga perahu yang ditambat di situ.
Minggu itu merupakan minggu yang amat sibuk bagi seluruh warga sekolahnya. Suatu majlis penting akan berlangsung di sekolahnya yang terpencil itu. Kawasan pedalaman yang dulunya tidak dipandang dengan sebelah mata sekalipun kini tiba-tiba menjadi tumpuan. Tumpuan dari seluruh dunia. Bukan setakat masyarakat setempat bahkan dari luar negara juga. Bulan lalu sahaja sebanyak 5 rombongan datang berkunjung. Dua daripadanya datang dari  luar negara. Atau lebih tepat lagi dari Singapura dan Thailand. ‘Terkenal sungguh sekolah aku’, desis hati kecil Gadam. Ada senyuman bangga terpokah di bibirnya.
‘Semuanya kerana usaha luar biasa Cikgu Jangau’, detik hatinya. Sesungguhnya Gadam amat kagum pada guru tua itu. Dia ada semangat yang sentiasa membara. Dia ada karisma yang mampu membakar marak semangat murid-murid seusia Gadam. Gadam akui itu. Semangat Gadam sendiri terus menyala hingga kini! Semangat untuk terus teguh dan gagah melangkah menongkah arus kedaifan di kampung.
Gadam memejamkan mata. Sebaik matanya dibuka, Jaun sudah bertenggek di hadapannya. Di tangannya ada sebatang joran. “Gadam, mari kita pergi tangkap ikan”, Jaun menghulur pelawaan. “Emm .. aku rasa tidak bolehlah Jaun. Kerja rumah Matematik aku belum siap”, ujar Gadam. Ada kerutan terbanir di dahinya.
Jaun terus memujuk. Gadam pula terus bertahan. Dia terbayang-bayang kerja rumahnya sebanyak 20 soalan operasi darab dan bahagi belum bersentuh. Separuh hatinya mahu pergi memancing. Memang menyeronokkan. Namun separuh jiwanya pula begitu kuat mahu menyiapkan kerja rumahnya. Tiba-tiba wajah Cikgu Jangau terpapar di skrin ingatannya. Gadam memejamkan mata. Sepintas kilat dia berlari meredah padang sekolah meninggalkan Jaun terpinga-pinga.
“Muka kamu memang tak setampan muka Justin Bieber ..” Cikgu Jaung berjeda. Disambut dengan gelak tawa Gadam dan rakan-rakannya. Meriah kelas itu. “kalau dicampak ke Sungai Meramit ikan-ikan semua bertempiaran lari, tak berminat dengan muka kamu ..” Jeda lagi. Ketawa Gadam dan rakan-rakannya bertemali. Kelas Cikgu Jaung memang menyeronokkan. Dia suka berjenaka. Dia pandai menarik perhatian muridnya. Itulah sebabnya 60 minit dalam kelasnya memang tidak berasa.
“Kamu semua adalah pelajar biasa tetapi .. tetapi .. kamu perlu ingat satu perkara! ” Gadam dan rakan-rakan menongkat muka mengekori setiap pergerakan Cikgu Jaung. “Ingat! Pelajar biasa yang berusaha secara luar biasa akan melakar kecemerlangan luar biasa!!”. Ayat terakhir Cikgu Jaung itu benar-benar menyuntik semangat Gadam dan kawan-kawannya. Mereka bertepuk tangan, penuh semangat. Bergemuruh! Beberapa orang pelajar bersorak dambil berdiri!
Tiba-tiba pemikiran bawah sedar milik Gadam tersingkap. Dia kini berdiri megah di hadapan sebuah universiti tersohor di Malaysia. Apa lagi kalau bukan Universiti Malaya. Di kiri dan kanan terbentang permaidani hijau yang menyejukkan setiap mata yang memandang. Dia melangkah ke perut Perpustakaan Majalah melintasi Fakulti Undang-undang. Beberapa orang mahasiswa berpakaian separuh jubah berwarna hitam kelihatan menuruni tangga sambil mengepit beberapa naskhah buku dan fail yang tebal. Mereka bercerita sesama. Raut wajah kesemuanya agak serius. Lantunan suara yang menampan tympanum Gadam juga kedengaran amat tegas. ‘Oh! Bakal peguam muda!’, getus Gadam perlahan.
Di Perpustakaan Majalah, Gadam terpesona dengan pelbagai koleksi majalah yang telah dijilidkan tersusun kemas di atas rak yang dilabelkan. ‘100 100 NASKAH KOLEKSI’ – Gadam menyebut dalam hati notis kenyataan di dinding pustaka itu. Banyak! Gadam teruja. Sangat teruja. Gadam memang suka membaca. Kata-kata Cikgu Jaung sentiasa lekat di mindanya. Dekat di nubarinya. ‘Bangsa membaca bangsa Berjaya.’ Begitu Cikgu Jaung bermadah. Madah itulah yang menjadi azimat kepada Gadam untuk bekerja keras membaca sekurang-kurangnya lima buku sehari. Ketika usianya 10 tahun dia telah membaca 1 528 buku. Lebih membanggakan dia dinobatkan sebagai Penerima Anugerah NILAM peringkat kebangsaan kategori sekolah rendah. Suatu kenangan paling indah!
Gadam mencapai Majalah Pendidik terbitan Widad Publications yang dijilid kemas. Dia duduk dan membelek helaian demi helaian. Sesekala dia mencatat fakta dan ungkapan yang menarik perhatiannya dalam sebuah buku nota. Buku nota itu buku yang istimewa. Hadiah daripada Cikgu Jaung setelah Gadam menerima Anugerah NILAM peringkat negeri Sarawak ketika berusia 9 tahun. Barangkali hadiah itu tidak mahal, namun nilainya tidak terkira bagi Gadam. Kulit buku itu tertera kata pujangga – ‘reading makes a full man’. Di bawahnya ialah tandatangan Cikgu Jaung. Buku itu menemani aktiviti pembacaannya. Saban hari. Saban ketika. Dalam buku itulah terhimpun pelbagai catatan yang diibaratkannya khazanah hidup seorang budak ulu bernama Gadam.
Sejam berteleku di situ, Gadam beredar ke Kompleks Tutorial. Bangunan bulat  tujuh tingkat itu memang unik. Kuliahnya berlangsung di DK3 aras bawah.  Hari itu adalah kali kelima dia mengikuti kuliah Mikroekonomi seliaan Profesor Dato Dr. Gaja anak Kebak. Seorang penganalisis ekonomi yang dikenali ramai di Malaysia. Anak jati Bumi Kenyalang yang berdarah wira seperti Rentap. Kuliahnya menarik. Kupasannya tentang teori ekonomi jelas. Suaranya lantang, cukup untuk membuatkan semua mahasiswa-mahasiswi terpaku bak patung hidup mendengar kuliahnya. Hebat, bukan?
Tiba-tiba ada resah yang singgah. Debar di dada kini bertebar di selurung relung hati Gadam. Dia galau. Dia risau kalau-kalau tidak dapat membuat pembentangan yang terbaik. Kali ini tiba gilirannya untuk membuat pembentangan tentang kajian kes berkenaan pembangunan ekonomi di ceruk pedalaman Sarawak. “Setelah kamu bekerja keras membuat persediaan, tidak ada apa-apa lagi yang perlu kamu fikirkan kecuali bertenang”, kata-kata Cikgu Jangau bergema di mana-mana. Guru tuanya itu telah datang membawa ucapselamat. Sekejapan itu juga semangatnya kembali bertaut.  [bersambung]

No comments: