Berkongsi pengalaman dengan orang lain, terutamanya
sahabat-sahabat lama memang memperkayakan pengalaman peribadi. Jalan cerita
kehidupan yang pelbagai membolehkan kita memetik ‘ibrah daripada pengalaman
pahit manis orang-orang di sekeliling kita. Selalunya, usai mendengar cerita
atau luahan rasa orang lain, saya akan merenung ke dalam diri sendiri. Mencari
sari pengajaran yang boleh dijadikan panduan dalam meneruskan kehidupan.
Selebihnya untuk dikongsikan di laman ini.
Kali ini, saya memilih untuk meneroka konsep ‘cinta’
dalam perkongsian hidup rumahtangga. Ada orang mengganggap bahawa, tanpa cinta
rumahtangga tetap kekal bahagia. Ada pula yang berpendapat cinta itu ‘bahan’
utama dalam kehidupan berumahtangga. Ada yang selamba mengatakan tanpa cinta
pun, rumahtangga tetap akan wujud seperti biasa. Ada yang berhujah, kahwin
tanpa cinta pun anak-anak tetap lahir setiap tahun! Masing-masing ada pandangan
sendiri. Barangkali pandangan ini banyak
dipengaruhi oleh pengalaman peribadi.
Sebelum menulis lebih lanjut, saya suka mengetengahkan
mafhum firman Allah SWT: “dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri
kamu itu) dengan cara yang baik” (Surah An-Nisa’:19). Syariat menuntut para
suami memberikan layanan yang baik terhadap wanita yang telah mereka pilih
untuk menjadi suri hati mereka. Maknanya? Dalam pergaulan sehari-hari, para suami
yang mempunyai kuasa sebagai ‘ketua keluarga’ perlu memperhatikan corak layanan
yang perlu diberikan kepada isteri mereka. Sesuai dengan fitrah wanita yang
tercipta daripada tulang rusuk kaum Adam, secara psikologi wanita sifatnya
‘fragile’. Justeru, fitrah ini wajib difahami oleh suami.
Menggauli isteri dengan baik dan lemah-lembut bukanlah
bererti isteri wajar dibiarkan bermaharajalela dalam menentukan segala urusan
rumahtangga. Menggauli isteri dengan baik hendaklah bertunjangkan tuntutan
syariat. Ruang lingkup tanggungjawab suami dan isteri hendaklah diteliti agar
tidak timbul pelbagai kemelut yang boleh saja merenggut kebahagiaan. Dalam hal
ini, suami wajib berhikmah. Suami wajib sedar, isteri itu adalah titipan Allah
SWT yang berupa tanggungjawab. Dalam masa yang sama, isteri juga perlu selalu
sedar diri. Tahu membataskan pergerakannya sebagai pelengkap kepada kepimpinan
suami dalam sebuah rumahtangga. Iman sebagai titik-tolak, mawaddah dan rahmah
(kasih cinta dan belas kasihan) sebagai rencah dalam mentadbir astana
rumahtangga.
Persoalannya sekarang, tanpa cinta dapatkah
rumahtangga kekal bahagia? Mungkin ya, barangkali juga tidak. Banyak ungkapan
tentang cinta yang selalu kita dengar. Ada yang realistik bunyinya, tidak
kurang jugalah yang terlalu idealistik sifatnya. Maka, perlu bersifat selektif,
memilih ungkapan-ungkapan tentang ‘cinta’ yang
dapat memaknakan lagi kehidupan kita bersama sang arjuna penghulu hati!
Ingin saya kongsikan di sini beberapa ungkapan tentang ‘cinta’. Moga-moga
petikan-petikan ini akan meminjamkan motivasi dalam diri kita untuk terus
menyemarakkan cinta dalam rumahtangga atau menggegau cinta yang hilang
seketika!
Dalam rumahtangga, cinta tidak bererti kita saling
memandang, tapi cinta itu membawa erti ‘bersama-sama melihat satu arah yang
sama’. Maknanya, kita berkongsi mimpi yang sama. Melangkah ke arah usaha
menterjemah mimpi satu realiti. Sepanjang perjalanan kita mengatur langkah,
pasti ada telingkah di sana-sini, maklumlah kita datang daripada latar belakang
yang berbeza. Sepanjang usia perkahwinan adalah tempoh bertaaruf (saling
mengenali sesama pasangan). Urusan bertaaruf akan berterusan sampai ke
deru nafas yang terakhir. Apabila pasangan semakin meningkat usianya,
kecenderungan, minat dan keperluannya mungkin sama berubah. Jadi, di situlah
kita perlu terus belajar bagaimana untuk lebih mengenali dia. Seterusnya
berusaha untuk memenuhi segala keperluan itu. Sentiasalah berkomunikasi secara
telus. Jujur apa adanya bagi mengelakkan salah faham dan tanggapan. Perlu bijak
memilih waktu mana yang sesuai untuk meluahkan rasa ketidakpuasan hati, bahasa
bagaimana yang boleh menimbulkan impak terbaik! Bahasa lisan; bahasa badan?
Bagi mengekalkan cinta dalam rumahtangga, biarlah
cinta itu disandarkan kepada kecintaan kepada Allah SWT. Sesungguhnya itulah
cinta yang paling agung! Janganlah kiranya cinta kepada pasangan melebihi rasa
cinta kita kepada yang Al-Habib, Maha Pencinta! Banyakkan berdoa, moga-moga
Allah SWT merezekikan kita kebahagiaan berpanjangan bersama pasangan, bukan
sahaja di dunia sini, bahkan juga di dunia sana. Berkasih ila al-jannah.
In sha Allah.
Andai sesekala, Allah menguji kita dengan dugaan kasih
pasangan yang mengalami pasang surut, carilah di mana titik persoalannya agar
mudah dicari jalan penyelesaiannya. Bercakaplah dari hati ke hati agar tidak
ada emosi negatif yang merajai hati hingga mengakibatkan rasa benci mengisi
relung hati. Bayangkanlah masa-masa bahagia yang telah kita lalui. Imbau semula
saat keperihan saat mula-mula membina batu-bata rumahtangga. Daripada tiada
apa-apa, sehinggalah kita ada segala-galanya. Muhasabah diri, sekental manakah cinta kita
kepada Allah SWT? Barang kali cinta kita kepada Allah kian rapuh, maka Allah
menimpakan sedikit ujian agar kita mempertebalkan cinta dan kasih kita kepada
ilahi. Bermunajatlah selalu!
Kiranya kita telah mengusahakan segala jalan,
berserahlah kepada Allah SWT. Bersangka baik terhadap Dia. Sesungguhnya Dia lebih
mengetahui takdir terindah buat kita.
Positifkan pemikiran. Yakinlah; ketika
Tuhan mengambil sesuatu dari genggamanmu, Dia tidak menghukummu, namun hanya
membuka tanganmu untuk menerima yang lebih baik.
Ingat pantang ini: jangan sesekali mengatakan anda
tidak mencintai pasangan lagi jika anda masih tidak dapat melupakannya.
Sedangkan kekasih pertama lagi kan sukar dilupakan, apatah lagi pasangan hidup yang
pernah berkongsi tilam, bantal dan selimut bersama. Menjadi ayah kepada permata
hati kita. Bukan namanya cinta, jika
kita buat hal sendiri-sendiri. Nafsi-nafsi. Aku, aku! Kau, kau! Cinta
tidak pernah sendiri kerana cinta mesti ada dua watak: aku dan kau! Maka
amalkanlah perbincangan dalam rumahtangga. Berkomunikasi secara berkesan.
Rendahkan ego pada kebanyakan masa. Beralah ketika perlu, memohon maaf apabila
situasi tegang. Tetapi jangan sampai kata ‘maaf’ tidak lagi membawa apa-apa
erti! Ingatlah; mereka yang mencintaimu tidak akan mungkin sanggup melukaimu.
Maka, janganlah kamu melukai mereka dengan mencintai orang lain. Saat anda mendapatkan yang ‘biasa-biasa saja’ ketika mendambakan
yang terbaik, bersyukurlah kerana anda tidak mendapat yang terburuk!
Semarakkan cinta dalam rumahtangga kita. Ibarat rumah
kosong tanpa penghuni, begitulah rumahtangga yang bertahan tanpa cinta. Rumah
tidak runtuh tapi sepi dan sunyi.
Hambar! Cinta tidak ubah seperti bunga, boleh berputik, lalu mekar
semekar-mekarnya dan tidak mustahil layu dan gugur akhirnya. Pertahankan
cintamu!
2 comments:
entry yang baik. Doakan sy dapt jodoh yang baik ya uztazah. InsyaAllah :)
terkesan dengan perenggan kedua sebelum akhir...
mengungkapkan perkataan benci pada pasangan. saya sedang melalui fasa tu dan cuba sehabis baik mempertahankannya.
mgkin ustazah ada tips? insya-allah.
Post a Comment