... berkunjunglah dengan rasa K.A.S.I.H ...

Manusia akan selamanya makhluk yang hakikat bebasnya kekal tertakluk. Ya, benar! Walau sehebat mana pun kita. Walau segah mana pun kita! Kita tetap hamba-Nya yang terikat dengan ketetapan. Ya, benar! Di sepanjang gerak hayat dan titik usia kita. Hakikat yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun juga: hidup duniawi visanya amat terhad. Setelah usia berangkat buat kali terakhir, segalanya akan tamat. Maka, selamatlah kita transit di alam barzakh. Jadi, jomlah kita perbaharui ikrar ketakwaan kita. Bukankah taqwa itu tugunya iman? Iman yang menjadi paksi. Paksi yang mengejat keyakinan. Paksi yang menguatkan pendirian. Dan keperibadian.


Tuesday, 12 November 2013

TALQIN DAN SEBUAH KEHILANGAN




Terlalu selalu saya mendengar ungkapan ‘talqin’. Puluhan kali. Bahkan mungkin mencecah ratusan kali. Namun, saya benar-benar mendengar lafaz talqin buat pertama kalinya pada penghujung Jun yang lepas; ketika salah seorang ahli keluarga terdekat saya meninggalkan kami buat selama-lamanya. (Al-Fatihah buat anakanda Muhammad Syazmie ibnu Dayang Alinah). Dalam runtutan rasa hiba dan sayu, pedih dan perih yang sukar digambarkan dengan kata-kata, saya benar-benar menadah jiwa untuk memahami bait-bait ayat demi ayat talqin yang dibacakan oleh imam.

            Talqin secara ringkasnya ialah peringatan oleh orang yang hidup kepada orang yang ‘pergi’. Peringatan terakhir! Tentang jawapan-jawapan yang sepatutnya dikemukakan apabila malaikat Mungkar dan Nakir datang semasa sesi soal-balas di alam ‘transit’ menuju akhirat. Bercakap soal talqin, macam-macam pendapat orang berikan. Saya tidak bermaksud untuk mengulas panjang lebar, namun cukup rasanya saya memetik apa yang dimuatkan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Sholehan Sharif dalam karya kecilnya; Panduan Penyelenggaraan Jenazah. Buku kecil yang signifikan ini menjelaskan bahawa para ulama dalam Mazhab Syafie memfatwakan bahawa talqin itu sunat hukumnya. Talqin suatu yang berfaedah bukan sahaja kepada si mati, bahkan mereka yang mendengar!

            Terkesan dengan bait-bait talqin, dalam satu pertemuan dengan sahabat-sahabat sepersekolahan saya bertanya siapakah yang pernah mendengar bacaan talqin. Sepi sejurus. “Aku ada dengar tapi dalam Bahasa Arab, satu patah habuk pun aku tak faham!”.Jujur seorang sahabat saya mengakui. Saya melingas wajahnya yang polos. Terkilas kejujuran di situ. Secara peribadi, saya suka apabila talqin dibaca dalam bahasa yang difahami supaya dapat diambil pengajaran. Bayangkan ayam bercakap dengan itik menggunakan bahasa ayam! Sudah tentulah pemahaman sukar diperolehi, bukan?

            Ikhlas mahu mengongsikan apa yang pernah jiwa saya rasakan ketika pertama kali saya mendengar talqin, saya mengambil sedikit ruang untuk membacakan talqin. Sejujurnya, pengalaman pertama itu mengundang debar datang bergendang! Saya seolah-olah dapat membayangkan giliran seterusnya tidak bukan dan tidak lain; sayalah! Hakikat yang terpahat: mati itu pasti. Perkampungan akhirat sudah lama menanti! Hakikat yang menggerunkan namun kita tidak ada pilihan selain mendepaninya dengan segala persediaan. Bersediakah kita?

            Saya beristighfar beberapa kali. Menjernihkan gelodak rasa yang berkecamuk hingga ke dasar hati yang paling dalam. Selebihnya, saya mahu mencari kekuatan untuk membacakan talqin hingga ayat yang terakhir. Inilah tazkirah buat manusia yang masih bernafas. Masih ada kudrat untuk mempersiapkan segala bekalan untuk suatu kembara hayat yang panjang menuju ke kampung akhirat yang asing tetapi benar. Apabila reda sedikit debaran, saya memulakan lafaz talqin. Suasana yang sepi menerbitkan rasa ‘kehilangan’! Dengan lafaz yang mulia: Bismillah-ir-rahman-ir-rahim.

           

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan pentadbir sekalian alam yang hidup kekal selama-lamanya. Selain dari-Nya, pasti menemui mati dan binasa. Selawat dan salam sejahtera ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, pesuruh Allah yang membawa wahyu untuk disampaikan kepada hamba-hamba-Nya. Seterusnya, selawat dan salam ke atas keluarga Rasulullah SAW dan para sahabat yang telah berkorban untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Selawat dan salam yang tidak terhingga setiap hari dan masa.

Maha Suci tuhan yang Maha Esa, unggul pada keagungannya, tunggal pada zat-Nya dengan sifat-sifat qudrat dan baqa’. Maha Suci Tuhan yang berkuasa mematikan dan menghidupkan manusam untuk mengetahu siapakh di anatra mereka yang baik amalannya. Sesungguhnyam setiap amalan akan diperlihatkan di hadapan semua manusia, sama ada amalan baik mahupun yang buruk, yang terang atau yang tersembunyi dan yang diketahui atau yang tidak diketahui.

Wahai hamba Allah, ingatlah setiap amalan yag telah kamu lakukan di dunia ini, akan dibalas sama ada yang kecil ataupun yang besar, yang nyata mahupun yang tersembunyi semuanya akan diperhitungkan dan kamu akan menerima balsannya di hari pengadilan nanti. Berbahagialah sesiapa yang  dipisahkan dari neraka dan menjadi penghuni syurga. Ketahuilah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara dan kesenangan di dunia adalah hiasan semata-mata, tidak kekal dan tidak boleh dibawa ke mana-mana.

Wahai hamba Allah, ingatlah dari tanah kamu dijadikan, kepada tanah kamu dikembalikan dan daripadanya jua kamu dibangkitkan untuk mrnghadap Rabbulizzati, Tuhan pentadbir sekalian alam.

Dengan nama Allah, dengan Allah, daripada Allah, kepada Allah, di atas agama Allah yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebenarnya kamu dimatikan. Kematian inilah yang dijanjikan oleh Allah dan tepatlah janji yang telah disampaikan oleh utusan Allah. Hanya dengan sekali Israfil menempik, maka hancurlah yang ada, mati dan kemudian terhimpun kembali di sisi Allah Rabbulizzati.

Wahai si mati! Semoga kamu dirahmati dan diampunkan dosa-dosa kamu. Mulai hari ini, berakhirlah sudah kehidupamu di dunia, habislah sudah segala keseronokanmu, lenyaplah sudah perhiasan dan kesenanganmu yang Allah pinjamkan selama kamu hidup di dunia. Sekarang dan mulai hari ini, engkau akan berada di alam barzakh, iaitu alam lain daripada apa yang engkau telah tempuhi sebelum ini. Janganlah engkau lupa terhadap perjanjian di masa perpisahanmu dari alam dunia menuju kea lam akhirat iatu dua kalimah syahadah: Laa ilaha illallah muhammadur rasulullah!

Ingatlah! Apabila datang kepadamu dua malaikat, Mungkar dan Nakir yang ditugaskan oleh Allah untuk menyoal kami, maka janganlah engkau terkejut dan takut. Mereka sebenarnya adalah hamba Allah sebagaimana kamu juga. Mereka akan menyoal kamu dengan beberapa soalan:

“Siapa Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah nama kiblat kamu? Siapakah nama saudara kamu? Apakah pegangan dan iktikad kamu? ..dan .. Apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?”

Di masa itu hendaklah kamu menjawab dengan cermat dan terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar dan takut. Janganlah cuai dan tergopoh-gapah, hendaklah kamu tenang dan berhati-hati!

Jawablah: Allah Taala Tuhanku. Muhammad SAW nabiku. Islam agamaku. Kitab suci Al-Quran menjadi ikutanku. Baitullah itu kiblatku. Semua orang Islam dan orang beriman adalah saudaraku. .. dan .. kalimah : Laa ilaaha illallah Muhammadur Rasulullah menjadi iktikad peganganku.

Ketahuilah wahai (nama si mati!) bahawa mati itu benar, masuk kubur itu benar, soalan Mungkar dan Nakir di dalam kubur itu benar, bangkit semula dari kubur itu benar, perkiraan amalan itu benar, titian sirat itu benar, neraka itu benar dan syurga itu benar dan dengan tidak ragu-ragu lagi hari Kiamat itu pasti datang. Di masa itu, Tuhan akan membangkitlan semula yang ada di dalam kubur.

Ya Allah! Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Penghibur nagi tiap-tiap kesunyian dan kesepian, Yang sentiasa ada dan tidak jauh dari makhluk-Nya, kami memohon daripada-Mu, hiburkanlah kesepian kami dan kesepian saudara kami ini, rahmatilah kami dan saudara kami ini ketika keseorang di dalam kubur. Lancarkanlah lidah kami dan saudara kami ketika menjawab soalan-soalan para malaikat. Tetapkanlah iman kami dan iman saudara kami dan ampunkanlah saudara kami dan dosa saudara kami dengan Rahmat-Mu yang Maha Luas.

… Rabbana aatinaa fid dunya hasanah wa fil akhirati hasanah …

 

Usai membacakan ayat yang terakhir, saya duduk merenung diri sendiri seketika. Ada doa yang saya panjatkan; moga-moga mereka yang telah mendahului kita akan hidup aman dalam iman di alam sana. Ya Allah! Saat tiba masa keberangkatanku nanti, semoga mereka yang ditinggalkan akan selalu sudi berkirim doa secara khusus buat hamba-Mu yang pernah hadir dalam sejarah hayat mereka yang singkat di dunia ini. Astaghfirullah al-azim! Ya Allah, kupohonkan ampun dan maaf.

 

 

 

 

 

 



No comments: