Pandanglah segala yang ada di sekelilingmu dengan penuh rasa kasih kerana DIA. Moga-moga dirimu akan dikasihi ..
... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...
Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.
Wednesday, 6 November 2013
DUNIA TEMPAT BERPENAT
Aduhai! Betapa laman ini sekadar menjadi kunjungan bulanan oleh pemiliknya. Maaflah, bagi mereka yang rajin bertanya khabar: bila lagi ada entri baru? Kali ini, saya memilih untuk tidak beralasan. Hakikat yang gagal saya uruskan ialah mencuri masa untuk menulis di sini. Akhir-akhir ini banyak kerja luar stesen perlu dilangsaikan. Jemputan berceramah juga agak berjela-jela menjelang peperiksaan. Belum lagi dicampur dengan undangan berceramah daripada syarikat-syarikat swasta. Menyedari hakikat itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai ahli masyarakat,saya tidak sampai hati untuk menolaknya. Asalkan tugas hakiki tidak terabai. Semoga itu semua dinilai sebagai dakwah dan ibadah. In sha allah.
Dengan timbunan kerja dan tugasan tambahan, saya mengelak untuk mengeluh. Bahkan saya memilih untuk mengikut saranan Dr. H.M Tuah: 'berbahagia menjadi orang yang selalu sibuk'. Tanpa pembantu di rumah, saya tetap berusaha sehabis baik untuk memperuntukkan ruang kepada diri sendiri. Menghazami kalimah-kalimah Allah, bercerita dengan hero-hero di rumah, berhubung dengan sahabat-sahabat lama di WhatsApp serta berjemaah di rumah Allah sesekala. Hujung minggu mendengar kuliah diniyyah dan membaca (sudah semestinya!) Semua ini terapi minda dan jiwa. Orang seperti saya, yang selalu mengongsikan ilmu perlu usaha berganda-ganda untuk mencari ilmu. Kalau tidak, asyik mengeluarkan sedang pengisian baru tiada, alamat 'hambar'lah ilmu yang dikongsikan dengan orang lain. Wal iyazubillah!
Itulah kehidupan. Sesuai dengan perintah Allah SWT yang menciptakan manusia dan jin untuk beribadat kepada Allah SWT, tanggungjawab kita sebenarnya tidak akan berakhir. Terlalu banyak tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Terpahat satu hakikat: dunia tempat berpenat, berehat di akhirat nanti. Pejuang tak mengenal kerehatan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment