Hizairi menekur lantai dengan hati yang
beku. Dalam hati bertemali pelbagai emosi. Geram! Marah! Benci! Terkilan!
Semuanya berbaur menjadi satu gumpalan rasa yang membuat hatinya bengkak. Dia
kemudiannya beristighfar panjang. Astaghfirullah al-azim. Allazi laa ilaha
illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilahi .. Berkali-kali ungkapan taubat itu
diucapkannya. Barang kali Hizairi menyedari hakikat betapa berbahagianya sang
syaitan yang bersorak keriangan kerana berjaya menyemarakkan api kemarahan
dalam hati seorang anak Adam. Sambil mengurut-urut dadanya yang terasa sempit,
dia mendekati sebuah kerusi kosong. Sebaik kerusi ditarik dia melabuhkan
punggung. Muhasabah diri!
Kemarahan
Cikgu Alfian membekaskan sesuatu di hatinya. Seorang guru muda yang sememangnya
dikenali dengan watak yang tegas dan kurang bercakap. Jarang tersenyum dan
lebih gemar berkomunikasi dengan bahasa badan. Selalu kelihatan tenang dan amat
matang dalam usia pertengahan 20-an. Wajah yang tenang dan menenangkan dengan
raut wajah ala-ala Adi Putra itu memang sering jadi bualan pelajar puteri. Riak
wajahnya menceritakan emosi yang berkocak di dadanya.
Pagi
itu, ketika pelajar lain sibuk menyempurnakan wudhu untuk mendirikan solat
Dhuha secara berjemaah di Dataran Sri Raghad, aku mencuri-curi waktu menemui
Hana Haryani. Dia anak orang kenamaan yang berjaya mencuri perhatian Hizairi.
Malam sebelumnya mereka telah bersetuju untuk bertemu di belakang surau sebelum
waktu Dhuha bermula. Bukan hendak membuat apa-apa pun, sekadar bertukar kad
ucapan selamat hari lahir. Kebetulan mereka berkongsi tarikh kelahiran yang
sama, cuma berbeza tahun sahaja. ‘Lebih sikit daripada kad ucapan, barangkali
bertukar-tukar tatapan Cuma. Bukan buat perkara yang tidak elok pun!’ Hizairi mengukir
segaris senyum, mengusir secebis rasa cuak yang tiba-tiba hadir di hatinya.
Matahari
yang masih teragak-agak untuk melampiaskan sinar teriknya menjadi saksi
pertemuan yang diatur di belakang Surau Ar-Razzaq. Hizairi menanti Hana Haryani
beberapa minit sebelum puteri junior itu
muncul dengan sebuah senyuman yang tersimpul cantik. Menggugah keimanan seorang
anak Adam yang dalam hatinya sentiasa ada taman. Daripada pertemuan yang
dirancang untuk berlangsung beberapa minit cuma, akhirnya hanya berakhir
apabila doa Dhuha hampir ke penghujung. Melepas Dhuha untuk Jumaat kali itu.
Sembang-sembang membawa ke loceng penamat rehat. Mereka berpisah dengan hati
yang berat!
Belum
sampai lima langkah kedengaran suara keras seperti halilintar!
“Hizairiiiii!”
Jerkahan itu bagaikan rempuhan maut.
Hizairi
menenangkan perasaan yang bergelombang. Juga mencari-cari suara siapakah dari
balik dinding separuh cermin surau sekolah.
Sebaik
kelibat guru itu muncul, seluruh hati Hizairi diserkup rasa cuak. Membuak-buak.
Jujur, dia gerun dengan Cikgu Alfian! Walaupun hakikatnya, dia adalah antara
murid yang paling rapat dengan guru itu.
Hana
Haryani berdiri kaku di bucu surau. Sedia menanti sebarang kemungkinan!
Pertemuan
manis itu bertukar menjadi igauan ngeri. Hizairi dihadiahkan sebatang
‘gula-gula panjang’. Zap!!! Hana Haryani menjadi saksi. Betapa ego remaja
Hizairi bagaikan dicarik-carik. Seorang ahli Majlis Tertinggi Lembaga Pengawas
ditangkap berdua-duaan ketika pelajar lain khusyuk memohon segala kebaikan dan rezeki
lewat waktu Dhuha pada Jumaat, penghulu
sekalian hari.
Dan
setiap butir bicara guru Fizik itu akan kekal dalam memori hitam Hizairi sampai
bila-bila!
-------- bersambung ------
No comments:
Post a Comment